Rasa semacam pula nak melepaskan Ramadan. Selepas beberapa bulan aku berhenti blogging, entah mengapa di bulan Ramadan aku produktif sungguh. Macam-macam aku tulis walaupun merepek. Kalau tidak sebulan sekali baru updated.
Jadi aku risau dengan berlalunya Ramadan, aku jadi malas menulis semula. Apakah makan banyak menjadikan manusia jadi malas?
Mungkin juga. Sebab Ramadan kali ini aku sangat kurang makan. Sehari hanya 3 atau 4 cawan nasi. Malah seminggu Ramadan yang pertama aku cuma makan beberapa senduk bubur nasi dan kurma untuk sahur kerana gusi aku sakit.
Sebenarnya makan akan memaksa banyak tenaga pergi ke perut untuk mengisar serta menghadam makanan. Sebab itu otak jadi lemah dan mengantuk apabila makan banyak sangat. Dan sebab itulah Nabi Muhammad makan dalam kuantiti yang patut. Lapar baginda makan, sebelum kenyang baginda berhenti.
Tapi kita kalau kalau Hari Raya ni, rezeki bersepah-sepah macam-macam rupa tak kan nak tengok saja kan? Beduk sajalah selagi boleh. Makanlah kamu sebelum kamu dimakamkan…
p/s: Selamat Hari Raya Eidulfitri, maaf zahir dan batin kepada semua kawan-kawan yang pernah berinteraksi dengan aku kalau ada salah silap. Rasanya tak ada. Kalau ada pun terasa, mungkin salah faham dengan maksud sebenar yang aku nak tulis. Jadi, mohon maaf juga. Salam lebaran.
Dahulu aku ada terbaca satu temuramah arwah Yasmin Ahmad. Salah satu ungkapan yang masih segar dalam ingatan aku ialah; beliau mendakwa pembikin filem di Malaysia kurang membaca sastera. Apa pentingnya sastera untuk bikin filem?
Salah satu ciri kehebatan arwah Yasmin Ahmad dalam membikin filem bagi aku ialah meletakkan suatu lambang, biar pun kecil, tapi besar maknanya. Satu contoh yang masih aku ingat ialah suatu adegan di dalam filem ‘Rabun’; di dalam satu babak Kartina Aziz meminta anak saudaranya (tak ingat nama pelakon) membuat satu kerja. Tetapi anak saudaranya itu memberi pula kerja itu kepada Ho Yu Hang. Pada suatu ketika yang lain Kartina Aziz bertanya kepada Ho Yu Hang tentang kadar upah yang diterima setelah mendapat tahu kerja yang Ho Yu Hang buat itu. Ho Yu Hang menjawab RM400 (tak ingat amaun sebenar). Kartina Aziz marah kerana dia memberi upah kepada anak saudaranya RM800 (pun tak ingat). Pada ketika inilah Ho Yu Hang menampar seekor nyamuk dilehernya. Apakah maknanya semua ini?
Ya. Nyamuk itu ialah lambang penghisap darah untuk anak saudara Kartina Aziz itu untuk untung atas angin tanpa perlu bekerja pun. Boleh jadi juga nyamuk itu lambang kaum pemodal/kapitalis. Golongan ini kecil (tidak ramai). Tapi hidup dengan memerah darah orang kebanyakan.
Faham tak? Apa kaitannya dengan sastera? Anda pernah dengar semiotik? Semiotik ialah kajian tentang tanda dan lambang terutamanya hubungan antara tanda dan lambang dengan benda atau idea yang dimaksudkan. Kalau tak faham lagi pergi sekolah.
Karya sastera seperti puisi, cerpen, novel dan skrip drama yang tinggi mutunya sering dihias oleh lambang-lambang bagi tujuan tertentu. Ia tidak dihamburkan secara terus. Ia digerakkan berlapis-lapis dan menyedut penikmatnya masuk ke suatu ruang pikir yang lebih berisi. Contoh kecil: kalau orang gelar kau ‘lembu’. Itu bukan bermaksud kau lembu yang makan rumput tu. Tapi bermaksud kau tu ‘bodoh’, ‘bongok’ atau ‘bahlol’.
