Showing posts with label Masyarakat Prihatin. Show all posts
Showing posts with label Masyarakat Prihatin. Show all posts

Wednesday, November 10, 2010

Terima Kasih Daun Keladi Taro

Orang muda menuntut ilmu memasak gulai daging kawah...

Syukur Alhamdulillah. Saya dengan penuh rasa terharu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu, adik beradik, kakak ipar dan keluarganya, jiran-jiran, kawan-kawan dan sesiapa juga yang membantu menjayakan walimahtularus saya. Walau pun hujan renyai-renyai, semua berjalan lancar dan selesai dengan selamat. Hujan rahmat dan langit redup dari Tuhan.

Terima kasih juga kepada kawan blogger/penulis yang hadir meraikan majlis saya itu. Anda memang rare. Ramai, memang ramai dan mesra semuanya walau pun kebanyakannya tidak pernah bersua. (Brader Relevan Sokmo dan isterinya paling riuh, kata mak aku). Malah ada kawan yang tidak sempat bertemu kerana pulang awal. Ada juga yang tidak sempat berkenalan. Terima kasih saya ucapkan. Hendak sebut semuanya, takut ada yang tertinggal. You know who you are.


Kepada semua, jika ada kekurangan saya pohon ampun dan maaf. Semoga pertemuan kita pada 7hb November 2010 yang lalu tidak akan jadi pertemuan yang terakhir. Semoga kita ketemu lagi di majlis Pakcik Kordi yang sempat membisikkan ke telinga saya sebelum tergesa-gesa pulang ke Temerloh untuk memandikan cicak tokeknya, “Jangan lupa kenduri nikoh koi pada 01 Ramadan 1424. Koi buat de pasar Ramadan Temerloh te je!”


Terima kasih juga untuk ucapan-ucapan dan yang mendoakan kebaikan walau pun dari kejauhan. Amin..

Monday, December 14, 2009

Kenang-kenangan dengan Institusi Bomoh

Antara kisah bomoh yang paling rare pernah menggemparkan Malaysia ialah kisah arwah Mona Fandey. Aku kira semua orang tahu dan aku tak mahu membukanya kembali.

Semalam aku menonton sebuah dokumentari di TV1. Bomoh cari hantu. Pelik juga aku tentang bomoh cari hantu pulak yang di highlight kan. Aku tengok saja la.

Dukun, pawang dan bomoh perkataannya seakan membawa maksud yang hampir sama. Tetapi bomolah yangs sering disebut-sebut. Memang aneh cara bomoh mengubat. Main baca-baca saja. Peralatan yang digunakannya juga simple ila. Telur, kunyit, sirih, air sejuk, limau nipis dan benda-benda biasa yang ada di keliling rumah di kampung-kampung.

Entah kebetulan entah apa. Aku lebih banyak mendapatkan khidmat bomoh apabila sakit berbanding perubatan moden. Mungkin disebabkan aku dibesarkan di dalam keluarga miskin dan cara hidup kampong agaknya. Waktu itu jangan kata ada kereta, motor pun tak ada. Arwah ayah cuma ada basikal saja. Bas tak silap aku ada pagi, tengahari dan petang saja.

Tetapi kebanyakan bomoh yang menolong aku tu bukanlah bomoh pun. Tak ada siapa pun panggil mereka bomoh. Malah tak ada pun masuk dalam suratkhabar atau majalah mastika pun. Masuk astro pun tak ada. Mereka jiran-jiran yang aku biasa temui saja.

Aku tak ingatlah masa kecik-kecik. Tapi yang aku ingat mula-mula tentang berjampi ni masa aku mula-mula masuk sekolah rendah. Aku sakit gigi. Tak boleh makan dan tidur. Dan malam itu arwah ayah membawa seorang kawannya yang bernama Pak Cik Yusof. Aku pun kenal beliau. Pak Cik Yusof minta dari ayah tukul dan sebatang paku. Masa tu aku dah takut. Aku ingat gigi aku yang akan dipaku. Rupanya dipaku ke tiang. Dan pengerasnya cuma syiling 1sen tiga keping. Mana nak cari syiling 1sen sekarang?

