Showing posts with label Aku dan Aku. Show all posts
Showing posts with label Aku dan Aku. Show all posts

Monday, December 21, 2009

Menyiasat sebab-sebab seram sejuk

Pulang dari hutan tapak kebun tadi petang, kononnya aku mahu mengupdate blog ini. Tapi entah mengapa tiba badan berasa lain macam. Terasa seram macam di hiji-hiji hantu ada. Terasa sejuk macam macam dalam bank pun ada. Pendek kata seram sejuklah aku ini. Padahal badan panas. Sikit punya siksa.

Aku pun cepat-cepat menyucikan diri. Tapi lepas mandi sama saja. Kepala pulak menjadi pening. Aku pun ambil wuduk dan solat. Mudah-mudahan dapat pahala dan setan Malika pun menjadi takut hendak rapat seketika. Teruk betul rasa nak menghabiskan solat petang tadi dengan kepala berat macam junjung tong gas.

Siap solat aku bergegas ke kedai runcit untuk membeli Panadol Activefast. Sambil tu sempat juga sambar roti kismis sebungkus. Mahal gila roti kismis ni, 2 ringgit 4 posen. Macam laknat, sempat pulak tu aku menyumpah dalam pening-pening.

Balik rumah aku terus makan roti. Cubit sikit saja sebab rasa nak muntah. Untuk alas perut sebab nak makan ubat tu la. Kena alas perut baru ubat ada berlari, kata doctor. Makan la roti. Kalau alas dengan batu giling tak jadi rasanya. Buat lenguh perut lagi ada la.

“Pasey aok makan ubat ni?” tanya mak aku bila tengok aku telan panadol dua butir.

“Pening, seram sejuk badan. Sakit badan tebang pokok besor tadi,” aku menerangkan apa yang patut.

“Te la, main beria sangat di hutan tu, pokok besor-besor jangan usik sangat,” kata mak aku sambil mengkerutis-kerutis kismis pada roti dan memakannya sebutir-sebutir. Mak aku memang feveret dia kismis ni. Sampai licin la kismis pada roti tu nanti.

Memang la aku ada tebang pokok tinggi gila tadi. Dekat 60 kaki tinggi. Tapi diameter dia tak la besar sangat. Dalam sekaki setengah saja. Entah pokok apa aku tak tau. Boleh tahan keras kayu dia. Bergegar bahu dan lepas tumbang pokok tu aku rasa menggigil badan. Tak ada pun nampak yang tak kena dengan pokok itu. Sarang kerengga ada la. Tapi entah mengapa teruk sangat rasa badan aku.

Jadi aku pun mengambil keputusan untuk tidor selepas asar.

***
Bila bangun tadi rasa lega sikit. Aku pun bercadang hendak pergi mandi. Ketika itulah aku nampak sebiji mug yang ditutup mulutnya dengan envelop di bawah meja sudut. Aku mula tak rasa sedap hati hati bercampur tak sedap ubun-ubun.

Setelah menyiasat macam detektif Conan, rupanya itu kopi aku pagi tadi. Lepas sarapan lepas subuh aku bawak kopi dan menulis. Aku letak di situ. Ralit sangat menulis sampai lupa nak minum. Patutlah aku jadi tak bertenaga. Rupanya aku pergi buat kerja berat tanpa minum kopi susu tu. Terus aku minum kopi susu itu. Aku rasa sungguh terharu kerana berjaya minum kopi susu itu. Aku pun terasa segar dan gembira kerana sihat semula.

Saturday, December 19, 2009

Ubat Sejuk

oHari ni hujan mula dari jam 4 pagi lagi. Sampai saat tesis ini ditulis pun hujan masih turun dan hanya berhenti sekejap-sekejap saja. Macam semalam juga. Gaya rupa macam nak pejor. Tengok status member member dj Fesbuk semua kabor hujan. Seluruh Pahang hujan gamaknya. Seluruh pantai timor pun boleh jadi. Entah-entah sampai ke Hollywood hujan juga dok?

Aku nak menanam sawit pun malas hujan-hujan ni. Udara macam udara dalam peti aiskrim dekat supermarket rasa. Lepak melayan Fesbuk, tonton kartun dan man gitar lagu Semalam di Malaysia. Ada juga dengar bunyi deejay rumah kenduri orang kahwin sayup-sayup. Berkelincor la jadi paya laman rumah orang kenduri tu. Silap-silap lepas kenduri tu boleh semai benih padi. Tak payah beli beras dah. Aku tak kena jemput sebab blok lain.

Jadinya tak tau la nak buat apa lagi. Tak kan la tiba-tiba nak pergi buat latihan matematik pulak. Karang adik aku ingat aku nak mengulang SPM pulak. Masa sekolah dulu pun malas. Sampai la pukul satu tadi aku berpakaian macam rappers 4U2C. Cuma tak ada DVD tergantung di leher. Mula-mula pakai baju T. Tak cukup hangat. Nak bertenggek atas tungku dapur gas, mak aku tengak buat gulai masam ikan tenggiri. Kang disuruhnya aku yang membuat gulai tempoyok, tak pasal-pasal jadi gulai masin pulak.

