Showing posts with label Sastera. Show all posts
Showing posts with label Sastera. Show all posts

Monday, September 6, 2010

Iklan Pak Cik Santa Melayu dan Semiotik

Dahulu aku ada terbaca satu temuramah arwah Yasmin Ahmad. Salah satu ungkapan yang masih segar dalam ingatan aku ialah; beliau mendakwa pembikin filem di Malaysia kurang membaca sastera. Apa pentingnya sastera untuk bikin filem?


Salah satu ciri kehebatan arwah Yasmin Ahmad dalam membikin filem bagi aku ialah meletakkan suatu lambang, biar pun kecil, tapi besar maknanya. Satu contoh yang masih aku ingat ialah suatu adegan di dalam filem ‘Rabun’; di dalam satu babak Kartina Aziz meminta anak saudaranya (tak ingat nama pelakon) membuat satu kerja. Tetapi anak saudaranya itu memberi pula kerja itu kepada Ho Yu Hang. Pada suatu ketika yang lain Kartina Aziz bertanya kepada Ho Yu Hang tentang kadar upah yang diterima setelah mendapat tahu kerja yang Ho Yu Hang buat itu. Ho Yu Hang menjawab RM400 (tak ingat amaun sebenar). Kartina Aziz marah kerana dia memberi upah kepada anak saudaranya RM800 (pun tak ingat). Pada ketika inilah Ho Yu Hang menampar seekor nyamuk dilehernya. Apakah maknanya semua ini?


Ya. Nyamuk itu ialah lambang penghisap darah untuk anak saudara Kartina Aziz itu untuk untung atas angin tanpa perlu bekerja pun. Boleh jadi juga nyamuk itu lambang kaum pemodal/kapitalis. Golongan ini kecil (tidak ramai). Tapi hidup dengan memerah darah orang kebanyakan.


Faham tak? Apa kaitannya dengan sastera? Anda pernah dengar semiotik? Semiotik ialah kajian tentang tanda dan lambang terutamanya hubungan antara tanda dan lambang dengan benda atau idea yang dimaksudkan. Kalau tak faham lagi pergi sekolah.


Karya sastera seperti puisi, cerpen, novel dan skrip drama yang tinggi mutunya sering dihias oleh lambang-lambang bagi tujuan tertentu. Ia tidak dihamburkan secara terus. Ia digerakkan berlapis-lapis dan menyedut penikmatnya masuk ke suatu ruang pikir yang lebih berisi. Contoh kecil: kalau orang gelar kau ‘lembu’. Itu bukan bermaksud kau lembu yang makan rumput tu. Tapi bermaksud kau tu ‘bodoh’, ‘bongok’ atau ‘bahlol’.


Tetapi apa tujuan aku membangkitkan hal ini?


Setelah beberapa hari kecoh isu hal video iklan TV3 ‘Sinari Lebaran’ yang khurafat itu barulah aku ingin mencuit sikit. Tetapi aku tidak minat mahu ulas tentang video itu. Tentang freemason/illuminati pun aku tak mahu tulis. Dah bersepah.


Bagi aku tak salah pun mereka mahu mengkaji. Biarlah. Kalau tidak tepat 100% pun, bagi aku kajian mereka terhadap lambang-lambang yang terdapat di dalam iklan promo tersebut memang ada benarnya juga. Malah beberapa imej yang suguhkan terang-terang mempromo konsep Pluralisme dalam agama.


Ini bukan soal bila kau tonton, akidah kau terpesong. Aku dengar lagu Burzum, akidah aku ok saja. Tetapi nampak tak kanak-kanak dalam iklan tu? Imej ini akan ditanam selama-lamanya dan berulang-ulang di dinding kepala kanak-kanak yang masih belum berisi itu. Itu sahaja. Itulah target mereka. Hasil art work mereka untuk jangka masa panjang. Rom tidak dibina dalam masa sehari.


Jadi tak payahlah nak kata kau ni peminat arwah Yasmin Ahmad la, peminat Uwei Hj Shaari la, peminat Mamat Khalid bla bla bla semua, kaki wayang la, tapi kalau lambang-lambang atau tanda-tanda di dalam iklan khurafat macam itu pun tak boleh baca. Apa yang kau belajar dari arwah Yasmin Ahmad selama ini? Menonton kosong? Entah-entah kau banyak tengok filem Yusof Haslam, Razak Mohiden dan Ahmad Idham saja tak?


