Showing posts with label Kawan Selamanya. Show all posts
Showing posts with label Kawan Selamanya. Show all posts

Wednesday, March 10, 2010

Imran Kaki Pukul Yang Pernah Gua Ludah

Imran praktis suatu petang di bulan puasa. Aku ambik gambor. Lepas tu dia suruh aku petik-petik lagu 'Fly Me To The Moon' versi zapin. Macam ketuat punya suruhan.

Ini Imran. Kawan gua dulu-dulu. Sebab selalu sangat lambung tandan sawit masa darjah 6, urat tangan Imran jadi macam Terminator. Akhirnya Imran memilih untuk jadi kaki pukul. Beliau mampu ketuk snare 180 kali sesaat. Hampir menyamai rekod anak burung belatuk.

Imran kata dia pernah berguru dengan Mike Portnoy dan Cozy Powell masa sekolah tadika. Semua orang tak percaya. Sebab nampak tipu tahap hilang ingatan sangat. Lepas itu bila beliau sedar dan insaf tentang kenyataannya yang keterlaluan itu, beliau segera mengubahnya tanpa segan silu. Tanpa bertaubat beliau berkata: sebenarnya Mike Portnoy dengan Cozy Powell tu yang berguru dengan aku!
Tapi dah lama juga gua lost contact dengan Imran ni, semenjak studionya yang jadi tempat gua tumpang beribadah di bulan Ramadan tutup dan beliau berpindah ke Kuala Lumpur untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik di ICOM. Foto ini pun gua jumpa semalam. Dah kelabu asap. Gua sendiri yang snap ni guna kamera Yashica RM50.

Sebenarnya Imran juga pernah belajar satu politeknik dengan gua. Bezanya beliau masuk mazhab elektronik. Tapi kerana cinta kepada muzik, beliau tinggalkan bidang elektronik sewaktu semester 3. Kalau tidak mesti beliau senang-senang saja mampu mencipta tong drum elektronik.

Ada satu kenangan rare gua dan beliau yang tak dapat aku lupa. Sewaktu kami konvoi ramai-rami balik ke politeknik dan melalui route 666 di Gua Musang. Masa itu gua batuk batuk dan berkahak. Kemudian gua meludah macam spitfire. Tak sangka kahak itu terbang dan hinggap di helmet visor Imran yang following di belakang.

Tapi Imran tak pukul pun gua. Dia marah-marah ketawa. Semua kami pun ketawa. Apalah gua ni. Tak pandang pandang jeling jeling langsung. Mujur kahak gua tak berasid dan menembusi visor beliau. Semenjak itu gua berhati-hati di route 666.

Monday, January 25, 2010

Kisah Aduka Taruna

Kadang-kadang aku suka ikut lori. Sebab diver lori peringkat satu yang kerja sekali dengan aku itu menggembirakan orangnya. Walaupun lagaknya kadangkala lebih dari boss. Itu tidak mengapa. Yang penting beliau lucu. Kadang-kadang aku juga yang lebih lucu dari dia.

Tapi janganlah disangka air yang tenang tiada buaya. Janganlah disangka juga orang yang lucu tiada ilmu. Itulah kesilapan orang Melayu kita. Selalu menganggap sesuatu yang lucu itu hanya mengirim kekosongan ke dalam minda. Walaupun memang tak ada niat pun hendak mengajar.

KOMA

Suatu petang. Kami pulang dari Kuala Lips. Hujan tidak hujan. Panas tidak panas. Alam dengan bukit bukau nan hijau di kiri kanan, deretan rumah-rumah, kedai dan warung orang-orang melayu kedapatan di pinggir-pinggir jalan apabila sesekali melewati kampong. Kambing, lembu, kerbau dan ayam itik juga berlenggang-lenggang di tepi jalan dengan tujuan masing-masing. Semua digerakkan suatu tenaga luar biasa.

Demi terpandang sungai Jelai yang keruh dan lesu, aku menjadi sayu. Ada pembalakan entah di mana. Di hulu boleh jadi. Begitulah rakus manusia memperkosa alam seolah-olah duit adalah segala-galanya. Aku sebagai manusia yang senang dengan hasil seni seperti lukisan, muzik, arca dan lain-lain berasa sangat pilu. Pembalakan dan pemusnahan ekologi adalah penghinaan kepada Tuhan yang tiada taranya.

KOMA

“Hoh, apahal brek mengejut ni, pak cik?!” tegur aku ketika melalui jalan zig-zag di sekitar kampong Jeram Landak. Jalan itu memang bahaya. Di belakang kenderaan lain tiada. Kelajuan lori hanya sekitar 80km/j.

“Tak nampok tu? Ulor tu hah!” kata pak cik driver lori sambil menjuih.

“Laaaa, bangkai ular, lenyek je la pak cik!” kata aku. Memang aku sudah nampak pun bangkai ular tedung hitam yang sudah terlepak di laluan itu.

“Tak baik. Dia dah mati. Kena hormat. Siksa mayat dia tu nanti. Selagi boleh elak, kita elak.” Kata pak cik driver lori itu dengan jujur.

