Showing posts with label Hikayat Penuh Ranjau. Show all posts
Showing posts with label Hikayat Penuh Ranjau. Show all posts

Sunday, August 15, 2010

Serangan Kala Awal Ramadan

Tiap tiap kali Ramadan saja, fizikal selalu aku kena macam-macam serangan. Kadang-kadang cirit birit tahap jingga. Kadang-kadang sembelit peringkat mejar jenderal. Tapi yang paling kerap kena ialah; serangan rasa penat, lapar dan dahaga sepanjang hari.


Tahun ini sekali lagi. Sehari sebelum puasa gusi aku bengkak rabak. Melampau-lampau bengkak sampai aku sendiri tengok pun takut. Kalau jiran aku tengok mesti dia ingat entah orang Eropah mana datang beraya sebulan lebih awal ke rumah aku.


Rasa sakit bengkak gusi memang tidak mampu lagi aku ulas dengan kata-kata dusta. Sungguh azab rasa denyutannya. Tiga hari tiga malam aku tak dapat tidur nyenyak. Ini kerana bengkak oleh bisul itu sedang mengumpul nanah. Kalau mengumpul setem mungkin denyutannya agak berbeza, ia berentak slow and steady.


Hari pertama bengkak aku makan pil penahan sakit. Habis dua butir langsung sakit semacam. Seolah-olah tak dapat langsung pil itu menahan sebarang sakit gayanya. Bengkak semakin membesar. Hari kedua kawan aku Zulkarnain Yusoff hantar ‘kulat susu harimau’. Aku asah dan sapu. Tapi sakit masih berulang. Aku ulang sapu. Lega sekejap. Sakit semula. Mungkin sebab bengkak dah terlalu besar dan ada bisul sebab aku sudah biar agak lama baru berubat. Itulah, bangsa degil.


Jadi sepanjang awal Ramadan sampai hari ini, aku terlepas untuk menikmati sebuah bulan indah yang penuh dengan pesta makan-makan ini. Harus di ingat; di Malaysia Ramadan ialah pesta shoping dan makan-makan untuk orang Melayu. Untuk tauke kedai orang cina pula pesta tayang pakaian dan perabot sampai ke trafik light jalanraya dan pintu pagar Yang Di Pertua Majlis Daerah.


Maka Bazaar Ramadan pun memang tak dapat aku hendak ziarah. Hendak buat apa? Aku bukan boleh mengunyah. Lima hari puasa lima harilah makan bubur nasi bercampur cebisan kurma. Mahu buka mulut pun tak boleh. Nganga pun ada besar lubang ekzos motor saja. Hendak kunyah satu hal lain lagi. Kalau pengacara Majalah 3 yang pergi menghulur bantuan ke Palestin itu tengok mesti dia sebak, dan peluk aku erat-erat sambil mengayun-hayun badan ke kiri dan kanan, ke hadapan dan ke belakang. Kalau pengacara lelaki yang peluk, aku hempas di situ juga.


Memang tak boleh jadi. Akhirnya petang ke tiga itu aku sapu kapur makan tebal-tebal. Tak sampai 15 minit meleleh darah merah hitam, air bias dan nanah. Jenuh juga aku berkumur. Bila tengok dekat cermin aku tersengih. Teringat poster-poster band black metal dari Norway yang ada darah-darah dekat mulut.


Okeylah. Sekarang masih ada sisa-sia bengkak. Aku pun masih tak boleh lasak-lasak. Sebelum menutup bicara Ramadan kali ini, ingatlah; kapur makan itu bukan sahaja boleh digunakan untuk membuat cendol dan lompat tikam, tetapi juga boleh memecahkan bisul…



Info foto: Ini ialah kueh 'Lompat Tikam'. Ia sa-jenis makanan tradisional orang Melayu yang terdapat unsur kapur dalam pembuatannya. Ia hanya untuk proses pengenyangan. Bukan perubatan. Kalau anda lumur lompat tikam ni ke bisul di gusi anda, nescaya anda akan dipulau oleh ibu-bapa dan adek beradek ketika solat tarawih...






Monday, December 28, 2009

Nasional Geografi: Episod Kepercayaan Orang Arab Jahiliah

Masa sekolah dulu aku ada Ustazah nama Shafinah Yaakob. Beliau ajar tamadun Islam sekali dengan yang agama-agama la. OK dia mengajar. Tapi yang aku perasan, budak-budak kelas aku tu bukan hendak bertanya sangat. Tak tahulah sama dah cerdik atau memang tak tahu nak tanya apa. Kadang-kadang kasihan juga cikgu-cikgu aku tertunggu-tunggu soalan.