Banyak blog yang review filem. Salah satu yang aku suka baca yang Muhammad Yussof ni tulis. Dan nikmatilah hasil sastera/lukisan/arca dan lain-lain sikit-sikit walaupun kita tak minat sangat. Ia mengajar kita bagaimana untuk mentafsir. Sampai bila mahu jadi bangsa Melayu bodoh yang diayam-ayamkan orang lain? Bacalah.


Jadi walaupun tidak serius sangat pun, tentang kajian-kajian freemason/illuminati ni, aku membacanya juga la. Kerana tidak rugi pun baca. Aku pun tidak mengambil pendekatan melulu dengan mencemuh pendapat orang lain. Dan secara kebetulan aku dapati iklan Santa Melayu naik beca tu memang bodoh nak mampus pun. Kalau naik Ferrari tu cerdik laa sikit..kahkahkah!



p/s: Aku tak minat arwah Yasmin Ahmad. Aku peminat Mat Sentul. Mat Sentul punya filem selalu absurd dan banyak lambang juga. Lambang Manchester United tak pernah pulak lagi aku jumpa dalam filem beliau…kahkahkah!



Updated: 8/9/2010, 7:17AM: Ok, siapa yang masuk dan baca ni, sila baca ini: http://rahimin.blogspot.com/2010/09/perang-saraf.html dan ulasan terbaharu Muhammad Yusof ni http://review-filem.blogspot.com/2010/09/iklan-raya.html. Ia lebih tenang dan hampir sama dengan apa yang aku nak maksudkan.

Tuesday, July 13, 2010

Cerita-ceriti: Belanda Minta Tanah

Petang itu indah. Awan cerah macam di skrin TV cerita orang bercinta. Kampung Melayu Bahari pun bahagia sekali. Tok Penghulu Mat Jagung kelihatannya sedang berehat-rehat di atas pangkin di bawah pohon jambu air yang rendang gara-gara sudah lebih 25 tahun usianya. Sambil-sambil itu beliau pun feeling-feeling makan jambu air colek dengan kuah rojak Mak Bee. Musim jambu air ketika itu. Tengah-tengah meleleh itu, tiba-tiba…

“Assalamualaikum Tok Penghulu!” satu suara memberi salam dengan kuat, seolah-olah orang lain semuanya pekak.

“Wa’alaikumsalam. Hah, Jabar Jabulani. Tak boleh tengok aku senang sikit? Ada apa ni? Siapa yang kau bawak ni? Pelik semacam saja. Pengedar dadah ke, atau geng MLM? Aku tak mahu layan semua tu, kau tak ingat?” tanya betubi-tubi Tok Penghulu Mat Jagung sambil menjilat kuah rojak Mak Bee dalam mangkuk kerana khuatir di pau oleh tetamu-tetamu beliau.

“Oh, ini orang Belanda. Mereka datang sini sebab nak beli tanah,” terang Jabar Jabulani sambil halkumnya berdegap-degup kerana kecur air liur yang keterlaluan demi melihat colek jambu yang Tok Penghulu Mat Jagung sedang nikmati itu. Kali ini suaranya dibikin merendah agar nampak lebih bersopan kerana mengharapkan Tok Penghulu Mat Jagung menmpelawanya makan colek sekali.

“Orang Belanda? Beli tanah? Mereka boleh cakap Melayu ke? Nak juga aku sembang dengan orang Belanda ni. Barulah antarabangsa sikit,” Tok Penghulu Mat Jagung menyuarakan hajat yang terpendam di kalbunya.

“Oh, boleh tuan. Saya boleh cakap Melayu. Saya suka orang Melayu dan Kampung Melayu Bahari yang hebat ini!” tiba-tiba Kapten Van de Vannete bersuara dengan nada bodek yang sungguh sopan.

“Wah, bagusnya!” Tok Penghulu Mat Jagung bersuara sepenuh kagum yang amat sangat hingga memasang kuda-kuda di atas pangkin. Kemudian Tok Penghulu Mat Jagung tertunjuk skill silat pulut hampir dua minit. Hingga begitu sekali beliau kerana bangga bukan main dapat sembang dengan orang Belanda.

