Showing posts with label Saja Nak Tulis. Show all posts
Showing posts with label Saja Nak Tulis. Show all posts

Thursday, September 16, 2010

Di Luar Khayalan Filem-filem Tamil

Hari Ahad aku lebih ingat filem Tamil di RTM2 berbanding Melodi di TV3. Kalau sedap aku melekat baring depan TV. Kalau tak sedap makan biskut di dapur saja. Dulu-dulu TV3 pun ada tayang filem Tamil setiap minggu. Sekarang TV3 banyak tayang sinetron Indon merapik-rapik. Dan drama Melayu korporat saham-saham kereta mewah terkini. Cakap Melayu sepatah ditimbun English 20 patah.


Aku suka tonton filem Tamil. Banyak filem Tamil yang sindir dan kutuk politikus, dan pihak polis terang-terang. Dalam filem-filem Tamil juga politikus dan polis sering berkisar padu dalam dunia gengster. Pembikin filem mereka tidak segan-segan mengutuk kepincangan realiti. Jenayah berleluasa. Kedaifan dan kemiskinan yang berpunca dari penindasan tangan penguasa. Dan akhirnya muncul hero.


Dalam keadaan macam-macam sekarang ini; pukul-pukul, cincang-cincang, bakar-bakar, aku harap RTM2 tidak pula mengharamkan filem-filem tamil yang banyak babak aksi gangster. Susah nak tengok orang berlawan dengan aksi terbang dan kesan bunyi yang special. ‘Dush’, ‘debush’, ‘boof’ – filem Tamil saja ada bunyi special macam itu untuk aksi fight.


Jenayah tak ada kena mengena dengan agama seseorang. Tak ada kena mengena dengan bangsa seseorang. Pengaruh filem itu mungkin ada. Tapi sebelum wujud kamera dan filem, orang jahat dah wujud pun sebab tak beriman kepada Allah, tamak dan tak mencintai art sepenuh hati. Kita manusia alaf baharu. Buat apa nak tiru benda bodoh? Tengok sudahlah.


Jadi yang Cina dan India tak payahlah nak tuduh semua Melayu rasis bila ada polis Melayu tembak penjenayah bukan Melayu. Melayu dan India pun tak payahlah nak tuduh semua Cina rasis bila ada orang Cina tak suka azan kuat dan tulisan Jawi. Melayu dan Cina pula tak payahlah nak tuduh semua India rasis bila ada orang India bunuh orang Melayu.


Dan jangan sampai benci dan haramkan kayu hoki pula. Sebab gangster dalam filem Tamil suka bergaduh guna kayu hoki.






Tuesday, July 20, 2010

Lelaki Tua Misteri Yang Banyak Tanya di Sebuah Pasaraya

Suatu hari di hari Sabtu. Aku ke Bandar. Bukan apa-apa. Sebenarnya aku mahu membeli beberapa barangan dapur untuk keperluan harian. Mahal atau murah kena beli juga barangan dapur ini. Apa gila hendak ganti bawang dengan lalang kalau goreng ikan bilis?

Tapi itulah. Malaysia. Kamu tahulah. Kita sebenarnya masih negara membangun yang rakyatnya bertungkus lumus mahu keluar dari lingkaran kesusahan. Memang kemiskinan itu masih berleluasa di mana-mana. Tetapi Malaysia bukan baru. Pedulilah kalau ada orang hendak dakwa Negara kita masih belum merdeka atau apa. Tetapi lebih 50 tahun penjajah pulang, rakyat Negara ini masih begini mendukacitakan. Anak-anak kecil menjual kalender di stesen minyak dan pintu bank. Bangla pula pakai kemeja dan seluar sleek tinggi atas paras pusat. Salah siapa?

Sewaktu aku memilih ikan bilis di sebuah pasaraya dengan perasaan kacau bilau sebab harganya makin hari makin mahal. Tiba-tiba angina bertiup dingin. Aku pandang ke atas. Rupanya aircond pasaraya.

“Beli apa nak?” tiba-tiba seseorang bertanya.

Aku menoleh ke sisi kanan. Dari arah datangnya suara itu. Suaranya seperti lelaki.

Ya. Memang tepat. Seorang lelaki tua. Berjanggut putih hingga ke dada dan berjubah lusuh. Entah bila munculnya aku pun langsung tidak perasan. Tampaknya saling tidak tumpah seperti Latif Borgiba.

“Mahu pilih ikan bilis. Mahu beli,”jawabku mendatar dalam nada kehairan-hairanan. Tidak nampakkah apa yang sedang aku buat?

“Suka makan ikan biliskah?” soalan kedua terloncat dari mulutnya yang mengukir senyum misteri.

Aku angguk. Tanda mengiyakannya. Perasaan maas menjawab membuak-buak dalam dada. Dan lelaki tua itu masih tersenyum misteri mengalahkan misteri Puaka Lubuk Yu.

“Mahal ikan bilis sekarang ‘kan?” lelaki tua itu masih dengan tanya.

“Ya,” jawabku septah.

“Kenapa mahal?” itulah solan seterusnya.

“Mana saya tahu,” aku jawab acuh tak acuh dengan harapan orang tua itu jemu dan berlalu ke tempat lain. Atau sakit perut mahu terkincit tiba-tiba.

“Kenapa tak tahu?” soalnya lagi. Rasa hendak makan nasi sambil lari setempat mula muncul gara-gara geram.

“Yang pakcik sibuk-sibuk tanya ni apa hal? Pakcik ni Oprah Winfrey ke?” giliran aku pua bertanya.

“Kenapa, tak boleh tanya?” lelaki tua itu hanya menjawab tanyaku juga dengan tanya.

“Ahhhh, malaslah layan. Kalau pakcik nak Tanya sangat, pakcik pergi saja la ke formspring saya!”

