Showing posts with label saja buang masa. Show all posts
Showing posts with label saja buang masa. Show all posts

Tuesday, May 10, 2011

Marzuki dan Kadir The Muvie

"Sungguh lama saya tidak menjumpai engkaulah Marzuki. Saya ingat engkau sudah meninggalkan dunia yang fana ini. Engkau pergi ke mana?" tanya Kadir kepada Marzuki dengan menggunakan Bahasa Melayu yang disangkanya sungguh standart itu.

"Saya sungguh sibuklah, Kadir." Marzuki menjawa ringkas sebelum menghirup kopi Janda Anak 8 yang semakin menyejuk. "Ada bisnes bagus."

"Wah, hebat itu. Kencangkah bisnes engkau itu?" Kadir menyoal lagi sambil mengorder kuih ketayap warna hijau 4 ketul.

"Bisnes ais. Memang kencang. Sekarang pun memang hot." ujar Marzuki dengan tona suara merendah seakan berbisik seraya matanya melilau memerhati sekeliling.

"Astaghfirullahalazim, Marzuki. Kenapa engkau melakukan kerja terkutuk ini? Kenapa? Kalau engaku diberkas, hukuman gantung sampai mati akibatnya. Kau bukan tidak tahu, insaflah.." kata mengggeleng-geleng kepala penuh kesal sambil menunggu kuih ketayap dengan wajah rakus ala-ala biawak mahu menggera anak ayam.

"Aku bisnes ice tube la. Sekarang musim panas. Kalau musim kenduri lagi kencang." Marzuki berkata sambil membelek-belek cawan kopi tahun 1967 yang kelihatan sungguh rare itu.

Kuih ketayap orderan Kadir sudah sampai. Kadir menjamahnya sambil membetulkan ketayap di atas kepala tuan restoran yang kelihatan sangat usang itu.

Sunday, August 15, 2010

Serangan Kala Awal Ramadan

Tiap tiap kali Ramadan saja, fizikal selalu aku kena macam-macam serangan. Kadang-kadang cirit birit tahap jingga. Kadang-kadang sembelit peringkat mejar jenderal. Tapi yang paling kerap kena ialah; serangan rasa penat, lapar dan dahaga sepanjang hari.


Tahun ini sekali lagi. Sehari sebelum puasa gusi aku bengkak rabak. Melampau-lampau bengkak sampai aku sendiri tengok pun takut. Kalau jiran aku tengok mesti dia ingat entah orang Eropah mana datang beraya sebulan lebih awal ke rumah aku.


Rasa sakit bengkak gusi memang tidak mampu lagi aku ulas dengan kata-kata dusta. Sungguh azab rasa denyutannya. Tiga hari tiga malam aku tak dapat tidur nyenyak. Ini kerana bengkak oleh bisul itu sedang mengumpul nanah. Kalau mengumpul setem mungkin denyutannya agak berbeza, ia berentak slow and steady.


Hari pertama bengkak aku makan pil penahan sakit. Habis dua butir langsung sakit semacam. Seolah-olah tak dapat langsung pil itu menahan sebarang sakit gayanya. Bengkak semakin membesar. Hari kedua kawan aku Zulkarnain Yusoff hantar ‘kulat susu harimau’. Aku asah dan sapu. Tapi sakit masih berulang. Aku ulang sapu. Lega sekejap. Sakit semula. Mungkin sebab bengkak dah terlalu besar dan ada bisul sebab aku sudah biar agak lama baru berubat. Itulah, bangsa degil.


Jadi sepanjang awal Ramadan sampai hari ini, aku terlepas untuk menikmati sebuah bulan indah yang penuh dengan pesta makan-makan ini. Harus di ingat; di Malaysia Ramadan ialah pesta shoping dan makan-makan untuk orang Melayu. Untuk tauke kedai orang cina pula pesta tayang pakaian dan perabot sampai ke trafik light jalanraya dan pintu pagar Yang Di Pertua Majlis Daerah.