Semua yang ada di situ bertepuk tangan tanda seokongan tidak terperi kepada Tok Penghulu Mat Jagung, kecuali anak jirannya yang sedang menjemur kain di ampai tidak jauh dari situ. Itu pun kerana mata kanak-kanak itu rabun. Kanak-kanak itu menyangka kelibat Tok Penghulu Mat Jagung itu pokok pisang yang sedang di tebang oleh pencuri. Kanak-kanak itu terus lari lintang pukang.

Dipendekkan segala kisah.

“Kalau ikutkan kami tak mahu jual tanah. Kampong Melayu Bahari kami ini kecil saja. Haih..” kata Tok Penghulu Mat Jagung sambil mengeluh. “Tapi kenapa kau beria-ria sangat nak beli tanah kami?”

“Oh, kami nak beli sikit saja. Kami sanggup beli dengan setempayan emas,” kata Kapten Van de Vannete sambil mengarahkan anak buahnya mengeluarkan setempayan emas.

Mata Tok Penghulu Mat Jagung yang bulat menjadi empat segi mendengar tawaran Kapten Van de Vannete. Banyak tuuuuu, kata Tok Penghulu Mat Jagung dalam hati.

“Dan saya tambah lagi satu tempayan sebagai hadiah kepada Tok Penghulu Mat Jagung yang baik hati dan hensem macam Deddy Dores ini!” kata Kapten Van de Vannete penuh semangat memuji.

Kali ini rasa teruja Tok Penghulu Mat Jagung tidak mampu dikawal lagi. Kuah rojak Mak Bee di dalam mangkuk di telangkupkan ke kepalanya sendiri. Jabar Jabulani menepuk dahi kerana melepas mahu pekena jambu air colek kuah rojak Mak Bee. Ada juga terdetik dalam hatinya mahu makan jambu air sambil menjilat-jilat kepala Tok Penghulu Mat Jagung yang berlumuran kuah rojak itu. Tapi niat itu dibatalkan kerana anak dara Tok Penghulu Mat Jagung menelek dari tingkap.

“Berapa banyak hendak beli dan apa pula tujuannya?” tanya Tok Penghulu Mat Jagung dengan serius tiba-tiba.

“Oh, sedikit sahaja. Tepi-tepi laut atau hujung-hujung hutan pun tak apa. Hanya sebesar kulit lembu sahaja kami mahu beli. Untuk dibuat kajian tanah pertanian. Saja suka-suka. Tapi nanti hasilnya untuk kampong Tok Penghulu Mat Jagung juga,” ujar Kapten Van de Vannete sambil mengukir senyum paling bermakna.

“Laaa, awat tak habaq awai-awai. Kalau lagu tu buleh saja!” kata Tok Penghulu Mat Jagung yang tiba-tiba terbercakap loghat Kedah, pada hal orang Melaka.

“Kalau macam tu, esok saya datang bersama-sama perjanjian,’ kata Kapten Van de Vannete.

Tok Penghulu Mat Jagung hanya mengangguk-angukkan kepala hangguknya sahaja.

Maka esoknya termeterailah perjanjian penjualan tanah sebesar kulit lembu di Kampung Melayu di antara Tok Penghulu Mat Jagung dengan Kapten Van de Vannete. Sesiapa yang melanggar perjanjian, akan di dakwa di mahkamah dunia. Namun Tok Penghulu Mat Jagung tidak kisah semua itu. Beliau hanya membayangkan dua biji tempayan emas sambil tersengih-sengih. Apa sangatlah tanah pinggir pantai yang sebesar kulit lembu.

Akan tetapi sengihan Tok Penghulu Mat Jagung itu tidaklah lama. Tidak sampai sehari, beliau diarah membayar sewa tanah kepada Kompeni Belanda oleh Kapten Van de Vannete. Ini kerana seluruh Kampung Melayu Baharu itu telah dibeli oleh kompeni Belanda.

Memanglah Kapten Van de Vannete mahu membeli tanah di Kampung Melayu Bahari hanya sebesar kulit lembu sahaja. Tetapi kulit lembu itu dihiris halus-halus, malah sehalus rambut, kemudia ia dilingkung ke seluruh sempadan kampung . Kampung Melayu Bahari hanya terjual dengan dua tempayan emas sahaja. Dan emas itu hanya cukup untuk sewa tanah dua bulan sahaja. Kemudia Tok Penghulu Mat Jagung dan anak-anak buahnya semua kena halau kerana percaya kepada ‘Belanda minta tanah’!



