Showing posts with label Nostalgik Tragik. Show all posts
Showing posts with label Nostalgik Tragik. Show all posts

Wednesday, March 10, 2010

Imran Kaki Pukul Yang Pernah Gua Ludah

Imran praktis suatu petang di bulan puasa. Aku ambik gambor. Lepas tu dia suruh aku petik-petik lagu 'Fly Me To The Moon' versi zapin. Macam ketuat punya suruhan.

Ini Imran. Kawan gua dulu-dulu. Sebab selalu sangat lambung tandan sawit masa darjah 6, urat tangan Imran jadi macam Terminator. Akhirnya Imran memilih untuk jadi kaki pukul. Beliau mampu ketuk snare 180 kali sesaat. Hampir menyamai rekod anak burung belatuk.

Imran kata dia pernah berguru dengan Mike Portnoy dan Cozy Powell masa sekolah tadika. Semua orang tak percaya. Sebab nampak tipu tahap hilang ingatan sangat. Lepas itu bila beliau sedar dan insaf tentang kenyataannya yang keterlaluan itu, beliau segera mengubahnya tanpa segan silu. Tanpa bertaubat beliau berkata: sebenarnya Mike Portnoy dengan Cozy Powell tu yang berguru dengan aku!
Tapi dah lama juga gua lost contact dengan Imran ni, semenjak studionya yang jadi tempat gua tumpang beribadah di bulan Ramadan tutup dan beliau berpindah ke Kuala Lumpur untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik di ICOM. Foto ini pun gua jumpa semalam. Dah kelabu asap. Gua sendiri yang snap ni guna kamera Yashica RM50.

Sebenarnya Imran juga pernah belajar satu politeknik dengan gua. Bezanya beliau masuk mazhab elektronik. Tapi kerana cinta kepada muzik, beliau tinggalkan bidang elektronik sewaktu semester 3. Kalau tidak mesti beliau senang-senang saja mampu mencipta tong drum elektronik.

Ada satu kenangan rare gua dan beliau yang tak dapat aku lupa. Sewaktu kami konvoi ramai-rami balik ke politeknik dan melalui route 666 di Gua Musang. Masa itu gua batuk batuk dan berkahak. Kemudian gua meludah macam spitfire. Tak sangka kahak itu terbang dan hinggap di helmet visor Imran yang following di belakang.

Tapi Imran tak pukul pun gua. Dia marah-marah ketawa. Semua kami pun ketawa. Apalah gua ni. Tak pandang pandang jeling jeling langsung. Mujur kahak gua tak berasid dan menembusi visor beliau. Semenjak itu gua berhati-hati di route 666.

Tuesday, October 27, 2009

Belanjawan 90an

Kami semua. Ayah, mak, abang, adik dan aku. Lagi gelap-gelap jam 6.00 pagi sudah bersiap. Mak dan ayah mahu mengukir pokok getah. Pagi-pagi banyak sikit susu getah. Kami pula mahu ke sekolah. Lambat-lambat nanti kena tulis nama dengan pengawas. Tak pakai name tag pun dia tulis juga.

“Hari ni nak bawak bekal, mak,” kata aku pendek saja. Sebaik melihat mee halus berasap-asap mak aku angkut ke meja makan.

Mahu jimat tujuannya. Tapi bukanlah nak belajar jadi kikir. Duit beribu-ribu tapi rupa pakaian macam malaun. Belanja sekolah seringgit setengah. Lima hari sekolah sudah dapat tujuh ringgit setengah. Sebulan 30 ringgit. Setahun 360 ringgit. Wow, boleh beli gitar karan cabang second hand dah. Baru macam Randy Rhodes. Sembang lebat tak guna juga kalau pakai baju hitam tulis ‘Nuclear Assault’, tapi main gitar macam main ‘reket’.

Emak aku punya tersenyum pun bersemangat. Belah plastik. Taruk mee halus perisa kicap. Bungkus dengan surat khabar B-Pop. Sebijik macam bungkus kedai. Beza dia, kedai punya mee halus, empat posen – besar anak ayam baru menetas saja. Warna pun selalu pucat-pucat lesi pulak tu. Keteguran dengan makhluk halus agaknya.

Aku pun naik tangga bas kuning oren pagi itu nyaris-nyaris sudah hendak berkawad macam RELA. Bekalan mee halus dan botol air letak dalam beg sekolah kain warna hijau ada tulis ‘Coma of Soul’ siap dengan gambar Doyok Ventor dan rakan-rakan. Mana boleh kasi kutu-kutu lain nampak.Nanti tak pasal-pasal brader drebar bas yang kuat pasang kaset Iklim tu kutuk. Harap-harap bau mee halus tak merebak, aku berdoa penuh harapan.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab; hanya itulah sahaja cara yang dapat aku sumbangkan kepada mak ayah aku ketika itu. Berjimat cermat. Lagi pun mak ayah aku hanya peneroka Felda yang bersusah payah memelihara aku adik beradik saban hari. Tak ada pasal la pulak aku nak berenang solo merentas selat Inggeris ke, belayar solo keliling dunia sampai dipukul ribut dan diselamatkan dolfin ke, buat rekod kuih apom tersengih terbesar ke, atau lempar kereta Wira ke Kutub Utara ke. Tapi mujurlah harga petrol masa tu murah lagi. Sekarang dah RM300 seliter dengar ceritanya. Petrol 1Malaysia ke tu, Malikul Setan?

***
Jam 3.00 petang di hari yang sama. Ombak menghempas pasiran pantai kepulauan Haiti kala-kala aku di Malaysia. Entah apa natijahnya.

“Baik tak payah bawak bekal!” kata adik aku sambil menyuap nasi berlauk sardin ke mulut.

“Nak buat macamana. Terlupa betul tadi. Sebab letak dalam sangat dalam beg. Rehat terus pergi kantin,” aku memberi alasan sambil mengunyah mee halus berlauk sardin juga. Patutlah macam ada benda lupa saja sewaktu rehat pagi itu.

Esoknya aku tak bawa bekal dah.

Thursday, September 10, 2009

Membaca Taktik Produsen di Musim Perayaan

Iklan memang dahsyat memujuk. Itu memang fungsi iklan pun dalam bidang pemasaran. Dari iklan yang muncul bertubi-tubi juga terangkatnya jenama dan seterusnya menyihir pengikut setia yang perasan trendy lagi cool (baca: hamba kapitalis yang bahlol lagi buta ekonomi).

Tetapi seluar pelombong Levi’s memang hot sejak turun temurun. Ia oleh buat kutu jalan jadi henjut-henjut macam ada spring dekat tumit kalau pakai dengan but Legend. Kena pulak rambut macam Slash.

Pertengahan 80’an juga kebanyakan budak-budak mesti mahu stail masuk baju dalam seluar. Ada ‘key’ terjuntai dekat poket belakang. Sebab hendak tunjuk label Levi’s.

Tetapi Levi’s mahal. Oleh hal yang demikian, aku beli yang gantung dekat pekan sari saja. Mana reti bawak motor lagi hendak pergi jauh-jauh. Peniaga-peniaga masa itu pun hendak kata orang Malaysia macam bukan Malaysia pun. Lebih ramai ke orang asing. Sekarang pun macam itu jugalah. Kalau jual karpet pun ada peniaga yang nama Musharaf.

“Aku beli murah je. 15 ringgit je ni,” kataku petang itu sambil menunjukkan sehelai jean Levi’s pekan sari yang berwarna biru tua. Aku beli masa balik dari Sekolah Agama Rayat. Aku cadang mahu rendam klorok biar jadi lusuh. Lepas itu hendak titis air dalam bateri sikit dekat daerah lutut. Biar reput dan jadi kesan koyak-koyak sikit.

“Haik, murahnya? Aku beli dekat 30 ringgit. Itu pun macam-macam mimik muka aku buat masa tawar menawar. Mintak tengok!” kata abangku dengan muka tidak puas hati.

“Nah!” kataku sambil menghulur.

“Hoh, patut murah, tengok ni!” kata abang aku dengan mata membulat sambil menunjuk ke arah label merah tertulis secara menegak perkataan ‘LIVE’S’.

Raya tiba dan berlalu. Aku tak jadi pakai baju ‘Loudness’ masuk dalam seluar masa beraya. Tak sampai sebulan seluar itu juga, aku buat ‘uniform’ pergi masuk kebun getah tolong arwah ayah aku kutip sekerap.

Friday, February 27, 2009

Stesen Muzik Jaha

MALAM ITU…

Dulu-dulu nama DJ Isma Halil Hamzah memang top gila. Asal pukul 12 malam saja budak-budak tunggu suara beliau ke udara di Radio Muzik- Rentak Muzik Anda (sekarang Muzik FM daa..). Memang la. Masa itu Isma Halil main lagu Rock memanjang. XPDC memang tengah meletup pulak.