Pada suatu hari yang gemilang itu, Ustazah ajar mengenai masyarakat Arab Jahiliah. Pepalih la Arab Jahiliah ni. Rujuk la mana-mana kalau nak tahu. Aku pikir semua orang pun tahu. Jahiliah diorang ni bukan dari segi teknologi. Tapi dari aspek agama dan akidah la. Macam masyarakat moden kita hari ni la juga. Dah pandai bunuh anak. Lagi dahsyat sebab tak kira jantina. Masyarakat jahiliah dulu bunuh yang perempuan saja. Apa ke bangang? Bila Islam datang baru wanita terbela. Apa bangkai nak feminisme lagi?

Selain itu, masyarakat Arab jahiliah juga percaya sangat ke tanda-tanda alam ni. Contohnya kalau nak keluar rumah, ada burung terbang menghala ke kiri. Alamatnya ada marabahaya la di tengah jalan, kononnya. Kalau kebetulan nak pergi berak ke sungai, tak jadilah gamaknya. Sama juga masyarakat Melayu jahiliah, dengar ada biawak melintas pun pusing belakang. Tak jadi pergi menyabung ayam atau gig tahun baru.

Selain itu kata Ustazah aku tu, ada juga pantang larang yang boleh dijelaskan dengan kaedah saintifik. Contohnya; setiap kali mahu berjalan jauh, orang Arab Jahiliah akan menghembus hidungnya. Kalau sebelah kiri tersumbat, mereka akan membatalkan perjalanan. Kalau sebelah kanan, kira OK lagi la. Kalau dua-dua OK lagi bagus. Kalau dua-dua tersumbat, nak mampus la agaknya. Sebenarnya kata Ustazah aku, sistem pernafasan tu, kalau sebelah kiri ia melibatkan jantung. Kurang elok berjalan jauh-jauh dan lebih bagus berehat saja. Katanyalah. Aku pun bukan tahu sangat.

“Ada soalan?” tanya Ustazah di hujung waktu kelas. Semua diam. “Kamu semua ni kalau mintak menyoal, semua diam, dah pandai sangat ke?” ustazah memperli dengan nada kecewa.

“Saya ustazah!” aku memberanikan diri sambil mengangkat tangan. Semoga mej para rockers pada hari itu menaik di mata pihak sekolah. Dengan soalan itu juga aku harap Ustazah aku tu tak terasa macam budak-budak kelas aku nak suruh dia blah sangat dah.

“Ye, Rahimin, apa soalannya?”

“Macamana kalau masa orang Arab jahiliah tu nak keluar rumah, dia nampak punya la banyak burung kelam kabut depan rumah dia. Ada ke kanan, ada ke kiri, ada ke atas, ada ke bawah. Bersimpang siur la burung tu terbang. Macamana ustazah?” tanya aku dengan penuh intelek.

Entah kenapa, Ustazah Shafinah tak jawab pun soalan aku tu. Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil macam nak senyum, tapi tak senyum. Dan terus kemas-kemas mahu keluar kelas.
Notakepalalutut: Lepas aku jumpa ular sawa ni dekat kebun sawit yang baru aku tanam tu tadi, aku terus blah. Bukan sebab aku ada kepercayaan macam orang Arab Jahiliah atau takut, cuma tiba-tiba saja aku rasa macam nak minum air Sunquick!

Monday, December 14, 2009

Kenang-kenangan dengan Institusi Bomoh

Antara kisah bomoh yang paling rare pernah menggemparkan Malaysia ialah kisah arwah Mona Fandey. Aku kira semua orang tahu dan aku tak mahu membukanya kembali.

Semalam aku menonton sebuah dokumentari di TV1. Bomoh cari hantu. Pelik juga aku tentang bomoh cari hantu pulak yang di highlight kan. Aku tengok saja la.

Dukun, pawang dan bomoh perkataannya seakan membawa maksud yang hampir sama. Tetapi bomolah yangs sering disebut-sebut. Memang aneh cara bomoh mengubat. Main baca-baca saja. Peralatan yang digunakannya juga simple ila. Telur, kunyit, sirih, air sejuk, limau nipis dan benda-benda biasa yang ada di keliling rumah di kampung-kampung.

Entah kebetulan entah apa. Aku lebih banyak mendapatkan khidmat bomoh apabila sakit berbanding perubatan moden. Mungkin disebabkan aku dibesarkan di dalam keluarga miskin dan cara hidup kampong agaknya. Waktu itu jangan kata ada kereta, motor pun tak ada. Arwah ayah cuma ada basikal saja. Bas tak silap aku ada pagi, tengahari dan petang saja.