Sunday, December 13, 2009

Kisah Sekuntum Bunga Liar

Sebenarnya ada banyak fiksi aku nak tulis. Tapi entah mengapa aku tak menulisnya. Perasaan aku mendatar saja bila menaip apa yang aku nak tulis tu. Aku macam hilang fokus. Jadi aku ambil jalan mudah dengan membaca. Ya. Aku beli Dewan Sastera (DS) bulan terakhir untuk tahun ini. Tapi aku tak habis lagi membacanya. Aku baca, baca dan baca. Secara paksa. Moga-moga lepas tu aku dapat susun ayat dengan baik. Tapi hampa macam hampas. Agaknya diganngu jin roadblock.

Akhirnya aku mendapat idea untuk mengulas salah sebuah puisi yang terdapat dalam majalah DS bulan Disember yang kulitnya dihiasa foto rumput dan embun dan isinya berkisar tentang Minggu Penulis Remaja (MPR). Puisi itu tajuknya Sekuntum Bunga Liar (SBL) karya penyair Ehsan Jamily. Aku turunkan keseluruhan puisi tersebut yang hanya terdapat dua rangkap di mana setiap rangkapnya ialah lapan (8) baris:

Sekuntum bunga liar
dari pohon terbiar
menguntum mekar
di tengah belukar
walau cantik
berwarna molek
indah menarik
tak siapa petik.

Malah hingga kini
tak siapa peduli
kumbang pun tak sudi
datang menyeri
akhirnya nanti
layu sendiri
di makan hari
bertaburan di bumi.

Puisi yang cukup kaya dengan rima ini mudah untuk difahami. Tiada kata-kata bombastik dan tidak nampak pun metaforanya. Kalau disambung secara terus menerus, kita dapati seolah-olah penyair sedang bercerita atau menitipkan pesan secara lebih mendekati prosa.

Membaca tajuknya sahaja juga mudah untuk kita menangkap makna keselruhannya. Bunga digunakan sebagai simbol. Dan ditambah pula dengan perkataan liar. Maka jadilah ‘bunga liar’. Dan penyair menujukan puisi ini khas kepada sekuntum bunga sahaja. Bunga apa tidaklah diketahua. Tapi ia sekuntum bunga yang dikatakan liar.

Membaca puisi SBL ini mengingatkan aku kepada bunga-bunga di hutan. Selalu juga aku jumpa bunga-bunga dihutan yang cantik-cantik. Tapi aku tak tahu sangat namanya. Yang aku ingat bunga kemuning saja. Cantik dan harum kala malam. Tapi di dalam rangkap pertama puisi ini, pada baris ke empat, penyair menyebut bunga liar ini duduknya di tengah belukar. Bunga apa yang duduk di tengah belukar? Belukar tak banyak sangat bunga.


Oleh itu, sewaktu membaca puisi ini, aku hanya terbayang-bayangkan pokok bunga senduduk saja. Mungkin ada bunga lain. Cuma bunga itu yang terbayang sekarang kerana di belukar di kebun mak aku memang banyak juga pokok senduduk meliar sekarang. Dan pokok senduduk itu tak pernah pun aku petik bunganya. Malah aku pangkas atau racun sahaja dengan tujuan menghapuskannya. Tetapi ia kembali tumbuh dan meliar juga.

Di baris ke lima (5) hingga lapan (8) pada rangkap pertama, penyair mengatakan bunga itu cantik, tapi tak ada siapa sudi petik. Pelik juga tu. Bunga apa yang cantik, tapi tak ada siapa yang sudi petik? Kalau bunga orked hutan, jangan cakap la. Mahal gila harganya. Sedang bunga senduduk tu pun orang petik juga buat ubat apa entah. Tapi akar dia boleh buat ubat mabuk atau cika atau dugal. Itu aku tau.