Di rumah kami yang aman damai lagi sejuk, bak rumah para-para wali itu, radio buruk milik Bob amatlah diperlukan. Sebab malam-malam masa itu tayang ‘Smart Shop’ saja di TV. Nak tengok siaran siam tak reti bahasa. Apa ke jadah Jacky Chan pun reti cakap siam dalam cerita Cina?

Maka kerana minat sangat dengan Isma Halil, kawan saya yang nama Jaha itu amatlah gemar mendail ke Radio Muzik. Rancangan apa entah. Rentak kot. Aku pun ingat-ingat tak ingat lagi. Huruf ‘R’ itu di sebut panjang (RRRRRRRentak!). Rasanyalah (siapa yang ingat lagi sila ingatkan aku).

Isma Halil ini mesra melayan peminat masa itu. Suara pun, bagus. Jadi ramailah yang suka. Nak telefon dan bercakap dengan beliau. Memang payah la. Tapi Jaha tidaklah putus asa. Patah saya bertongkat dagu meniarap jua. Telinga kemek pun tak mengapa.

Tapi mujurlah zaman itu sudah ada telefon ‘dail semula’ secara auto (redial). Jadi apalah susah. Jaha tekan-tekan saja. Sambil buat aktivi lain, Jaha tekan ‘redial’. Tapi tidak pernah menyangkut pula. Begitulah Jaha selalu bila Isma Halil ke uadara. Perkataan redial pun tak sedar dah naik pudar di butang talipon itu.

Suatu malam macam biasa. Jaha mencuba juga. Tidaklah putus-putus asanya Si Jaha. Redial tetaplah redial. Tapi akhirnya Jaha berhenti juga. Bukan sebab penat. Hanya kerana menuju ke jamban.

Usai kencing Jaha ke talipon lagi. Tiba-tiba tak semena-mena Jaha melompat-lompat kegirangan. Macam budak-budak kuat enjoy dapat khabar duit ‘loan’ masuk saja gamaknya.

“Hoh, buleh. Buleh. Ado masuk ni weh. Buleh kecek dengey Isma Halil maley ni!”

Sukalah sangat Jaha.

“Hallo, Radio Muzik ko tuh?” Jaha bertanya.

Tiba-tiba muka Jaha berubah. Macam muka YB kena ‘booo’ dengan mak bapak sendiri.

****

IMBAS KEMBALI…

Sebenarnya semasa Jaha ke tandas, aku telefon ke rumah Rahmat. Mahu pinjam nota Teori Struktur.

Aku lupa nak bagi tahu Jaha. Lagi pun nak buat apa bagi tau?

Jaha pula main redial saja.

***

ESOKNYA DI KELAS…

Kami, diketuai oleh Rahmat secara koir -- ramai-ramai menyanyikan lagu tema Radio Muzik:

Radio, radio
Radio Muuuuuzik..
Stesen Muzik,
JAHA!!!!!

Friday, February 20, 2009

Geng Pukau Paling Bangsat Pernah Aku Hadapi

Dulu masa di asrama kalau nak tidor malam memang payah betol. Tapi yang gampangnya masa prep bukan main-main ngantuk pulak. Baru buka buku rantang muka surat isi kandungan rasa macam nak luruh saja ulas mata. Senior masa itu jenis buat asrama macam kampung dia. Orang tidor masa prep pun nak tarik meja?

Jadi bila sampai waktu tutup lampu aku susah hati. Orang berdengkur, aku terkebil-kebil. Lampu jam 12 memang harus mati. Nak buat apa gelap-gelap begitu. Ada juga rasa nak beli tiket bas. Balik kampong dekat Jengka sekejap. Main karom dengan Abang Atan.

Suatu malam. Malam itu seperti malam-malam lain juga. Gelap kalau tak nyala lampu. Aku melayan mata. Usai baca ayat-ayat suci dan doa tidor. Aku harap tertidor la. Tapi macam biasa. Memang mata aku pesen kena berpaksa baru emboh lena.

Senang aku asyik dalam kelenaan itu. Tiba-tiba…

“Bangun..bangun..syhhhh…” satu suara dalam nada membisik kejut sama aku. Bahu aku yang berketul-ketul macam Rocky Balbao turut digoyang-goyang.

Perlahan-lahan aku buka mata lagak orang buka mata lepas operate. Dalam samar-samar cahaya lampu koridor di tepi katil terlihat aku dua ekor malaun. Muka tak berapa cam. Gelap. Tapi dua-dua ada iras-iras cenekah dan siamang.

“Syhhh…jangan bising. Tengok sini. Tengok sini.” Brader itu suruh aku tengok satu rantai panjang. Nampak macam kunci saja di hujung rantai itu. Brader yang satu lagi diam saja. Jadi balaci saja gamaknya. Mencangkung tepi brader yang pegang rantai berkunci itu.

Rantai kunci itu dibuai-buai ke kiri dan ke kanan. Aku pun ikut la pandang kiri kanan, kiri kan, kiri kanan. Dekat dua minit juga aku buat benda entah hapa-hapa itu. Terasa juga tak nak buat. Tapi tak nak buat takut kena pelepuk. Lagi pun benda senang sangat. Kalau dia suruh basuh bas asrama malam-malam susah sikit nak buat.

“Nama kau siapa?” brader yang membuai-buai kunci tanya. Apa ke jadah entah malam-malam duduk tepi katil orang tanya nama. Nak berkenalan pun tengoklah masa.

“Rahimin.” Sepatah aku jawab. Lebih-lebih nanti takut juga. Buatnya mereka agen CIA.

“Nama ayah?”

“Idris.” Aku dah mula cuak. Masa itu aku dah tahu pasal ISA ni. Risau juga.

“Nama mak?”

“Rosiah.” Aku tambah serius menjawab.

Lepas itu macam-macam siamang dan cenekah itu tanya. Semua aku jawab dengan jujur, ikhlas, tulus lagi istiqomah. Dekat sepuluh minit ada rasanya berborak dalam suasana macam celaka itu.

“OK. Kita orang nak tanya. Esok nombor ekor, apa yang keluar?” brader yang itu la tanya.

“Hah, nombor ekor?” aku jawab tanya dengan tanya. Tiba-tiba soal nombor ekor ke aku. Memang la nak maru gamaknya.

“Ye la. Bagi tau kita orang apa nombor-nombor ekor yang nak keluar minggu ni?”

“Laaa, mana la saya tau nombor ekor yang nak keluar bang. Tunggu je la surat kabor. Tengok nanti…” Aku menjawab dalam jasad yang masih terbaring mengiring.

Aku pun tak tau la panas hati rasa nak menampor ke nak menerajang malam itu. Ikut hati yang amarah, memang rasa nak turun ke tingkat bawah minum air dekat water cooler dah.

“Eh-eh, kau sedar ke ni?” lagi la celaka barader satu lagi yang selama itu cuma diam. Apa ke bangang dia tanya aku sedar ke tak sedar pulak. Kalau aku ni pak cik jaga, makan cotar dah dahinya.

“Aik, apahal ni? Mesti la sedar. Bila masa saya tak sedarnya. Dah abang kejut. Sedarla saya!” aku meninggikan sedikit nada suara.

“Hek elehhhh..” hampir serentak mereka menyebut ‘hek elehhh’ dalam intonasi yang panjang.

“Tak jadi la ilmu pukau kita beb. Jom la blah.” Brader tukang pukau itu ajak member dia berambus.

“Kita cari budak dorm lain la. Ingat boleh dapat nombor tadi.” Sayup-sayup suara stail budak KL belah-belah Selangor brader balaci itu berhajat buat operasi lagi demi nombor ekor.

Aku dalam gebar menyumpah-nyumpah itu masa. Sudah la mata susah nak lena-lena. Jam sudah dekat 330 pagi ada pulak budak KL belah-belah Selangor datang memukau nak mintak nombor ekor. Pukau kepala hadas mak bapak korang la!!!!!

Tuesday, February 3, 2009

Kisah Loceng Puaka

Sekolah rendah dengan rumah mak aku bukanlah jauh sangat. Berjarak 200 meter saja. Setiap hari boleh dengar bunyi dentingan loceng sekolah. Dan budak-budak nyanyi lagu Negaraku di susuli lagu Negeri Pahang.

Masa kanak-kanak aku teringin benar-benar ke sekolah. Saban pagi aku berteleku di kepala tangga sambil memerhati pelajar sekolah jalan kaki di jalan tanah merah rancangan Felda. Diam-diam aku menyimpan impian untuk ke sekolah. Belajar sungguh-sungguh. Dan jadi macam cerita 'BJ and Mc Kay'. Bawa treler laju-laju angkut baja.

Tibalah masanya. Selepas hari daftar aku ke sekolah sendirian. Hari ke-2 lah itu. Pagi-pagi benar aku sudah berkawad dengan beg hijau tersangkut di dahi penuh semangat. Budak-budak pula ada macam-macam gaya. Ada yang pendiam tapi pemikir macam aku. Ada yang terhiling-hiling macam 'Charlie Chaplin'. Ada yang bapak hantar. Yang lelaki rambut panjang sampai punggung pun ada. Sumpah.