Aku segera memalingkan pandangan ke arah sungai Jelai yang lesu tapi berliku-liku dalam kekeruhannya itu.


KOMA

Kehidupan ini sangat indah. Namun debu-debu dari sisa penghinaan terhadap sesama makhluk semakin menenggelamkan maksudnya. Seperti kulit kerang terbenam dalam pasiran. Sayu lagi pilu serta mencengkam ngilu.


Berhentilah menghina sesama makhluk demi cita-cita dan kekayaan. Menghina dan bergurau itu berbeza. Setakat buat hal sekadar hendak glamor supaya boleh jual e-novel dan baju T tu tak berbaloi langsung cari penyakit begitu. Tapi kalau terpaksa kutuk tu, macam zionis itu -- kutuk sajalah.
Lantaklah demehhhh...

Pak Cik Driver Lori memandang masa depannya yang kelam di dalam tandas yang belum siap.

Tuesday, January 5, 2010

Isu Penggunaan Nama Allah


“Boleh ke guna nama Allah suka-suka hati macam ni? Berdosa karang. Masuk neraka nanti. Aok nak jadi macam kambing BBQ ke?” kata aku. Bercampur pertanyaan.

“Boleh sangat la weh, terpaksa ni. Kalau tak kita dalam bahaya ni. Darurat tau dok?” Mat CD memberi alasan. Bercampur mengajar aku.

Memang bahaya. Kutu-kutu dekat kampong kami memang tak boleh dipercayai. Ini adalah penemuan terbesar kami. Top secret yang paling terahsia. Kalau kutu-kutu lain jumpa memang jahanam bersepai.

“Kalau demeh panjat pokok pinang ni nanti demeh berdosa. Silap-silap demeh tak perasan pun pasal ni. Tak boleh panjat. Mata demeh tak nampok, ha ha ha,” kata Mat CD dengan yakin.

Entah mana Mat CD selalu dapat ajaran pelik-pelik aku pun tak tahu. Tapi yang ni, nak kata boleh pakai, macam boleh. Tapi macam tak boleh juga.

“Ikut aok la. Keh mana tau. Janji dapat, kita bela, lepas tu asah lidah dia sampai boleh mengucap,” kata aku menurut kata Mat CD. Berangan pulak tu. Diri sendiri pun jarang mengucap.

“Alip, lam, lam, he = Allah, siapa curi dia berdosa!” kata Mat CD sambil menoreh-noreh muka pokok pinang dengan menggunakan jari telunjuk. “Aok pun buat juga la, dabal baru kuat sikit.”

“Alip, lam, lam, he = Allah, siapa curi dia berdosa,” kata aku sambil menoreh-noreh dengan menggunakan telunjuk juga ke muka pokok pinang tempat burung tiung tengah bersarang.

Bukan setakat pokok pinang tu, lepas tu macam-macam benda aku tulis alif, lam, lam, ha dengan jari menggunakan dakwat invisible sebab takut orang curi. Selipar, selalunya -- bila pergi mengaji malam-malam. Sekarang insaf dah. Tak buat macam tu lagi.

Tuesday, September 29, 2009

Dari Suatu Penjuru Idulfitri

Petang itu sangat aneh. Rasa janggal kalau tiada bahulu. Aku pula menjadi agak rajin dan bersemangat. Bertahun-tahun aku tidak ke rumah kawan lamaku itu. Tiba-tiba sahaja aku tergerak hati untuk ke rumahnya. Entah kenapa jadi perajin. Tuhanlah yang menyuruh aku ke sana petang itu.

Aku membayang-bayangkan wajah kawanku; yang ku kenal semenjak kecil lagi itu. Rambutnya yang berketak-ketak, hidungnya yang kecil, matanya yang bulat, kulit sawo matang dan badannya gempal ketika saat terakhir aku memandangnya – muncul dalam gambaran otak ketika memandu motorsikal ke rumahnya. Ketika kecil dia memang kegemukan.

Rumahnya bukanlah jauh sangat dari rumah ibuku. Hanya lima minit pemanduan berhemah. Tetapi kerana kesibukan, kami jarang benar kunjung mengunjung dan berbual-bual seperti dahulu. Memang dahulu aku rajin ke rumahnya menonton video konsert dan melihat abangnya bermain gitar karan. Dulu-dulu kalau ada budak-budak band underground dari mana-mana, hendak membuat gig di Bandar Jengka, selalu sangatlah menumpang tidur di rumah kawanku itu. Yang pernah datang sekitar awal 90an dahulu ialah Aru (dulu Punisher, Koffin tak dak lagi), Kombat dan Olie. Lain-lain lupa.

Setibanya di hadapan rumah kawanku itu, semua kenang-kenangan itu hancur lebur menjadi hablur diterbangkan angin entah ke kubur. Entahlah. Biarkanlah semua itu. Kata orang, apalah di harap gandum seberang, entahkan iya, entahkan tidak. Merepek sangat ni. Lupa.