Maka Bazaar Ramadan pun memang tak dapat aku hendak ziarah. Hendak buat apa? Aku bukan boleh mengunyah. Lima hari puasa lima harilah makan bubur nasi bercampur cebisan kurma. Mahu buka mulut pun tak boleh. Nganga pun ada besar lubang ekzos motor saja. Hendak kunyah satu hal lain lagi. Kalau pengacara Majalah 3 yang pergi menghulur bantuan ke Palestin itu tengok mesti dia sebak, dan peluk aku erat-erat sambil mengayun-hayun badan ke kiri dan kanan, ke hadapan dan ke belakang. Kalau pengacara lelaki yang peluk, aku hempas di situ juga.


Memang tak boleh jadi. Akhirnya petang ke tiga itu aku sapu kapur makan tebal-tebal. Tak sampai 15 minit meleleh darah merah hitam, air bias dan nanah. Jenuh juga aku berkumur. Bila tengok dekat cermin aku tersengih. Teringat poster-poster band black metal dari Norway yang ada darah-darah dekat mulut.


Okeylah. Sekarang masih ada sisa-sia bengkak. Aku pun masih tak boleh lasak-lasak. Sebelum menutup bicara Ramadan kali ini, ingatlah; kapur makan itu bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat cendol dan lompat tikam, tetapi juga boleh memecahkan bisul…



Info foto: Ini ialah kueh 'Lompat Tikam'. Ia sa-jenis makanan tradisional orang Melayu yang terdapat unsur kapur dalam pembuatannya. Ia hanya untuk proses pengenyangan. Bukan perubatan. Kalau anda lumur lompat tikam ni ke bisul di gusi anda, nescaya anda akan dipulau oleh ibu-bapa dan adek beradek ketika solat tarawih...






Tuesday, July 20, 2010

Lelaki Tua Misteri Yang Banyak Tanya di Sebuah Pasaraya

Suatu hari di hari Sabtu. Aku ke Bandar. Bukan apa-apa. Sebenarnya aku mahu membeli beberapa barangan dapur untuk keperluan harian. Mahal atau murah kena beli juga barangan dapur ini. Apa gila hendak ganti bawang dengan lalang kalau goreng ikan bilis?

Tapi itulah. Malaysia. Kamu tahulah. Kita sebenarnya masih negara membangun yang rakyatnya bertungkus lumus mahu keluar dari lingkaran kesusahan. Memang kemiskinan itu masih berleluasa di mana-mana. Tetapi Malaysia bukan baru. Pedulilah kalau ada orang hendak dakwa Negara kita masih belum merdeka atau apa. Tetapi lebih 50 tahun penjajah pulang, rakyat Negara ini masih begini mendukacitakan. Anak-anak kecil menjual kalender di stesen minyak dan pintu bank. Bangla pula pakai kemeja dan seluar sleek tinggi atas paras pusat. Salah siapa?

Sewaktu aku memilih ikan bilis di sebuah pasaraya dengan perasaan kacau bilau sebab harganya makin hari makin mahal. Tiba-tiba angina bertiup dingin. Aku pandang ke atas. Rupanya aircond pasaraya.

“Beli apa nak?” tiba-tiba seseorang bertanya.

Aku menoleh ke sisi kanan. Dari arah datangnya suara itu. Suaranya seperti lelaki.

Ya. Memang tepat. Seorang lelaki tua. Berjanggut putih hingga ke dada dan berjubah lusuh. Entah bila munculnya aku pun langsung tidak perasan. Tampaknya saling tidak tumpah seperti Latif Borgiba.

“Mahu pilih ikan bilis. Mahu beli,”jawabku mendatar dalam nada kehairan-hairanan. Tidak nampakkah apa yang sedang aku buat?

“Suka makan ikan biliskah?” soalan kedua terloncat dari mulutnya yang mengukir senyum misteri.