Sampai di suatu sudut. Mataku terpaku ke suatu objek. Loceng. Itulah loceng yang sering aku dengar dari kejauhan saban hari persekolahan. Ia diperbuat daripada tembaga. Zaman itu belum ada kuasa elektrik lagi di tempat tinggal kami. Dalam kelas semua kipas pakai buku yang ada sifir sampai 12 di kulit belakang kala panas.

Aku menghampiri loceng itu. Sangat cantik. Berkilau-kilauan. Di ‘autosol’ selalu oleh tukang kebun yang rajin barangkali. Sebesar buah nenas saja saiznya. Ada tali panjang. Berjuntai dan mudah dicapai.

Tiba-tiba.

Tang! Tang! Kelentang! Tang! Tang! Tang!

“Hei, you. Come here! Mari sini!” seorang cikgu memanggilku. Dengan nada deras.

Aku hampir kepada cikgu itu. Cikgu Anuar namanya. Semua mata yang ada pun memandang ke arahku. Mana yang ada jam tangan sibuk-sibuk memandang lengan. Yang juih-juih bibir pandang serong pun ada.

“Sekolah ni ada peraturan. Sekarang baru pukul 7.15 pagi. Belum boleh bunyikan loceng lagi. Awak darjah berapa?” Cikgu Anuar tanya sambil membulatkan mata.

“Err, saya tak sengaja. Darjah 1 biru cikgu.” Jawabku tulus dengan mata mula berkaca.

“Itu kelas saya. Dah. Pergi ke kelas awak.” Dia tidak memarahiku. Aku tersengih-sengih. Tak jadi merembeskan manik-manik di mata.

Baru aku tahu. Sekolah ada peraturan. Tapi aku dah lama teringin membunyikan loceng itu…

Friday, December 19, 2008

Que Sera Sera

Semalam aku nampak Odan. Kawan sekelas masa sekolah rendah. Dia pandu KE30 warna merah. Laju juga. Aku rasa hendak angkat dua tangan ke dahi sembah pun ada bila nampak dia.

Masa kecil dia selalu kena luku kepala. Bapak dia garang ke apa tak tahu la. Dalam kelas Odan menulis abjad jadi empat segi tiga segi lintang pukang segala. Kalau tulis huruf I, angka satu atau huruf alif pun kadang-kadang cikgu ingat dia lukis gambar cacing pita. Cakap pun meraban sokmo. Tulis nama ayah sendiri pun jadi nama ayah orang eskimo.

Walaupun anak peneroka, tetapi rata-rata kami menyimpan cita-cita tersendiri. Diam-diam aku menyimpan impian ingin menjadi penyanyi sehebat Herman Tino. Kalau tak kerana kumpulan SYJ, tentu aku tak minat rock dan minat Herman Tino saja.

“Kamu tulis nama kamu, nama dan pekerjaan ibubapa kamu. Dan yang paling penting cita-cita kamu. Tulis tiga pilihan apa kamu nak jadi bila dewasa nanti. Ini untuk rekod. Cikgu bagi sepuluh minit.” Guru kelas kami, Cikgu Jalal beri arahan.

Semua budak-budak dahjah 3 Biru pun istiqomah macam hendak jawab kuiz More Jutaria saja menulis. Aku pun tulis la lebih kurang. Gila apa hendak tulis mahu jadi Herman Tino? Aku hendak jadi wartawan, petani moden atau mekanik! HA HA

Siap. Tetapi Odan terkial-kial. Berpuntal-puntal pensel. “Meh sini. Kau sebut, aku tolong tulis. Kau nak jadi mende nanti?” aku tawarkan bantuan. Simpati juga.

Cikgu Jalal semak sekeping sekeping kad rekod itu. Semua ada. Tiba-tiba Cikgu Jalal angkat satu kad. “Ini sila ambil balik ni. Odan Azman. Tulis semula. Jangan nak mengarut!” Muka Cikgu Jalal serius.

Odan dengan langkah gontai tangan lembik mencecah lantai pergi depan ambil kad rekod dia.

“Mana ada jawatan Yang Di Pertuan Agong keluar iklan. Komando dengan Posmen ni ada la!” Cikgu Jalal membebel lagi.

Odan yang suruh tulis macam itu. Mana aku tahu!

Notatumit: Sampai darjah 6 Odan terkial-kial lagi untuk membaca dan menulis. Sekarang tak tahulah sebab lama dah aku tak berborak dengan dia. Kalau jumpa pun setakat hangguk-hangguk kepala saja.

Thursday, November 20, 2008

Rekabentuk Kehidupan

Dalam banyak-banyak subjek Kejuruteraan Awam, Rekabentuk (design) paling aku benci. Dulu-dulu orang design tak ada guna komputer lagi. Kena buka kitab entah apa nama. Aku lupa. Selak sehelai-sehelai cari clause. Kejap-kejap jilat jari. Selak-selak.

Jadi aku banyak memonteng subjek ini. Sudah peperiksaan akhir adalah 50%. Maka markah banyak bergantung kepada kerja kursus. Jadi aku skor kuiz, ujian dan projek sahaja. Memang senang hati sebab aku masuk peperiksaan akhir dengan markah lebih 40%.

Cuma satu aku tak puas hati. Kebetulan satu kertas kuiz, waktu diberi keputusannya, aku dan Menthol terlewat masuk kelas. Pensyarah merangkap geng tabligh itu sudah tunggu dalam kelas. Dia memang kurang suka aku. Tak apa.

“Kenapa lambat.” Pensyarah aku.

“Lambat bangun encik.” Aku.

“Awak tak solat subuh?” dia tanya lagi.

“Tak.” Aku tak berani bohong. Menthol pun jawab sama macam aku.

“Apa nak jadi? Kamu berdua ni kalau design bangunan mesti runtuh. Pergi balik solat subuh!”

********

Di hadapan Politeknik Kota Bharu banyak kedai makan. Pelajar mundar mandir berbagai rupa dan gaya. Macam setan pun ada. Pelajar perempuan terhiling-hiling jalan bersepah pun ramai. Pak Cik Jaga cari motor tak ada stiker dan parkir tak tentu arah. Nak rantai tayar.

“Ah, makan je la dulu. Dia bukan tau.” Menthol ajak. Perut memang lapar.

Menthol makan seorang. Aku kena balik rumah juga. Nanti kalau pensyarah itu tanya nak jawab apa?

Apa gila nak solat Subuh di surau politeknik tu pukul 10.30 pagi?!!!

Thursday, October 23, 2008

Siri Bertengkar Dengan Toyol...

Seingat aku, dah masuk darjah lima baru aku boleh pandu motorsikal. Tak macam budak sekarang, kecil-kecil lagi dah dapat motor. Pandu sambil SMS pula tu. Dulu arwah ayah dan mak memang larang aku. Bahaya kata mereka. Sudahnya kawan-kawan ejek cakap aku lembab. Malu saya di buatnya (nada macam iklan Minarwan Nawawi).

Tapi dalam kelas aku dulu, Toyol la paling superb. Dia ni perempuan. Sebab kecil, nakal dan ganas – budak-budak lelaki panggil dia Toyol. Pernah Apzal kena teranjang sebab ejek rambut Toyol macam jambul nenas. Pernah aku dibaling dengan taik hidung sebab cakap hidung dia berkerak. Laju gila dia baling. Mujur aku jenis lincah mengelak.

Tapi Toyol dianggap superb sebab boleh pandu motorsikal masa darjah tiga. Gila apa bapak dia tu bagi motorsikal masa tu? Entah-entah Toyol curi-curi bawa masa tu? Semua orang pelik. Yang dengki pun ada. Termasuk aku la. Ok, aku tak kisah sangat. Tapi siapa suruh dia jelir lidah bila terserempak aku jalan kaki petang-petang? Rasa nak lontar dia dengan ibu ayam mengeram saja. Biar kena hama.

Maka Cikgu Wong pun tegurlah kami di dalam kelas suatu pagi. “Bahaya bawak motor tanpa lesen ni. Awak pun kecil sangat lagi. Walaupun mak ayah awak benarkan, bahayakan diri awak dan orang lain.”

Begitu Cikgu Wong empunya nasihat. Beliau ternampak Toyol meronda kampung suatu petang. Kami angguk sambil sebut ‘betul, betul’ sebagai tanda sokongan padu. Tapi tangan tak la dijulang ke langit macam orang demonstrasi. Semua setuju. Suara aku paling kuat. Aku buat-buat suara macam Apzal. Toyol jelir lidah ke Apzal. Kalau tak ada cikgu masa tu, harus Apzal kena ludah.

“Tapi kan, cikgu, kami ada lesen.” Toyol membela diri sambil angkat tangan dengan muka eksennya. Serius betul muka dia sambil memandang Cikgu Wong.