Tiba-tiba masjid azan. Nasib baik pakai speaker. Kalau tak bukan dengar buat dek hujan lebat. Ah, apa-apa hal makan dulu la. Cuaca sejuk. Makan nasik panas dengan gulai masam tempoyak. Ada ulam pusuk serai kayu. Entah siapa la bagi nama. Lain langsung dengan serai yang macam lalang tu. Siap makan minum air. Lepak dulu.
Lepak lagi. Dengan pakaian rappers.

Hati merasa berat tiba-tiba. Tapi boleh jadi. Akhirnya aku bukak pakaian rappers 4U2C. Pakai tuala. Bulatkan tekad, teguhkan hati. Kuatkan azam, wajakan perjuangan.

Pergi bilik air. Dia punya sejuk, ferrrrrrrrr

Berjaya juga aku mandi tengahari ni. Lepas mandi terus steady pakai baju pagoda. Baru aku tahu. Rupanya dengan mandi boleh menghilangkan sejuk!





(Macam setan entri yang ke 222 ni, dok? Nak buat macamana, idea dah tak ada. Ha Ha.)

Monday, February 9, 2009

Aku, Aswadi dan The Ramones

Sebenarnya semalam aku tidor lewat dari selalu. Sebab udara panas. Oleh kerana tak ada Astro aku baca buku. Dan menulis macam-macam sebelum mati. Juga teringat Aswadi. Yang berselisih di jalanraya petangnya. Kawan aku yang bijak dan jadi Cikgu. Beliau peminat The Ramones.

Beliau memang seorang yang bijak sewaktu sekelas dengan aku. Pandai berlawak. Cikgu pun rungsing dengan sikapnya yang jarang serius. Macam aku. Aku juga jarang serius. Tapi tak pandai berlawak.

“Kalau tali kaset kita terbalikkan, ada macam-macam suara.” Kata Aswadi suatu waktu dahulu.

Balik rumah aku buat. Macam gampang bunyi. Satu perkataan pun tak ada. Apa lagi suara Setan. Aku pikir Aswadi sudah tipu sama aku. Kaset ‘Kreator- Coma Of Soul’ aku hampir-hampir jahanam talinya. Aswadi kena carut dari jauh.

Tapi apa yang Aswadi cakap memang betul. Dari zaman The Beatles lagi mereka sudah bikin. Orang barat memang hantar racun dalam pakej yang cantik. Tapi kita peduli apa. Kita tak pikir sangat semua itu. Sebab itu bila aku dengar ada orang filem cakap, “Filem saya tak ada mesej. Cuma ada roh”. Aku rasa nak muntah. Mereka sebenarnya tak sehebat Led Zeppelin, Pink Flyod atau The Eagles.

Macam burung-burung yang berkicau di pagi yang indah, atau senja yang menakutkan. Mungkin seekor dari burung itu namanya Rihanna?

Dapatkah anda baca, kata yang tak tertulis di blog aku?

Monday, February 2, 2009

Aku menulis bukan kerana nama, sebenarnya...

OK lah. Ini perihal ‘pujangga tak bernama’. Nama Rahimin itu memang nama yang arwah ayah aku bagi. Aku kurang suka dulu-dulu. Sekarang aku suka.

Bila sekolah menengah dan pegang gitar bass aku tukar jadi Max. Konon nak naik macam Max Cavalera Sepultura. Tapi ada macam-macam nama lagi bila aku jadi kartunis, merantau dan belajar yang tak tergamak aku siar di sini. Nama-nama macam setan aku pakai! Ha Ha.

Jumaat lepas saudara Marsli SMS minta aku hantar sajak Palestin terkini ke DBP. Tak ada sebenarnya. Tapi aku hantar juga. Memang ‘raw’ sajak itu.

Petang semalam saudara Marsli talipon lagi. Beliau kata orang DBP tak kenal aku. Minta aku hantar biodata pula. Tak ‘familiar’ langsung nama aku beliau kata. Ha Ha. Biarkanlah bang ‘kan?

Tadi aku ‘Chat’ dengan Ojie. Dia pun nak cari sajak aku. Aku jadi segan nak bercerita tentang karya-karya aku yang tak seberapa itu. Kurang ilmu dan falsafah.

Sebenarnya sajak dan cerpen aku banyak hilang bila komputer rosak. Aku jadi malas dan putus asa menulis. Banyak yang aku belum hantar ke mana-mana lagi. Yang dalam akhbar juga aku tak simpan. Aku memang kurang menghargai karya-karya aku sendiri.