Tetapi apa tujuan aku membangkitkan hal ini?
Setelah beberapa hari kecoh isu hal video iklan TV3 ‘Sinari Lebaran’ yang khurafat itu barulah aku ingin mencuit sikit. Tetapi aku tidak minat mahu ulas tentang video itu. Tentang freemason/illuminati pun aku tak mahu tulis. Dah bersepah.
Bagi aku tak salah pun mereka mahu mengkaji. Biarlah. Kalau tidak tepat 100% pun, bagi aku kajian mereka terhadap lambang-lambang yang terdapat di dalam iklan promo tersebut memang ada benarnya juga. Malah beberapa imej yang suguhkan terang-terang mempromo konsep Pluralisme dalam agama.
Ini bukan soal bila kau tonton, akidah kau terpesong. Aku dengar lagu Burzum, akidah aku ok saja. Tetapi nampak tak kanak-kanak dalam iklan tu? Imej ini akan ditanam selama-lamanya dan berulang-ulang di dinding kepala kanak-kanak yang masih belum berisi itu. Itu sahaja. Itulah target mereka. Hasil art work mereka untuk jangka masa panjang. Rom tidak dibina dalam masa sehari.
Jadi tak payahlah nak kata kau ni peminat arwah Yasmin Ahmad la, peminat Uwei Hj Shaari la, peminat Mamat Khalid bla bla bla semua, kaki wayang la, tapi kalau lambang-lambang atau tanda-tanda di dalam iklan khurafat macam itu pun tak boleh baca. Apa yang kau belajar dari arwah Yasmin Ahmad selama ini? Menonton kosong? Entah-entah kau banyak tengok filem Yusof Haslam, Razak Mohiden dan Ahmad Idham saja tak?
Banyak blog yang review filem. Salah satu yang aku suka baca yang Muhammad Yussof ni tulis. Dan nikmatilah hasil sastera/lukisan/arca dan lain-lain sikit-sikit walaupun kita tak minat sangat. Ia mengajar kita bagaimana untuk mentafsir. Sampai bila mahu jadi bangsa Melayu bodoh yang diayam-ayamkan orang lain? Bacalah.
Jadi walaupun tidak serius sangat pun, tentang kajian-kajian freemason/illuminati ni, aku membacanya juga la. Kerana tidak rugi pun baca. Aku pun tidak mengambil pendekatan melulu dengan mencemuh pendapat orang lain. Dan secara kebetulan aku dapati iklan Santa Melayu naik beca tu memang bodoh nak mampus pun. Kalau naik Ferrari tu cerdik laa sikit..kahkahkah!
p/s: Aku tak minat arwah Yasmin Ahmad. Aku peminat Mat Sentul. Mat Sentul punya filem selalu absurd dan banyak lambang juga. Lambang Manchester United tak pernah pulak lagi aku jumpa dalam filem beliau…kahkahkah!
Esok nak raya. Kereta macam nak kena grenbar saja gayanya. Pomen murah harapan poket dah pindah lepak kuantan tu. Kalau dia cuti seminggu sedap juga.
Budak-budak kecik. Jangan mengada-ngada nak pow singgit sejam dengan aku. Jangan berani-berani nak main mercun telur baling-baling tepi rumah aku. Kapak dah asah. Kalau baling stemroll pun boleh terbalik tu.
Jiran pun dah mengajak. Lembu 5 ekor, kerbau seekor katanya. Tempat acara gilang gemilang tu 25 langkah pun tak sampai dari rumah.
Gigi geraham pulak buat hal, berdenyut kiri kanan. Ikut hati, esok nak pergi jadi bangunan Tabung Haji saja rasanya.
Semoga kita semua beroleh Rahmat. Tak baik mengeluh!
Petang itu sangat aneh. Rasa janggal kalau tiada bahulu. Aku pula menjadi agak rajin dan bersemangat. Bertahun-tahun aku tidak ke rumah kawan lamaku itu. Tiba-tiba sahaja aku tergerak hati untuk ke rumahnya. Entah kenapa jadi perajin. Tuhanlah yang menyuruh aku ke sana petang itu.