Semua kelas terpana seketika. Ada lesen? Celaka. Aku menyumpah. Dengkinya aku!

“Betul ke? Awak kanak-kanak lagi. Macamana boleh ada lesen? Awak bergurau ke?” cikgu Wong bertanya sambil kerut-kerutkan dahi. Sambil tu beliau senyum. Senyum tak sempurna saja gayanya.

“Betollllll cikgu. Adaaaaaa. Ok, kalau cikgu tak percaya esok kami bawa.” Toyol berkeras siap angkat tangan tiga jari macam Sumpah Pengakap pula. Timbul-timbul urat merih. Muka jangan cakap la. Macam ahli gusti bertengkar.

Riuh la kelas kami sekejap. Kami menyokong Cikgu Wong. Toyol tetap membetah. Akhirnya Cikgu Wong suruh kami diam untuk sambung belajar.

*********************************************************************************

Esoknya.

“Haaaa, cikgu. Ini la lesennya. Lambat lagi matinya!” Toyol mengunjukkan sekeping kertas bulat kepada Cikgu Wong esoknya. Muka Toyol jangan cakap la. Berlagak bagak macam ketua geng gagak hitam.

Cikgu Wong mengambil kertas kecil bulat tersebut dan menelitinya. Beliau tersenyum. Kemudian berpaling kepada kami. “Murid-murid. Baiklah. Ini namanya ‘road tax’. Atau pun ‘cukai jalan’ dalam Bahasa Melayu. HA HA HA.” (Dulu cukai jalan bulat bentuknya kalau tak silap aku).

Kalau Cikgu Wong sebagai guru kami boleh ketawa, kami apa lagi. Ceria sungguh. Toyol tergaru-garu kepala. Pelik sebab baru tau ‘lesen’ dia tu sebenarnya cukai jalan. Baru kami tahu dia curi-curi bawa motor. ‘Lesen’ dia tu pun dia curi-curi ambil dari bapak dia sebagai bahan bukti untuk berhujah dengan Cikgu Wong.

Tapi hari tu memang ada yang kena ludah sebab gelakkan Toyol waktu rehat. Aku memang tak kena!

Tuesday, October 14, 2008

Etok Punya Penangan

Beberapa hari lepas ada kawan aku ke Kelantan. Ikut rombongan berbelanja ke Rantau Panjang. Memang OK juga sana kalau nak berbelanja. Kena pula kalau ada kawan yang pandai cakap Siam. Aku beli Dockers RM15 pun dapat masa melepak sambil belajar di Poly KB dulu. Tapi itu kisah lain.

Yang membuat aku terimbau nostalgia masa berbangsat di sana dulu ialah bila kawan aku tu cakap ‘etok’ tu sedap. Kalau tak tau pasal etok sila rujuk bloger-bloger kelantan la. Aku tak ada foto. Tapi boleh imagin. Macam kerang. Bulat dan kecil saja. Tak macam kepah atau kijing. Tolong jangan bayangkan ia macam ‘ENOT’ pula.

Sebab hari Jumaat dan Sabtu cuti, suasana taman perumahan macam tak ada aktiviti samada sihat atau tak sihat, suatu hari Fizi budak Gua Musang ajak kami cari etok. Etok? Apakah? Faiz budah JB tu melopong. Dia ni jangan kata etok, nampak kerbau dan padi di sawah pun nak bergambar. Urban tahap Beverly Hills betul!

Maka macam nelayan tepi paya lah kami membawa besen ke sungai apa entah. Dekat-dekat tali air Kemubu nu kot. Tak ingat dah aku. Aku dah biasa juga berpaya ni masa budak-budak. Malas sangat nak ikut. Kalau ajak pergi Mimaland main salji OK juga sesekali. Tapi sebab semua ajak berpaya ikutkan la juga.

Macam-macam gaya kami beretok-etokan hari tu. Lumpur jangan cerita la. Orang kampung tersengih-sengih tengok. Cik mek yang jeling-jeling ada juga. Tapi tak ada pula la yang marah-marah. Kami budak-budak baik bermuka manis. Yang suruh cari siput sedut pun ada. Orang kampung yang cari sekali pun ada. Kongsi rezeki.

Diringkaskan cerita, banyak juga etok kami dapat. Bawa balik tak tau nak masak. Fizi cakap bakar boleh, goreng boleh rebus pun boleh. Ye ke? Aku tengok di Pasar Siti Khadijah tu lain saja. Macam ada rempah-rempah. Lantak la. Fizi rebus saja. Manis juga rasa etok tu. Tapi makan etok bukan senang. Kalau tak reti serpih la gigi. Orang lain dah berpuluh awak tak merasa lagi. Kalau dah reti guna gigi macam makan kuaci saja.

Aku? Apa ada hal. Aku pergi dapur ambil lesung batu. Fizi ingat aku nak buat sambal. Lepas tu semua gelak bila tengok hempok etok tu dalam lesung batu.

Sebab tu aku malas nak ikut orang cari etok. Sampai hari ni aku kandas. Ada la lima enam minit kalau nak buka guna kuku. Itu pun aku dah melompat kegirangan macam dapat SPM 18A!

Monday, October 13, 2008

Sumpah Sang Ular Dalam Imaginasi Mat CD

Masa kecil-kecil dulu kalau nampak ular aku lari juga. Bukan sebab geli. Takut sangat la. Sebab mak dan arwah ayah cakap bisa ular adakala boleh bawa maut kalau mematuk. Lagi pun masa tu mendiang crocodile hunter tak ada lagi di TV. Tapi orang cakap ular takut buluh.

Bila dah besar sikit aku mula berani. Bila nampak ular di kawasan rumah aku cari buluh cepat-cepat. Mak pesan kalau nak bunuh suruh dia pergi dulu. Takut ‘jelmaan’. Kalau lepas tiga kali ia tak pergi juga, baru hentam. Sebab itu ular betul yang degil. Nak mampus sangat dah. Kalau jauh aku tak kisah sangat. Kalau dekat-dekat bawah rumah memang aku belasah la. Dan buluh memang berkesan.

Pertama kali aku bunuh ular masa sekolah rendah. Berdua dengan Mat CD. Pakai buluh juga. Penyapu buluh. Bila kena penyapu buluh ular tu jadi lemah. Aku hentam la cukup-cukup. Tak la besar sangat. Cobra sebesar ibu jari tangan orang dewasa. Dah lembik, aku keokkan dengan batu besar. Takut juga masa tu. Tapi sebab Mat CD bagi sokongan moral, semangat menjadi waja juga la.

Selesai membunuh, bangkai ular tu aku perlu tanam juga. Ye la. Perlu hormat la juga kan. Tapi tak perlu public holiday la. Aku cari cangkul dan gali lubang. “Eh, kena gali lubang dua la Mie.” Tiba-tiba Mat CD memberi arahan.

“Aik, kenapa nak buat dua lubang?” aku tanya kehairanan. Tak kan penyapu buluh tu nak tanam juga.

“Ko kena putuskan ekor ular ni. Kepala lubang lain, ekor lubang lain.” Dengan muka selamba Mat CD menambah arahan kerja untuk aku.

“La, pasal pulak?” aku dah lain macam. Tak terfikir pula sebelum tu. Cikgu sains tak cakap pun di sekolah. Peluh pelik pun bercampur dengan peluh penat.

“Abang aku kata ular ni nyawa dia kat ekor. Kalau ko tak putuskan ekor dia, malam ni dia bercantum. Masa tidor dia datang patuk ko. Mati la ko. Tu aku tak berani bunuh ular!” dengan wajah kanak-kanak suci Mat CD membuka rahsia sumpahan ular.


Peh, dengar ‘mati’ aku cepat-cepat buat satu lubang lagi. Putus dua ular tu aku cangkul sebelum kambus.

Dalam hati berdebar-debar juga malam tu bila nak tidur. Terbayang-bayang dendam sang Ular. Tapi buat apa dia datang tempat kami main? Buat tak endah bila aku suruh pergi?

Tapi bila bangun pagi tu hidup lagi. Lega. Syukur pada Allah. Tak mati lagi.

Baru-baru ni aku ternampak seekor ular yang bersaiz king kena lenyek di jalanraya. Dah tiga hari aku tengok bangkai ular tu di muka aspal. Makin lama makin leper. Tak bercantum dan pergi balas dendam malam-malam pun pada pembunuh yang gelek dia!

Thursday, October 9, 2008

Senja Ini Sesudah Senja Itu

Sekarang ni asal masuk senja saja perut aku pun lapar. Masuk senja saja lapar. Tak tau la apa ke halnya. Periuk kenampakan macam bidadari yang melambai-lambai pun ada. Kena pula taktala azan berkumandang di udara. Nasib baik aku bukan muazin. Kalau tak memang semacam la pitching sebab perut se’eh.