“Formspring tu apa? Formspring siapa”

“Formspring saya la. Tanya puas-puas kat situ!” kata aku sambil cepat-cepat pergi timbang ikan bilis dan meninggalkan pakcik misteri itu yang baru terkial-kial mahu memilih ikan bilis sambil dipiat telinga oleh bininya yang telah pun selesai memilih sayur kobis tidak jauh dari situ.

Beberapa pelanggan yang melihat penarikan telinga lelaki misteri itu menjuih-juihkan bibir tanda mengumpat.

Tuesday, April 20, 2010

Dialog PRK Orang Serba Salah...

Pak Abu: Mana satu nak pilih ni? Orang kata; orang minum arak ni tak boleh jadi Imam semayang. Ye ke?

Wak Karto: Entahlah. Aku pun bukan lebai sangat. Tapi kalau orang bukan Islam, sah sah la tak boleh jadi Imam semayang kita. Habis tu nak pilih siapa nanti?

Pak Abu: Kalau orang Islam perangai tak macam Islam tak guna juga pilih. Tak tau la nak pilih siapa nanti ni…mangkuk hayun betul.

Wak Karto: Susah ni..habis tu nak undi ke tak?

Pak Abu: Eh, kena la. Nanti dituduh berdosa pulak tak undi. Tak bertanggungjawab kepada tanah air..kata orang...

Wak Karto: Ye juga. Ah, undi je..kita kan pilih parti..undi 'lambang' je..bukan undi calon…tak berdosa pun kan?

Pak Abu: Eh, wak lu…nanti masa nak mintak sain biasiswa ke anak ko tak kan nak suruh ‘lambang’ tu yang sain..apa gila ko ‘lambang’ mana boleh sain!

Wak Karto: Wak lu...ahakzzz...

Friday, April 2, 2010

Untuk nampak Islamik, tak semestinya guna bahasa Arab Wak!

Aku memandu perlahan. Langit berawan kumulus nimbus. Kapal terbang melintas dan berkicau. Cahaya matahari dengan ghairah meraba setiap isi alam menerbitkan redup bak mata kerbau. Sungguh tenang suasana melatari pemandangan. Tiada suatu pun yang bisa memercikkan api amarahku.

Kring! Kring!

Bunyi telefon genggam. Aku cepat-cepat mahu menjawab. Sebab kalau gabenor bank Negara yang buat panggilan, aku nak pinjam pengecop duit. Senang hendak membayar cukai jalan. Tetapi Mat Jawa rupanya.

‘Hah, apa ke halnya?” aku terus bertanya tanpa berbasa basi demi mengenangkan betapa muka Mat Jawa yang tidak senonoh ketika mengunyah keropok losong mati tarikh.

“Eh, aok ada drill tak? Drill keh terbakor laa..keh nak pinjam sehari esok!” kata Mat Jawa yang cuba menyamar bercakap gaya stail orang kampong Gua Bama Kuala Lipis. Dia pikir; dia pernah buat Rumah Mayat Hospital Kuala Lipis tahun 2003 dahulu, orang tak tahu dia datang dari Jawa agaknya.

“Drill tu tak berapa power. Tapi kalau nak buat kerja ringan boleh la. Kau nak buat apa?” aku bertanya dengan hati yang berat kerana kalau beliau guna untuk menebuk konkrit dengan ganas memanglah terbakar pengorek lubang elektrik aku itu.

“Keh nak tebuk lubang kunci albab je.” Jawab Mat Jawa.

“Lubang kunci siapa?” aku bertanya lagi kerana bunyi deru kereta membuat aku ragu-ragu.

“Lubang kunci albab! Albab..” kata Mat Jawa dengan lebih jelas.

“O, lubang kunci albab ye? Albab kepala tengkorok aok!” kata aku seraya mematikan perbualan.

Aku memandu perlahan. Untuk jimat minyak. Di belakang kereta berderet deret. Padan muka!


Thursday, December 24, 2009

Ke Mana Hala Tuju Yang Sepatutnya Selepas PMR dan SPM?

Minggu lepas saya pergi satu farmasi. Mahu beli ubat batuk untuk emak saya. Saya beli dua jenis. Satu jenama Breacol dan satu lagi jenama ‘Ridsect’ (Strepsil sebenarnya, tetapi emak saya selalu tersebut Ridsect. Bila saya gelak dia buat tak tahu saja. Dia tak mengamuk atau merajuk sampai tubuhkan parti politik baru pun).

Kemudian saya keluar dari farmasi setelah membayar. Mulanya saya hendak pura-pura kena sawan tarik dan pitam di situ, sebelum membayar. Untung-untung tauke farmasi itu simpati dan beri ubat-ubat batuk tu percuma saja. Tetapi memandangkan reputasi saya agak baik, dan Ain wartawan Sinar Harian selalu juga berkeliaran di Jerantut, saya membatalkan niat suci saya itu.

Sebelum masuk kereta dan berambus, tiba-tiba nama saya dipanggil. Saya ingat makwe farmasi yang jaga mesin duit ada bunyi ‘ting ting’ itu yang panggil. Kot-kot dia nak pulangkan semula duit saya sebab tiba-tiba hendak buat amal jariah. Tapi kenapa lain sangat suaranya?

Oh, Brader Awie rupanya. Saya memang kenal biasa sangat dengan Brader Awie ni. Kalau mudik ke Hulu Tembeling, atau ke Taman Negara, bot Brader Awie la yang selalu saya tumpang. Malah ada juga saya tumpang makan nasi di rumah ibu mentua Brader Awie itu. Isteri Brader Awie yang hendak beli ubat. Bila saya tanya ubat apa, isterinya kata; ubat nyamuk. Tak lawak langsung.