Aku membayang-bayangkan wajah kawanku; yang ku kenal semenjak kecil lagi itu. Rambutnya yang berketak-ketak, hidungnya yang kecil, matanya yang bulat, kulit sawo matang dan badannya gempal ketika saat terakhir aku memandangnya – muncul dalam gambaran otak ketika memandu motorsikal ke rumahnya. Ketika kecil dia memang kegemukan.
Rumahnya bukanlah jauh sangat dari rumah ibuku. Hanya lima minit pemanduan berhemah. Tetapi kerana kesibukan, kami jarang benar kunjung mengunjung dan berbual-bual seperti dahulu. Memang dahulu aku rajin ke rumahnya menonton video konsert dan melihat abangnya bermain gitar karan. Dulu-dulu kalau ada budak-budak band underground dari mana-mana, hendak membuat gig di Bandar Jengka, selalu sangatlah menumpang tidur di rumah kawanku itu. Yang pernah datang sekitar awal 90an dahulu ialah Aru (dulu Punisher, Koffin tak dak lagi), Kombat dan Olie. Lain-lain lupa.
Setibanya di hadapan rumah kawanku itu, semua kenang-kenangan itu hancur lebur menjadi hablur diterbangkan angin entah ke kubur. Entahlah. Biarkanlah semua itu. Kata orang, apalah di harap gandum seberang, entahkan iya, entahkan tidak. Merepek sangat ni. Lupa.
“Assalamualaikum! Assalamualaikum! Assalamualaikum!” aku memberi salam tiga kali berturut-turut. Senang sikit. Kalau tiada tuan rumah, aku boleh terus balik. “La, kejap! Zul, kawan ko datang!” jerit Sudirman.
Belum sempat aku hendak nyanyi lagu ‘Pelangi Petang’, Joe sudah datang.
“La, dari mana? Tak kerja hari ni?” Joe tanya.
“Cuti dah. Bahulu ada lagi?” aku pulak tanya.
“Ko, tak nak tempah awal-awal. Ada sikit sangat je lagi. Hari-hari biasa boleh la. Ni aku tambah tiga lagi pekerja. Aku tak larat nak buat dah. Seminggu sebelum raya ni je 100,000 bijik ada rasanya aku buat. Bahulu saja tu, belum kuih lain-lain. Sampai ke Raub nu tempahan. Kawasan sini pun aku tak sempat nak supply dah. Oven dah tiga tu. Packaging pun tak sempat label dah. Aku ada mintak tapak dekat Bandar, tapi diorang senyap. Aku ingat nak buka kilang belakang rumah ni je. SME bank pun dah bagi rm20ribu lagi. Kuih kapit la, popiah la, apa jadah semua bla, bla, bla…” Joe membebel cerita pasal bisnes kuih muih dia. Tapi gaya Joe bercakap masih macam dulu. Standard KL punya gaya, walaupun sudah hampir 10 tahun kembali dari KL.
Kerana waktu buka puasa untuk hari terakhir sudah makin hampir, aku minta diri setelah beli RM20 untuk 200 biji bahulu yang rangup [tidak macam kek langsung]. Sewaktu pulang, berbagai-bagai yang berputar di dalam kepalaku. Dulu rumah Joe memang tempat kami tumpang tengok video konsert Rock. Sekarang sudah mahu jadi kilang kuih-muih. Entah ke mana menghilang ke‘rock’an Joe dan abangnya itu, aku pun tidaklah mengetahuinya lagi. Tetapi jauh di sudut hati, aku mendoakan semoga perniagaan kuih muihnya yang halal itu berjaya. Walaupun MECD sudah tiada.
P/S:Selamat Hari Raya Idulfitri. Maaf untuk semua salah silap yang zahir dan dalam hati. Kalau ada yang tidak berkenan tentang apa-apa di sini, anggaplah aku cuma merepek meraban sahaja. Cuma tulis main-main sahaja. Kosong-kosong, OK.
Iklan memang dahsyat memujuk. Itu memang fungsi iklan pun dalam bidang pemasaran. Dari iklan yang muncul bertubi-tubi juga terangkatnya jenama dan seterusnya menyihir pengikut setia yang perasan trendy lagi cool (baca: hamba kapitalis yang bahlol lagi buta ekonomi).