Dulu-dulu mak aku memang tegah makan ketika nak maghrib sangat dah. Prentan iblis setan hantu apa kejadah segala kejahatan mula berkeliaran, kata mak sambil suruh mandi dan belajar ngaji Muqadam. Aku pun spontan ngaji sambil makan, “Alif Ba Ta, pak aji buta mata. Kak di atas ka, kak di bawah ki, kak di depan ku, KAKIKU. Ba di atas ba, ba di bawah bi, ba di depan bu, BABIBU!”

PANG!!!

Adoi, mak bagi obat sedas di punggung. Padan muka. Kecil-kecil dah macam lanun!

Kalau tiap-tiap bulan iblis hantu setan kena pasung bagus juga kan? Boleh makan waktu senja tiap-tiap hari.

Glossari

Se’eh: Kenyang melampau-lampau.

Prentan: untuk menunjukkan waktu/masa yang tertentu. Waktu utama kot. Aku syak perkataan tu berasal dari perkataan prime time.

Saturday, September 27, 2008

Haih, Dah Jadi Tahap Bangkai Ke?

Suatu ketika dahulu. Lama juga. Seorang kawan mahu beli anak-anak ayam. Tiba-tiba tanpa mimpi. Murah saja. 50 sen seekor. Mungkinkah anak ayam rejek? Dia pelawa aku beli bersama-sama seorang lagi kawan.

Masa tu anak ayam warna warni popular gila. Tapi aku beli yang putih saja. Sebab murah. Lagi pun bila dewasa warnanya hilang dan dagingnya tak ada warna-warni pun. Taiknya pun sama busuk macam taik ayam biasa.

Reban siap. Dari kayu-kayan dan atap terbuang. Mentol dan wayar beli. Anak ayam beli 10 ekor. Mati dua. Campak dalam lubang sampah. Rugi RM1. Modal tak banyak mana. Sebab bela sikit saja. Lagi pun anak-anak ayam tu comel-comel juga.

Tapi gembira menternak mula bertukar pening. Duit aku menoreh getah mengalir ke dedak ayam-ayam tu. Masa comel sikit punya berhemah makan. Sopan santun. Masuk minggu ke 6, mak aih mengalahkan orang berbuka puasa pula. Tempat dedak tu bergegar-gegar macam gempa bumi. Bekas minum air tu terbalik terbalik hentam dek demeh tu.

Reban kecil jadi sempit. Ayam-ayam tu patuk mematuk sama sendiri. Macam kanibal. Mak suruh sembelih saja. Masalahnya, dalam keluarga kami memang tak ada tukang sembelih. Arwah ayah memang tak pernah menyembelih ayam. Arwah tak sampai hati. Maka terpaksa la kami minta tolong Pak Awang di sebelah rumah kerana kami adik beradik pun tak jadi tak berani juga. Dan ia bukan masalah besar.

Kebetulan ayam-ayam itu membesar dan sedang-sedang sedap disembelih bulan puasa. Setelah mak masak ikut dan, juadah pun bertukar-tukar rumah. Lagi pun banyak kalau seekor. Mak dan arwah ayah tak makan ayam. Maka sehingga nak menyampaikan Hari Raya tinggallah empat ekor saja. Cadang kami nak sembelih bakinya untuk Raya.

Maka sehari sebelum raya sibuk la kami nak menyembelih ayam. Masalahnya Pak Awang entah ke mana dan kesibukan petang tu, aku tak tau dia ada kes apa. Tapi sibuk la. Hari dah nak senja. Risaulah sekalian kami gerangan tak ada tukang sembelih.

Tapi memang nak jadi rezeki. Adalah si Alek anak Pak Cik Sahak lalu. Aku jerit-jerit nama kawan aku tu. Dia datang. Tak ada masalah. Boleh tolong tanpa bayaran. Aku minta dia tolong sembelih semua dan seekor untuk ajak kawan-kawan buat BBQ.

Memang kami ada belajar sembelih haiwan disekolah dulu. Cuma aku tak praktik. Seekor demi seekor ayam keok di tangan Alek. Aku jadi tukang pegang saja. Aku gembira. Bukan sebab dapat makan ayam. selesailah beban tanggung dedak aku nanti.

Tapi ayam yang terakhir tu, yang bersaiz XXL tu, benar-benar membuat kami terasa aneh. Hampir sejam kami tunggu. Tak mati-mati. Haih, apa dah jadi? Apakah ayam ini ada menuntut ilmu kebal ke? Atautakah dia ada bela hantu? Ataukah? Ataukah? Ataukah? Macam-macam fikir terlintas di cepu kepala kami. Kami dah berpeluh-peluh kehairanan. Rasa nak panggil TV3 pun ada masa tu. Tapi tak tau macamana nak panggil.

Akhirnya Alek ajak sembelih sekali lagi. Simpati pula kat ayam tu. Mesti siksa dia tak mati-mati. Moyok saja tepi semak. Hanya satu urat saja yang putus. Setelah di sembelih sekali lagi barulah mati. Selesai masalah.

Malam tu kami pun buat la BBQ ayam sembelih dua kali tu. Aku dan adik beradik aku yang cuci dan katam-katamkan ayam tu. yang sembelih sekali diasingkan. Kami panggil semua kawan-kawan makan. Kami bakar di unggun yang digunakan untuk membakar lemang petang tu. memang sedap betul makan ayam malam tu.

Tapi sekarang baru aku terfikir kes malam Raya tu, sah ke sembelih ayam dua kali macam tu? Boleh makan ke?

Thursday, September 18, 2008

Kalau Al Capone Masih Hidup dan Ada Sekali Masa Tu Boleh Jadi Dia Taubat!

Kedai Brader Atan yang aku cerita dulu tu ada papan dam haji. Kutu yang lepak situ selalu main. Kalau tak ada senior boleh la budak-budak main. Respek la kan.

Kebetulan hari tu ada tiga orang budak sengal main. Aku tengok saja sebab mereka tu gangster. Tak berani la nak campur. Aku nak baca akhbar saja. Nak tengok intisari rancangan. Apa tajuk Drama Minggu Ini malam nanti.

Gangster sengal tu seorang nama Mat Nor, seorang lagi nama Mat Din. Mereka adik beradik kembar. Kembar seiras. Aku selalu keliru. Mujur Mat Din gigi sompek sikit. Seorang lagi nama Sapari. Tapi bukan adik beradik dengan yang berdua tadi.

Setelah Sapari tewas, Mat Nor pula masuk lawan Mat Din. Setelah beberapa pergerakan, Mat Din menyorong buah dam tudung orennya. Mat Nor pula makan satu. “OK, aku makan empat. Setapak lagi naik haji. Hahaha!” bekeletap keletup Mat Din makan empat pula sambil gelak ala-ala Farok Gagak Hitam. Ada hati nak naik haji pula tu.

“Woi, woi. Chup, chup. Aku tarik balik! Tak jadi la makan.” Tiba-tiba Mat Nor mengechup pula dan cuba tarik balik gerakannya dengan muka sangat selamba.

“Woi, kepala bapak ngko! Dah makan mana boleh tarik-tarik dah!” Mat Din dah bengang. Kembang-kembang lubang hidung macam nak merekah gara-gara marah.

“Woi, kepala bapak ngko! Ingat aku ni makan nasik ke. Tadi aku test je. Engko saja suap suruh aku makan tu. Taktik tu aku dah tau. Boleh la tarik. Kalau dua kali tu lain la!” Mat Nor berkeras tak mau mengalah. Buat muka macam setan gondol pula tu.

“Woi, bodoh! Bongok! Bapak kau orang berdua kan sama je. Mesti la kepala pun sama. Kepala mak, wan, aki kau orang pun sama juga tau tak! Main dam pun nak mainkan kepala bapak sendiri sekali!” tiba-tiba Sapari masuk campur demi mententeramkan keadaan yang mula hilang kawalan tu. Adik beradik kembar tu serta merta terdiam.

Macam tu pun nak jadi gangter ke? Bila ternampak kembar berdua tu aku selalu teringat dialog pelik mereka tu!

Monday, September 15, 2008

Cakap-cakap Bisnes Dengan Brader Atan Ais Kepal Suatu Petang

Aku masa budak-budak kalau dulu ada dua puluh sen dah boleh hayun kaki ala-ala Warsaw dah. Apa lagi. Pekena ABC la. Kalau terasa nak makan keropok, beli ais kepal saja. Seposen lagi beli keropok. Ok la. Dulu keropok tebal-tebal. Sekarang macam bulu burung saja nipisnya. Baru pegang dengan jari dah retak bertabur.

Kalau tak kedai Pak Berahim, kedai Brader Atan. Selalu kedai Brader Atan la. Sebab dia selalu buat lawak bodoh. Tak lucu langsung. Tapi aku suka juga dengar. Bukan sebab minat sangat. Tapi sebab nak tengok tahap kebodohan lawak dia tu. Aku pun tak la gelak sangat. Gelak dua tiga das saja ambil hati. Meriahkan suasana serba sedikit. Kot-kot dapat keropok percuma. Kira berdikari dah masa tu kalau dapat rezeki macam tu.