“Assalamualaikum! Assalamualaikum! Assalamualaikum!” aku memberi salam tiga kali berturut-turut. Senang sikit. Kalau tiada tuan rumah, aku boleh terus balik.
“La, kejap! Zul, kawan ko datang!” jerit Sudirman.

Belum sempat aku hendak nyanyi lagu ‘Pelangi Petang’, Joe sudah datang.

“La, dari mana? Tak kerja hari ni?” Joe tanya.

“Cuti dah. Bahulu ada lagi?” aku pulak tanya.

“Ko, tak nak tempah awal-awal. Ada sikit sangat je lagi. Hari-hari biasa boleh la. Ni aku tambah tiga lagi pekerja. Aku tak larat nak buat dah. Seminggu sebelum raya ni je 100,000 bijik ada rasanya aku buat. Bahulu saja tu, belum kuih lain-lain. Sampai ke Raub nu tempahan. Kawasan sini pun aku tak sempat nak supply dah. Oven dah tiga tu. Packaging pun tak sempat label dah. Aku ada mintak tapak dekat Bandar, tapi diorang senyap. Aku ingat nak buka kilang belakang rumah ni je. SME bank pun dah bagi rm20ribu lagi. Kuih kapit la, popiah la, apa jadah semua bla, bla, bla…” Joe membebel cerita pasal bisnes kuih muih dia. Tapi gaya Joe bercakap masih macam dulu. Standard KL punya gaya, walaupun sudah hampir 10 tahun kembali dari KL.

Kerana waktu buka puasa untuk hari terakhir sudah makin hampir, aku minta diri setelah beli RM20 untuk 200 biji bahulu yang rangup [tidak macam kek langsung]. Sewaktu pulang, berbagai-bagai yang berputar di dalam kepalaku. Dulu rumah Joe memang tempat kami tumpang tengok video konsert Rock. Sekarang sudah mahu jadi kilang kuih-muih. Entah ke mana menghilang ke‘rock’an Joe dan abangnya itu, aku pun tidaklah mengetahuinya lagi. Tetapi jauh di sudut hati, aku mendoakan semoga perniagaan kuih muihnya yang halal itu berjaya. Walaupun MECD sudah tiada.



P/S: Selamat Hari Raya Idulfitri. Maaf untuk semua salah silap yang zahir dan dalam hati. Kalau ada yang tidak berkenan tentang apa-apa di sini, anggaplah aku cuma merepek meraban sahaja. Cuma tulis main-main sahaja. Kosong-kosong, OK.

Tuesday, July 14, 2009

Operasi Buah Duku

Suatu petang. Angin sepoi-sepoi bahasa PPSMI. Kami kehilangan idea setelah pulang dari sekolah. Jangan tanya pasal makan tengahari. Benda-benda macam itu pun nak tanya? Sudahnya kami berkumpul main karom di kedai abang Atan.

“Jom pergi makan buah duku nak?” tanya Kay tiba-tiba.

“Dekat mana?” mestilah aku tanya. Mana ada buah duku depan aku. Pokok ada dekat rumah aku. Tapi belum berbuah. Batang pokok lagi kecil dari botol kicap Cap Kipas Ketam.

“Sedap tu. Aku dah lama tak makan duku.” Pendi menyampuk.

“Eh, jom la. Tapi dekat mana?” Asan pun macam aku. Nak tahu.

Tak kan nak pergi makan dekat pekan sari pulak. Kay bukan ada duit nak belanja kami. Kay buat lawakkah? Aku bertanya dalam hati nan lara sebab baru back buah merah tapi tak kena.

“Kita pergi Paya Angut nak? Kampong abah aku. Bolehlah makan duku puas-puas. Tak payah bayar pun. Bukan setakat duku, getah sekerap pun ada. ” Kay memberi penerangan seolah-olah mendengar bisikan hati suci aku.

Ya, Paya Angut memang kampong abah Kay. Aku tahu itu. Maka kami pun setujulah untuk merealisasikan operasi buah duku petang itu.

Aku bonceng motorsikal Yamaha CDi Autolobe tahap Kombat milik abah Kay. Mudguard pun udah tinggal separuh. Belah depan tak ada lagi. Pendi pulak bonceng motorsikal Suzuki Best bapak Asan. Tapi Asan la yang pandu. Tak kan bapak Asan. Masa ambil motor itu, bapak Asan sedang mengasah pahat getah. Tak kan nak ajak bapak Asan sekali. Nak kena toreh pusat?

Dipendekkan cerita (tak larat aku nak taip!) kami pun sampai ke Paya Angut. Kami tak pernah sampai tempat itu. Boleh tahan juga semaknya. Bukan dusun buah pun. Kebun getah yang di dalamnya ada di tanam beberapa batang pokok duku. Lebat juga buahnya. Sudah ranum pun.

“Eh, jom la makan. Belasah je. Jangan malu-malu.” Kay mempelawa sambil memanjat sebatang pokok duku yang lebat buahnya.

Pelawaan Kay itu sudah terlewat. Beberapa tangkai buah yang boleh di capai kami dah rembat. Petang itu memang puas kami makan duku yang segar. Manis betul. Kulit bertaburan di tanah. Mana buah-buah yang lebih Kay isi dalam jabir. Nak makan dalam perjalanan balik.