Tetapi seluar pelombong Levi’s memang hot sejak turun temurun. Ia oleh buat kutu jalan jadi henjut-henjut macam ada spring dekat tumit kalau pakai dengan but Legend. Kena pulak rambut macam Slash.
Pertengahan 80’an juga kebanyakan budak-budak mesti mahu stail masuk baju dalam seluar. Ada ‘key’ terjuntai dekat poket belakang. Sebab hendak tunjuk label Levi’s.
Tetapi Levi’s mahal. Oleh hal yang demikian, aku beli yang gantung dekat pekan sari saja. Mana reti bawak motor lagi hendak pergi jauh-jauh. Peniaga-peniaga masa itu pun hendak kata orang Malaysia macam bukan Malaysia pun. Lebih ramai ke orang asing. Sekarang pun macam itu jugalah. Kalau jual karpet pun ada peniaga yang nama Musharaf.
“Aku beli murah je. 15 ringgit je ni,” kataku petang itu sambil menunjukkan sehelai jean Levi’s pekan sari yang berwarna biru tua. Aku beli masa balik dari Sekolah Agama Rayat. Aku cadang mahu rendam klorok biar jadi lusuh. Lepas itu hendak titis air dalam bateri sikit dekat daerah lutut. Biar reput dan jadi kesan koyak-koyak sikit.
“Haik, murahnya? Aku beli dekat 30 ringgit. Itu pun macam-macam mimik muka aku buat masa tawar menawar. Mintak tengok!” kata abangku dengan muka tidak puas hati.
“Nah!” kataku sambil menghulur.
“Hoh, patut murah, tengok ni!” kata abang aku dengan mata membulat sambil menunjuk ke arah label merah tertulis secara menegak perkataan ‘LIVE’S’.
Raya tiba dan berlalu. Aku tak jadi pakai baju ‘Loudness’ masuk dalam seluar masa beraya. Tak sampai sebulan seluar itu juga, aku buat ‘uniform’ pergi masuk kebun getah tolong arwah ayah aku kutip sekerap.
Semalam aku cuba-cuba cari murtabak. Haram tak ada. Kalau beraya dengan murtabak rasanya manis juga. Sebab aku tak ada lagi sejarah hidup beraya dengan murtabak ni.
Agak-agak kalian manusia yang jual murtabak masa pasar Ramadan tu dah kaya sangat ke? Atau dah kena culik dengan makhluk asing?
Habis tu macamana kalau orang puasa enam mengidam nak berbuka dengan murtabak?
Suatu ketika dahulu. Lama juga. Seorang kawan mahu beli anak-anak ayam. Tiba-tiba tanpa mimpi. Murah saja. 50 sen seekor. Mungkinkah anak ayam rejek? Dia pelawa aku beli bersama-sama seorang lagi kawan.
Masa tu anak ayam warna warni popular gila. Tapi aku beli yang putih saja. Sebab murah. Lagi pun bila dewasa warnanya hilang dan dagingnya tak ada warna-warni pun. Taiknya pun sama busuk macam taik ayam biasa.
Reban siap. Dari kayu-kayan dan atap terbuang. Mentol dan wayar beli. Anak ayam beli 10 ekor. Mati dua. Campak dalam lubang sampah. Rugi RM1. Modal tak banyak mana. Sebab bela sikit saja. Lagi pun anak-anak ayam tu comel-comel juga.
Tapi gembira menternak mula bertukar pening. Duit aku menoreh getah mengalir ke dedak ayam-ayam tu. Masa comel sikit punya berhemah makan. Sopan santun. Masuk minggu ke 6, mak aih mengalahkan orang berbuka puasa pula. Tempat dedak tu bergegar-gegar macam gempa bumi. Bekas minum air tu terbalik terbalik hentam dek demeh tu.
Reban kecil jadi sempit. Ayam-ayam tu patuk mematuk sama sendiri. Macam kanibal. Mak suruh sembelih saja. Masalahnya, dalam keluarga kami memang tak ada tukang sembelih. Arwah ayah memang tak pernah menyembelih ayam. Arwah tak sampai hati. Maka terpaksa la kami minta tolong Pak Awang di sebelah rumah kerana kami adik beradik pun tak jadi tak berani juga. Dan ia bukan masalah besar.