Aku angguk. Tanda mengiyakannya. Perasaan maas menjawab membuak-buak dalam dada. Dan lelaki tua itu masih tersenyum misteri mengalahkan misteri Puaka Lubuk Yu.

“Mahal ikan bilis sekarang ‘kan?” lelaki tua itu masih dengan tanya.

“Ya,” jawabku septah.

“Kenapa mahal?” itulah solan seterusnya.

“Mana saya tahu,” aku jawab acuh tak acuh dengan harapan orang tua itu jemu dan berlalu ke tempat lain. Atau sakit perut mahu terkincit tiba-tiba.

“Kenapa tak tahu?” soalnya lagi. Rasa hendak makan nasi sambil lari setempat mula muncul gara-gara geram.

“Yang pakcik sibuk-sibuk tanya ni apa hal? Pakcik ni Oprah Winfrey ke?” giliran aku pua bertanya.

“Kenapa, tak boleh tanya?” lelaki tua itu hanya menjawab tanyaku juga dengan tanya.

“Ahhhh, malaslah layan. Kalau pakcik nak Tanya sangat, pakcik pergi saja la ke formspring saya!”

“Formspring tu apa? Formspring siapa”

Formspring saya la. Tanya puas-puas kat situ!” kata aku sambil cepat-cepat pergi timbang ikan bilis dan meninggalkan pakcik misteri itu yang baru terkial-kial mahu memilih ikan bilis sambil dipiat telinga oleh bininya yang telah pun selesai memilih sayur kobis tidak jauh dari situ.

Beberapa pelanggan yang melihat penarikan telinga lelaki misteri itu menjuih-juihkan bibir tanda mengumpat.

Monday, January 25, 2010

Kisah Aduka Taruna

Kadang-kadang aku suka ikut lori. Sebab diver lori peringkat satu yang kerja sekali dengan aku itu menggembirakan orangnya. Walaupun lagaknya kadangkala lebih dari boss. Itu tidak mengapa. Yang penting beliau lucu. Kadang-kadang aku juga yang lebih lucu dari dia.

Tapi janganlah disangka air yang tenang tiada buaya. Janganlah disangka juga orang yang lucu tiada ilmu. Itulah kesilapan orang Melayu kita. Selalu menganggap sesuatu yang lucu itu hanya mengirim kekosongan ke dalam minda. Walaupun memang tak ada niat pun hendak mengajar.

KOMA

Suatu petang. Kami pulang dari Kuala Lips. Hujan tidak hujan. Panas tidak panas. Alam dengan bukit bukau nan hijau di kiri kanan, deretan rumah-rumah, kedai dan warung orang-orang melayu kedapatan di pinggir-pinggir jalan apabila sesekali melewati kampong. Kambing, lembu, kerbau dan ayam itik juga berlenggang-lenggang di tepi jalan dengan tujuan masing-masing. Semua digerakkan suatu tenaga luar biasa.

Demi terpandang sungai Jelai yang keruh dan lesu, aku menjadi sayu. Ada pembalakan entah di mana. Di hulu boleh jadi. Begitulah rakus manusia memperkosa alam seolah-olah duit adalah segala-galanya. Aku sebagai manusia yang senang dengan hasil seni seperti lukisan, muzik, arca dan lain-lain berasa sangat pilu. Pembalakan dan pemusnahan ekologi adalah penghinaan kepada Tuhan yang tiada taranya.

KOMA

“Hoh, apahal brek mengejut ni, pak cik?!” tegur aku ketika melalui jalan zig-zag di sekitar kampong Jeram Landak. Jalan itu memang bahaya. Di belakang kenderaan lain tiada. Kelajuan lori hanya sekitar 80km/j.

“Tak nampok tu? Ulor tu hah!” kata pak cik driver lori sambil menjuih.

“Laaaa, bangkai ular, lenyek je la pak cik!” kata aku. Memang aku sudah nampak pun bangkai ular tedung hitam yang sudah terlepak di laluan itu.