Sementara menunggu, saya dan Brader Awie pun berborak seputar dunia sungai, poitik, sastera dan kebudayaan Jerantut. Ada juga Brader Awie terborak perihal nak membangunkan sebiji prototaip bot laju berkuasa nuclear. Saya hanya mengangguk-anggukan kepala tanda tak percaya langsung.

“Wi, mintak dua inggit, aku tak minum lagi ni,” tiba-tiba ada satu kutu dengan tangan berbalut-balut. Entah siapa, saya memang tak kenal. Badan kurus-kurus mata kelabu asap. Gaya balutan pada tangan macam orang nak bertomoi. Tangan kiri. Kalau balut satu badan saya kenal sangat. Itu Encik Mumia namanya.

“Tak dok duit la aku, bila jumpe duit, duit, duit!” kata Brader Awie dengan sombong.

“Boss, duit ringgit boss,” kutu itu mintak sama saya pula. Saya rasa sangat takut. Manalah tahu kalau-kalau nanti dia keluarkan pisau pemotong sayur ke, pistol ke, atau paling menakutkan, mesin rumput jenis tolak. Cedera la saya kena mesin.

“Jangan di bagi!” kata Brader Awie sebaik melihat saya sudah ketakutan yang amat sangat dan menadah tangan memohon keselamatan diri kepada Tuhan. “Pergi tempat lain la!”

Kutu itu pun berlalu pergi dengan lemah longlai. Ada juga rasa kasihan. Tentu dia lapar sebab belum minum pagi. Apa la Brader Awie ini, tak kasihankah? Padahal Brader Awie tauke bot yang berjaya. Kakitangan kerajaan selalu sewa bot dia kalau ada apa-apa program kerajaan yang menggunakan bot. Kalau Brader Awie tak bagi, tak kan saya hendak bagi pulak; begitu saya fikir.

“Aku bukan tak nok bagi dia duit Mie.. Itu kalau dapat duit tu, bukan ada kerja lain – pergi beli samsu, beli arok muroh. Dari sekoloh lagi aku kenal dia tu, doh jahanam satu badan doh tu. Kalau setakat nak makan, pergi je kedai makan nu, ada la orang belanja makan. Ni tau nok makan benda haram tu je!”

O, begitu rupanya. Kali ini saya mengangguk-angguk tanda setuju juga sikit-sikit.
P/S: Abaikan tajuk di atas. Mengada je lebihnya tu.

Tuesday, December 1, 2009

Chicklit Ahaks2..

Holiday2 skol ni nak wat pe pun xtaw. Bowing giwer r duk umah xde keje. Asik mkn tdow je. Pewot ni tau nak hungry2 je. Biase dia, tampo kang! Nanti gumuk r owg ni taw, pewot. Xde r plak yg nak ngurat Gaga. Ahakszzzzzzzzzzz.

So, Gaga igt nak wat novel r. besh gak jd writer ni kan? Duk umah je ngadap lappy. Pas2 glemer gila plak 2 Gaga nt. Wow, cam Aznil gitewwwww. Dia tulis citer pe aaa? X igt r Gaga. Wiiiiiiiii. Ahakszzzzzzzzzz!


Tp Gaga nak write citer pe hah? Yezzaaaaa…Gaga igt nak wat citer urban2 r. besh sket. Ade luv2 gitew. Cintan cintun sowg girl poor ke, sowg guy rich. Or sebaliknya la kan. Cover letak muka christiano ronaldo, beyonce ke, arsene hanger ke… Huhu, mesti meletops. I loike. X kan nak wat citer kampung2, itik2, sungai2, jungle2 lak kan? eeuuuuwwwww.. plizzzzz. giler geli Gaga. x kan citer politik? Fakof r politik. Isk, cam siut je kan? Sowi sket. Tak ble bla r Elizabeth wong. 2 je r YB yg Gaga knal. Ahakszzzzzzz.

Dah r membebel. Pepehal, Gaga nak bekpes dulu r. membesarkan pewot ha ha. Sambil2 2 leh gak lyn2 Hot F&N ni. Seripah Aloyeh jd DJ pg ni taw. I ske dia taw. Urban gilezzz siut. Haaa, I nak write novel psl love story awek dj la. klu x laku I baca sendiwi. Huhu. Ciou cin cuat! Ahakszzz…

Owh yeah, col2 or sms r Gaga nt taw! 01200-233-GAGA. Ahakszzzzz..

Monday, November 16, 2009

Acara Meracun Secara Olimpik

“Mie, ladang mak hang ni dah nak semak dah ni. Hang kena racun sikit dah ni.” Begitu kata Din kawan aku yang ambil upah potong dan angkut buah sawit sambil meneguk air oren yang aku hantar ketika berehat.

Budak Din ni, elok-elok aku hantar air oren, dia suruh aku meracun pulak. Mujurlah aku pernah kerja potong, angkut dan lambung tandan sawit atas lori. Jadi aku fahamlah peri siksanya bekerja sebagai buruh ladang untuk sesuap nasi. Sebab itulah marah sangat bila aku naik motor, ada polis pow aku suka-suka hati sebab aku serabai dan berambut panjang. Bukan aku tuduh semua polis. Tapi banyak kali aku kena. Padahal bukan aku yang menaikkan harga gula dan ayam bila nak raya. Bukan aku dapat komisen kapal selam.

“Entah, popalih teruk kawan kutip biji relai. Habis jari kawan,” Belut yang jadi tukang tolak tandan sawit pun nak menyampuk juga.

PANG!

Aku lempang seekor nyamuk. Biasalah, memang ada nyamuk dalam ladang sawit ni. Ikutkan hati aku nak tenyeh saja nyamuk tu atas dahi Belut. Menyibuk. Tapi tak jadi sebab dia cepat-cepat start kerja semula sambil hisap rokok Nusantara hijau.