Tetapi kebanyakan bomoh yang menolong aku tu bukanlah bomoh pun. Tak ada siapa pun panggil mereka bomoh. Malah tak ada pun masuk dalam suratkhabar atau majalah mastika pun. Masuk astro pun tak ada. Mereka jiran-jiran yang aku biasa temui saja.

Aku tak ingatlah masa kecik-kecik. Tapi yang aku ingat mula-mula tentang berjampi ni masa aku mula-mula masuk sekolah rendah. Aku sakit gigi. Tak boleh makan dan tidur. Dan malam itu arwah ayah membawa seorang kawannya yang bernama Pak Cik Yusof. Aku pun kenal beliau. Pak Cik Yusof minta dari ayah tukul dan sebatang paku. Masa tu aku dah takut. Aku ingat gigi aku yang akan dipaku. Rupanya dipaku ke tiang. Dan pengerasnya cuma syiling 1sen tiga keping. Mana nak cari syiling 1sen sekarang?

Kemudian masa masih sekolah rendah juga. Aku balik berkemah pengakap. Aku tengok mak baring saja. Tiga hari aku tak jumpa mak. Balik-balik mak jatuh sakit. Aku pun tak faham mak sakit apa. Tapi setelah sebelah petang tu didatangi arwah Wan Mahaya, baru aku tahu. Mak rupanya kena kanser perut. Masa tu aku tak tahu apa tu kanser. Yang aku tahu kanser tu boleh membawa maut macam dalam filem ‘Esok Untuk Siapa’ buatan Jins Samsudin tu. Bila Wan Mahaya tu cakap mata kanser tu masih baru dan masih boleh dimusnahkan, kami pun legalah sikit. Tapi arwah Wan Mahaya cakap, beliau tak boleh ubatkan. Jadi kami risau semula. Emak dah terlantar. Badan mak panas. Kami nak makan pun susah.

Tapi selang beberapa hari, suatu petang arwah bawak bapak kawan aku si Bogo, iaitu arwah Pak Itam Omar. Barulah aku tahu arwah Pak Itam Omar boleh menjampi. Selama tiga petang arwah Pak Itam Omar akan datang menjampi dengan hanya menggunakan telur. Aku dapat lihat sendiri ketulan darah tu dalam telur kuning. Pada hari ke tiga ketul darah tu makin kecil. Pada hari ke tujuh arwah Pak Itam Omar datang lagi. Proses sama diulang. Aku tengok darah di dalam telur itu dah tak ada. Tapi mak belum sembuh. Mak kena pantang 40 tak boleh makan makanan dalam tin, daging dan telur. Hari ke 40 arwah Pak Itam Omar datang. Telur masih digunakan dan kuningnya keihatan betul-betul bersih. Tapi yang peliknya arwah Pak Itam Omar tak nak duit satu sen pun. Tapi ayah bagi juga setelah puas dipujuk. Berapa entah aku tak tahu. Lepas tu arwah ayah buat kenduri doa selamat. Panjang umur mak aku.

Sebenarnya aku memang menghormati arwah Pak Itam Omar ni. Sekitar tahun 1997 aku selepas seminggu aku blah dari UiTM, aku dilanda demam panas yang memang luar biasa. Aku tak boleh makan dan muntah. Aku ke hospital dan kata doktor demam biasa. Aku pun mana tau. Biar saja la. Tapi tak kebah-kebah demam aku. Macam nak mati. Aku pulak kalau demam tak boleh baring. Jenis kena duduk kecuali masa tidur. Masuk hari ke 7 aku dah tak boleh baring. Tulang belakang terasa bengkok. Aku cuma duduk. Tak boleh makan langsung. Tak boleh tidur. Muka cengkung. Minum air pun muntah. Hampir dua hari aku duduk termasuk dalam tidur. Akhirnya aku bagi tahu arwah ayah dan mak, aku rasa nak mati saja. Masa itu mak dan arwah memang tak boleh cakap apa dah memandangkan aku sama seperti sepupu aku arwah Seman. Kami degil dan jarang sakit teruk. Arwah Seman meninggal dalam keadaan duduk kerana menahan sakit gara-gara barah usus. Cuma arwah Seman jenis kuat sebab boleh rahsiakan penyakit dia sampai dah nak tinggal 2 minggu hidup baru tahu. Itu pun sebab arwah tu dah tak daya sangat.