Maka sesiapa yang ada ‘tersimpan’ sajak-sajak aku dalam Mingguan Malaysia dan Tunas Cipta yang tercatat nama ‘Rahimin Idris’ atau ‘Abdul Rahim Idris’, mohon email ke aku.

Kalau yang tak pernah baca sajak-sajak aku sila baca sini. Ada la sedikit. Pleonasma saja lebih. Mungkin bukan sajak. Kemabukan kata-kata. Jangan gelak atau kutuk. Aku nak tulis sajak balik ni. Dan jadi pujangga tak bernama lagi!!! Ha Ha Ha

p/s: siapa tahu nama pencipta pantun ‘pisang emas dibawa belayar’? Ha Ha

PALESTIN DALAM JAGA DAN LENA

Sekali jaga dua kali jaga
langit Palestin begitu juga
mengheret puluhan tahun
laung Azan beranyam jerkah
pesawat tempur, bom dan mortar
yang bongkak menganga rahang.

Tiga kali jaga empat kali jaga
PBB tak terkata apa-apa
tiap kali zionis megah melapah
seolah darah, daging dan tulang yang berkecai
jauh lebih murah dari seekor ayam KFC,
seketul burger Mc D atau sebotol Coca Cola.

Lima kali jaga enam kali jaga
OIC tetaplah pembesar suara
kutukan demi kutukan
sebelum dipadamkan
dehem Amerika dan sekutunya
pialang-pialang perang paling celaka.

Berkali-kali kita terjaga
berkali-kali kita terlena
langit biru, angin lembut dan tembang merdu
hanyalah mimpi-mimpi untuk Palestin
selagi dunia bertuhankan dollar
dan langit mahu ditongkat selamanya!


Rahimin Idris
Jerantut, Pahang.


Perhatian dan Amaran: Sajak-sajak yang disiarkan di blog ini adalah hasil cipta RAHIMIN IDRIS dan diisytiharkan sebagai sepenuhnya hakmilik cipta karya atas nama RAHIMIN IDRIS Sebarang penjiplakan sama ada sebahagian atau sepenuhnya adalah perbuatan terkutuk dan akan diambil tindakan perundangan. Kecuali sebarang petikan atau penyiaran kembali dengan makluman atau izin bertulis dari RAHIMIN IDRIS.


(Pinjam ayat Sdr. Marsli N.O)

Tuesday, January 6, 2009

Macam Ini Pun Kira Jihad Juga Apa...

Suatu pagi. Beberapa minggu nan lalu. Adik pagi-pagi sudah bersiap dengan topeng gas muncung dua. Kami pakai muncung dua. Yang muncung satu itu nampak macam muncung babi. Segan la pula nak pakai. Tokey babi pun tak nak pakai gamaknya.

“Aok nok buat mende pagi neh? Keh ikut je.”

Adik belum jawab. Sarung stoking coklat yang dulunya putih dan dibeli di kedai RM2. Topi 'cepiau' terbalik atas kepala dah. Ambil tali pam. Tali leher ada dalam almari. Masa sekolah dulu-dulu saja pakainya.


“Bunuh Israel la. Paras betis doh. Payoh nok pungut buah relai nanti. Nak tolak tandan sawit pun payoh.” Adik aku jawab dengan muka serius sambil garu-garu kaki kiri guna kaki kanan.

Peh, orang kita. Punya la menyampah dekat Israel. Rumput yang degil dan punya la susah nak pupus itu pun dia bagi nama ‘Rumput Israel’. Entah siapa bagi nama tak tahulah aku.

Kalau tanya Ehud Olmert pun, sampai mampos pun dia tak kenal ‘Rumput Israel’ itu..!!!

Tuesday, December 2, 2008

Sebab itu aku dah lama tak layan blog!

Upah buat rumah sekarang sudah dekat RM15 per kaki persegi. Maka kalau ada kelapangan; pulang dari kerja atau cuti-cuti, aku dan adik akan ikat bata. Bila dah siap ikat nanti, kami naikkan bumbung dan plaster sahaja. Buat lantai. Pasang pintu dan tingkap. Bolehlah dinamakan rumah. Dengan semangat indie kami itu, mak boleh jimat kurang lebih RM30,000. Banyak tu!

Buat masa ini hari-hari kami ikat batu blok. Ia berbeza dengan aktiviti berblog. Tulis blog bukan susah sangat. Taip-taip saja siap. Lepas itu terbitkan. Tapi nak susun dan ikat batu blok bukan ringan-ringan punya kerja. Bukan boleh terus jadi rumah. Tapi mak boleh duduk di dalam rumah tu bila siap nanti. Kami pun boleh tumpang berteduh dan rasa gembira juga.

Oleh hal yang demikian, aku terpaksa kurangkan aktiviti berblog. Aku tulis cerpen sahaja bila rajin. Kalau tulis blog hari-hari pun, bila blog aku jadi tebal pun, bukan boleh suruh mak aku yang sudah tua itu duduk dalam blog!

p/s: kalau kalian bijak laksmana bentan, cuba kira ada berapa biji batu blok dalam foto di atas!