Ada ke patut satu hari Brader Atan cerita kat aku perkataan ‘Thank You’ tu berasal dari dua perkataan Bahasa Melayu. Aku pun nak tahu la. Lalu dia pun cerita. Perkataan ‘Thank You’ tu berasal dari perkataan ‘Tin’ campur ‘Kayu’. Atau senang cerita ‘Tin Kayu’ la. Bodoh kan lawak Brader Atan? Tin tu pun asal kata Bahasa Inggeris la Brader Atan. Memang la aku sekolah rendah lagi. Tapi tak la setaraf tenuk sangat lagi.

Ada sekali tu Brader Atan tanya aku. Ingatkan dia nak uji tahap kebijaksanaan Bahasa Inggeris aku. Dia tanya lepas ‘one’ apa? Aku jawab la ‘two’. Lepas 'two’?. Aku jawab la ‘three’. Begitulah seterusnya. Tapi bila sampai lepas ‘ten’ aku jawab ‘eleven’, dia cakap salah. Aik, apahal? Cikgu B.I aku salah ajar ke? Tak faham aku. Lepas tu Brader Atan cakap lepas ‘Tin’(Ten), jatuh la ‘tin’ tu (kalau kita pegang tin, lepas tu lepaskan tin tu, jatuh la tin tu!). Mak aih, apa ke bangangnya lawak Brader Atan ni? Balik balik ‘tin’. Benci betul aku. Lahir dalam tin ke?

Dan suatu petang semasa Brader Atan sedang menyagat ketul ais aku pula teringin la nak bertanya. Aku order ais kepal rasa sarsi saja hari tu. Sebab ada seposen saja. Nak bagi nampak warna-warni macam selebriti sikit aku suruh campur oren dan sirap sikit. “Abang Atan, tak nak pindah duduk kat London ke?” aku mulakan dialog tak berfaedah petang tu.

“Nak buat apa nak pindah duduk London?” Brader Atan bertanya sambil menyagat.

“Meniaga ABC ngan Ais Kepal kat sana la. Mesti laku sebab Abang Atan lucu. Modal air batu pun tak payah keluar. Kutip je salji yang bertabur tu. Beli sirap, oren dengan sarsi je. Untuk ABC, macam biasa la Abang Atan. Keropok jangan lupa nanti!”

Kalian rasa Brader Atan dah ada kat London meniaga ais kepal tak sekarang ni?

Monday, September 8, 2008

Ramadan, Jambul dan Sebuah Erti Kemanusiaan Yang Rabak (Episod 1+2)

(OK aku habiskan kisah ni hari ni juga. Sebab aku sibuk esok dan terasa malas nak berfikir pasal blog. Yang merah part 1, yang hitam part 2. K. Bye. Selamat terhibur!)
Suatu waktu dulu aku suka tengok gelagat Jambul. Bukan sebab dia badut sangat. Tapi dia pandai buat macam-macam mimik muka. Memang kalah la Jim Carey tu. Pelik-pelik mimik dia buat. Boleh jadi pelakon sampai tahap Hollywood kalau betul gaya asuhan.

Bila ke ladang tolong mak ayah toreh getah atau kutip sekerap aku lalu depan rumah Pak Anjang. Satu jam sampai la. Selalu juga arwah ayah punggah bila sampai sekerat jalan. Bas memang tak lalu dalam ladang kami.

Maka setiap kali lalu, aku memandang Jambul yang tak macam kita itu. Tak pandai cakap. Akal pun sifar. Pak Anjang rantai Jambul di pohon rambutan di depan rumahnya. Aku lalu jauh-jauh saja. Sipi-sipi pun tak langsung. Aku takut Jambul terkam. Buatnya Jambul rampas seluar baju aku macamana?

Tapi kalau musim buah sambil lalu situ, di tangan ada rambutan, langsat, duku, manggis, koko atau lain-lain aku baling juga ke arah Jambul. Bukan nak buat dajal. Saja nak kongsi rezeki sikit-sikit. Jambul memang cekap sungguh. Jambul tackle dan tangkap sebiji macam Canavaro. Kalau jadi goli pasukan bolasepak Malaysia jangankan piala Tiger, piala Dunia pun boleh juara. Malaysia tak akan bolos dan jadi juara secara penalti. Rasuah Jambul tak main la.

Jambul ni pun beradab sopan juga. Dapat saja rezeki dari aku dia buat muka dan bunyi-bunyian aneh. Agaknya Jambul bermaksud; “terima kasih!” Aku pula tak reti la nak jawab “sama-sama”. Tak kan nak tiru mimik muka Jambul. Buatnya ada yang tangkap gambar dan hantar dalam majalah Bujal ke, Bambino ke, Kuntum ke, mana aku nak letak muka? Tak kan nak letak dalam botol bedak Cuticura?

Part 2
Petang tu seperti Ramadan tahun-tahun sebelumnya. Asal puasa saja berdentam dentum. Lebih sebulan main mercun. Hari raya lagi teruk. Penganut Budha pun tak puasa dan raya sampai main mercun macam kita. Sekarang ni, masalah ni makin menjadi-jadi. Mudah betul benda terlarang masuk dan jual di Malaysia ni. Apahal?

Oleh kerana tahap ekonomi kami gitu-gitu saja, maka arwah ayah larang kami main bunga api dan mercun. Membazir dan bahaya. Memang betul. Rumah jiran sebelah terbakar gara-gara cucunya main bunga api atas tilam. Namun sebagai kanak-kanak tentulah aku nak berseronok juga.

Ayah tetap ayah. Kerana sayang, arwah ayah beli juga bunga api cap ‘Kucing Hitam’ tiga bungkus untuk kami. Harganya 20 sen. Di dalamnya ada 10 batang. Tangkainya dawai. Kami akan bengkokkan, bakar, pusing-pusing dan baling ke pucuk pokok mempelam depan rumah kala malam tiba. Seronok dan indah betul. Macam pokok krismas, aku cakap pada abang dan adik. Kalau ada air batu kepal perisa sarsi dan oren seguni boleh main baling-baling bola salji malam-malam.

Tapi diam-diam aku beli juga mercun sikit. Belanja sekolah masa bulan tak puasa 40 sen. Aku selalu sisih 10 sen untuk beli kasut Aliph Lefhanded. Kasut raya selalunya mak dan arwah ayah beli yang jenama Bata tapak hijau. Warnanya putih dan boleh di bawa ke sekolah lepas raya. Mujur la seluar baju warna-warni. Selain itu aku hanya ikut kawan-kawan yang berkemampuan dan suka membazir. Tak dapat main mercun pun tak apa. Dapat tengok dan tolong cucuh pun jadi la.

Masuk separuh Ramadan kami dah jemu main mercun. Main meriam karbaid la. Baru ada pertempuran. Riuh rendah seluruh Felda kami dengan gema geng Meriam Karbaid. Kami memang kreatif dan utamakan keselamatan. Kami tak main la guna buluh. Kami cantum-cantum tin Milo besar jadi macam batang paip. Tanam dalam tanah dan tindih dengan batu berguni-guni. Dia punya bunyi, berdentum!

Maka kecoh la golongan tua yang dah tak rebel ni. Dimarahnya kami. Dan petang tu aku, Ereng, Asan, Alek, Madi, Atan dan beberapa orang kawan lagi berhijrah la menjauh dari golongan yang dah tak rebel tu setelah diusir. Kami berhajat nak main di kawasan ladang saja. Biar terkejutbabi; babi, tupai, semut, segala unggas serta mergastua.

Dan entah apa kejahatnya petang tu nak jadi tragedi; sedang dalam kembara menuju medan tempur lalu depan rumah Pak Anjang, Ereng buat hal. Entah bila dia keluarkan mercun katak. Mercun ni dah susah nak jumpa sekarang ni. Warnanya hijau. Ada empat bahagian dan dililit benang. Ia boleh melompat empat kali dan sekaligus letupannya empat kali juga. Aku pula macam biasa membuang pandang ke arah Jambul masa tu.

Tanpa amaran Ereng cucuh mercun katak seraya baling ke arah Jambul yang mencangkung merenung kami. Maka dengan gaya Canavaro, Jambul sambar mercun tu dan sumbat ke dalam mulut cepat-cepat. Kami hanya memandang. Tak sampai sepuluh saat mercun tu meletup-letup dalam tekak Jambul. Kami bertempiaran lari. Aku tak rasa lucu walaupun ada yang ketawa berdekah-dekah. Pak Anjang mesti menyumpah!

Sejak Jambul kojol Pak Anjang tak bela beruk lagi untuk petik kelapa. Dia kecewa dan bela itik serati saja buat hibur hati. Cukup masa boleh jual. Dan aku pula bila dengar dentuman mercun sesekali teringat juga peristiwa menyayat hati itu. Mungkin itu takdir Jambul. Tapi ada juga rasa kesal. Manusia la yang merabakkan erti kemanusiaan selama ini. Bukan binatang.