Baiklah. Kita tinggalkan rangkap pertama. Rangkap kedua yang juga rangkap terakhir ini menjadikan bunga ini lebih misteri. Bunga yang dikatakan cantik ini tak dipedulikan langsung oleh kumbang. Apa yang di cari oleh kumbang dari sekuntum bunga? Kecantikannyakah? Madu dan wanginyakah?Adakah bunga ini terlalu bahaya macam bunga periuk kera? Tapi kalau setakat bunga senduduk, aku tengok memang ada juga kumbang dan lebah yang hinggap. Penyair macam sengaja suruh kita meneka-neka bunga apakah itu.

Pada baris ke lima (5) hingga ke lapan (8) pada rangkap terakhir, kita diberitahu tentang kesudahan bunga liar yang terbiar itu nanti akan terbarai juga di bumi. Sendirian dan dimakan hari. Memang semua bunga akan di makan hari. Tetapi keadaan bunga ini yang terbiar sendirian menggambarkan alangkah hinanya bunga ini.

Sebenarnya simbol bunga dan kumbang sudah terlalu biasa digunakan. Kadang terasa simbol ini sudah klise dan lusuh apabila terlalu kerap di pakai. Tetapi ia juga bukanlah sesuatu yang salah, malah kadang-kadang menarik juga jika bijak menggunakannya. Puisi SBL ini walaupun digubah dengan begitu mudah untuk difahami pada suatu sisi, penyair telah menenggelamkan ‘makna sebenar’ bunga itu secara keseluruhannya pada sisi yang lain Jelaslah puisi ini ambiguiti (mempunyai lebih dari satu maksud). Ianya tidak bercerita tentang ‘bunga’ semata-mata.

Apa pendapat anda? Ada maksud lain? Aku juga ada maksud lain sebenarnya. Saja malas cerita. Malas nak taip dah. Penat.







P/S: Kepada tuan Ehsan Jamily, andai terbaca tulisan saya ini, jika ada yang kurang berkenan, saya mohon maaf. Saya tidak berniat mempersenda. Hanya sekadar berkongsi pendapat sesama kawan blogger yang kebanyakannya seperti saya juga, cetek ilmu sastera dan puisi ini. Terima kasih untuk puisi yang baik ini.

Thursday, November 12, 2009

muzik yang anti-pop dan vokal yang anti-melodi (part.2)

Merawat Sebatang Hidup

merawat sebatang hidup. lalu kubukakan
sangkar lilin dengan ngeri tersimpan di celah peti
dari benang-benang sulit membakar hempedu sakit
di depan kata menumpahkan cahaya makna
dari bilik luka menyimbahkan jelaga sengketa
dengan seumpah dan serapah mencairkan duka
meneruskan mimpi membalut dendam sendiri
untuk terus menyala menghitamkan diri

merawat sebatang lilin. lalu kurawat
suara kehidupan yang tak pernah menjerit
ditengah kukamitkan mimpi mimpi mendengar julangan erti
menyimpan cahaya api dan semangat ingin mati
meninggalkan dunia dupa mencari makna ghaib
mencelur cairan rasa menyelar lidah lintah
nikmat hidup di atas kehangatan
hidup pun terpukau dengan dalam tepukan hari lahir
dari teman-teman dengan mainan-mainan
dan hadiah-hadiahmu syaitan
menikung beban gelap menghilangkan duri
untuk terus menyeksa menghinakan diri

M. Said Maharam
(Kharmizi m/s: 35)


Aku tidak beminat untuk menganalisis puisi ini. Aku hanya ingin melanjutkan kata-kata aku di entri yang lepas. Maka aku perturun sebuah puisi lengkap yang terdapat di dalam Kumpulan puisi Khimirzi. Setelah membacanya secara keseluruhan, dapatkah anda tangkap maksudnya?

Baiklah. Secara terus, dari pandangan aku; puisi ini adalah gambaran atau kisah seorang penagih dadah. Itulah yang aku fahami. Orang lain aku tak tahulah. Setiap imej mudah ditangkap kalau kita peka. Penyair sungguh bijak menyusun imej-imej yang biasa hingga menjadi luar biasa. Penuh rasa kesakitan dan gelap. Penyair meluahkan seluruh pengalaman hidupnyanya dengan baik sekali. Tiada nilai didaktik yang keterlaluan di depankan. Tiada rasa mahu menunjuk-nunjuk sangat ‘hei, hebatnya seni aku!’, pada hal setiap perkataan disusunatur tanpa memeningkan pembaca selama-lamanya. Tidak sesat dan menyesatkan walaupun adakala puisi-puisi penyair yang lain terlalu mencekik dan membuat aku sesak nafas ketika merayap-rayap di dalam gua pengalamannya. Sangat jujur dalam meluahkan dan menduga khalayaknya.