Maka akhirnya arwah ayat menjemput kembali arwah Pak Itam Omar tadi. Proses mengubat masih menggunakan kaedah yang sama. Guna telur. Tapi rupanya aku bukan kena kanser. Aku terkena kayap di bahagian dalam badan. Biasanya kayap di bahagian luar. Doctor tak dapat teka apa penyakit aku. Hampeh betul. Kata mak, kalau kayap yang melingkar dalam badan aku bercantum boleh maut. Tapi liat lagi nyawa aku.

Tapi itu antara segelintir peristiwanyalah. Di sekeliling rumah aku ni, ramai pakcik dan makcik yang boleh mengubat. Ada yang boleh ubatkan sawan, patah tulang, migraine, demam, sakit mata, sakit telinga malah kanak-kanak kena cacing sekalipun. Paling hebat mengubat orang latah pun ada (ha ha). Jampi guna pisang. Dan yang lebih penting, semuanya tak payah bayar. Bagi je la berapa nak bagi. Kalau ada pengeras pun tak sampai 10 ringgit. Sirih, kunyit, kelapa muda, limau nipis kadang-kadang percuma pulak tu. Tak adanya modal duit ribu-ribu macam dalam tv tu. Diorang ni sama je macam orang-orang kampong yang lain. Kerja guna tulang empat kerat cari makan. Bukannya buat kerja menipu.

Tapi aku sebenarnya nak kata percaya sangat tu tak juga. Aku cuma nak berjampi dengan jiran-jiran yang aku kenal saja. Kalau suruh aku pergi jumpa bomoh sampai ke Perak, Kedah atau pun Siam nun, jangan haraplah. Kena pulak yang jenis pelik-pelik dengan bertih jagung, dan segala macam lilin semua. Tak mahu aku.

Bila ada peristiwa bomoh kenakan cas ribu-ribu, tipu pulak tu, rogol orang la, bunuh la, aku terkilan juga. Dalam perubatan tradisional Cina dan India tak ada pulak aku dengar kes ni. Tak tau la kalau diorang sorok. Malah tahap perubatan tradisional/alternative orang Melayu ni jadi bahan ketawa dan lelucon pula. Apa nak buat. Bukan salah aku.

Jadi bila sesekali berjumpa dan bertegur sapa dengan jiran-jiran yang juga sahabat-sahabat arwah ayah aku ni, mendengar mereka bercerita tentang susah payah meneroka hutan Felda ni, baru aku faham. Orang lelaki kalau mahu merantau, mesti ada ilmu di dada. Bukan calang-calang hutannya dulu tempat yang sekarang jadi tanah rancangan Felda yang aku tinggal ni. Dahsyat dulu katanya. Nak makan nasik pun bukan main susah, apa lagi nak pikir pasal ubat-ubat yang hospital pulak jauh letaknya. Patutlah mereka saling tolong menolong dan tak berkira. Malah kata mereka dulu ada seorang penasihat Felda yang berasal dari Jerman dan pernah tinggal di tanah rancangan tempat aku ni pun, rasa aneh dan takjub tengok cara perubatan Melayu ni.

Bagaimanapun aku bukanlah tak cari perubatan moden langsung. Bagi aku yang berpendidikan dan terdedah luas kepada macam-macam hal dunia ini, perubatan secara moden lebih meyakinkan sebab dah ada macam-macam teknologi yang kita boleh nampak dan secara fizikal lagi. Canggih dan menakjubkan. Sepupu sepapat aku pun ada beberapa orang yang jadi doctor. Aku pun sekolah sains juga. Sebab tu masa kena kayap tu aku ke klinik dulu. Cuma aku saja nak suka pada perubatan tradisional ni. Macam aku kena migraine tak baik-baik hari tu. Puas makan ubat. Akhir sekali aku pergi jumpa Pak Azizi belakang rumah tu saja. Sampai sekarang alhamdulillah, tak sakit kepala dah bila waktu tengahari. Upah dia sebilah pisau dan seekor anak ayam saja. Jimat kan? Hehehe.

Namun hari ni semua benda ni macam dah nak pupus la. Pengamalnya pun dah tua-tua. Yang muda-muda tak minat pun nak belajar. Kalau ada pun yang jenis ilmu tangkap-tangkap hantu, nombor ekor, buat santau atau mensenyonong anak dara orang. Tu je la yang nak belajarnya. Apa nak buat. Nasib la. Zaman dah berubah.