Mengenangkan keluhan kawan-kawan itulah, aku dan adik aku terpaksa jadi kombat menempur segala rumput rampai. Nak harapkan lembu-lembu orang yang selalu buat taik tu? Lembu sekarang ni pun dah jadi mengalahkan graduan menganggur pulak. Pandai memilih sangat. Rumput lembut-lembut cantik-cantik muda-muda saja dia nak hentam. Senduduk berbulu, kapal terbang dan kelambu rimau yang degil macam iblis tu tak mahu pulak dialembu (gantinama lembu yang setaraf dengan diorang) rentap sampai ke akar umbi. Kalau boleh nak suruh letak aircond dekat ladang agaknya lembu-lembu tu. Kalau dialembu makan tak memilih, senanglah sikit kerja aku. Itulah yang amat kukesali sehingga tiada terhingga.

Maka selama empat hari pada minggu lepas aku terpaksalah mendukung pam 3 galon yang beratnya macam beg budak sekolah rendah yang bawak buku tak ikut jadual itu. Aku kalau bab meracun ni memang handal sangatlah. Kalaulah meracun ni masuk dalam acara sukan Olimpik, mesti aku punyalah yang dapat RM1juta Olimpik 2012 tu nanti. Ye la, pingat emas aku punya. Adik aku pingat peraklah. Itu belum lagi dia buat acara meracun secara bergu ke, acara meracun berganti-ganti ke, atau terjun papan anjal sambil meracun diikuti main mercun sekali ke. Berjuta-jutalah aku dengan adik aku dapat duit. Menangis punyalah menteri sukan yang mukanya memang macam nak menangis tu terpaksa hantar duit ke ladang. Nak harap acara bolasepak yang ada sekarang? Menghabiskan duit rakyat saja la. Masing-masing berlagak dengan jersi bola England palat tu saja la rakyat Malaysia ni. Lepas semua team bola nak ada perkataan ‘red’ kononnya macam ‘red devil’. Orang politik pulak menyibuk nak jadi presiden la, exco la bila persatuan tengah maju. Penyokong bakar lemang. Biarlah lantak.

Aku pulak bila meracun di ladang ni memanglah kusyuk habis. Laju bukan main-main. Sebab panas semua kulit tubuh rasanya. Duduk dalam topeng. Pakai overall. Sebijik macam SWAT. Jadi kalau boleh tak mahu berhenti langsung menyembur racun tu. Satu jam aku buat 3 pam. Satu hari aku cuma mahu kerja 3 jam. Buat laju-laju dan balik mandi. Pantang ditegur. Kalau orang bunian yang kuat pakai baju putih-putih macam dalam TV3 petang-petang hari tu tegur sekalipun, aku racun semacam muka dia. Siap rodok-rodok lagi mulut dia dengan penyembur racun tu. Biar dia insaf. Jangan asyik pakai putih macam iklan sabun saja taunya. Entah mana produser tu mengaji ada orang bunian macam tu.

Tapi macam biasalah. Masyarakat tempat aku ni memang peramahlah. Orang kampong. Kalau orang Beverly Hills tu lain la. KL? Miskin bandar punya orang ramai la beb. Bergaya saja lebih. Tak peduli jiran. Tengah sedap-sedap meracun ada saja kutu-kutu atau pak cik jiran yang berhenti nak bertemuramah. Selalunya memang aku menyorok belakang pokok sawit. Tapi sekali tu tak sempat betul sebab keadaan amat genting. Laluan untuk menyorok sebiji macam grand canyon tebingnya. Sudahlah dukung pam berat. Beria-ria sangat nanti berguling bawah tebing, mandi racun aku. Kena gelak dengan orang bunian original la pulak nanti. Demam keteguran aku.

Berhentilah sebiji motosikal dekat ladang mak aku. Brader Man rupanya. Tak ada kerja lain orang Melayu ni. Nampak orang kerja pun dia nak ajak berborak. Kadang-kadang tu dengan polis jaga roadblock pun ada yang ajak berborak juga. Panjang saja antrian jadinya. Kalau orang tengah makan jambu air colek kicap tu boleh la juga nak ajak berborak, pak cik weh. Tapi sebab aku ni memang budiman dan pengikut sunnah wal jamaah, layanlah juga walaupun dia bukan bekas mufti.

“Haih, meracun ke weh?” tanya Brader Man tu sambil tersengih-sengih seraya menongkat motor. Macam nak menyinggah lama saja pesennya. Otak aku pun mulai ligat. Keadaan hening seketika. Burung-burung membelai awan. Mentari merenjis sinar pagi ke daun sawit seolah-olah memercikkan titik-titik harapan kepada manusia buruh sepertiku. Damailah dunia, ujarku jujur. Sayup-sayup kedengaran lori hantu lalu lalang menghantar tandan sawit ke kilang. Aku pecat topeng. Tarik nafas panjang-panjang. Lepaskan segala penat di dada yang amat sangat.

“Tak adalah, Brader Man. Tengah memancing ni ha. Dapat ikan besarrrrrr...” jawab aku sambil membuat aksi hardcore angler melayan Mersuji seberat 35kg yang tersangkut di joran Daiwa berkekili Shimano TLD30 yang bertali Maxima 30 paun. Penyembur racun aku hayun-hayun dan karau ke kiri dan ke kanan sambil mengayakan aksi mengepam tali pancing macam di atas kapal layar Moonson Cup.

Tak sampai seminit, Brader Man cepat-cepat beredar. Hendak cari lembu dia yang merayau entah ke mana, katanya. Elok sangatlah tu. Raya Haji dah dekat. Aku meneruskan perjuanganku menentang rumput rampai. Nak cepat-cepat untuk balik mandi dan minum air kelapa.

Thursday, November 12, 2009

SMS sebelum tidor tadi malam.