Buat Jambul yang pandai buat lucu macam Jim Carey tu, tentu kau sedang damai di Sana. Tak perlu lagi memburuh memetik kelapa untuk upah tak seberapa untuk hidup di dunia yang semakin hodoh dan kelam ni.
Tamat
Aku sayang semua kawan-kawan aku. Peace!

Tuesday, August 5, 2008

Geng Jahat: Hobi Absurd Ahmadi S Buat Kelas Ceria Sungguh Pagi Itu…

Bila kelas Darjah 2 Biru masuk jadual waktu Bahasa Inggeris memang semua senak. Macam-macam sebutan bila bersuara. Jadi semua pakat senyap. Maklumlah. Budak kampungan semuanya. Tak payah la nak berlagak. Semua kurang lebih. Dalam otak aku masa tu Bahasa Inggeris cuma satu ayat. Angkat pembaris panjang tinggi-tinggi. Jerit kuat-kuat. “Thunder! Thunder! Thundercattttt!!! Hoarrghhhh!!!”

Seperti cikgu-cikgu lain pagi tu Cikgu Wong Poh Teck (WPT) cuba menggalakkan kami untuk bercakap sebenarnya. Kami anak peneroka. Inferiority Complex memang menebal waktu itu. Itulah tugas beliau. Mendidik kami. Kalau tak apahal beliau nak sibuk-sibuk tanya kami yang entah apa-apa ni pasal hobi pagi-pagi lagi? Pengurus ladang tempat kami pun tak ingin ambil tahu. Semua Cikgu WPT tanya. Semua kena jawab, “My hobby is bla bla bla…”

Kami jawab ikut dan saja. Bukan susah. Sangkak itu saja kebolehan kami. Biasanya cikgu kami itu akan betulkan semula apa yang kami sebut sambil senyum-senyum. Entah apa la makna senyum tu. Beliau tak marah walaupun mungkin mengalami tekanan jiwa dengan kami ketika tu. Beliau ‘cool’ saja malah kadang-kadang buat lawak panggil aku Remington Steele. Aku pun tak tau apa benda Remington Steele masa tu.

CIKGU WPT : Fauzi, what is your hobby?”
POJI : My hobi is lastik burung teacher.
CIKGU WPT : Jamsari?
JAM : My hobi is mandi sungai teacher.

CIKGU WPT : Khairul Anwar?
ERENG : Mai hobi is panjat pokok teacher.

CIKGU WPT : Remington Steele?
AKU : My hobby is mengumpul komik teacher.

CIKGU WPT : Mazlan?
ABE DE : My hobi is mengumpul setem teacher.

CIKGU WPT : Ahmadi?
AHMADI S : Err..mai hobi is..err..mengumpul taik chekgooo!!!
CIKGU WPT : What?!!!

HAHAHAHAHAHAHA
Ahmadi S kena berdiri sebelah kaki atas bangku sampai tamat waktu. Muka Cikgu WPT jadi macam Wong Fei Hung pula waktu tu. Aku tak tau la Ahmadi S tu latah ke, kena sampuk jin Islam ke atau sawan panik ke. Tapi memang tak ada langsung riak wajah yang menampakkan dia kesal waktu tu. Sengih-sengih pun tak ada. Muka macam kanak-kanak suci saja.
Kepada insan-insan mulia yang diamanahkan jawatan Guru semua, tak kira la Cikgu S.Yanaz ke, Cikgu Lutfi ke, Cikgu Sahrunizam ke, Cikgu Ojie ke dan cikgu-cikgu lain yang aku tak tau dia tu cikgu, sila beri jawaban kalau kalian baca entri ni. Kepada yang bukan cikgu pun boleh kalau nak bagi jawaban. Digalakkan sangat-sangat.

Soalannya: Selain atas bangku, berdiri di atas apa lagi denda yang layak untuk Asmadi S ni? Kalau aku suruh berdiri atas atap sekolah saja!

Nota Ajaib: Masa tu Matematik dan Sains belum di ajar di dalam Bahasa Inggeris, dan dengan alat bantu waktu itu sangatlah daif tapi ramai di antara kawan-kawan aku yang berjaya juga. Jadi guru, peguam, doktor, perancang Bandar, pemuzik, pensyarah, wartawan bernama dan macam-macam lagi la. Bayangkan kalau semua subjek di ajar dalam B.I. Budak kampungan macam kami mesti makin bangang. Bukankah lebih baik ajar B.I guna cikgu yang baik macam Cikgu WPT tu untuk meningkatkan tahap B.I kami?

Monday, August 4, 2008

Bukan Kisah 18SX: Mulanya Aku Malas Nak Cerita!

1997 semester pertama aku di Polytechnic of New Castle . Sebilik dengan seorang mamat Perak. Nama dia memang tak ada langsung bunyi-bunyi Joe. Budak-budak panggil Joe Janggut. Sebab jongang dan berjanggut. Budak Diploma Mekanikal Pertanian. Aku Diploma Kejuruteraan Awam. Kami sebenarnya tak berapa ngam.
Hari tu ada acara buat bubur Asyura. Aku bukan peminat Asyura. Pergi juga sebab acara wajib kunun. Ada sembelih lembu. Kenduri-kendura la. Masa makan memang ramai. Lepas tu sekejap saja dah ghaib. Kurang asam punya malaun. Tak boleh jadi. Aku pun kena ghaib juga la ni. Joe pun sama. Apa punya joe. Kerja tak senonoh pun nak tiru?
Tapi pelarian kami tu tak ke mana. Lari ke bilik memang la tak selamat. Bilik pula depan tempat buat majlis tu. Tingkat bawah pula tu. Kalau bilik kami lokasinya di Semenanjung Gaza atau atas gunung Kinabalu warden yang cari kami tu susah sikit la. Dia ke tingkap bilik dan panggil kami turun semula.
“Kamu berdua. Minta tolong cuci pantat kawah dan periuk-periuk tu. Lepas tu tolong hantar ke stor.” Warden tu dengan muka selamba menagih pertolongan kami.
“Beres Encik.” Jawab aku dengan gaya paling meyakinkan. Joe pula tergaru-garu sambil sengih-sengih lepas warden tu pergi. “Apahal? Jom la. Ke nak lari juga?” aku tanya Joe yang dah macam mabuk gam pula tu.
“Pantat?” Joe jawab tanya aku dengan tanya pula. Laa, itu pula yang dipeliknya.
Walaupun aku baru sangat di sini, tapi aku sebenarnya dah biasa juga dengan budaya orang Kelantan ni. Aku orang Pantai Timur dan membesar pula di Felda. Di Felda jangan kata orang Kelantan, Johor, Terengganu, Perak, Jawa, Banjar, Bugis, Cina, India dan entah dari mana lagi pun ada. Kalau di tempat lain perkataan tu dianggap mencarut. Tapi di kelantan tidak. Biasa saja.
Memang ada dalam Kamus Dewan pun. Ia bermaksud bahagian dasar atau paling bawah. Contohnya baldi ke, periuk ke, cerek ke. Apa-apa la kan. Begitulah penerangan aku kurang lebih pada Joe. Dia angguk-angguk faham. Muka pun nampak macam semangat pula. Tapi aku gagal baca apa ada dalam kepala Joe.
“Hoi, payah betul nak cuci pantat kawah ni. Tebal bukan main kerak kat pantat dia.” Tiba-tiba Joe bersuara. Perkataan pantat tu pula bukan main-main kuat la di sebutnya. Saja nak bagi orang lain dengar. Serius pula tu mukanya. Beberapa orang budak perempuan yang berada di situ berpandangan sesama sendiri. Budak-budak perempuan yang asal Kelantan mula bengang. Tuduh Joe sengaja menghina bahasa mereka. Budak-budak lelaki dah mula gelak-gelak.
“Hah, tu apa lagi tu. Cuci la pantat periuk, belanga, baldi, besen, cerek tu semua. Jangan nak harapkan aku je cuci pantat-pantat benda ni semua.” Joe mula buat bising macam orang hilang pedoman pula. Arahkan pula budak-budak perempuan yang ada di situ buat kerja. Perkataan pantat sengaja diulang-ulang dengan volume yang tinggi. Gelak budak-budak lelaki makin kuat.
Tak sanggup aku berkawan dengan Joe hari tu. Entah apa-apa. Memang lucu. Tapi bodoh sangat. Dan untuk uji ilmu ninja dalam dada, aku pun ghaib dan muncul di Kafetaria untuk lepak bersama kawan-kawan beberapa minit lepas tu. Ha. Ha. Ha.

Nota Ajaib: Aku tak faham sampai hari ni, kenapa tak lama lepas tu Joe Janggut masuk geng Tabligh?