Tapi sekarang perubatan moden pun dah jadi lebih kurang saja dengan perubatan tradisional. Dah ada doktor yang mula menipu. Jual ubat saja. Jual ubat batuk pun ada macam dekat tempat aku baru ni. Apa nak pelik. Bukankah penipu ada di mana-mana? Sedangkan nabi palsu pun ramai. Inikan pulak bomoh dan doctor palsu. Entah-entah, Perdana Menteri palsu pun ada tak? Kah Kah Kah!

Wednesday, February 11, 2009

Cinta dan Lapar Menguasai Dunia

Aku tak suka tonton program ‘Bersamamu’ di TV3 itu. Sungguh. Aku kira semua sudah maklum rancangan apa itu. Perihal miskin dan susah itu bukanlah sesuatu yang manis. Di bumi Tuhan yang menaburkan jutaan, barangkali tak terjangkau nikmat di bawah tapak kaki umat manusia ini – tak usahlah kau bisingkan pasal tak cukup makan. Kerajaan, sila ambil perhatian. Itu pun kalau kau tahu makna kasih sayang.

Mari kita selak lipatan-lipatan hidup masing-masing. Lainlah kalau kau anak raja yang lahir atas tilam empuk (itu pun mungkin ada juga kisah sedih yang kita tak tahu). Akan adalah kisah-kisah sedih yang tersendiri. Kerikil-kerikil yang menanti di sepanjang jalanan. Kalau langkah kau mudah. Kau pun penerima nasib. Tak ada yang buruk. Tak ada yang baik.

Emak dan arwah ayah berpindah ke rancangan Felda yang macam tempat Jin bertendang. Ketika itu aku masih anak kecil. Masih belum mampu mengukur gerak hari. Seumur empat ke lima tahun. Satu pili dikongsi lima ke lapan buah rumah. Berpelita minyak tanah malam-malam macam dapat bintang. Aku suka ambil tahi pada sumbu pelita. Dan bikin nandek di dahi. Tak pasal-pasal kena tangan dek emak.

Suatu malam. Tengah malam. Arwah ayah pulang kerja dari kilang papan. Pokok getah masih kecil dan belum boleh ditoreh. Semua peneroka harus bekerja sampingan. Mahu kasi anak bini hidup terus. Arwah ayah seorang yang rajin dan tabah. Seperti ayah-ayah orang lain yang bertanggungjawab juga.

Kerana lapar sudah tentu arwah ayah mahu makan. Kami sudah lena kala itu. Dan malam itu arwah ayah makan nasi yang cukup-cukup tinggal satu pinggan. Dengan berselera. Lapar dan cinta menguasai dunia. Begitu kata pujangga.

Usai arwah ayah makan. Emak yang setia meneman arwah ayah, mengeluarkan tin biskut. Emak makan biskut. Rupanya emak belum makan lagi. Nasi hanya cukup-cukup untuk kami tiga beradik. Dan selebihnya untuk arwah ayah. Arwah ayah terdiam melihat keadaan emak..

Di malam yang sunyi itu, air matalah yang mengalir di pipi seorang lelaki yang baik hati. Tentulah arwah ayah bersedih. Kerana arwah ayah seorang lelaki yang baik hati. Selepas peristiwa malam itu, arwah ayah tekad berusaha lebih tekun. Tanpa sebutir keluhan pun. Malah tak pernah bising walau betahun-tahun tak ada talipinggang dan baju baru untuk berhari raya. Kami macam biasa. Baju dua tiga pasang.

Dan janji arwah ayah untuk menjadikan kami manusia yang baik, dan dapat menyenangkan emak, telah pun tertunai sebelum menutup mata. Sekurang-kurangnya kami tak pernah hisap dadah. Jadi bagus macam Don Balon dan Dzulkarnain.

Bertahun-tahun kisah ini bermain-main dalam diri aku. Aku gendong ke hulu ke hilir. Ketika belajar. Merantau. Berfoya-foya. Atau ketika dirundung dugaan sekalipun tak pernah lupa. Bagi aku itulah makna kasih sayang. Hanya secebis kisah dari banyak lagi kisah-kisah cinta agung. Kasih sayang seorang wanita kepada seorang lelaki. Kasih sayang seorang isteri kepada seorang suami. Atau sebaliknya. Bagai kasih sayang Tuhan. Tak ada timbal balas. Hingga ke akhir hayat.

Kerana itu sewaktu aku pernah dapat sekeping kad dan seketul coklat pada ‘Hari Valentine’ 1999 dahulu, dari entah gadis bodoh mana yang ingin berkenalan, aku hanya tersengih dan mencarut, “pukimak kau la. Bodoh macam cibai…”.