Malam tadi. Aku baru nak lelapkan mata. Tiba-tiba saja ada SMS. Entah siapa la SMS prentan orang nak tidor ni. Nombor tak di kenali. Orang arab ke? Atau orang Badwi? Hati ditumbuk-tumbuk dek pertanyaan.

012-908 XXXX: Ado surat sampai rumah?

Sebaik dibaca. Cara cakap macam orang Negeri 9. Tapi nombor kelantan ni. Hala ke Bunut Susu, Pasir Mas.

Oleh kerana Negeri 9 menang Piala Malaysia baru-baru ni, aku ambil keputusan untuk balas dalam bahasa Negeri 9 la.

Aku SMS: Ekau ni sapo pulak? Posmen ko tanyo2 surat sei ni?

Tak ada balas-balas dah. Menyesal tak sudah gamaknya. Mengenangkan kredit habis silap hantar SMS.

Aku pun lena di ulit berlian.

muzik yang anti-pop dan vokal yang anti-melodi (part.2)

Merawat Sebatang Hidup

merawat sebatang hidup. lalu kubukakan
sangkar lilin dengan ngeri tersimpan di celah peti
dari benang-benang sulit membakar hempedu sakit
di depan kata menumpahkan cahaya makna
dari bilik luka menyimbahkan jelaga sengketa
dengan seumpah dan serapah mencairkan duka
meneruskan mimpi membalut dendam sendiri
untuk terus menyala menghitamkan diri

merawat sebatang lilin. lalu kurawat
suara kehidupan yang tak pernah menjerit
ditengah kukamitkan mimpi mimpi mendengar julangan erti
menyimpan cahaya api dan semangat ingin mati
meninggalkan dunia dupa mencari makna ghaib
mencelur cairan rasa menyelar lidah lintah
nikmat hidup di atas kehangatan
hidup pun terpukau dengan dalam tepukan hari lahir
dari teman-teman dengan mainan-mainan
dan hadiah-hadiahmu syaitan
menikung beban gelap menghilangkan duri
untuk terus menyeksa menghinakan diri

M. Said Maharam
(Kharmizi m/s: 35)


Aku tidak beminat untuk menganalisis puisi ini. Aku hanya ingin melanjutkan kata-kata aku di entri yang lepas. Maka aku perturun sebuah puisi lengkap yang terdapat di dalam Kumpulan puisi Khimirzi. Setelah membacanya secara keseluruhan, dapatkah anda tangkap maksudnya?

Baiklah. Secara terus, dari pandangan aku; puisi ini adalah gambaran atau kisah seorang penagih dadah. Itulah yang aku fahami. Orang lain aku tak tahulah. Setiap imej mudah ditangkap kalau kita peka. Penyair sungguh bijak menyusun imej-imej yang biasa hingga menjadi luar biasa. Penuh rasa kesakitan dan gelap. Penyair meluahkan seluruh pengalaman hidupnyanya dengan baik sekali. Tiada nilai didaktik yang keterlaluan di depankan. Tiada rasa mahu menunjuk-nunjuk sangat ‘hei, hebatnya seni aku!’, pada hal setiap perkataan disusunatur tanpa memeningkan pembaca selama-lamanya. Tidak sesat dan menyesatkan walaupun adakala puisi-puisi penyair yang lain terlalu mencekik dan membuat aku sesak nafas ketika merayap-rayap di dalam gua pengalamannya. Sangat jujur dalam meluahkan dan menduga khalayaknya.

Puisi ini ditulis berdasarkan pengalaman M. Said Maharam berhadapan dengan penagih dadah yang mungkin hampir setiap hari. Beliau adalah komandan di Pusat Serenti Serendah Selangor ketika itu. Sekarang aku tak tahu.

Maaflah kalau anda tidak minat sastera dan puisi. Hanya mahu memberitahu. Hasilan penyair-penyair yang menjanjikan di era 80an dan 90an dahulu sangat superb. Jujur, beridentiti dan sungguh berseni di dalam pemberontakannya. Tidak nampak sangat mengada-ngada. Atau berlebih-lebih hendak tunjuk lain dari yang lain dengan cara yang bukan-bukan. Dan masa. Masa telah pun menguji keutuhan mereka. Sepultura sebelum Chaos AD memang terbaik. Bukan Roots.





P/S: Tapi Chaos AD dan ke atas lebih senang dimain riff-riffnya. Juga senang untuk sing along. He He.

Saturday, November 7, 2009

Oh, saya sungguh bersemangat dengan apa yang sedang saya lakukan, baru sekarang dapat online!

NOVEMBER RAIN

seharian engkau menabur abu
ke wajah langit
mengurung matahari, dan burung-burung
pun kematian sayap

dengan ghairah engkau menerjah
ke bumbung rumah
meloncat dan berguling ke dahan ranting
berlarian di kulit tanah
hinggap dan menggelongsor di kaca jendela
kamarku. Mengheretku ke padang-padang
waktu kecil yang kian jauh
sesayup ingatan
setiap titisan bagai jutaan saat
yang cair dipulas perjalanan

seharian engkau datang
melagukan rindu, kasih dan sayang
memberi sebuah kehidupan
dan mengembalikan setiap kematian


p/s: Ada siapa2 nak beli hakcipta sajak ini? RM100 (standard majalah2 DBP). Oh ya, tajuk sila isi sendiri, itu tajuk lagu Gun 'n' Roses. :p

Thursday, October 29, 2009

Memaksimumkan Utiliti Perokok

Jumaat 30hb October 2009 ini, genaplah 70 hari aku tak merokok. Setiap hari aku beli rokok Winston Light 14’s paling kurang. Kadang-kadang 20’s. Maka setelah menangguhkan perokokan ini, setiap hari aku campak dalam tabung sebanyak RM5.50 (harga Winston Light 14’s lama). Anda darablah untuk 70 hari nanti.