Puisi ini ditulis berdasarkan pengalaman M. Said Maharam berhadapan dengan penagih dadah yang mungkin hampir setiap hari. Beliau adalah komandan di Pusat Serenti Serendah Selangor ketika itu. Sekarang aku tak tahu.

Maaflah kalau anda tidak minat sastera dan puisi. Hanya mahu memberitahu. Hasilan penyair-penyair yang menjanjikan di era 80an dan 90an dahulu sangat superb. Jujur, beridentiti dan sungguh berseni di dalam pemberontakannya. Tidak nampak sangat mengada-ngada. Atau berlebih-lebih hendak tunjuk lain dari yang lain dengan cara yang bukan-bukan. Dan masa. Masa telah pun menguji keutuhan mereka. Sepultura sebelum Chaos AD memang terbaik. Bukan Roots.





P/S: Tapi Chaos AD dan ke atas lebih senang dimain riff-riffnya. Juga senang untuk sing along. He He.

Thursday, June 12, 2008

Aku dan Pushkin yang jauh...

Balik ke rumah petang semalam hujan. Lebat betul. Aku tak tau nak buat apa.

Kebosanan. Aku selongkar rak buku. Jumpa sebuah buku yang aku suka. Puisi dan Prosa Pilihan Alexander Pushkin. Ia terjemahan Zalila Sharif. Pernah dengar nama Zalila Sharif? Alexander Pushkin?

Pushkin penyair Lagenda Rusia yang mendambakan 'kemerdekaan' serta membenci 'penindasan' itu memang seorang yang hebat. Di Rusia orang menganggap penyair hampir setaraf dengan nabi!

Aku renung kembali beberapa puisinya yang aku suka. Banyak juga yang aku tak faham. Tapi aku suka juga. Minat.

Masa aku mula-mula ghairah tulis sajak dulu aku terasa nak tulis puisi macam yang Pushkin tulis. Tapi mana mungkin. Puisi bukan boleh terhasil secara paksa. Puisi bukan dicipta. Ia terhasil.

Kebanyakan puisi Pushkin bangun dari bawah penindasan. Beliau dipijak seketika oleh manusia-manusia mabuk kuasa tapi dipuja selama-lamanya oleh manusia-manusia yang rindu pada dendang lagu-lagu kebebasan sejati.

Selepas membaca kembali Pushkin setelah beberapa tahun melupakan, aku terasa ingin menulis sajak semula. Terasa rindu nak menatap sajak-sajakku tersiar di akhbar atau majalah.

Tapi aku malu dengan sajak-sajak yang kutulis. Rasa segan. Sampai sekarang aku memang segan nak mengaku samada aku ini 'Penulis', 'Penyajak' apa lagi 'Penyair'.

Tapi Pushkin sebagai penyair sejati telah menyeru seluruh penyair sejati dunia dengan penuh semangat sekali!


SERUAN KEPADA SEMUA PENYAIR

Kawanku, jangan mengindahkan kepopularan!
Kebisingan pujian yang ghairah akan berlalu sekelip mata,
Biarpun kau mendengar kritik orang bodoh dan gelak orang ramai acuh tak acuh
Kau mesti tetap teguh, tenang dan tafakur.
Kau harus berdaulat dan tidak bergantung pada sesiapa. Pilihlah jalan sendiri
Berpandukan akal budimu yang bebas,
Sambil menyempurnkan buah fikiranmu yang paling bernilai,
Dengan tidak menuntut penghargaan terhadap kejayaanmu yang luhur.
Penghargaan itu tersimpan di dalam dirimu.
Kau adalah penilai dirimu yang muktamad.
Kaulah yang paling kritis tentang ciptaanmu.
Apakah kau berpuas hati dengan hasil tulisanmu yang kau periksa?
Kalau begitu biarlah orang banyak mengeji hasil karyamu,
Meludahi api yang bernyala ditempat pujaanmu
Sambil tersasul menggongcangkan tripod dengan persembahanmu yang suci.

Alexander Puskin