Kad yang tertulis kata-kata bangang, dan jadi lelucon bersama-sama kawan-kawan itu aku buang. Coklatnya itu aku makan juga. Sedap juga. Aku tak ego. Jangan membazir. Ha Ha Ha.

Monday, September 22, 2008

Jalan Raya Bukan Tempat Berlawak Lebih-lebih Lagi Di Musim Perayaan Semakin Hampir Ni...

Dulu-dulu bila nak sambut raya budak-budak Felda aku kalau tak Jerantut, Temerloh la kami jejak. Kalau kutu sebelah Felda Don Balon dan Dzul selalunya Jerantut kot. Kalau sebelah Poyotitos Temerloh kot. Mana-mana pun boleh. Kalau nak megah sikit pergi Mentakab. Tapi kadang-kadang jejak Tong Kiat saja pun dah manis (HA. HA).

Sebelum ada motorsikal kami layan bas. Bas Sri Jengka namanya. Tak tau la pulak bas ni keturunan Bas Sri Jaya yang dah tak ada tu ke bukan. Sekampung pekena bas. Kadang-kadang sampai dekat 15 orang pergi. Macam nak pergi menjajah negara orang pula. Tapi masa tu memanglah. Kami budak lagi. Persatuan kena la mantap. Takut kena pow.

Tapi bila dah ada motor kami tak layan dah bas. Pak Cik bas kalau selisih pun kami buat-buat jalan mengiring pandang ke lain saja. Ye la, siapa suruh marah-marah kami yang suka tekan loceng banyak kali ni. Suka la nak tekan berapa kali kan. Ada sekali tu Pak Cik bas jerit garang, woi ingat aku ni pekak ke? Pada hal kami tak ingat dia pekak pun. Cuma kami suka dengar bunyi loceng bas tu saja. Rasa mendamaikan jiwa pula.

Ada sekali raya tahun 1995 rasanya. Tak ingat sangat dah. Aku satu baju seluar pun tak siap siaga lagi. Esok lusa dah nak Raya. Kasut pun tak ada. Aku tak berduit betul masa tu. Tolong arwah ayah menoreh getah saja. Kerja aku sebagai kutu petang dan malam memang tak menjanjikan apa-apa hasil pun selain umpat keji masyarakat.

Suatu pagi. Telefon berdering. Aku jawab. Rupanya Syed Norazlan. Dia ajak aku teman cari pakaian baru ke Jerantut. Dia pun kutu juga masa tu. Dengan perasaan tak berapa riang aku sanggupkan juga. Bukan apa. Poket aku demam. Tak kan nak pergi saja-saja kan. Kena la sambar sehelai dua. Aku kira bajet. Rasanya dapat la baju dan seluar GA Blue sepasang. Hui, masa tu kalau pakai GA Blue kira dah handal dah beb.

Dan memanglah betul. Aku beli seluar GA Blue saja. Cukup la. Aku sengkek. Syed pun sama. Tapi kami tak berapa nak puas hati juga la dengan prestasi Jerantut masa tu. Syed bagi cadangan ajak ke Temerloh pula untuk cari baju. Sebab hari masih belum tengahari aku ikutkan saja. Ye la, puasa kan. Nanti terjelir lidah sampai ke pusat tak kan nak masuk KFC. Lagi pun tak kan aku nak balik sendirian naik bas bawa helmet pula.

Dengan menggunakan motorsikal Yamaha SS ayah Syed, kami menuju ke Temerloh pula semata-mata demi sehelai baju. Masa tu Yamaha SS ‘Awas’ memang tengah top. Rasa macam KRU pun ada. Syed pula baru dapat lesen memandu. Kira ok la. Cuaca pula suam-suam suhu perut ayam mengeram saja. Syed pula pandu sedang-sedang sedap. Aku di belakang berangan macam-macam la sementara nak sampai tu. Ye la, gila apa nak berborak atas motor. Nak lawan suara dengan ekzos bukan daya sangat aku.

Sampai satu kampung selepas Jenderak, di hadapan ada satu awek yang layak di panggil akak la. Solo saja berdiri diam-diam. Boleh tahan. Tiba-tiba akak tu lambai-lambaikan tangan. Syed pula memperlahankan pemanduannya. Aku terasa pelik juga. Apahal laju-laju tiba-tiba perlahan? Akak tu awek Syed ke? Atau saudara Syed? Rasa aku kampung Syed dah lepas dekat Temin tadi. Syed, kau jangan macam-macam.