Sebenarnya aku tak galakkan sesiapa pun untuk tiru sikap aku ini. Sebabnya aku rasa bosan gila babun bila tak merokok. Kerja-kerja menulis aku jadi merosot. Rasa nak menebang pokok saja 24 jam. Semua kucing dan ayam jiran aku suap batu batu. Memanglah. Kalau kita perhatikan; pengkarya-pengkarya seni yang hebat-hebat, mesti tercokeng rokok di mulut dan jari. Baru macho langsung. Itulah gaya hidup sebenar. Janganlah jadi macam aku. Macho tetap macho, walaupun tanpa rokok.

Tapi nanti dulu. Yang sebenar-benarnya, bukanlah aku sudah tidak mahu jadi macho tanpa rokok lagi, tetapi hanya inilah sahaja cara aku mahu melawan kerajaan. Aku tak mahu bagi satu sen pun lagi duit kepada kerajaan kalau boleh. Aku mahu buat semua DIY. Aku harap perjuanganku ini akan ada pengikutnya. Namun aku tidak memaksa juga. Demikianlah. Kerana aku tahu. Dunia ini tidak lagi melahirkan ramai putera puteri revolusi. Apakah setelah Che Guevera keok di tali gantung, revolusi ikut terjerut mati sekali?

Ya. Sesungguhnya demikianlah. Aku tak mahu lagi memberi muka kepada kerajaan yang tak habis-habis hendak memeras golongan perokok yang macho, kreatif dan banyak menyumbang kepada pembangunan budaya bangsa dan negara ini. Usop Selam memang badigol. Ada ke patut asal buat filem ada gangster saja, semua hisap rokok dalam disko. Tak macam Mafia Itali langsung. Kalau gangster sangat, sangkut la biawak dekat tengkuk ke. Junjung kepala babi ke. Atau makan kue tiaw pakai cangkul ke. Baru macam Iblis Senyum. Merokok bukan kejahatan. Songkok tak ada kena mengena dengan insaf.

Kalau aku hendak merokok, masih mampu sangat lagi sebenarnya. Ada saja cara boleh aku buat. Rokok gulung pun ada. Rokok Cowboy pun ada. Kalau orang cakap rokok bahaya, arwah atuk aku, umur 82 tahun meninggal dunia. Merokok dari zaman budak-budak lagi. Ah, jiran aku. Perempuan. Meninggal dunia akibat kanser otak. Ada seorang lagi budak perempuan. Sekarang menderita barah kopek. Jangan kata rokok, dadah pun depa tak hisap. Makanan sekarang semua pun dah beracun. Semua Tuhan punya kuasa juga tapinya. Aku simpati tentang itu. Dan harap semua kita sejahtera juga adanya.

Tetapi itulah. Aku meluat dengan sikap kerajaan yang hipokrit. Daripada menaikkan harga rokok tiap-tiap tahun untuk menghentikan tabiat merokok, lebih baik haramkan terus. Siapa tanam tembakau, shock konek dia dengan cota karan. Yang perempuan pun sama. Shock pet dia dengan cota karan juga (pastikan wanita yang jalankan hukuman ni). Baru hak celah kangkang sama rata. Kalau tidak Tok Zat Jalal marah pulak. Yang memiliki rokok pulak jangan kasi muka. Bakar kepala takuk dia. Haaaa, baru la betul nak membasmi rokok. Tapi ini cadangan saja. Memang nampak kejam. Tapi mungkin berkesan. Setakat buat papan tanda kempen ‘Tak Nak’, taik jubur la. Menguntungkan tauke papan tanda saja ada la. Ingat murah ke? Kontraktornya lagi makan dekat tengah. Duit rakyat juga habis. Habis ke mana tak tahu. Siapa yang untung tak tahu.

Maka tidak hairanlah, setiap kali kerajaan menaikkan harga, kelam kabut penyeludup rokok. Rasuah pun meningkat. Bukan nak menuduh. Itulah hakikat. Aku dengar rokok cap ‘Bola’ pun sudah RM3.00 sekotak sekarang? Rokok ‘Nusantara’ untuk kenduri tak tahu la pulak. Lebih RM2 dah agaknya. Ye la. Nak bayar duit pau lagi. Keliling pinggang tukang pau menanti. Apa yang dapat kerajaan buat?

Kerajaan hentam pengeluar rokok sedap. Pengeluar rokok sedap hentam perokok. Tetapi benda ini berantaian. Perokok dan bekas perokok macam aku tak pernah lupa. Api yang membara dalam dada tak pernah padam. Dendam yang mengempang makin penuh dan akan pecah semasa PRU13 nanti. Kerajaan yang ada sekarang boleh jadi akan tumbang di tangan perokok sahaja. Janganlah dengan tidak mengumumkan kenaikan harga rokok dalam pembentangan Bajet 2010 baru-baru ini, golongan perokok boleh memaafkan dosa-dosa hipokrasi mereka. Sudda la, pergi balik la geng Gerak Gempar.

Oh ya, duit tadi. Duit terkumpul tadi, aku nak memulakan projek penanaman tembakau secara fertigrasi atas bumbung rumah. Ada sesiapa mahu ikut serta? Marilah. Marilah wahai perokok-perokok semua. Tak ada siapa yang akan membela nasib kita melainkan kita sesama kitalah cuma. Parti politik di Negara kita ini tak ada yang akan menyokong kita. Marilah kita kumpul modal bersama-sama. Kita bina empayar tembakau terbesar di dunia. Semoga usaha kita ini akan menjadi contoh juga kepada pemuda-pemuda Amnau dan Pis, BiEM dan PiAR yang tak pernah pun menyatakan sokongan secara terbuka, apatah lagi simpati. Marilah. Aku mau lawan idea Tok Jeb yang katanya mahu jadikan FELDA gedung taik negara 1Malaysia.