Kebetulan ayam-ayam itu membesar dan sedang-sedang sedap disembelih bulan puasa. Setelah mak masak ikut dan, juadah pun bertukar-tukar rumah. Lagi pun banyak kalau seekor. Mak dan arwah ayah tak makan ayam. Maka sehingga nak menyampaikan Hari Raya tinggallah empat ekor saja. Cadang kami nak sembelih bakinya untuk Raya.
Maka sehari sebelum raya sibuk la kami nak menyembelih ayam. Masalahnya Pak Awang entah ke mana dan kesibukan petang tu, aku tak tau dia ada kes apa. Tapi sibuk la. Hari dah nak senja. Risaulah sekalian kami gerangan tak ada tukang sembelih.
Tapi memang nak jadi rezeki. Adalah si Alek anak Pak Cik Sahak lalu. Aku jerit-jerit nama kawan aku tu. Dia datang. Tak ada masalah. Boleh tolong tanpa bayaran. Aku minta dia tolong sembelih semua dan seekor untuk ajak kawan-kawan buat BBQ.
Memang kami ada belajar sembelih haiwan disekolah dulu. Cuma aku tak praktik. Seekor demi seekor ayam keok di tangan Alek. Aku jadi tukang pegang saja. Aku gembira. Bukan sebab dapat makan ayam. selesailah beban tanggung dedak aku nanti.
Tapi ayam yang terakhir tu, yang bersaiz XXL tu, benar-benar membuat kami terasa aneh. Hampir sejam kami tunggu. Tak mati-mati. Haih, apa dah jadi? Apakah ayam ini ada menuntut ilmu kebal ke? Atautakah dia ada bela hantu? Ataukah? Ataukah? Ataukah? Macam-macam fikir terlintas di cepu kepala kami. Kami dah berpeluh-peluh kehairanan. Rasa nak panggil TV3 pun ada masa tu. Tapi tak tau macamana nak panggil.
Akhirnya Alek ajak sembelih sekali lagi. Simpati pula kat ayam tu. Mesti siksa dia tak mati-mati. Moyok saja tepi semak. Hanya satu urat saja yang putus. Setelah di sembelih sekali lagi barulah mati. Selesai masalah.
Malam tu kami pun buat la BBQ ayam sembelih dua kali tu. Aku dan adik beradik aku yang cuci dan katam-katamkan ayam tu. yang sembelih sekali diasingkan. Kami panggil semua kawan-kawan makan. Kami bakar di unggun yang digunakan untuk membakar lemang petang tu. memang sedap betul makan ayam malam tu.
Tapi sekarang baru aku terfikir kes malam Raya tu, sah ke sembelih ayam dua kali macam tu? Boleh makan ke?
Dulu-dulu bila nak sambut raya budak-budak Felda aku kalau tak Jerantut, Temerloh la kami jejak. Kalau kutu sebelah Felda Don Balon dan Dzul selalunya Jerantut kot. Kalau sebelah Poyotitos Temerloh kot. Mana-mana pun boleh. Kalau nak megah sikit pergi Mentakab. Tapi kadang-kadang jejak Tong Kiat saja pun dah manis (HA. HA).
Sebelum ada motorsikal kami layan bas. Bas Sri Jengka namanya. Tak tau la pulak bas ni keturunan Bas Sri Jaya yang dah tak ada tu ke bukan. Sekampung pekena bas. Kadang-kadang sampai dekat 15 orang pergi. Macam nak pergi menjajah negara orang pula. Tapi masa tu memanglah. Kami budak lagi. Persatuan kena la mantap. Takut kena pow.
Tapi bila dah ada motor kami tak layan dah bas. Pak Cik bas kalau selisih pun kami buat-buat jalan mengiring pandang ke lain saja. Ye la, siapa suruh marah-marah kami yang suka tekan loceng banyak kali ni. Suka la nak tekan berapa kali kan. Ada sekali tu Pak Cik bas jerit garang, woi ingat aku ni pekak ke? Pada hal kami tak ingat dia pekak pun. Cuma kami suka dengar bunyi loceng bas tu saja. Rasa mendamaikan jiwa pula.