Kemudian masa masih sekolah rendah juga. Aku balik berkemah pengakap. Aku tengok mak baring saja. Tiga hari aku tak jumpa mak. Balik-balik mak jatuh sakit. Aku pun tak faham mak sakit apa. Tapi setelah sebelah petang tu didatangi arwah Wan Mahaya, baru aku tahu. Mak rupanya kena kanser perut. Masa tu aku tak tahu apa tu kanser. Yang aku tahu kanser tu boleh membawa maut macam dalam filem ‘Esok Untuk Siapa’ buatan Jins Samsudin tu. Bila Wan Mahaya tu cakap mata kanser tu masih baru dan masih boleh dimusnahkan, kami pun legalah sikit. Tapi arwah Wan Mahaya cakap, beliau tak boleh ubatkan. Jadi kami risau semula. Emak dah terlantar. Badan mak panas. Kami nak makan pun susah.

Tapi selang beberapa hari, suatu petang arwah bawak bapak kawan aku si Bogo, iaitu arwah Pak Itam Omar. Barulah aku tahu arwah Pak Itam Omar boleh menjampi. Selama tiga petang arwah Pak Itam Omar akan datang menjampi dengan hanya menggunakan telur. Aku dapat lihat sendiri ketulan darah tu dalam telur kuning. Pada hari ke tiga ketul darah tu makin kecil. Pada hari ke tujuh arwah Pak Itam Omar datang lagi. Proses sama diulang. Aku tengok darah di dalam telur itu dah tak ada. Tapi mak belum sembuh. Mak kena pantang 40 tak boleh makan makanan dalam tin, daging dan telur. Hari ke 40 arwah Pak Itam Omar datang. Telur masih digunakan dan kuningnya keihatan betul-betul bersih. Tapi yang peliknya arwah Pak Itam Omar tak nak duit satu sen pun. Tapi ayah bagi juga setelah puas dipujuk. Berapa entah aku tak tahu. Lepas tu arwah ayah buat kenduri doa selamat. Panjang umur mak aku.

Sebenarnya aku memang menghormati arwah Pak Itam Omar ni. Sekitar tahun 1997 aku selepas seminggu aku blah dari UiTM, aku dilanda demam panas yang memang luar biasa. Aku tak boleh makan dan muntah. Aku ke hospital dan kata doktor demam biasa. Aku pun mana tau. Biar saja la. Tapi tak kebah-kebah demam aku. Macam nak mati. Aku pulak kalau demam tak boleh baring. Jenis kena duduk kecuali masa tidur. Masuk hari ke 7 aku dah tak boleh baring. Tulang belakang terasa bengkok. Aku cuma duduk. Tak boleh makan langsung. Tak boleh tidur. Muka cengkung. Minum air pun muntah. Hampir dua hari aku duduk termasuk dalam tidur. Akhirnya aku bagi tahu arwah ayah dan mak, aku rasa nak mati saja. Masa itu mak dan arwah memang tak boleh cakap apa dah memandangkan aku sama seperti sepupu aku arwah Seman. Kami degil dan jarang sakit teruk. Arwah Seman meninggal dalam keadaan duduk kerana menahan sakit gara-gara barah usus. Cuma arwah Seman jenis kuat sebab boleh rahsiakan penyakit dia sampai dah nak tinggal 2 minggu hidup baru tahu. Itu pun sebab arwah tu dah tak daya sangat.

Maka akhirnya arwah ayat menjemput kembali arwah Pak Itam Omar tadi. Proses mengubat masih menggunakan kaedah yang sama. Guna telur. Tapi rupanya aku bukan kena kanser. Aku terkena kayap di bahagian dalam badan. Biasanya kayap di bahagian luar. Doctor tak dapat teka apa penyakit aku. Hampeh betul. Kata mak, kalau kayap yang melingkar dalam badan aku bercantum boleh maut. Tapi liat lagi nyawa aku.