“Siapa yang toreh getah kebun abah kau ni, Kay?” aku bertanya sambil menunjuk ke arah pokok getah yang ada kesan torehan.

“Eh, ini bukan kebun abah aku.” Jawab Kay selamba.

“Aik, tapi tadi ko kata kebun abah ko?” Pendi pula bertanya kepelikan.

“Bila masa pulak aku kata macam tu? Kebun abah aku nu kat kampong aku kat depan lagi nu. Jauh lagi. Ni kampong lain ni.” Jawab Kay sambil mulalah tersengih-sengih.

“Habis ni kebun siapa?” tanya aku kembali.

“Mana la aku tau. Janji dapat makan duku dah la. Jom la balik.” jawab Kay sambil mengajak balik.

Semenjak hari itu kalau Kay ajak kami ke kampong dia makan buah kiwi pun, kami tak mahu lagi ikut. Apa lagi makan buah kiwi atau kiwi kasut (lawak bodo!).

Friday, May 8, 2009

Bagi kami, tiap-tiap hari adalah hari ibu dan bapak

Kawan aku dulu yang paling handal bersukan nama dia Mang. Ajak la main apa pun Mang memang raja. Macam senang saja dia main. Entah-entah masa mak dia hamilkan dia dulu, asyik main saja tak?

Tapi paling aku suka tengok Mang main snuker. Peh, kalau Mang ajak aku main kira satu mata 20sen, aku lagi rela pergi buat majlis qiamullail dekat masjid seorang diri. Makan black sokmo. Aku pulak minum air sokmo.

Entah mana Mang menuntut ilmu snuker itu pun aku tak tahu la. Masa mula-mula kenal dulu memang aku tak tahu. Handal betul dia. Nama-nama pemain snuker dunia pun Mang kenal. Aku haram tak tahu selain Sam Chong dan Ogeng budak Padang Piol tu.

Snuker, snuker juga. Tapi pelajaran Mang tak lupa. Suatu hari aku ke rumah Mang di Jengka yang lain. Kami ada tutorial Kejuruteraan Tanah untuk disiapkan. Sikit punya ilmiah kami petang itu menutorialkan diri di beranda rumah.

“Hah, ni apa benda ni?!” tiba-tiba kedengaran suara ibu Mang bertanya dari dalam.

Terkejut juga mulanya. Aku ingat pertanyaan itu Ibu Mang lempar ke muka aku. Tapi mana ada orang berborak suara sayup-sayup balik dinding macam itu. Kami sama-sama terdiam.

“Haih, tak habih-habih awak ni membeli nombor ekor. Kena tak juga.” Ibu Mang membebel lagi.

“Ala, main-main je. Bukan banyak mana habih pun…” bapak Mang membela diri.

“Tak banyak apa. Lepas beli, beli. Lepas beli, beli. Banyak la tu. Membazir je. Duit tu kalau bagi dekat Mang lagi bagus. Boleh juga dia buat belanja pergi main snuker dekat Tong Kiat!” bebel ibu Mang lagi dengan jujur.

Mang hanya tersengih memandang aku. Baru aku tahu macamana Mang boleh jadi handal main snuker. Tetapi waktu itu kami tetap belajar bersungguh-sungguh supaya dapat diploma dan buat ibu bapa kami gembira bila kami lulus periksa.

Friday, February 27, 2009

Stesen Muzik Jaha

MALAM ITU…

Dulu-dulu nama DJ Isma Halil Hamzah memang top gila. Asal pukul 12 malam saja budak-budak tunggu suara beliau ke udara di Radio Muzik- Rentak Muzik Anda (sekarang Muzik FM daa..). Memang la. Masa itu Isma Halil main lagu Rock memanjang. XPDC memang tengah meletup pulak.

Di rumah kami yang aman damai lagi sejuk, bak rumah para-para wali itu, radio buruk milik Bob amatlah diperlukan. Sebab malam-malam masa itu tayang ‘Smart Shop’ saja di TV. Nak tengok siaran siam tak reti bahasa. Apa ke jadah Jacky Chan pun reti cakap siam dalam cerita Cina?

Maka kerana minat sangat dengan Isma Halil, kawan saya yang nama Jaha itu amatlah gemar mendail ke Radio Muzik. Rancangan apa entah. Rentak kot. Aku pun ingat-ingat tak ingat lagi. Huruf ‘R’ itu di sebut panjang (RRRRRRRentak!). Rasanyalah (siapa yang ingat lagi sila ingatkan aku).

Isma Halil ini mesra melayan peminat masa itu. Suara pun, bagus. Jadi ramailah yang suka. Nak telefon dan bercakap dengan beliau. Memang payah la. Tapi Jaha tidaklah putus asa. Patah saya bertongkat dagu meniarap jua. Telinga kemek pun tak mengapa.

