Aku bukan peminat telefon genggam. Kalau bukan sebab untuk kerja tak nak aku guna. Mengganggugugat kadang-kadang. Boleh buat dan terima paggilan, boleh SMS cukup. Setakat telefon genggam ada kamera 80 mega pixel ke, MP3 ke, MP39 ke, 3D ke, 4Z ke, radio ke, TV ke, basikal ke, sabit ke, motobot ke peduli apa aku. Jadi beli saja yang murah.
Pakai telefon genggam mahal-mahal pun susah juga nak jaga. Aku kerja lasak. Jatuh jangan cerita la. Selalu. Jatuh dalam sungai pun pernah. Hilang pun pernah. Jadi aku beli saja telefon yang harganya RM130.
Tapi entah apa sial minggu lepas telefon murah tu jatuh lagi buat yang ke sekian kali. Kalau jatuh atas nasi tak ada hal. Boleh kutip pakai mulut saja. Ni dalam lubang mangkuk tandas tu. Apa la nasib. Nak tak nak kena la seluk juga. Mujur dah lepas pam. Naik-naik dah kojol. Tak tergamak aku nak buat CPR. Aku basuh dan renjis-renjis ala-ala menepung tawar. Lap-lap dan relai satu-satu. Kemudian letakkan di tepi exhaust fan. Lepas dua jam aku cantum dan hidupkan. Bernyawa semula. Bagusnya!
Tapi masalahnya tombol nombor 4 dan huruf G, H, I tu pula susah betul nak tekan. Macam nak tekan paku tekan ke dinding baru terbit. Susahlah la nak SMS rakan cop kalau berlaku apa-apa. Macamana ni? Macamana aku nak sms rakan cop? Sebab nombor rakan cop pun aku tak tau.
Aku pun beli la telefon genggam baru. Harga murah punya juga. Tapi skrin warna-warni la. Kad SIM lama la. Telefon lama tu pun masih boleh guna dan baunya tak busuk pun. Aku beli housing baru warna merah metalik sekali. Dan sarung. Ingat nak guna dua. Saja-saja. Sebab cuping telinga ada dua. Kalau ada 18 aku beli la 18.
Sampai rumah mak pula minat. Adoi la. Tak tergamak rasa nak beri mak telefon yang terjun tiruk dalam mangkuk tandas tu. Lagi pun mak bukan pernah guna telefon genggam pun. Guna telefon rumah dah la mak. Mak tak minta sangat . Tapi kawan-kawan mak semua dah ada henset walaupun tak reti guna. Senang nak telefon anak-anak. Nak telefon awok suruh beli kuih di pasar Ramadan nanti pun senang. Anak-anak pun senang nak telefon mak kalau mak pergi mana-mana. Itulah cakap-cakap mak. Aku faham la. Puasa lambat lagi mak.
Aku belikan juga kad SIM baru dan beri pada mak esoknya. Tak bengang pun. Apa la sangat dengan mak. Ajar mak lebih kurang macamana nak guna. Simpankan nombor-nombor telefon orang lain yang penting-penting. Itu pun aku tak bengang. Mak cepat tangkap. SMS memang mak tak reti-reti la sampai hari ni. Sampai bila-bila pun tak reti agaknya. Mak, berusaha! Itu pun aku tak bengang juga. Biarlah. Asal mak senang hati cukup la. Walaupun mak sekolah sampai darjah dua mak rajin membaca, dengar Kasik Nasional dan Pahang FM. Mak pandai dan kretif.
Yang aku bengang lepas ajar dia macamana nak buat dan terima panggilan malam tu. Dia cakap nak pergi tidur. Tiba-tiba telefon rumah berdering. Aku nak bangun dan jawab.
“Mak la talipon tu. Hahaha.” Mak gelak bukan main-main sebab dah pandai buat miscal. Yeee..tak siap la draf cerita seram aku ni nanti. Entah apa la yang mak nak buat lagi tu nanti. Tapi dia bangun dan nak ke bilik tidur juga. Bagus la. Tiba-tiba…
“Bang SMS siapa ini bang, bang pesannya pakai sayang-sayang…”
Arghhhh apasal mak nyanyi lagu dangdut SMS kenduri kahwin tu! Walaupun Kristal dah buat rock aku benci juga. Kalau Metallica buat metal pun aku tetap benci. Benci tapi tak rindu!
p/s: Mak aku orang kampung dan dah tua. Kadang-kadang aku terasa nak merantau jauh-jauh. Tapi tak sampai hati. Kalau boleh aku nak pandang mak hari-hari. Aku rasa semua anak pun mungkin macam tu. Kalau ibu kalian masih hidup di kampung, apa kata telefon dia sekarang!