Tapi itu antara segelintir peristiwanyalah. Di sekeliling rumah aku ni, ramai pakcik dan makcik yang boleh mengubat. Ada yang boleh ubatkan sawan, patah tulang, migraine, demam, sakit mata, sakit telinga malah kanak-kanak kena cacing sekalipun. Paling hebat mengubat orang latah pun ada (ha ha). Jampi guna pisang. Dan yang lebih penting, semuanya tak payah bayar. Bagi je la berapa nak bagi. Kalau ada pengeras pun tak sampai 10 ringgit. Sirih, kunyit, kelapa muda, limau nipis kadang-kadang percuma pulak tu. Tak adanya modal duit ribu-ribu macam dalam tv tu. Diorang ni sama je macam orang-orang kampong yang lain. Kerja guna tulang empat kerat cari makan. Bukannya buat kerja menipu.

Tapi aku sebenarnya nak kata percaya sangat tu tak juga. Aku cuma nak berjampi dengan jiran-jiran yang aku kenal saja. Kalau suruh aku pergi jumpa bomoh sampai ke Perak, Kedah atau pun Siam nun, jangan haraplah. Kena pulak yang jenis pelik-pelik dengan bertih jagung, dan segala macam lilin semua. Tak mahu aku.

Bila ada peristiwa bomoh kenakan cas ribu-ribu, tipu pulak tu, rogol orang la, bunuh la, aku terkilan juga. Dalam perubatan tradisional Cina dan India tak ada pulak aku dengar kes ni. Tak tau la kalau diorang sorok. Malah tahap perubatan tradisional/alternative orang Melayu ni jadi bahan ketawa dan lelucon pula. Apa nak buat. Bukan salah aku.

Jadi bila sesekali berjumpa dan bertegur sapa dengan jiran-jiran yang juga sahabat-sahabat arwah ayah aku ni, mendengar mereka bercerita tentang susah payah meneroka hutan Felda ni, baru aku faham. Orang lelaki kalau mahu merantau, mesti ada ilmu di dada. Bukan calang-calang hutannya dulu tempat yang sekarang jadi tanah rancangan Felda yang aku tinggal ni. Dahsyat dulu katanya. Nak makan nasik pun bukan main susah, apa lagi nak pikir pasal ubat-ubat yang hospital pulak jauh letaknya. Patutlah mereka saling tolong menolong dan tak berkira. Malah kata mereka dulu ada seorang penasihat Felda yang berasal dari Jerman dan pernah tinggal di tanah rancangan tempat aku ni pun, rasa aneh dan takjub tengok cara perubatan Melayu ni.

Bagaimanapun aku bukanlah tak cari perubatan moden langsung. Bagi aku yang berpendidikan dan terdedah luas kepada macam-macam hal dunia ini, perubatan secara moden lebih meyakinkan sebab dah ada macam-macam teknologi yang kita boleh nampak dan secara fizikal lagi. Canggih dan menakjubkan. Sepupu sepapat aku pun ada beberapa orang yang jadi doctor. Aku pun sekolah sains juga. Sebab tu masa kena kayap tu aku ke klinik dulu. Cuma aku saja nak suka pada perubatan tradisional ni. Macam aku kena migraine tak baik-baik hari tu. Puas makan ubat. Akhir sekali aku pergi jumpa Pak Azizi belakang rumah tu saja. Sampai sekarang alhamdulillah, tak sakit kepala dah bila waktu tengahari. Upah dia sebilah pisau dan seekor anak ayam saja. Jimat kan? Hehehe.

Namun hari ni semua benda ni macam dah nak pupus la. Pengamalnya pun dah tua-tua. Yang muda-muda tak minat pun nak belajar. Kalau ada pun yang jenis ilmu tangkap-tangkap hantu, nombor ekor, buat santau atau mensenyonong anak dara orang. Tu je la yang nak belajarnya. Apa nak buat. Nasib la. Zaman dah berubah.