“Tak baik. Dia dah mati. Kena hormat. Siksa mayat dia tu nanti. Selagi boleh elak, kita elak.” Kata pak cik driver lori itu dengan jujur.

Aku segera memalingkan pandangan ke arah sungai Jelai yang lesu tapi berliku-liku dalam kekeruhannya itu.


KOMA

Kehidupan ini sangat indah. Namun debu-debu dari sisa penghinaan terhadap sesama makhluk semakin menenggelamkan maksudnya. Seperti kulit kerang terbenam dalam pasiran. Sayu lagi pilu serta mencengkam ngilu.


Berhentilah menghina sesama makhluk demi cita-cita dan kekayaan. Menghina dan bergurau itu berbeza. Setakat buat hal sekadar hendak glamor supaya boleh jual e-novel dan baju T tu tak berbaloi langsung cari penyakit begitu. Tapi kalau terpaksa kutuk tu, macam zionis itu -- kutuk sajalah.
Lantaklah demehhhh...

Pak Cik Driver Lori memandang masa depannya yang kelam di dalam tandas yang belum siap.

Thursday, December 24, 2009

Ke Mana Hala Tuju Yang Sepatutnya Selepas PMR dan SPM?

Minggu lepas saya pergi satu farmasi. Mahu beli ubat batuk untuk emak saya. Saya beli dua jenis. Satu jenama Breacol dan satu lagi jenama ‘Ridsect’ (Strepsil sebenarnya, tetapi emak saya selalu tersebut Ridsect. Bila saya gelak dia buat tak tahu saja. Dia tak mengamuk atau merajuk sampai tubuhkan parti politik baru pun).

Kemudian saya keluar dari farmasi setelah membayar. Mulanya saya hendak pura-pura kena sawan tarik dan pitam di situ, sebelum membayar. Untung-untung tauke farmasi itu simpati dan beri ubat-ubat batuk tu percuma saja. Tetapi memandangkan reputasi saya agak baik, dan Ain wartawan Sinar Harian selalu juga berkeliaran di Jerantut, saya membatalkan niat suci saya itu.

Sebelum masuk kereta dan berambus, tiba-tiba nama saya dipanggil. Saya ingat makwe farmasi yang jaga mesin duit ada bunyi ‘ting ting’ itu yang panggil. Kot-kot dia nak pulangkan semula duit saya sebab tiba-tiba hendak buat amal jariah. Tapi kenapa lain sangat suaranya?

Oh, Brader Awie rupanya. Saya memang kenal biasa sangat dengan Brader Awie ni. Kalau mudik ke Hulu Tembeling, atau ke Taman Negara, bot Brader Awie la yang selalu saya tumpang. Malah ada juga saya tumpang makan nasi di rumah ibu mentua Brader Awie itu. Isteri Brader Awie yang hendak beli ubat. Bila saya tanya ubat apa, isterinya kata; ubat nyamuk. Tak lawak langsung.

Sementara menunggu, saya dan Brader Awie pun berborak seputar dunia sungai, poitik, sastera dan kebudayaan Jerantut. Ada juga Brader Awie terborak perihal nak membangunkan sebiji prototaip bot laju berkuasa nuclear. Saya hanya mengangguk-anggukan kepala tanda tak percaya langsung.

“Wi, mintak dua inggit, aku tak minum lagi ni,” tiba-tiba ada satu kutu dengan tangan berbalut-balut. Entah siapa, saya memang tak kenal. Badan kurus-kurus mata kelabu asap. Gaya balutan pada tangan macam orang nak bertomoi. Tangan kiri. Kalau balut satu badan saya kenal sangat. Itu Encik Mumia namanya.

“Tak dok duit la aku, bila jumpe duit, duit, duit!” kata Brader Awie dengan sombong.