Ada sekali raya tahun 1995 rasanya. Tak ingat sangat dah. Aku satu baju seluar pun tak siap siaga lagi. Esok lusa dah nak Raya. Kasut pun tak ada. Aku tak berduit betul masa tu. Tolong arwah ayah menoreh getah saja. Kerja aku sebagai kutu petang dan malam memang tak menjanjikan apa-apa hasil pun selain umpat keji masyarakat.
Suatu pagi. Telefon berdering. Aku jawab. Rupanya Syed Norazlan. Dia ajak aku teman cari pakaian baru ke Jerantut. Dia pun kutu juga masa tu. Dengan perasaan tak berapa riang aku sanggupkan juga. Bukan apa. Poket aku demam. Tak kan nak pergi saja-saja kan. Kena la sambar sehelai dua. Aku kira bajet. Rasanya dapat la baju dan seluar GA Blue sepasang. Hui, masa tu kalau pakai GA Blue kira dah handal dah beb.
Dan memanglah betul. Aku beli seluar GA Blue saja. Cukup la. Aku sengkek. Syed pun sama. Tapi kami tak berapa nak puas hati juga la dengan prestasi Jerantut masa tu. Syed bagi cadangan ajak ke Temerloh pula untuk cari baju. Sebab hari masih belum tengahari aku ikutkan saja. Ye la, puasa kan. Nanti terjelir lidah sampai ke pusat tak kan nak masuk KFC. Lagi pun tak kan aku nak balik sendirian naik bas bawa helmet pula.
Dengan menggunakan motorsikal Yamaha SS ayah Syed, kami menuju ke Temerloh pula semata-mata demi sehelai baju. Masa tu Yamaha SS ‘Awas’ memang tengah top. Rasa macam KRU pun ada. Syed pula baru dapat lesen memandu. Kira ok la. Cuaca pula suam-suam suhu perut ayam mengeram saja. Syed pula pandu sedang-sedang sedap. Aku di belakang berangan macam-macam la sementara nak sampai tu. Ye la, gila apa nak berborak atas motor. Nak lawan suara dengan ekzos bukan daya sangat aku.
Sampai satu kampung selepas Jenderak, di hadapan ada satu awek yang layak di panggil akak la. Solo saja berdiri diam-diam. Boleh tahan. Tiba-tiba akak tu lambai-lambaikan tangan. Syed pula memperlahankan pemanduannya. Aku terasa pelik juga. Apahal laju-laju tiba-tiba perlahan? Akak tu awek Syed ke? Atau saudara Syed? Rasa aku kampung Syed dah lepas dekat Temin tadi. Syed, kau jangan macam-macam.
Akhirnya dengan perlahan kami sampi betul-betul depan awek tu. Tapi tak berhenti. Akak tu pun dah tak melambai-lambaikan tangan lagi. Dia Cuma memandang kami kebingungan. “Maaf la kak. Dah tak muat la. Tapi kalau akak nak tumpang sangat duduk atas mudguard boleh la.” Begitu Syed bersuara dengan nada biasa saja sambil meneruskan perjalanan dan menambah kelajuan kembali.
Aku pula toleh tengok belakang pandang akak tu. Mak aih, sikit punya panjang lidah dia jelir ke arah kami. Dan di belakang tu juga menuju ke arah akak tu ialah sebuah teksi. Akak tu bukan tahan kami. Dia tahan teksi. Sampai hati Syed buat lawak macam tu di bulan-bulan puasa. Dah la lapar dahaga. Bertambah la lapar dahaga jadinya. Dah Syed buat lawak. Aku spontan la gelak.
Hari tu balik dari Temerloh aku melepek di rumah tunggu berbuka. Dari Jengka ke Jerantut 60km. Dari Jerantut ke Temerloh makan 60km juga. Untuk balik ke Jengka semula pusing ikut kampung Poyotitos tambah lagi 60km. Mengembara seharian semata-mata nak beli sehelai baju dan seluar. Berbaloi kan?