Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Thursday, November 12, 2009

muzik yang anti-pop dan vokal yang anti-melodi (part.2)

Merawat Sebatang Hidup

merawat sebatang hidup. lalu kubukakan
sangkar lilin dengan ngeri tersimpan di celah peti
dari benang-benang sulit membakar hempedu sakit
di depan kata menumpahkan cahaya makna
dari bilik luka menyimbahkan jelaga sengketa
dengan seumpah dan serapah mencairkan duka
meneruskan mimpi membalut dendam sendiri
untuk terus menyala menghitamkan diri

merawat sebatang lilin. lalu kurawat
suara kehidupan yang tak pernah menjerit
ditengah kukamitkan mimpi mimpi mendengar julangan erti
menyimpan cahaya api dan semangat ingin mati
meninggalkan dunia dupa mencari makna ghaib
mencelur cairan rasa menyelar lidah lintah
nikmat hidup di atas kehangatan
hidup pun terpukau dengan dalam tepukan hari lahir
dari teman-teman dengan mainan-mainan
dan hadiah-hadiahmu syaitan
menikung beban gelap menghilangkan duri
untuk terus menyeksa menghinakan diri

M. Said Maharam
(Kharmizi m/s: 35)


Aku tidak beminat untuk menganalisis puisi ini. Aku hanya ingin melanjutkan kata-kata aku di entri yang lepas. Maka aku perturun sebuah puisi lengkap yang terdapat di dalam Kumpulan puisi Khimirzi. Setelah membacanya secara keseluruhan, dapatkah anda tangkap maksudnya?

Baiklah. Secara terus, dari pandangan aku; puisi ini adalah gambaran atau kisah seorang penagih dadah. Itulah yang aku fahami. Orang lain aku tak tahulah. Setiap imej mudah ditangkap kalau kita peka. Penyair sungguh bijak menyusun imej-imej yang biasa hingga menjadi luar biasa. Penuh rasa kesakitan dan gelap. Penyair meluahkan seluruh pengalaman hidupnyanya dengan baik sekali. Tiada nilai didaktik yang keterlaluan di depankan. Tiada rasa mahu menunjuk-nunjuk sangat ‘hei, hebatnya seni aku!’, pada hal setiap perkataan disusunatur tanpa memeningkan pembaca selama-lamanya. Tidak sesat dan menyesatkan walaupun adakala puisi-puisi penyair yang lain terlalu mencekik dan membuat aku sesak nafas ketika merayap-rayap di dalam gua pengalamannya. Sangat jujur dalam meluahkan dan menduga khalayaknya.

Puisi ini ditulis berdasarkan pengalaman M. Said Maharam berhadapan dengan penagih dadah yang mungkin hampir setiap hari. Beliau adalah komandan di Pusat Serenti Serendah Selangor ketika itu. Sekarang aku tak tahu.

Maaflah kalau anda tidak minat sastera dan puisi. Hanya mahu memberitahu. Hasilan penyair-penyair yang menjanjikan di era 80an dan 90an dahulu sangat superb. Jujur, beridentiti dan sungguh berseni di dalam pemberontakannya. Tidak nampak sangat mengada-ngada. Atau berlebih-lebih hendak tunjuk lain dari yang lain dengan cara yang bukan-bukan. Dan masa. Masa telah pun menguji keutuhan mereka. Sepultura sebelum Chaos AD memang terbaik. Bukan Roots.





P/S: Tapi Chaos AD dan ke atas lebih senang dimain riff-riffnya. Juga senang untuk sing along. He He.

Wednesday, November 11, 2009

muzik yang anti-pop dan vokal yang anti-melodi


Entah mengapa beberapa minggu ini aku jadi rindu kepada puisi penyair-penyair muda era 80an dan 90an yang menggelarkan diri mereka Angkatan 21 (A21). Dengan tidak berniat untuk memperkecilkan penyair-penyair 80an dan 90an yang masih aktif dan prolifik seperti (sekadar menyebut beberapa nama) Zaen Kasturi, Marsli N.O, Pyanhabib, Leo AWS, Imlan Adabi dan lain-lain lagi, aku sebenarnya selalu ternanti-nanti dan tercari-cari puisi-puisi hasil penyair-penyair yang aku rasa memang hebat gila dulu-dulu. Setiap kali terjumpa dan terbaca puisi mereka, aku akan ulang-ulang baca tanpa rasa pernah jemu. Malah kadang-kadang merasakan; itulah puisi yang aku hendak tulis.

Bagi yang selalu memerhati puisi; pasti nama-nama seperti (sekadar menyebut beberapa nama) Rosli K Matari, Saibil Madun, Rudi Mahmood, Jasni Mat Lani M. Said Muharam dan lain-lain bukanlah asing sangat. Ini jugalah antara nama-nama yang pernah muncul jadi bintang terang dalam dunia perpuisian Malaysia ini. Antara nama-nama ini, Rosli K Matari dan Rudi Mahmood aku letak di depan. Kalau Rudi Mahmood nombor satu, Rosli K Matari nombor dua. Atau sebaliknya. Tapi sekarang hanya Rosli K Matari yang sesekali muncul. Rudi Mahmood langsung tak tau apa cerita. Jasni Mat Lani masih aktif.

Sehinggalah beberapa minggu lalu, aku terjumpa sebuah kumpulan puisi milik M Said Muharam yang bertajuk “Kharmizi’. Aku pun apa lagi. Beli la. Buku terbitan DBP 1999 itu tersorok sangat bawah timbun-timbunan buku lama. Hampir setiap hari aku belek-belek puisi yang ada di dalam buku ini. Dan hampir setiap harilah juga aku mula terfikir, bahawa tahun-tahun 80an dan 90an lah sebenar penulisan sastera di Malaysia ini mula berkembang dan cuba keluar dari bentuk-bentuk yang membosankan.

Jadi beberapa hari ini sebenarnya; aku benar-benar semakin menyukai Kharmizi ini, walaupun aku berhempas pulas untuk masuk ke dalam setiap makna dan niat penyair dengan rasa yang amat letik macam mengejar lalat. Ya, sangat anti-pop gaya dan anti-melodi pula vokalnya. Dengan imej-imej yang kabur, keras, sesekali sangat hitam dan kejam, aku rasa seolah-olah M. Said Maharam sedang memainkan Sepultura (sebelum Chaos A.D).

Sebenarnya Sepultura dan muzik-muzik yang seangkatan denganyalah yang membuatkan ramai kawan aku benci dengan Search, Wings, XPDC, Slam dan segala band yang ketuk snare skali, dua jam tunggu baru nak ketuk lagi. Apa lagi penyanyi pop macam Jamal Abdilah, Nasir Wahab atau Shidee masa tu. Sex Pistol yang dimekapkan punk, tapi bukanlah punk mana itu pun ramai yang carutkan sebab macam berlebih-lebih pulak tunjuk punk padahal..

Kesimpulannya, setiap genre ada peminatnya. Dan ada keistimewaannya. Dan usahlah berkecil hati, Sex Pistol yea? Dan aku suka pada Kharmizi ini. Puisi-puisi yang abstrak dan kabur yang jujur. Yang sekarang editor dan pengkritik tak suka sangat kalau penulis baru yang buat…