Tapi mujurlah zaman itu sudah ada telefon ‘dail semula’ secara auto (redial). Jadi apalah susah. Jaha tekan-tekan saja. Sambil buat aktivi lain, Jaha tekan ‘redial’. Tapi tidak pernah menyangkut pula. Begitulah Jaha selalu bila Isma Halil ke uadara. Perkataan redial pun tak sedar dah naik pudar di butang talipon itu.

Suatu malam macam biasa. Jaha mencuba juga. Tidaklah putus-putus asanya Si Jaha. Redial tetaplah redial. Tapi akhirnya Jaha berhenti juga. Bukan sebab penat. Hanya kerana menuju ke jamban.

Usai kencing Jaha ke talipon lagi. Tiba-tiba tak semena-mena Jaha melompat-lompat kegirangan. Macam budak-budak kuat enjoy dapat khabar duit ‘loan’ masuk saja gamaknya.

“Hoh, buleh. Buleh. Ado masuk ni weh. Buleh kecek dengey Isma Halil maley ni!”

Sukalah sangat Jaha.

“Hallo, Radio Muzik ko tuh?” Jaha bertanya.

Tiba-tiba muka Jaha berubah. Macam muka YB kena ‘booo’ dengan mak bapak sendiri.

****

IMBAS KEMBALI…

Sebenarnya semasa Jaha ke tandas, aku telefon ke rumah Rahmat. Mahu pinjam nota Teori Struktur.

Aku lupa nak bagi tahu Jaha. Lagi pun nak buat apa bagi tau?

Jaha pula main redial saja.

***

ESOKNYA DI KELAS…

Kami, diketuai oleh Rahmat secara koir -- ramai-ramai menyanyikan lagu tema Radio Muzik:

Radio, radio
Radio Muuuuuzik..
Stesen Muzik,
JAHA!!!!!

Monday, February 16, 2009

Hulu Tembeling 2004: Aku bukan Tuhan...

Tempat yang asing. Memang asing. Lagi sunyi. Minum kopi memang bagus. Kalau ada masa dapat berangan dan menyusun kata-kata memang terbagus. Asyik betul.

Kalau ada daun terup. Buka meja judi. Polis pun tak sampai.

Kalau dapat baca sajak-sajak Indon, lagi haru.

Tapi gangguan memang ada juga di mana-mana.

Akita: Ayie, buat air.

Ayie: Mie, buat air. Sedap juga kena kopi malam-malam.

Aku: Tak reti la buat air.

Ayie: Taik aok. Buat air kopi.

Aku: Tak reti. Aku bukan tuhan. Tak reti.

Ayie: Haih. Nak buat air kena suruh Tuhan? Kena pijak ni kang!

Aku: Ha Ha. Ye la..ye la. Nak bancuh kopi la ni. Tuhan je reti buat air ni. Aku bancuh air boleh la. Ha Ha Ha.

Ayie: Payah bercakap dengan orang suka sastera ni!

Malam itu aku bancuh kopi. Malam yang pekat aku teguk sekali…

Monday, February 9, 2009

Aku, Aswadi dan The Ramones

Sebenarnya semalam aku tidor lewat dari selalu. Sebab udara panas. Oleh kerana tak ada Astro aku baca buku. Dan menulis macam-macam sebelum mati. Juga teringat Aswadi. Yang berselisih di jalanraya petangnya. Kawan aku yang bijak dan jadi Cikgu. Beliau peminat The Ramones.

Beliau memang seorang yang bijak sewaktu sekelas dengan aku. Pandai berlawak. Cikgu pun rungsing dengan sikapnya yang jarang serius. Macam aku. Aku juga jarang serius. Tapi tak pandai berlawak.

“Kalau tali kaset kita terbalikkan, ada macam-macam suara.” Kata Aswadi suatu waktu dahulu.

Balik rumah aku buat. Macam gampang bunyi. Satu perkataan pun tak ada. Apa lagi suara Setan. Aku pikir Aswadi sudah tipu sama aku. Kaset ‘Kreator- Coma Of Soul’ aku hampir-hampir jahanam talinya. Aswadi kena carut dari jauh.

Tapi apa yang Aswadi cakap memang betul. Dari zaman The Beatles lagi mereka sudah bikin. Orang barat memang hantar racun dalam pakej yang cantik. Tapi kita peduli apa. Kita tak pikir sangat semua itu. Sebab itu bila aku dengar ada orang filem cakap, “Filem saya tak ada mesej. Cuma ada roh”. Aku rasa nak muntah. Mereka sebenarnya tak sehebat Led Zeppelin, Pink Flyod atau The Eagles.

Macam burung-burung yang berkicau di pagi yang indah, atau senja yang menakutkan. Mungkin seekor dari burung itu namanya Rihanna?

Dapatkah anda baca, kata yang tak tertulis di blog aku?

Tuesday, November 11, 2008

Makang-makang pale hotok mung!!!

Kalian mungkin menyampah bila dapat SMS pelik-pelik. Jika nombor alien tak perlu endah. Padam saja habis baca kalau benci. Andai kawan-kawan yang disenangi, boleh layan. Mungkin ada berita gembira. Siapa tahu? Anda tiba-tiba dapat cek 2 juta. Eh, bila masa aku masuk peraduan? Rupiah pula tu duitnya.