Akhirnya dengan perlahan kami sampi betul-betul depan awek tu. Tapi tak berhenti. Akak tu pun dah tak melambai-lambaikan tangan lagi. Dia Cuma memandang kami kebingungan. “Maaf la kak. Dah tak muat la. Tapi kalau akak nak tumpang sangat duduk atas mudguard boleh la.” Begitu Syed bersuara dengan nada biasa saja sambil meneruskan perjalanan dan menambah kelajuan kembali.

Aku pula toleh tengok belakang pandang akak tu. Mak aih, sikit punya panjang lidah dia jelir ke arah kami. Dan di belakang tu juga menuju ke arah akak tu ialah sebuah teksi. Akak tu bukan tahan kami. Dia tahan teksi. Sampai hati Syed buat lawak macam tu di bulan-bulan puasa. Dah la lapar dahaga. Bertambah la lapar dahaga jadinya. Dah Syed buat lawak. Aku spontan la gelak.

Hari tu balik dari Temerloh aku melepek di rumah tunggu berbuka. Dari Jengka ke Jerantut 60km. Dari Jerantut ke Temerloh makan 60km juga. Untuk balik ke Jengka semula pusing ikut kampung Poyotitos tambah lagi 60km. Mengembara seharian semata-mata nak beli sehelai baju dan seluar. Berbaloi kan?

Monday, September 15, 2008

Cakap-cakap Bisnes Dengan Brader Atan Ais Kepal Suatu Petang

Aku masa budak-budak kalau dulu ada dua puluh sen dah boleh hayun kaki ala-ala Warsaw dah. Apa lagi. Pekena ABC la. Kalau terasa nak makan keropok, beli ais kepal saja. Seposen lagi beli keropok. Ok la. Dulu keropok tebal-tebal. Sekarang macam bulu burung saja nipisnya. Baru pegang dengan jari dah retak bertabur.

Kalau tak kedai Pak Berahim, kedai Brader Atan. Selalu kedai Brader Atan la. Sebab dia selalu buat lawak bodoh. Tak lucu langsung. Tapi aku suka juga dengar. Bukan sebab minat sangat. Tapi sebab nak tengok tahap kebodohan lawak dia tu. Aku pun tak la gelak sangat. Gelak dua tiga das saja ambil hati. Meriahkan suasana serba sedikit. Kot-kot dapat keropok percuma. Kira berdikari dah masa tu kalau dapat rezeki macam tu.

Ada ke patut satu hari Brader Atan cerita kat aku perkataan ‘Thank You’ tu berasal dari dua perkataan Bahasa Melayu. Aku pun nak tahu la. Lalu dia pun cerita. Perkataan ‘Thank You’ tu berasal dari perkataan ‘Tin’ campur ‘Kayu’. Atau senang cerita ‘Tin Kayu’ la. Bodoh kan lawak Brader Atan? Tin tu pun asal kata Bahasa Inggeris la Brader Atan. Memang la aku sekolah rendah lagi. Tapi tak la setaraf tenuk sangat lagi.

Ada sekali tu Brader Atan tanya aku. Ingatkan dia nak uji tahap kebijaksanaan Bahasa Inggeris aku. Dia tanya lepas ‘one’ apa? Aku jawab la ‘two’. Lepas 'two’?. Aku jawab la ‘three’. Begitulah seterusnya. Tapi bila sampai lepas ‘ten’ aku jawab ‘eleven’, dia cakap salah. Aik, apahal? Cikgu B.I aku salah ajar ke? Tak faham aku. Lepas tu Brader Atan cakap lepas ‘Tin’(Ten), jatuh la ‘tin’ tu (kalau kita pegang tin, lepas tu lepaskan tin tu, jatuh la tin tu!). Mak aih, apa ke bangangnya lawak Brader Atan ni? Balik balik ‘tin’. Benci betul aku. Lahir dalam tin ke?

Dan suatu petang semasa Brader Atan sedang menyagat ketul ais aku pula teringin la nak bertanya. Aku order ais kepal rasa sarsi saja hari tu. Sebab ada seposen saja. Nak bagi nampak warna-warni macam selebriti sikit aku suruh campur oren dan sirap sikit. “Abang Atan, tak nak pindah duduk kat London ke?” aku mulakan dialog tak berfaedah petang tu.

“Nak buat apa nak pindah duduk London?” Brader Atan bertanya sambil menyagat.

“Meniaga ABC ngan Ais Kepal kat sana la. Mesti laku sebab Abang Atan lucu. Modal air batu pun tak payah keluar. Kutip je salji yang bertabur tu. Beli sirap, oren dengan sarsi je. Untuk ABC, macam biasa la Abang Atan. Keropok jangan lupa nanti!”