UPDATED: p/s/s: Siapa pernah tag aku dulu-dulu, aku dah tak ingat. Sila bagi tau. Kalau ada masa aku buat!

Saturday, October 11, 2008

Apa Cerita Ni?

Petang semalam ketika memandu pulang dari kerja ada panggilan dua tiga kali. Nombor kawasan KL. Tapi liputan talian kawasan Mela ke Jerantut kurang bagus. Jadi terputus-putus. Aku tak tau siapa buat panggilan dan malas fikir. Kadang-kadang aku tak layan nombor asing. Kena pula yang tanya,"ni siapa ni?" Pernah aku mengaku aku ni Micheal Jackson.
Akhirnya panggilan tu sangkut juga. Rupanya Puan Nor Azah Abdul Aziz , Editor Kanan Utusan Publication. Aku berhentikan kenderaan di bahu jalan. Kami bercakap-cakap menerusi talian sebentar. Lembut suara beliau. Selalu tengok muka di media cetak serius saja.
Tak lama kemudia tiba di Pulau Mansuk kawasan Feri Cikgu Sahrunizam pula buat panggilan. Beliau tanya samada Puan Nor Azah ada telefon aku atau tak. Aku jawab ada la. Telefon genggam yang lama aku hilang. Mujur Cikgu Sahrunizam ada nombor telefon rumah mak aku. Aku bagi sewaktu bertemu dengan beliau di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2005 dahulu.
Aku pun tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Memang susah juga nak cari aku rupanya. Aku memang tak akan paparkan nombor telefon genggam di blog. Lagi pun aku bukan JK Rowling.
Apa pun terima kasih Cikgu Sahrunizam. Terima kasih Puan Nor Azah. Terima kasih Utusan Melayu.
Agak-agak, Puan Nor Azah baca blog aku yang lintang pukang ni tak?


HAHAHA

updated: Nak entri lucu? Isnin atau Selasa. Gua sibuk macam wartawan perang pula sekarang ni. Haih!

Thursday, October 9, 2008

Senja Ini Sesudah Senja Itu

Sekarang ni asal masuk senja saja perut aku pun lapar. Masuk senja saja lapar. Tak tau la apa ke halnya. Periuk kenampakan macam bidadari yang melambai-lambai pun ada. Kena pula taktala azan berkumandang di udara. Nasib baik aku bukan muazin. Kalau tak memang semacam la pitching sebab perut se’eh.

Dulu-dulu mak aku memang tegah makan ketika nak maghrib sangat dah. Prentan iblis setan hantu apa kejadah segala kejahatan mula berkeliaran, kata mak sambil suruh mandi dan belajar ngaji Muqadam. Aku pun spontan ngaji sambil makan, “Alif Ba Ta, pak aji buta mata. Kak di atas ka, kak di bawah ki, kak di depan ku, KAKIKU. Ba di atas ba, ba di bawah bi, ba di depan bu, BABIBU!”

PANG!!!

Adoi, mak bagi obat sedas di punggung. Padan muka. Kecil-kecil dah macam lanun!

Kalau tiap-tiap bulan iblis hantu setan kena pasung bagus juga kan? Boleh makan waktu senja tiap-tiap hari.

Glossari

Se’eh: Kenyang melampau-lampau.

Prentan: untuk menunjukkan waktu/masa yang tertentu. Waktu utama kot. Aku syak perkataan tu berasal dari perkataan prime time.

Saturday, September 27, 2008

Haih, Dah Jadi Tahap Bangkai Ke?

Suatu ketika dahulu. Lama juga. Seorang kawan mahu beli anak-anak ayam. Tiba-tiba tanpa mimpi. Murah saja. 50 sen seekor. Mungkinkah anak ayam rejek? Dia pelawa aku beli bersama-sama seorang lagi kawan.

Masa tu anak ayam warna warni popular gila. Tapi aku beli yang putih saja. Sebab murah. Lagi pun bila dewasa warnanya hilang dan dagingnya tak ada warna-warni pun. Taiknya pun sama busuk macam taik ayam biasa.

Reban siap. Dari kayu-kayan dan atap terbuang. Mentol dan wayar beli. Anak ayam beli 10 ekor. Mati dua. Campak dalam lubang sampah. Rugi RM1. Modal tak banyak mana. Sebab bela sikit saja. Lagi pun anak-anak ayam tu comel-comel juga.

Tapi gembira menternak mula bertukar pening. Duit aku menoreh getah mengalir ke dedak ayam-ayam tu. Masa comel sikit punya berhemah makan. Sopan santun. Masuk minggu ke 6, mak aih mengalahkan orang berbuka puasa pula. Tempat dedak tu bergegar-gegar macam gempa bumi. Bekas minum air tu terbalik terbalik hentam dek demeh tu.