Tuesday, July 29, 2008

Advencer Pengakap Muda: Akela, kami buat habis baik!!!

Walaupun masa darjah enam baju aku dah ada tulis ‘Van Halen’ tapi berpengakap tetap aku pandang hebat. Bila komandan jerit, “tepuk pengakap!”. Aku cepat-cepat tepuk laju-laju. Singa laut pun tak laju macam aku tepuk. Bangga gila bila budak-budak Bulan Sabit pandang dua tiga macam. Dengki bukan main-main la tu.
Berpengakap kalau tak ikut perkhemahanan baik tak payah. Memang seronok. Rasa macam askar nak pergi bunuh komunis pun ada dalam sanubari. Kembang-kembang hidung pikul beg. Mujur senapang tak dibekalkan. Kalau tak, sepanjang jalan dari rumah la aku merangkak macam askar mengendap musuh hingga ke tapak perkhemahan. Biar semua orang tabik sambil meleleh air mata sebab kagum yang amat.
Tapi tak boleh aku lupa masa bila ikut serta Jamboree Pengakap di Kem Mahkota Bandar Jengka. Ia untuk budak-budak darjah lima dan enam sahaja. Perkhemahan ni memang besar.
Waktu tu semua badan pengakap sekolah di seluruh Jengka akan berhimpun di situ. Malah seluruh Pahang yang menerima jemputan turut serta. Aku tak tahu berapa sekolah yang dijemput, tapi memang ramai dan meriah masa tu. Seratus khemah ada barangkali.
Kena menebas dulu. Betul-betul hutan simpan masa tu. Tak macam sekarang ada tapak khemah. Dengan duri rotan, anak kayu dan kayu mati rasa macam nak buka kampung pula. Siap buat khemah, buat gajet lebih kurang, tungku dapur dan lubang sampah dah lega. Oh, ya menara peninjau. Kena ada tu. Senang nak teropong awek.
Mandi lebih kurang di sungai berhampiran. Aku tak pandai berenang. Mandi sungai bawa gayung. Kawan-kawan boo. Malu kena gelak dengan awek. Binawe betul. Lantak la.
Balik khemah Bogok dan Panjang masak. Sebab mereka mengaku pandai. Masak sardin saja. Malam mula-mula. Aku masak air. Makan banyak juga kami. Memang tak sedap langsung masakan Bogok dan Panjang. Lagi sedap air yang aku masak bila buat kopi. Tapi lega la juga bila dah kenyang. Rehat dulu. Lepas Isyak ada aktiviti.
Aduh, tiba-tiba perut pula rasa semacam. Entah apa hal la malam tu nasib aku. Siang-siang tak nak berak. Orang lain tak pula. Memang nak kena la gamaknya. Aku lari-lari pergi tandas. Gampang betul. Tandas tak cukup. Perkhemahan sikit punya besar ada sepuluh saja tandas? Lima lelaki lima perempuan. Semua penuh. Apa kejadah. Tak guna betul. Nak lari ke sungai jauh juga dari khemah. Aku takut. Gelap gila hutan tu.
Mujur la otak genius aku teringatkan tandas pasar malam lama di Bandar Jengka tu. Jauh juga. Tapi cerah la dari ke sungai tu. Aku lari-lari anak terkepit-kepit. Memang ngeri gila babi masa tu. Kalau masuk olimpik memang menang la. Sebab pelari-pelari lain semua pitam terkejut tengok skill larian aku.
Sampai sana memang sepi. Orang tak berniaga malam tu. Lampu pun samar-samar saja. Aku dah agak. Memang orang tak pergi situ. Sebab jauh juga dari tapak khemah. Lima ratus meter ada rasanya. Ada empat tandas awam di situ. Aku dah senang hati sikit. Takut-takut ada juga dalam jiwa. Maklumlah, zaman tu zaman hantu kum-kum.
Aku tuju tandas pertama. Tuii!! Macam laknat. Tak selera aku. Tandas kedua pintu pula tak ada. Tandas ke tiga tersumbat. Aku dah tertekan. Tandas ke empat kalau tak boleh pakai lagi aku nekad dah. Memang aku panjat. Aku berak juga atas atap tandas tu sebagai tanda protes. Elok aku buka saja, “arghhhhh!!!!”
Satu suara menjerit. Punya la kuat. Aku pula punya la terkejut. Menjerit sama. Jantung memang rasa dah melompat sampai ke otak. Aku ingat pontianak mula-mula. Tak kan pontianak berak dalam jamban juga. Entah budak perempuan mana aku tak tahu la sebab tak berapa cerah. Aku kaget sekejap.
Dah tak fikir apa lagi dah masa tu. Darah semua tuju otak. Aku pusing dan pecut tuju khemah. Takut juga kena tuduh mencabul. Hantu tak la takut sangat dah. Tak jadi nak berak. Perut sakit sebab gelak pula. Kawan-kawan tanya macam-macam. Aku cerita la. Semua gelak. Babi Junaidi ajak aku cari balik dan tunjuk awek tu. Dia tanya cantik tak? Aku cakap mana aku kenal. Tak nampak muka pun. Gila babi. Awek tu punya la pemalu. Dia sanggup angkat kain, cepat-cepat tutup dia punya muka sambil jerit!

Wednesday, July 23, 2008

Dia: Bukan Osman Kering Rupanya...

Pagi tu Ahad. Cita-cita besar aku nak tambah tidur lagi. Jarang sekali aku dapat tidur ekstra ni. Pukul 10 pagi nanti bangun la layan ‘Dragon Ball’. Adik dah bersiap sedia. Awal betul dia. Entah apa-apa. ‘Selamat Pagi Malaysia’ pun dia tergamak nak layan.
Tapi kawasan rumah mak aku memang hingar sikit. Lokasinya di depan jalan utama. Jalan tu la orang hantar dan jemput anak-anak sekolah, Bang Dolah hon-hon sambil jual ikan sayur, orang lalu-lalang hantar getah sekerap, bas sekolah dan bas kilang berhenti, kutu-kutu melepak main gitar di hentian bas dan macam-macam lagi. Demonstrasi jalanan dan ‘tiger show’ setakat ni belum ada lagi la. Jadi Ahad menjanjikan sekelumit kedamaian.
Tapi yang paling bengkek budak-budak motor suka sangat buat pusingan U depan rumah mak aku. Uji meter la tu kononya. Tolok meter mati pun nak uji meter. Apa barang. Kalau motor tu bunyi macam basikal tak apa la juga. Ni macam ekzos concord. Bengang la aku. Nak gali jalan depan rumah tu buat kolam udang harimau tak boleh juga. Nanti mana aku nak lalu pula.
Dalam banyak-banyak motor tu pula, motor Osman Kering (nama separuh sebenar tapi bukan seorang pelawak) la paling aku menyampah tahap sampah. Sakit betul jiwa raga dengar bunyinya. Dia punya bunyi, kalah petir. Dia punya laju pula, tak payah cerita la. Memang tak laju gila. Burung Raja Udang pun boleh pintas. Motor Yamaha CDI togel buruk tu diwariskan oleh arwah ayah dia. Hampir setiap petang Osman Kering buat uji meter dan pusingan U depan rumah mak aku. Dengan muka serius pula tu. Dia ingat dia Kesatria Baja Hitam agaknya.
Dan pagi tu Osman Kering buat hal lagi. Bukan main-main kuat deruman motornya. Lama pula tu dia pam minyak ke karburetor. Tak gerak-gerak. Statik saja bunyinya. Aku dalam selimut dah mula bengkek. Semua mengantuk yang aku seru-seru dah hilang terbang pergi mana entah. Aku syak memang Osman Kering punya la tu walaupun bunyi motor dia dah lain sikit. Dia tukar ekzos la tu. Peduli apa aku. Kali ni memang aku baling juga dengan batu budak Osman Kering ni kalau dia tak jalan-jalan lagi. Tapi tak jalan-jalan lagi. Sabar aku pun dah pupus. Memang tak ada kerja betul budak Osman Kering ni. Kali ni kau dah pijak periuk api la Osman Kering. Aku bangun dan duduk.
“Woi, gampang betul Osman ni. Main minyak motor depan rumah kita pulak. Jalan je la. Memekak je!!!” aku jerit separuh kuat dengan separuh kaki pula dalam selimut.
“Weh, bukan Osman Kering. Kawi la. Mak suruh Kawi mesin rumput. Rumah dah semak!” adik aku dengan muka selamba membela Osman Kering sambil menonton Selamat Pagi Malaysia lagi.
Laaa, bukan Osman Kering rupanya. Aku kemas-kemas tempat tidur. Pergi dapur cari makanan. Lapar betul. Motor Osman Kering masuk bengkel agaknya. Mak pun kalau nak suruh Kawi mesin rumput bagi la arahan suruh buat petang-petang sikit!
Pengetahuan Am: Osman Kering dah meninggal dunia lebih kurang lapan tahun lalu sebab sakit jantung.