“Boss, duit ringgit boss,” kutu itu mintak sama saya pula. Saya rasa sangat takut. Manalah tahu kalau-kalau nanti dia keluarkan pisau pemotong sayur ke, pistol ke, atau paling menakutkan, mesin rumput jenis tolak. Cedera la saya kena mesin.

“Jangan di bagi!” kata Brader Awie sebaik melihat saya sudah ketakutan yang amat sangat dan menadah tangan memohon keselamatan diri kepada Tuhan. “Pergi tempat lain la!”

Kutu itu pun berlalu pergi dengan lemah longlai. Ada juga rasa kasihan. Tentu dia lapar sebab belum minum pagi. Apa la Brader Awie ini, tak kasihankah? Padahal Brader Awie tauke bot yang berjaya. Kakitangan kerajaan selalu sewa bot dia kalau ada apa-apa program kerajaan yang menggunakan bot. Kalau Brader Awie tak bagi, tak kan saya hendak bagi pulak; begitu saya fikir.

“Aku bukan tak nok bagi dia duit Mie.. Itu kalau dapat duit tu, bukan ada kerja lain – pergi beli samsu, beli arok muroh. Dari sekoloh lagi aku kenal dia tu, doh jahanam satu badan doh tu. Kalau setakat nak makan, pergi je kedai makan nu, ada la orang belanja makan. Ni tau nok makan benda haram tu je!”

O, begitu rupanya. Kali ini saya mengangguk-angguk tanda setuju juga sikit-sikit.
P/S: Abaikan tajuk di atas. Mengada je lebihnya tu.

Thursday, November 12, 2009

SMS sebelum tidor tadi malam.

Malam tadi. Aku baru nak lelapkan mata. Tiba-tiba saja ada SMS. Entah siapa la SMS prentan orang nak tidor ni. Nombor tak di kenali. Orang arab ke? Atau orang Badwi? Hati ditumbuk-tumbuk dek pertanyaan.

012-908 XXXX: Ado surat sampai rumah?

Sebaik dibaca. Cara cakap macam orang Negeri 9. Tapi nombor kelantan ni. Hala ke Bunut Susu, Pasir Mas.

Oleh kerana Negeri 9 menang Piala Malaysia baru-baru ni, aku ambil keputusan untuk balas dalam bahasa Negeri 9 la.

Aku SMS: Ekau ni sapo pulak? Posmen ko tanyo2 surat sei ni?

Tak ada balas-balas dah. Menyesal tak sudah gamaknya. Mengenangkan kredit habis silap hantar SMS.

Aku pun lena di ulit berlian.

Tuesday, November 10, 2009

Lagu Tema 1Malaysiawood

Dengar cerita inilah lagu tema 1Malaysiawood. Lagu ini bakal dinyanyikan setiap pagi sebelum masuk kelas dari sekolah tadika hinggalah Universiti atau di perkampungan penulis. Kakitangan kerajaan memang wajib nyanyi lepas 'punch card'. Syarikat swasta di galakkan. Walaupun kuat buang pekerja, tak bagi pampasan atau tak ada bonus. Yang kerja sendiri mampuslah. Masa mengundi nanti ambik mineral water cukuplah sebagai rasuah.

Oh, ya. Mat tu nama menteri radio TV negara Bolehtapibodo yang dulu-dulu tak suka rambut panjang. Sekarang kerja tukang cukur bulu biri-biri.

Mari kita nyanyi sama-sama. Jangan lupa lirik tau!



Ada beberapa versi lagi. Cari la sendiri!

Sunday, October 11, 2009

Pasca Palatraya

dia ingin membasuh warna takdir
abu kering di wajah bangsanya
tapi dia lupa hendak membasuh pelir
selepas kencing merata-rata

namun apakan daya
hari ini orang tak peduli lagi
janji sembang lebat
semua ternganga
dengar saja macam-macam janji
taik palat pun dah rasa coklat

(owh, ini tak ada kena mengena dengan sesiapa
ini bukan sajak politik
amacam, boleh baca dekat TV tak?)