Tapi sekarang perubatan moden pun dah jadi lebih kurang saja dengan perubatan tradisional. Dah ada doktor yang mula menipu. Jual ubat saja. Jual ubat batuk pun ada macam dekat tempat aku baru ni. Apa nak pelik. Bukankah penipu ada di mana-mana? Sedangkan nabi palsu pun ramai. Inikan pulak bomoh dan doctor palsu. Entah-entah, Perdana Menteri palsu pun ada tak? Kah Kah Kah!

Tuesday, November 17, 2009

Cauvinis Siplis

Sehingga entri ni ditulis; dah 3 hari aku tau pasal arwah Taufiq Norzan, 21, yang mati ditembak gara-gara mengamuk dengan guna pisau pemotong sayur. Aku pun pelik juga, polis tembak orang mengamuk yang cuma gunakan pisau. Bukan M16. Kenapa tak tembak tangan? Kenapa tak tembak kaki? Polis tak bersediakah? Atau polis pencen rabun yang pergi buat operasi tu? Kalau guna senjata api macam PCO Boy ke, Kalimuthu ke, atau Botak Chin, boleh ‘shoot to kill’.

Tapi itu bukanlah apa yang bermain-main di minda aku. Aku cuma terpikir, apa beza arwah Taufiq dengan mendiang Kalimuthu? Apa beza arwah ni dengan geng Deva atau PCO Boy? Seekor NGO dan ahli politik pun tak ada nak bising. Nijar Camry pun tak nak bakar lilin tepi jalan. Terisa Kok tak berkokok pun. Tak ada. Cuba bukan yang sebangsa dengan Taufiq kena tembak, bukan main riuh. Orang yang sebangsa dengan Taufiq pun tumpang semangkuk buat riuh macam siamang kena bisul. Kalau boleh penjenayah-penjenayah bukan melayu ni nak kena tangkap dengan lemah lembut. Polis mati pun tak apa. Yang melayu tak apa, kasi keok saja.

Berdepan dengan polis amat menyeramkan. Walaupun kita hanya melakukan kesalahan kecil, bagi aku. Tetapi berdepan dengan sikap manusia-manusia yang cauvinis pula memang menjengkelkan. Kepada kawan-kawan aku yang bertugas sebagai polis, kerjalah baik-baik untuk menunjukkan anda seorang Muslim yang baik. Tak usahlah berkecil hati kalau terbaca entri aku ni. Kepada NGO dan orang politik yang cuma nak membela bukan melayu saja (termasuklah yang melayu) sebab nak cari glamour, pergilah mampus. Kepada NGO melayu dan Amnau, pergi main telor la lagi sesuai.

Entah apa-apa Malaysia ni. Semua cuma nak tunjuk pandai dan tunjuk hero untuk cari glamour saja. Bila popular, senang la nak buat duit agaknya. Membosankan. Rasa nak pindah ke Negara Mamluk saja.

Thursday, October 29, 2009

Memaksimumkan Utiliti Perokok

Jumaat 30hb October 2009 ini, genaplah 70 hari aku tak merokok. Setiap hari aku beli rokok Winston Light 14’s paling kurang. Kadang-kadang 20’s. Maka setelah menangguhkan perokokan ini, setiap hari aku campak dalam tabung sebanyak RM5.50 (harga Winston Light 14’s lama). Anda darablah untuk 70 hari nanti.

Sebenarnya aku tak galakkan sesiapa pun untuk tiru sikap aku ini. Sebabnya aku rasa bosan gila babun bila tak merokok. Kerja-kerja menulis aku jadi merosot. Rasa nak menebang pokok saja 24 jam. Semua kucing dan ayam jiran aku suap batu batu. Memanglah. Kalau kita perhatikan; pengkarya-pengkarya seni yang hebat-hebat, mesti tercokeng rokok di mulut dan jari. Baru macho langsung. Itulah gaya hidup sebenar. Janganlah jadi macam aku. Macho tetap macho, walaupun tanpa rokok.