Reban kecil jadi sempit. Ayam-ayam tu patuk mematuk sama sendiri. Macam kanibal. Mak suruh sembelih saja. Masalahnya, dalam keluarga kami memang tak ada tukang sembelih. Arwah ayah memang tak pernah menyembelih ayam. Arwah tak sampai hati. Maka terpaksa la kami minta tolong Pak Awang di sebelah rumah kerana kami adik beradik pun tak jadi tak berani juga. Dan ia bukan masalah besar.

Kebetulan ayam-ayam itu membesar dan sedang-sedang sedap disembelih bulan puasa. Setelah mak masak ikut dan, juadah pun bertukar-tukar rumah. Lagi pun banyak kalau seekor. Mak dan arwah ayah tak makan ayam. Maka sehingga nak menyampaikan Hari Raya tinggallah empat ekor saja. Cadang kami nak sembelih bakinya untuk Raya.

Maka sehari sebelum raya sibuk la kami nak menyembelih ayam. Masalahnya Pak Awang entah ke mana dan kesibukan petang tu, aku tak tau dia ada kes apa. Tapi sibuk la. Hari dah nak senja. Risaulah sekalian kami gerangan tak ada tukang sembelih.

Tapi memang nak jadi rezeki. Adalah si Alek anak Pak Cik Sahak lalu. Aku jerit-jerit nama kawan aku tu. Dia datang. Tak ada masalah. Boleh tolong tanpa bayaran. Aku minta dia tolong sembelih semua dan seekor untuk ajak kawan-kawan buat BBQ.

Memang kami ada belajar sembelih haiwan disekolah dulu. Cuma aku tak praktik. Seekor demi seekor ayam keok di tangan Alek. Aku jadi tukang pegang saja. Aku gembira. Bukan sebab dapat makan ayam. selesailah beban tanggung dedak aku nanti.

Tapi ayam yang terakhir tu, yang bersaiz XXL tu, benar-benar membuat kami terasa aneh. Hampir sejam kami tunggu. Tak mati-mati. Haih, apa dah jadi? Apakah ayam ini ada menuntut ilmu kebal ke? Atautakah dia ada bela hantu? Ataukah? Ataukah? Ataukah? Macam-macam fikir terlintas di cepu kepala kami. Kami dah berpeluh-peluh kehairanan. Rasa nak panggil TV3 pun ada masa tu. Tapi tak tau macamana nak panggil.

Akhirnya Alek ajak sembelih sekali lagi. Simpati pula kat ayam tu. Mesti siksa dia tak mati-mati. Moyok saja tepi semak. Hanya satu urat saja yang putus. Setelah di sembelih sekali lagi barulah mati. Selesai masalah.

Malam tu kami pun buat la BBQ ayam sembelih dua kali tu. Aku dan adik beradik aku yang cuci dan katam-katamkan ayam tu. yang sembelih sekali diasingkan. Kami panggil semua kawan-kawan makan. Kami bakar di unggun yang digunakan untuk membakar lemang petang tu. memang sedap betul makan ayam malam tu.

Tapi sekarang baru aku terfikir kes malam Raya tu, sah ke sembelih ayam dua kali macam tu? Boleh makan ke?

Wednesday, September 24, 2008

7th Son Of The 7th Son

Ini kali aku kena tag lagi dengan tiga orang sekaligus. Poyotitos, Kusutkusut dan Kikiey. Mujur hantar tag. Kalau hantar bom tiga das sekaligus memang lebih halus dari tepung dah la gamaknya jasad aku. Roh pulak harapnya dikalangan orang beriman la kan.

Haih, tag Dmasiry tak buat lagi. Award Zakiah tak ambil lagi ni. Nanti aku buat satu-satu yea? Bukan tak sporting. Aku sibuk sikit sekarang. Tapi aku mesti buat punya.
OK. Kali ni aku jawab tag budak bertiga tu dulu. Tujuh (7) fakta cemerlang tentang aku:

1) Pernah tertukar beg dengan abang masa sekolah. Beg sama warna hijau. Abang datang tukar ke kelas aku semula sebab dia nak pakai baju PJ. Semua kawan-kawan gelak. Untuk elak insiden berulang aku conteng pada beg aku perkataan ‘Toriton’.

2) Tak suka tempat ramai sangat orang. Sebab tu aku tak pernah pergi Disko, Dangdut atau MAHA. Tapi dulu-dulu pernah juga pergi gig kecil-kecilan bila ada ekspo di Bandar Jengka. Duduk tepi-tepi stage sebab nak curi skill gitar. Dulu tak ada You Tube. Zaman Silent Death, Brain Dead, Nebiras entah hapa ke jadah lagi. Kawan aku tarik ajak headbanging. Tak sampai satu lagu aku lari pergi beli air. Bukan nak minum. Curah kat kepala. Pening.