Jadilah perokok yang bijak dan sedar hak serta tanggungjawab anda.

Friday, July 3, 2009

Cerita Ceriti

BUKAN DEJA VU!

“Dari tadi membawa ke malam termenungnya. Apahal kau ni, Jamali?”

“Entahlah. Aku pikir aku ni dah terkena penyakit la sekarang, Kahar.”

“Hah, serius tu. Sakit apa yang dah menimpa kau?” dengan wajah serius Kahar bertanya tanpa prihatin kepada rakan serumahnya itu.

“Aku rasa aku dah kena penyakit Deja Vu la,” Kahar memberitahu dengan wajah menunduk

“Hah, penyakit Deja Vu? Deja Vu tu penyakit ke? Macamana rasa penyakit Deja Vu kau tu?” Jamali pula menanya Kahar bertalu-talu sambil menggaru-garu kepala.

“Itu la. Dah lapan kali aku ulang ambil ujian memandu untuk lesen motosikal aku ni. Tapi dah lapan kali, balik-balik aku gagal ujian titi. Ulang-ulang aku gagal bab titi. Tempat yang sama juga. Aku rasa itu penyakit Deja Vu kot?” ujar Kahar dengan jujur.

“Kepala lutut kau. Itu namanya lembab la. Bukan Deja Vu!” herdik Jamali dengan raut wajah yang amat menyampah.
***

Di petik dari Kumpulan Cerita Ceriti: Bukan Deja Vu.

Friday, May 29, 2009

Mat Kilau, Tok Gajah dan Tok Bahaman pun orang tak berapa nak kenang, sibuk sangat nak hadap ke Chin Peng.

“Komunis ni ideologi je, mak. Tu ha, Amerika dengan Britain tu, demokrasi sangat la tu, habis orang tengah sembahyang dekat masjid Iraq nu dia bantai bom. Bayi pun dia bom.”

“Ah. Tak ada edoloji-edoloji nya la. Tu ha, nenek sedara aok dekat Kuala Krau tu, tengah buai anak kecik, datang komunis tembak dada dengan senapang sebab laki dia kerja polis. Edoloji menda gitu? Jahat komunis ni. Bior je la Chen Peng tu mampus dekat mana-mana pun.”

- Perbualan aku dengan mak bila orang dok sibuk cakap pasal Chin Peng nak balik Malasysia. Semalam.

Wednesday, March 11, 2009

Keretapi

Di sebuah hentian keretapi
yang belum tiba
wajah-wajah entah siapa
tak pernah kunjung meski dalam mimpi
tergurat di setiap sudut
menunggu.

Rel-rel besi
terbaring menanggung berat matahari
tompokan rumput kecil dicelah kerikil
sepasang ketitir mengutip sisa waktu
seperti selalu
membisik dengung lagu.

Bila keretapi tiba nanti
semuanya tak juga bakal ke hujung
bagai masuk ke perut ular
mengheret entah ke gua mana
dan dari jendela langit
berguguran kisah-kisah kami.

1999-2009


Dulu-dulu. Aku dan kawan-kawan selalu tak cukup duit. Kalau balik dari Politenik Kota Bharu, sampai jam dua tiga pagi, terpaksa kena tidur di stesen KTM Jerantut. Siap sedia dengan ubat nyamuk dan selimut. Prebet sapu jangan cerita la. Terutama Pak Zali kawan Dzul. Macam-macam ugutan dari cerita yang direka. Banyak penyabit la. Banyak budak dadah la. Penculik tangkap orang untuk buat hamba atas kapal la. Banyak kuman termasuk kuman AIDS la tidor dekat situ. Sekali servis hantar balik jengka kena RM50. Aku 50 sen boleh la bayar.

Namun kami tak goyang. Kami tidur juga di bangku stesen. Bangun-bangun saja penuh tok peraih keliling kami. Bawa telur puyuh la, pucuk paku la, jeruk jering la dan macam-macam dagangan kampung. Rasa macam tidur dalam pasar tani.

Agak-agak Mini Bajet 60 bilion tu cukup tak kalau nak buat laluan keretapi ke setiap kampung..??!!!!

Wednesday, February 11, 2009

Cinta dan Lapar Menguasai Dunia

Aku tak suka tonton program ‘Bersamamu’ di TV3 itu. Sungguh. Aku kira semua sudah maklum rancangan apa itu. Perihal miskin dan susah itu bukanlah sesuatu yang manis. Di bumi Tuhan yang menaburkan jutaan, barangkali tak terjangkau nikmat di bawah tapak kaki umat manusia ini – tak usahlah kau bisingkan pasal tak cukup makan. Kerajaan, sila ambil perhatian. Itu pun kalau kau tahu makna kasih sayang.

Mari kita selak lipatan-lipatan hidup masing-masing. Lainlah kalau kau anak raja yang lahir atas tilam empuk (itu pun mungkin ada juga kisah sedih yang kita tak tahu). Akan adalah kisah-kisah sedih yang tersendiri. Kerikil-kerikil yang menanti di sepanjang jalanan. Kalau langkah kau mudah. Kau pun penerima nasib. Tak ada yang buruk. Tak ada yang baik.

Emak dan arwah ayah berpindah ke rancangan Felda yang macam tempat Jin bertendang. Ketika itu aku masih anak kecil. Masih belum mampu mengukur gerak hari. Seumur empat ke lima tahun. Satu pili dikongsi lima ke lapan buah rumah. Berpelita minyak tanah malam-malam macam dapat bintang. Aku suka ambil tahi pada sumbu pelita. Dan bikin nandek di dahi. Tak pasal-pasal kena tangan dek emak.