Tapi nanti dulu. Yang sebenar-benarnya, bukanlah aku sudah tidak mahu jadi macho tanpa rokok lagi, tetapi hanya inilah sahaja cara aku mahu melawan kerajaan. Aku tak mahu bagi satu sen pun lagi duit kepada kerajaan kalau boleh. Aku mahu buat semua DIY. Aku harap perjuanganku ini akan ada pengikutnya. Namun aku tidak memaksa juga. Demikianlah. Kerana aku tahu. Dunia ini tidak lagi melahirkan ramai putera puteri revolusi. Apakah setelah Che Guevera keok di tali gantung, revolusi ikut terjerut mati sekali?

Ya. Sesungguhnya demikianlah. Aku tak mahu lagi memberi muka kepada kerajaan yang tak habis-habis hendak memeras golongan perokok yang macho, kreatif dan banyak menyumbang kepada pembangunan budaya bangsa dan negara ini. Usop Selam memang badigol. Ada ke patut asal buat filem ada gangster saja, semua hisap rokok dalam disko. Tak macam Mafia Itali langsung. Kalau gangster sangat, sangkut la biawak dekat tengkuk ke. Junjung kepala babi ke. Atau makan kue tiaw pakai cangkul ke. Baru macam Iblis Senyum. Merokok bukan kejahatan. Songkok tak ada kena mengena dengan insaf.

Kalau aku hendak merokok, masih mampu sangat lagi sebenarnya. Ada saja cara boleh aku buat. Rokok gulung pun ada. Rokok Cowboy pun ada. Kalau orang cakap rokok bahaya, arwah atuk aku, umur 82 tahun meninggal dunia. Merokok dari zaman budak-budak lagi. Ah, jiran aku. Perempuan. Meninggal dunia akibat kanser otak. Ada seorang lagi budak perempuan. Sekarang menderita barah kopek. Jangan kata rokok, dadah pun depa tak hisap. Makanan sekarang semua pun dah beracun. Semua Tuhan punya kuasa juga tapinya. Aku simpati tentang itu. Dan harap semua kita sejahtera juga adanya.

Tetapi itulah. Aku meluat dengan sikap kerajaan yang hipokrit. Daripada menaikkan harga rokok tiap-tiap tahun untuk menghentikan tabiat merokok, lebih baik haramkan terus. Siapa tanam tembakau, shock konek dia dengan cota karan. Yang perempuan pun sama. Shock pet dia dengan cota karan juga (pastikan wanita yang jalankan hukuman ni). Baru hak celah kangkang sama rata. Kalau tidak Tok Zat Jalal marah pulak. Yang memiliki rokok pulak jangan kasi muka. Bakar kepala takuk dia. Haaaa, baru la betul nak membasmi rokok. Tapi ini cadangan saja. Memang nampak kejam. Tapi mungkin berkesan. Setakat buat papan tanda kempen ‘Tak Nak’, taik jubur la. Menguntungkan tauke papan tanda saja ada la. Ingat murah ke? Kontraktornya lagi makan dekat tengah. Duit rakyat juga habis. Habis ke mana tak tahu. Siapa yang untung tak tahu.

Maka tidak hairanlah, setiap kali kerajaan menaikkan harga, kelam kabut penyeludup rokok. Rasuah pun meningkat. Bukan nak menuduh. Itulah hakikat. Aku dengar rokok cap ‘Bola’ pun sudah RM3.00 sekotak sekarang? Rokok ‘Nusantara’ untuk kenduri tak tahu la pulak. Lebih RM2 dah agaknya. Ye la. Nak bayar duit pau lagi. Keliling pinggang tukang pau menanti. Apa yang dapat kerajaan buat?

Kerajaan hentam pengeluar rokok sedap. Pengeluar rokok sedap hentam perokok. Tetapi benda ini berantaian. Perokok dan bekas perokok macam aku tak pernah lupa. Api yang membara dalam dada tak pernah padam. Dendam yang mengempang makin penuh dan akan pecah semasa PRU13 nanti. Kerajaan yang ada sekarang boleh jadi akan tumbang di tangan perokok sahaja. Janganlah dengan tidak mengumumkan kenaikan harga rokok dalam pembentangan Bajet 2010 baru-baru ini, golongan perokok boleh memaafkan dosa-dosa hipokrasi mereka. Sudda la, pergi balik la geng Gerak Gempar.