3) Tak pandai bersukan. Merentas desa boleh la. Masa tingkatan tiga aku sekelas dengan budak-budak nakal dan bengap. Dalam kelas mana boleh belajar. Petang-petang budak lain main bola aku menelaah pelajaran bawah rumah. Cikgu pelik SRP aku bagus. Aku masuk kelas baik dan cerdik pula bila Tingkatan 4.

4) Aku boleh nyanyi dan petik gitar lagu ‘Polly’ Nirvana dengan baik. Sebab tu aku bersemangat nak buat diploma di Polytechnic Kota Bharu. Haha sebenarnya aku masuk Poly sebab kena paksa dengan abang. Untuk buat Sarjana Muda Kejuruteraan Awam aku dah tak sanggup. Aku lebih rela ke Harvard belajar menjahit labuci.

5) Aku agak susah untuk marah. Kalau marah aku diam saja. Tapi kalau dah tak tahan dan marah yang teramat sangat aku balik rumah sebab nak makan nasi sambil mencangkung atas kerusi. Kadang-kadang atas lantai tepi pintu pun boleh juga.

6) Aku minat suara dan lagu-lagu Ahmad Jais. Beliau sangat unik. Kalau pelakon sudah tentu Mat Sentul. Filem-filem beliau Advant Garde dari segi teknikal dan penyampaiannya. Iklan Ding Dang, dan Tora tu pernah mempengaruhi hidup aku.

7) Aku tak reti berenang tapi pernah kejar dompet hanyut di Sungai Tembeling. Macam pendekar aku kejar. Aku bungkus dalam plastic dan taruk dalam poket. Tak pasal-pasal keluar sebab udara banyak dalam plastic tu. Dah la air laju dan berjeram. Mujur air sungai tembeling paras lutut saja. Dalam tu ada RM400. Pergh, RM400 punya pasal. Kalau terjerlus dalam lubuk? Tak berblog aku!

Ok? Tapi aku tak tau pula nak tag blogger mana. Semua poyotitos dah tag secara berkelompok pembaca blog dia. Aku ingat nak tag Zakiyah, Rozie, Mint, Mas Mohd Yunus, Redzwan, Zuldeanz dan Farah Jacky. Kalau kalian baca blog aku sila jawab tag ni, sebab pembaca blog aku akan ke blog kalian pula. Jangan marah tau. Kira ni untuk mengeratkan silaturahim la. Sesama saudara Islam. Tapi padan muka kalian kena tag. Siapa suruh baca benda ngarut ni. Hahaha!

Monday, September 8, 2008

Ramadan, Jambul dan Sebuah Erti Kemanusiaan Yang Rabak (Episod 1+2)

(OK aku habiskan kisah ni hari ni juga. Sebab aku sibuk esok dan terasa malas nak berfikir pasal blog. Yang merah part 1, yang hitam part 2. K. Bye. Selamat terhibur!)
Suatu waktu dulu aku suka tengok gelagat Jambul. Bukan sebab dia badut sangat. Tapi dia pandai buat macam-macam mimik muka. Memang kalah la Jim Carey tu. Pelik-pelik mimik dia buat. Boleh jadi pelakon sampai tahap Hollywood kalau betul gaya asuhan.

Bila ke ladang tolong mak ayah toreh getah atau kutip sekerap aku lalu depan rumah Pak Anjang. Satu jam sampai la. Selalu juga arwah ayah punggah bila sampai sekerat jalan. Bas memang tak lalu dalam ladang kami.

Maka setiap kali lalu, aku memandang Jambul yang tak macam kita itu. Tak pandai cakap. Akal pun sifar. Pak Anjang rantai Jambul di pohon rambutan di depan rumahnya. Aku lalu jauh-jauh saja. Sipi-sipi pun tak langsung. Aku takut Jambul terkam. Buatnya Jambul rampas seluar baju aku macamana?

Tapi kalau musim buah sambil lalu situ, di tangan ada rambutan, langsat, duku, manggis, koko atau lain-lain aku baling juga ke arah Jambul. Bukan nak buat dajal. Saja nak kongsi rezeki sikit-sikit. Jambul memang cekap sungguh. Jambul tackle dan tangkap sebiji macam Canavaro. Kalau jadi goli pasukan bolasepak Malaysia jangankan piala Tiger, piala Dunia pun boleh juara. Malaysia tak akan bolos dan jadi juara secara penalti. Rasuah Jambul tak main la.

Jambul ni pun beradab sopan juga. Dapat saja rezeki dari aku dia buat muka dan bunyi-bunyian aneh. Agaknya Jambul bermaksud; “terima kasih!” Aku pula tak reti la nak jawab “sama-sama”. Tak kan nak tiru mimik muka Jambul. Buatnya ada yang tangkap gambar dan hantar dalam majalah Bujal ke, Bambino ke, Kuntum ke, mana aku nak letak muka? Tak kan nak letak dalam botol bedak Cuticura?