Kalian rasa Brader Atan dah ada kat London meniaga ais kepal tak sekarang ni?

Monday, July 28, 2008

Politik Ganja: Lama Juga Adik Terpedaya...

Bodoh dibelit cerdik. Kecil dimakan besar. Lurus diketuk bengkok. Lemah di dipijak kuat. Berwaspadalah. Ilmu, amal dan iman juga penyelamat hidup. Sebab itu arwah ayah suruh aku selalu belajar. Bukankah proses belajar itu tak pernah selesai. Belajar bukan setakat baca buku saja. Bukan setakat masuk universiti sudah kira intelektual sangat dah. Aku rasa ada ramai professor yang tak reti pun buat gajet pengakap. Overhaul enjin lori lagi la tak tau agaknya. Cakap dalam TV memang sedap sangat.
Dulu kami susah. Aku bukan mahu bicara itu semua sangat. Takdir tuhan. Kemiskinan bukan kekurangan. Ia proses mengumpul kekuatan. Maka kami adik beradik pernah makan goreng ikan bilis campur lobak masin. Kadang-kadang taruk dalam bubur nasi pun sedap sungguh. Terima kasih kelaparan. Terima kasih kemiskinan. Terima kasih Tuhan. Jangan salah sangka. Aku bukan perli Tuhan. Selalu juga telur goreng mata kerbau. Ikan kembung mata merah kerap juga. Sesekali daging. Kadang-kadang ayam. Bila ayam rasa sangat istimewa. Macam ada tetamu nak datang rumah. Euforia satu hari. Macam lepas salam dengan Herman Tino.
Adik paling suka. Aku suka juga tapi merana. Peha mesti adik chup. KFC memang betul punya pundek. Buat iklan tayang peha saja. Tayang la kepala dengan balung-balung tu sekali. Biar adik minat makan balung ayam. Padahnya aku susah nak merasa makan paha ayam masa kecil. Kasihan. Arwah ayah tentu sedih. Maafkan kami ayah. Kami bangga denganmu walaupun waktu itu ayah cuma mampu beli separuh ekor ayam kadang-kadang. Kami bangga sebab kami bertiga tak jadi penagih dadah!
Aku beralah. Jadi anak tengah memang susah. Kadang-kadang mak potong tiga juga. Selalunya tak. Adik tayang-tayang KFC dia. Tak apa. Aku kalau dah ajar kau, makan tahun la bernanah. Tolong jangan minta ampun adik. Tiada maaf bagimu. Aku kongsi dada dengan abang. Lagi banyak daging. Adik bukan tau. Biar lantak dia makan KFC gulai lemak kuning dia tu. Tak apa. Lepas ni kau tau la.
Beberapa hari kemudian. Bersila makan bersama-sama keluarga amat membahagiakan. Ada pula lauk telur mata kerbau. Sungguh sampai hari ni aku tak pernah jemu pada telur mata kerbau. Memang tak gaya rupa mata kerbau langsung telur tu. Entah siapa punya bangang bagi nama macam tu tak tahu la. Harap-harap bukan saudara mara aku.
“Duan, ko tau tak? Cikgu Harizan cakap yang kuning telur tu nama dia embrio. Dalam buku teks pun ada cerita. Itulah asal anak ayam. Yang putih tu makanan anak ayam tu masa duduk dalam kulit telur. Kau makan anak ayam la tu. Tak geli ke?” aku tanya adik tiba-tiba. Mak dah panah jelingan maut ke muka aku. Kena marah la apa lagi.
Adik dah mula tak makan telur ayam. Berbulan-bulan. Lama juga. Barulah adik makan telur ayam. Itu pun bahagian putih telur. Adik makan makanan anak ayam saja. Ha. Ha. Dia korek kuning telur dan taruk tepi. Apa lagi. Aku punya la tu. Kadang-kadang kongsi sama abang. Padan muka. Seingat aku dah tingkatan satu baru adik makan kuning telur semula. Sedap dia cakap. Kemaruk la tu. Kurang lebih tujuh tahun dia kena tipu dengan aku. Buat la macamana pun, kalau kuning telur adik buang. Siapa surun adik berlagak tayang-tayang KFC gulai kuning? Ha. Ha.
“Duan, kuning telur tu anak ayam la. Apahal ko makan?”
“Kepala hotok awok!”
Mak aku gelak saja. Adik dah bebas dari tipu daya. Ha. Ha.

Proklamasi: Lepas baca artikel menyatakan dalam daging ayam ada DNA babi, aku dan adik dah lama tak makan ayam. Ayam kampung makan la.