Oh ya, duit tadi. Duit terkumpul tadi, aku nak memulakan projek penanaman tembakau secara fertigrasi atas bumbung rumah. Ada sesiapa mahu ikut serta? Marilah. Marilah wahai perokok-perokok semua. Tak ada siapa yang akan membela nasib kita melainkan kita sesama kitalah cuma. Parti politik di Negara kita ini tak ada yang akan menyokong kita. Marilah kita kumpul modal bersama-sama. Kita bina empayar tembakau terbesar di dunia. Semoga usaha kita ini akan menjadi contoh juga kepada pemuda-pemuda Amnau dan Pis, BiEM dan PiAR yang tak pernah pun menyatakan sokongan secara terbuka, apatah lagi simpati. Marilah. Aku mau lawan idea Tok Jeb yang katanya mahu jadikan FELDA gedung taik negara 1Malaysia.

Jadilah perokok yang bijak dan sedar hak serta tanggungjawab anda.

Tuesday, October 27, 2009

Belanjawan 90an

Kami semua. Ayah, mak, abang, adik dan aku. Lagi gelap-gelap jam 6.00 pagi sudah bersiap. Mak dan ayah mahu mengukir pokok getah. Pagi-pagi banyak sikit susu getah. Kami pula mahu ke sekolah. Lambat-lambat nanti kena tulis nama dengan pengawas. Tak pakai name tag pun dia tulis juga.

“Hari ni nak bawak bekal, mak,” kata aku pendek saja. Sebaik melihat mee halus berasap-asap mak aku angkut ke meja makan.

Mahu jimat tujuannya. Tapi bukanlah nak belajar jadi kikir. Duit beribu-ribu tapi rupa pakaian macam malaun. Belanja sekolah seringgit setengah. Lima hari sekolah sudah dapat tujuh ringgit setengah. Sebulan 30 ringgit. Setahun 360 ringgit. Wow, boleh beli gitar karan cabang second hand dah. Baru macam Randy Rhodes. Sembang lebat tak guna juga kalau pakai baju hitam tulis ‘Nuclear Assault’, tapi main gitar macam main ‘reket’.

Emak aku punya tersenyum pun bersemangat. Belah plastik. Taruk mee halus perisa kicap. Bungkus dengan surat khabar B-Pop. Sebijik macam bungkus kedai. Beza dia, kedai punya mee halus, empat posen – besar anak ayam baru menetas saja. Warna pun selalu pucat-pucat lesi pulak tu. Keteguran dengan makhluk halus agaknya.

Aku pun naik tangga bas kuning oren pagi itu nyaris-nyaris sudah hendak berkawad macam RELA. Bekalan mee halus dan botol air letak dalam beg sekolah kain warna hijau ada tulis ‘Coma of Soul’ siap dengan gambar Doyok Ventor dan rakan-rakan. Mana boleh kasi kutu-kutu lain nampak.Nanti tak pasal-pasal brader drebar bas yang kuat pasang kaset Iklim tu kutuk. Harap-harap bau mee halus tak merebak, aku berdoa penuh harapan.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab; hanya itulah sahaja cara yang dapat aku sumbangkan kepada mak ayah aku ketika itu. Berjimat cermat. Lagi pun mak ayah aku hanya peneroka Felda yang bersusah payah memelihara aku adik beradik saban hari. Tak ada pasal la pulak aku nak berenang solo merentas selat Inggeris ke, belayar solo keliling dunia sampai dipukul ribut dan diselamatkan dolfin ke, buat rekod kuih apom tersengih terbesar ke, atau lempar kereta Wira ke Kutub Utara ke. Tapi mujurlah harga petrol masa tu murah lagi. Sekarang dah RM300 seliter dengar ceritanya. Petrol 1Malaysia ke tu, Malikul Setan?

***
Jam 3.00 petang di hari yang sama. Ombak menghempas pasiran pantai kepulauan Haiti kala-kala aku di Malaysia. Entah apa natijahnya.