Baiklah. Aku kelaparan. Duit dalam dompet sudah cecah kawasan rizab. Tak bagus tarah habis-habisan. Harus cari ATM (Auto Teller Machine). Tapi terasa malas. Rendam mee segera hanya menyalakan obor kenangan masa-masa sukar. Ah, bencilah. Tapi itu manis juga bukan? Kadang-kadanglah bila mengenang.

Pilihan ada di tangan. Hati berat mahu ke kedai Uncle Perumal yang tak peramah macam anak perempuannya itu. Cari mee cawan. Aku suka mee cawan kala-kala begini. Makan diam-diam dengan jiwa yang terpisah-pisah. Macam masuk syurga dan keluar dan masuk balik. Baiknya Tuhan – ciptakan lapar. Lapar macam pintu untuk manusia merentas ke ruang yang sungguh gembira. Kalian tak rasa begitu? Lantak kalianlah.

Tiba-tiba terima SMS. Memang bagus. Kawan terkutuk yang lama hilang dari mata masih ingat kepadaku. Ada kereta Volskwagen Beetle nak jual bagus juga ni.

Albert via SMS: Woi, aku lapo la. Tapi baru dapat gaji ni. Moh kena kari kepala ikan. Aku belanje!

Aku via SMS: Mu mane? Balik Jerantut ke? Boleh juge. Layan mane?

Albert via SMS: Aku kat Kuala Berang Ganu ni. Meh la sini. Makang-makang!

Aku via SMS: KOTE MU!!!

Albert via SMS: HA HA HA

Uncle Perumal tak pernah peramah. Tapi di kedainya ada jual mee cawan. Usai makan, cawannya boleh aku bikin asbak!

Monday, November 10, 2008

Sajak Kematian

Kecoh sangat pulak. Konon mengganggu emosi. Ada yang menentang sebab katanya tak sesuai dan menakut-nakutkan budak-budak. Ia hanya untuk pendidikan. Menakutkan budak-budak dengan hantu jauh lebih membangsatkan.

Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda, orang yang selalu ingat kepada mati itulah orang yang paling bijaksana. Ingat kepada mati bukan boleh buat kita jadi miskin dan lemah pun. Tapi lebih kuat dan rajin.

Kalau kau ada sepohon anak pokok rambutan, dan kau tahu esok kau nak mati, tanam saja. Jangan fikir panjang. Dan esok andai Allah izinkan kau mati, dan suburkan pokok rambutan yang kautanam, akan ada makhluk kecil yang merasa nikmatnya. Lihat, kematian tak juga melemahkan kau. Ia tak bikin kau sedih. Kau cuma risau. Tapi kau tetap kena lalui.

Bodoh jika takut kepada kematian. Yang lebih menakutkan ialah cinta berlebih-lebih kepada dunia. Dah nak mampus pun gila kuasa. Gila harta. Tikam-tikam. Bunuh-bunuh. Mati mabuk berzina. Bukankah itu lebih menggilakan? Percuma usia.

Owh, mari kita nyanyi lagu Twinkle Twinkle Little Star anak-anak. Marry Had A Little Lamb boleh? Bohemian Rapshody? Blues For Allah?

OK. Panggil saja Jacko nyanyi nasyid untuk mengembangkan minda anak-anak muslim kita.

Ini perbualan aku dengan Ajiz.

Ajiz: kalau kau nak mati, jangan lupa bawa rokok.

Aku: apahal?

Ajiz: kau banyak dosa. kalau malaikat nak pukul cakap; “opsss, nanti bos. Hisap rokok dulu!” (sambil hulur rokok kepada aku).

HA HA HA (kami)

Ajiz gila!


Bagaimana saudara-saudaraku yang jauh di sana? Moga amalan kita semua di terima dan dosa kita diampun. Tuhan, aku tunggu juga saat itu. Bila?

Ajiz dulu? Aku? Kamu semua? Kita tunggu.

Tengok sini. Aku tak reti nak upload menatang ni. Aku kolot!

Tuesday, October 14, 2008

Etok Punya Penangan

Beberapa hari lepas ada kawan aku ke Kelantan. Ikut rombongan berbelanja ke Rantau Panjang. Memang OK juga sana kalau nak berbelanja. Kena pula kalau ada kawan yang pandai cakap Siam. Aku beli Dockers RM15 pun dapat masa melepak sambil belajar di Poly KB dulu. Tapi itu kisah lain.

Yang membuat aku terimbau nostalgia masa berbangsat di sana dulu ialah bila kawan aku tu cakap ‘etok’ tu sedap. Kalau tak tau pasal etok sila rujuk bloger-bloger kelantan la. Aku tak ada foto. Tapi boleh imagin. Macam kerang. Bulat dan kecil saja. Tak macam kepah atau kijing. Tolong jangan bayangkan ia macam ‘ENOT’ pula.