Part 2
Petang tu seperti Ramadan tahun-tahun sebelumnya. Asal puasa saja berdentam dentum. Lebih sebulan main mercun. Hari raya lagi teruk. Penganut Budha pun tak puasa dan raya sampai main mercun macam kita. Sekarang ni, masalah ni makin menjadi-jadi. Mudah betul benda terlarang masuk dan jual di Malaysia ni. Apahal?

Oleh kerana tahap ekonomi kami gitu-gitu saja, maka arwah ayah larang kami main bunga api dan mercun. Membazir dan bahaya. Memang betul. Rumah jiran sebelah terbakar gara-gara cucunya main bunga api atas tilam. Namun sebagai kanak-kanak tentulah aku nak berseronok juga.

Ayah tetap ayah. Kerana sayang, arwah ayah beli juga bunga api cap ‘Kucing Hitam’ tiga bungkus untuk kami. Harganya 20 sen. Di dalamnya ada 10 batang. Tangkainya dawai. Kami akan bengkokkan, bakar, pusing-pusing dan baling ke pucuk pokok mempelam depan rumah kala malam tiba. Seronok dan indah betul. Macam pokok krismas, aku cakap pada abang dan adik. Kalau ada air batu kepal perisa sarsi dan oren seguni boleh main baling-baling bola salji malam-malam.

Tapi diam-diam aku beli juga mercun sikit. Belanja sekolah masa bulan tak puasa 40 sen. Aku selalu sisih 10 sen untuk beli kasut Aliph Lefhanded. Kasut raya selalunya mak dan arwah ayah beli yang jenama Bata tapak hijau. Warnanya putih dan boleh di bawa ke sekolah lepas raya. Mujur la seluar baju warna-warni. Selain itu aku hanya ikut kawan-kawan yang berkemampuan dan suka membazir. Tak dapat main mercun pun tak apa. Dapat tengok dan tolong cucuh pun jadi la.

Masuk separuh Ramadan kami dah jemu main mercun. Main meriam karbaid la. Baru ada pertempuran. Riuh rendah seluruh Felda kami dengan gema geng Meriam Karbaid. Kami memang kreatif dan utamakan keselamatan. Kami tak main la guna buluh. Kami cantum-cantum tin Milo besar jadi macam batang paip. Tanam dalam tanah dan tindih dengan batu berguni-guni. Dia punya bunyi, berdentum!

Maka kecoh la golongan tua yang dah tak rebel ni. Dimarahnya kami. Dan petang tu aku, Ereng, Asan, Alek, Madi, Atan dan beberapa orang kawan lagi berhijrah la menjauh dari golongan yang dah tak rebel tu setelah diusir. Kami berhajat nak main di kawasan ladang saja. Biar terkejutbabi; babi, tupai, semut, segala unggas serta mergastua.

Dan entah apa kejahatnya petang tu nak jadi tragedi; sedang dalam kembara menuju medan tempur lalu depan rumah Pak Anjang, Ereng buat hal. Entah bila dia keluarkan mercun katak. Mercun ni dah susah nak jumpa sekarang ni. Warnanya hijau. Ada empat bahagian dan dililit benang. Ia boleh melompat empat kali dan sekaligus letupannya empat kali juga. Aku pula macam biasa membuang pandang ke arah Jambul masa tu.

Tanpa amaran Ereng cucuh mercun katak seraya baling ke arah Jambul yang mencangkung merenung kami. Maka dengan gaya Canavaro, Jambul sambar mercun tu dan sumbat ke dalam mulut cepat-cepat. Kami hanya memandang. Tak sampai sepuluh saat mercun tu meletup-letup dalam tekak Jambul. Kami bertempiaran lari. Aku tak rasa lucu walaupun ada yang ketawa berdekah-dekah. Pak Anjang mesti menyumpah!

Sejak Jambul kojol Pak Anjang tak bela beruk lagi untuk petik kelapa. Dia kecewa dan bela itik serati saja buat hibur hati. Cukup masa boleh jual. Dan aku pula bila dengar dentuman mercun sesekali teringat juga peristiwa menyayat hati itu. Mungkin itu takdir Jambul. Tapi ada juga rasa kesal. Manusia la yang merabakkan erti kemanusiaan selama ini. Bukan binatang.

Buat Jambul yang pandai buat lucu macam Jim Carey tu, tentu kau sedang damai di Sana. Tak perlu lagi memburuh memetik kelapa untuk upah tak seberapa untuk hidup di dunia yang semakin hodoh dan kelam ni.
Tamat
Aku sayang semua kawan-kawan aku. Peace!

Ramadan, Jambul dan Sebuah Erti Kemanusiaan Yang Rabak (Episod 1)

Suatu waktu dulu aku suka tengok gelagat Jambul. Bukan sebab dia badut sangat. Tapi dia pandai buat macam-macam mimik muka. Memang kalah la Jim Carey tu. Pelik-pelik mimik dia buat. Boleh jadi pelakon sampai tahap Hollywood kalau betul gaya asuhan.