“Baik tak payah bawak bekal!” kata adik aku sambil menyuap nasi berlauk sardin ke mulut.

“Nak buat macamana. Terlupa betul tadi. Sebab letak dalam sangat dalam beg. Rehat terus pergi kantin,” aku memberi alasan sambil mengunyah mee halus berlauk sardin juga. Patutlah macam ada benda lupa saja sewaktu rehat pagi itu.

Esoknya aku tak bawa bekal dah.

Wednesday, October 21, 2009

Hentikan kezaliman sesama makhluk kalau tak nak kena sembelih!

Tadi malam. Sedang aku melayang-layangkan pikiran. Lama sudah aku tidak menulis sajak serius-serius. Hal ini menghantui otakku sedikit sebanyak. Jadi aku ambil keputusan untuk memikir-mikir kejadian dunia yang serba aneh ini. Contohnya: mengapa kekejaman dunia tak pernah berakhir?

“Woi, Brader Man panggil. Ada gang fight dia cakap. Ada anak buah dia parah!” tiba-tiba adikku menjerit setelah menjenguk ke kamarku. Sekaligus menghalau kantuk yang mulai mampir.

Aku tersentak. Cepat-cepat ke luar kamar seraya menuju ke hadapan rumah. Brader Man siap dengan short gun dan pelurunya sekali. Di pinggangnya memang sudah tersisip parang tak terbang. Belakang parang kalau diasah lagikan tajam. Hulunya pun kalau buat ketuk kepala hotak jantan dayus penzalim kanak-kanak atau betina-betina bangang gila kote pun bagus juga.

“Hah, boleh ikut? Bawak kereta aok?” tanya Brader Man orang Kuala Lanar, Kuala Lipis itu.

“Boleh je, tapi apahal?” tanya aku berdebar-debar. Tapi muka masih steady lagi mengantuknya.

“Hemf, tak ada menda lain la. Berebut betina la tu. Jahat sangat. Tak boleh bangun dah. Patah rusuk, perut terbelah!” kata Brader Man dengan muka bengang macam badang.

“Siapa lagi ikut?” aku tanya lagi. Nanti bawak kaki yang banyak bunyi saja hendak buat apa.

“Brader Medan. Kita bertiga cukup dah, kot,” jawab Brader Man.

“Huih, tak cukup. Kes berat ni. Panggil Ereng la. Berempat baru cukup. Dia handal sikit main pisau. Bawak kemah sekali,” aku memberi ilham pujangga. Jam sudah pukul 11.30pm. Ini kes, jam dua tiga pagi tak ‘center’* lagi kalau tak ada yang pakar.

Setelah lengkap; dengan kapak, parang, pisau dan tali, kami berempak pun gerak khas. Suasana dalam perut wagonku agak riuh dengan perancangan yang harus dilakukan bila tiba ke lokasi nanti. Macam-macam hendak dibuat. Yang aku tak boleh terima ialah idea Brader Man. Dia kata kalau ada nampak ayam hutan, suluh. Dia nak tembak. Situasi kritikal pun mahu berayam hutan? Lempang kang, terlungkup.

Tiba di lokasi kejadian. Zakiah Anas tak sampai lagi. Mangsa sudah terbaring. Tak boleh jalan lagi. Bangun saja rebah.

“Sembelih saja la,” kata Brader Medan.

Anak buah Brader Man yang tak bernama, baru umur setahun setengah itu diikat, di tekan dan disembelih. Pandai-pandai sangat nak mengurat di kawasan orang. Dah kena tanduk. Jam 1.30 ‘center’* ke alam baqa.

7.30pagi tadi. Tak sampai dua jam jual. Habis.

Glosari
*Settle (sebutan orang-orang tua dekat kampong aku, Ha Ha)



Brader Medan mencari jam tangan yang sempat diragut lembu Brader Man. Alang-alang nak sembelih tu, palor je la dulu jam buruk tu Dan.., kata Brader Man yang kohoik menyuluh.