Suatu malam. Tengah malam. Arwah ayah pulang kerja dari kilang papan. Pokok getah masih kecil dan belum boleh ditoreh. Semua peneroka harus bekerja sampingan. Mahu kasi anak bini hidup terus. Arwah ayah seorang yang rajin dan tabah. Seperti ayah-ayah orang lain yang bertanggungjawab juga.

Kerana lapar sudah tentu arwah ayah mahu makan. Kami sudah lena kala itu. Dan malam itu arwah ayah makan nasi yang cukup-cukup tinggal satu pinggan. Dengan berselera. Lapar dan cinta menguasai dunia. Begitu kata pujangga.

Usai arwah ayah makan. Emak yang setia meneman arwah ayah, mengeluarkan tin biskut. Emak makan biskut. Rupanya emak belum makan lagi. Nasi hanya cukup-cukup untuk kami tiga beradik. Dan selebihnya untuk arwah ayah. Arwah ayah terdiam melihat keadaan emak..

Di malam yang sunyi itu, air matalah yang mengalir di pipi seorang lelaki yang baik hati. Tentulah arwah ayah bersedih. Kerana arwah ayah seorang lelaki yang baik hati. Selepas peristiwa malam itu, arwah ayah tekad berusaha lebih tekun. Tanpa sebutir keluhan pun. Malah tak pernah bising walau betahun-tahun tak ada talipinggang dan baju baru untuk berhari raya. Kami macam biasa. Baju dua tiga pasang.

Dan janji arwah ayah untuk menjadikan kami manusia yang baik, dan dapat menyenangkan emak, telah pun tertunai sebelum menutup mata. Sekurang-kurangnya kami tak pernah hisap dadah. Jadi bagus macam Don Balon dan Dzulkarnain.

Bertahun-tahun kisah ini bermain-main dalam diri aku. Aku gendong ke hulu ke hilir. Ketika belajar. Merantau. Berfoya-foya. Atau ketika dirundung dugaan sekalipun tak pernah lupa. Bagi aku itulah makna kasih sayang. Hanya secebis kisah dari banyak lagi kisah-kisah cinta agung. Kasih sayang seorang wanita kepada seorang lelaki. Kasih sayang seorang isteri kepada seorang suami. Atau sebaliknya. Bagai kasih sayang Tuhan. Tak ada timbal balas. Hingga ke akhir hayat.

Kerana itu sewaktu aku pernah dapat sekeping kad dan seketul coklat pada ‘Hari Valentine’ 1999 dahulu, dari entah gadis bodoh mana yang ingin berkenalan, aku hanya tersengih dan mencarut, “pukimak kau la. Bodoh macam cibai…”.

Kad yang tertulis kata-kata bangang, dan jadi lelucon bersama-sama kawan-kawan itu aku buang. Coklatnya itu aku makan juga. Sedap juga. Aku tak ego. Jangan membazir. Ha Ha Ha.

Tuesday, February 3, 2009

Kisah Loceng Puaka

Sekolah rendah dengan rumah mak aku bukanlah jauh sangat. Berjarak 200 meter saja. Setiap hari boleh dengar bunyi dentingan loceng sekolah. Dan budak-budak nyanyi lagu Negaraku di susuli lagu Negeri Pahang.

Masa kanak-kanak aku teringin benar-benar ke sekolah. Saban pagi aku berteleku di kepala tangga sambil memerhati pelajar sekolah jalan kaki di jalan tanah merah rancangan Felda. Diam-diam aku menyimpan impian untuk ke sekolah. Belajar sungguh-sungguh. Dan jadi macam cerita 'BJ and Mc Kay'. Bawa treler laju-laju angkut baja.

Tibalah masanya. Selepas hari daftar aku ke sekolah sendirian. Hari ke-2 lah itu. Pagi-pagi benar aku sudah berkawad dengan beg hijau tersangkut di dahi penuh semangat. Budak-budak pula ada macam-macam gaya. Ada yang pendiam tapi pemikir macam aku. Ada yang terhiling-hiling macam 'Charlie Chaplin'. Ada yang bapak hantar. Yang lelaki rambut panjang sampai punggung pun ada. Sumpah.

Sampai di suatu sudut. Mataku terpaku ke suatu objek. Loceng. Itulah loceng yang sering aku dengar dari kejauhan saban hari persekolahan. Ia diperbuat daripada tembaga. Zaman itu belum ada kuasa elektrik lagi di tempat tinggal kami. Dalam kelas semua kipas pakai buku yang ada sifir sampai 12 di kulit belakang kala panas.

Aku menghampiri loceng itu. Sangat cantik. Berkilau-kilauan. Di ‘autosol’ selalu oleh tukang kebun yang rajin barangkali. Sebesar buah nenas saja saiznya. Ada tali panjang. Berjuntai dan mudah dicapai.

Tiba-tiba.

Tang! Tang! Kelentang! Tang! Tang! Tang!

“Hei, you. Come here! Mari sini!” seorang cikgu memanggilku. Dengan nada deras.

Aku hampir kepada cikgu itu. Cikgu Anuar namanya. Semua mata yang ada pun memandang ke arahku. Mana yang ada jam tangan sibuk-sibuk memandang lengan. Yang juih-juih bibir pandang serong pun ada.

“Sekolah ni ada peraturan. Sekarang baru pukul 7.15 pagi. Belum boleh bunyikan loceng lagi. Awak darjah berapa?” Cikgu Anuar tanya sambil membulatkan mata.

“Err, saya tak sengaja. Darjah 1 biru cikgu.” Jawabku tulus dengan mata mula berkaca.

“Itu kelas saya. Dah. Pergi ke kelas awak.” Dia tidak memarahiku. Aku tersengih-sengih. Tak jadi merembeskan manik-manik di mata.

Baru aku tahu. Sekolah ada peraturan. Tapi aku dah lama teringin membunyikan loceng itu…