Sebab hari Jumaat dan Sabtu cuti, suasana taman perumahan macam tak ada aktiviti samada sihat atau tak sihat, suatu hari Fizi budak Gua Musang ajak kami cari etok. Etok? Apakah? Faiz budah JB tu melopong. Dia ni jangan kata etok, nampak kerbau dan padi di sawah pun nak bergambar. Urban tahap Beverly Hills betul!

Maka macam nelayan tepi paya lah kami membawa besen ke sungai apa entah. Dekat-dekat tali air Kemubu nu kot. Tak ingat dah aku. Aku dah biasa juga berpaya ni masa budak-budak. Malas sangat nak ikut. Kalau ajak pergi Mimaland main salji OK juga sesekali. Tapi sebab semua ajak berpaya ikutkan la juga.

Macam-macam gaya kami beretok-etokan hari tu. Lumpur jangan cerita la. Orang kampung tersengih-sengih tengok. Cik mek yang jeling-jeling ada juga. Tapi tak ada pula la yang marah-marah. Kami budak-budak baik bermuka manis. Yang suruh cari siput sedut pun ada. Orang kampung yang cari sekali pun ada. Kongsi rezeki.

Diringkaskan cerita, banyak juga etok kami dapat. Bawa balik tak tau nak masak. Fizi cakap bakar boleh, goreng boleh rebus pun boleh. Ye ke? Aku tengok di Pasar Siti Khadijah tu lain saja. Macam ada rempah-rempah. Lantak la. Fizi rebus saja. Manis juga rasa etok tu. Tapi makan etok bukan senang. Kalau tak reti serpih la gigi. Orang lain dah berpuluh awak tak merasa lagi. Kalau dah reti guna gigi macam makan kuaci saja.

Aku? Apa ada hal. Aku pergi dapur ambil lesung batu. Fizi ingat aku nak buat sambal. Lepas tu semua gelak bila tengok hempok etok tu dalam lesung batu.

Sebab tu aku malas nak ikut orang cari etok. Sampai hari ni aku kandas. Ada la lima enam minit kalau nak buka guna kuku. Itu pun aku dah melompat kegirangan macam dapat SPM 18A!

Monday, October 13, 2008

Sumpah Sang Ular Dalam Imaginasi Mat CD

Masa kecil-kecil dulu kalau nampak ular aku lari juga. Bukan sebab geli. Takut sangat la. Sebab mak dan arwah ayah cakap bisa ular adakala boleh bawa maut kalau mematuk. Lagi pun masa tu mendiang crocodile hunter tak ada lagi di TV. Tapi orang cakap ular takut buluh.

Bila dah besar sikit aku mula berani. Bila nampak ular di kawasan rumah aku cari buluh cepat-cepat. Mak pesan kalau nak bunuh suruh dia pergi dulu. Takut ‘jelmaan’. Kalau lepas tiga kali ia tak pergi juga, baru hentam. Sebab itu ular betul yang degil. Nak mampus sangat dah. Kalau jauh aku tak kisah sangat. Kalau dekat-dekat bawah rumah memang aku belasah la. Dan buluh memang berkesan.

Pertama kali aku bunuh ular masa sekolah rendah. Berdua dengan Mat CD. Pakai buluh juga. Penyapu buluh. Bila kena penyapu buluh ular tu jadi lemah. Aku hentam la cukup-cukup. Tak la besar sangat. Cobra sebesar ibu jari tangan orang dewasa. Dah lembik, aku keokkan dengan batu besar. Takut juga masa tu. Tapi sebab Mat CD bagi sokongan moral, semangat menjadi waja juga la.

Selesai membunuh, bangkai ular tu aku perlu tanam juga. Ye la. Perlu hormat la juga kan. Tapi tak perlu public holiday la. Aku cari cangkul dan gali lubang. “Eh, kena gali lubang dua la Mie.” Tiba-tiba Mat CD memberi arahan.

“Aik, kenapa nak buat dua lubang?” aku tanya kehairanan. Tak kan penyapu buluh tu nak tanam juga.

“Ko kena putuskan ekor ular ni. Kepala lubang lain, ekor lubang lain.” Dengan muka selamba Mat CD menambah arahan kerja untuk aku.

“La, pasal pulak?” aku dah lain macam. Tak terfikir pula sebelum tu. Cikgu sains tak cakap pun di sekolah. Peluh pelik pun bercampur dengan peluh penat.

“Abang aku kata ular ni nyawa dia kat ekor. Kalau ko tak putuskan ekor dia, malam ni dia bercantum. Masa tidor dia datang patuk ko. Mati la ko. Tu aku tak berani bunuh ular!” dengan wajah kanak-kanak suci Mat CD membuka rahsia sumpahan ular.


Peh, dengar ‘mati’ aku cepat-cepat buat satu lubang lagi. Putus dua ular tu aku cangkul sebelum kambus.

Dalam hati berdebar-debar juga malam tu bila nak tidur. Terbayang-bayang dendam sang Ular. Tapi buat apa dia datang tempat kami main? Buat tak endah bila aku suruh pergi?

Tapi bila bangun pagi tu hidup lagi. Lega. Syukur pada Allah. Tak mati lagi.

Baru-baru ni aku ternampak seekor ular yang bersaiz king kena lenyek di jalanraya. Dah tiga hari aku tengok bangkai ular tu di muka aspal. Makin lama makin leper. Tak bercantum dan pergi balas dendam malam-malam pun pada pembunuh yang gelek dia!

Thursday, September 11, 2008

Red Alert Bro!

“Tolong ambil cermin jap Mie.”
Aku sedang membaringkan tubuh di rumah seorang kawan. Melayan TV entah cerita apa. Tiba-tiba saja ada permintaan kecemasan. Gangguan siaran dari Wadee.
“Woi, apahal ko ni? Ha. Ha!” aku unjuk cermin muka yang dah lama bahagia di dinding tu sambil gelak.
“Macamana dia boleh tepat cam ni ha?” Waddee tanya.
“Laaaa…mana aku tau. Pergi je la basuh nu. Nak belek menda lagi. Nak buak analisis ke? Ha. Ha!” aku gelak lagi.
“Ni. Ajaib ni tau tak? Biasa sipi-sipi je dia tembak. Kali ni cekap betul. Target sempit pun dia boleh aim. Ajaib ni. Dari skuard mana ni? Tanya ke Boris?”
“Dah, dah, dah. Pergi je basuh nu Dee. Tah hapa hapa la ko ni. Ha. Ha!”
Wadee pun bangun perlahan-lahan menuju sinki dengan cermin di tangan untuk membasuh tahi cicak yang jatuh tepat-tapat antara lubang hidung dan bibirnya. Boleh pula tu dia ajak aku belek-belek dekat seminit!

Wednesday, September 3, 2008

Harapan Seorang Insan Yang Tak Dapat Kulupakan Kala Ramadan Menabur Warna Senjanya Di Kaki Langit Nan Jauh...

Ramadan masih muda. Belum seminggu pun lagi. Petang tu aku balik kerja lewat. Penat gila. Terlepek atas lantai. Nak buka puasa dah rasa rugi. Jam dah 6.30 petang. Tekak memang kalah gurun Atakama kontangnya bila balik dari site ni.

Albert silang panggung menyandar tepi dinding. Bau rokok Marlboro Classic dia jadi macam bau minyak wangi pula. Kalah bau pontianak harum sundal malam Jumaat. Cilakak. Tapi aku tak hairan. Aku lebih rindu air dingin. Kalau sedingin salju lagi maju.

“Weii, mu tak nak cari barang makan buka puasa ke? Ke nak berbuka kat Masjid Putrajaya?” Albert yang tak puasa tu boleh pula tanya aku macam tu. Agak-agak la. Ingat kapchai aku ni tikar pandan terbang ke Albert?

“Tak larat la aku. Haus sangat ni. Minum air dalam peti ais tu je dah la. Lepas maghrib kita pekena kat kedai mamak.” Aku bagi cadangan dalam kemelepekan petang tu. Meniarap macam Iron Man terbang. Pipi kiri atas lantai. Kaki terkangkang. Kalau CSI datang mungkin mereka akan buat garisan kapur keliling tubuh aku.

Tiba-tiba Albert capai telefon genggam dan dail laju-laju. “Hello, Ita. Eh, antor mee goreng mamak satu. Roti telur dua. Nescafe O ais dua. Cepat sikit. Dah dekat nak buka puasa ni.” Albert memberi arahan sesuka hati dia.

Bagus juga Albert ni. Walaupun tak puasa sehari pun lagi tapi ada juga niat dia nak berbuka puasa. Aku anggap itu satu kemajuan yang amat memberangsangkan baginya. Lantak kau la Albert. Aku cuma mahu pejam mata tunggu azan maghrib saja.

Ita awek Albert pun sampai ngam ngam azan maghrib baru nak berkumandang. Restoren tempat dia kerja bukan jauh sangat. Jadi cepat sampai dan cepat juga berambusnya. Itu tak penting sangat buat aku. Yang penting ada la rezeki untuk aku maghrib tu. Terima kasih semua. Alhamdulillah.

Albert makan roti telur dan sedut Nescafe O Ais. Siap ambil sudu dan garfu lagi untuk aku makan mee goreng. “Makanlah. Aku makan roti telur dah la. Kenyang lagi Tauke belanja tengahari tadi.” Kata Albert sebelum sedut-sedut lagi air macam penyedut hampagas haus darah. Aku pula dah mula bersila dan ngap sikit-sikit.

“Ada hadis cakap; kalau kita bagi makan orang puasa, pahala yang kita dapat sama macam orang yang puasa tu juga. Yang penting ikhlas. Aku betul-betul ikhlas belanja ko ni.” Ujar Albert dengan muka ceria iras-iras ustaz motivasi dalam TV pukul 6.00 pagi.

Oh, suci sungguh hatimu Albert. Aku yang masa tu terdiam, terasa ada kehangatan mengalir di pipi. Cepat-cepat aku seka air mata agar tak merosakkan suasana nan indah. Merenung jauh ke kaki langit yang menaburkan warna senja, rasa nak ajak Albert masuk sekolah pondok pun ada juga masa tu.