Bila ke ladang tolong mak ayah toreh getah atau kutip sekerap aku lalu depan rumah Pak Anjang. Satu jam sampai la. Selalu juga arwah ayah punggah bila sampai sekerat jalan. Bas memang tak lalu dalam ladang kami.

Maka setiap kali lalu, aku memandang Jambul yang tak macam kita itu. Tak pandai cakap. Akal pun sifar. Pak Anjang rantai Jambul di pohon rambutan di depan rumahnya. Aku lalu jauh-jauh saja. Sipi-sipi pun tak langsung. Aku takut Jambul terkam. Buatnya Jambul rampas seluar baju aku macamana?

Tapi kalau musim buah sambil lalu situ, di tangan ada rambutan, langsat, duku, manggis, koko atau lain-lain aku baling juga ke arah Jambul. Bukan nak buat dajal. Saja nak kongsi rezeki sikit-sikit. Jambul memang cekap sungguh. Jambul tackle dan tangkap sebiji macam Canavaro. Kalau jadi goli pasukan bolasepak Malaysia jangankan piala Tiger, piala Dunia pun boleh juara. Malaysia tak akan bolos dan jadi juara secara penalti. Rasuah Jambul tak main la.

Jambul ni pun beradab sopan juga. Dapat saja rezeki dari aku dia buat muka dan bunyi-bunyian aneh. Agaknya Jambul bermaksud; “terima kasih!” Aku pula tak reti la nak jawab “sama-sama”. Tak kan nak tiru mimik muka Jambul. Buatnya ada yang tangkap gambar dan hantar dalam majalah Bujal ke, Bambino ke, Kuntum ke, mana aku nak letak muka? Tak kan nak letak dalam botol bedak Cuticura?

Bersambung…

(Sedutan episode akan datang)
Petang tu seperti Ramadan tahun-tahun sebelumnya. Asal puasa saja…


(perenggan ni perlu dibaca ala-ala alih suara Dragon Ball yang buat hasutan bila siri tu bersambung esok hari atau minggu depannya)
Apakah yang akan terjadi? Adakah Jambul akan membuat hura dan merampas kuasa serta perintahan Negara? Dapatkah aku menyelamatkan dunia ini? Sama-sama kita saksikana di dalam episode seterusnya pada hari Raya Haji nanti!)
P/S: Kisah ni panjang sangat. kena buat dua episod. yoshz, jangan cakap aku tak ada idea!

Saturday, September 6, 2008

Kenang Daku Dalam Doa Kalian

Sebenarnya beberapa hari ni kesihatan aku kurang bagus. Boleh jadi juga salah makan kerana perutku juga meragam. Kelmarin aku dah tak larat. Aku cuti saja. Padamkan telefon genggam sampai jam empat petang. Kalau tak, tak ada maknanya. Pak Lah selalu sangat panggil aku minta idea walaupun aku tak pernah layan.

Dari pagi aku baring. Bangun dan berulang ke tandas bila perut meragam. Mujur bukan tandas awam. Kalau tak rabak la duit bayar servis. Rasa mahu ke farmasi cari ubat. Tapi aku puasa. Tak jadi. Buat keputusan untuk pergi petang saja.

Tengahari khamis kelmarin tu tiba-tiba dengar bunyi motorsikal masuk ke laman rumah mak. Aik, ada yang nak ziarah aku ke? Tapi bukan ada orang tau pun aku tak sihat. Dalam fikiran terbayang buah tangan yang lazat-lazat. Tandoori kambing ke, anggur California ke, atau paling kurang buah Melaka. Ah, boleh simpan buka nanti. Jimat sikit belanja.

Tiba-tiba deras dan berkali-kali hon motor tu menjerit. Kurang asam. Jangan la main hon. Sekali dah la. Lambat-lambat aku bangun dan menuju ke pintu. Bahu aku runduk dan tangan hampir mencecah lantai. La, Encik Posmen rupanya. Dia sengih dan tanya kenapa aku lambat? Lambat apa? Kalau keluar lepas Raya nanti baru la lambat Encik Posmen. Tapi aku jawab dengan sengih saja.

Rupanya ada bungkusan Pos Ekspres untuk aku. Lepas ucap terima kasih dua kali aku masuk rumah dan buka cepat-cepat. Dah agak. Ada enam naskah buku kiriman saudara Marsli N.O. Dua hari sebelum tu beliau ada panggil maklumkan dah terima pesanan aku.

Maka menunggu petang aku habiskan masa membaca buku beliau. Tak larat nak baca semua sekaligus. Tapi aku mulakan dengan kumpulan puisi terbaru beliau ‘Kepada Angin Juga’. Aku memang sukakan karya-karya beliau terutama cerpen. Cerpen-cerpen beliau memang ada gaya dan jurus tersendiri. Selalunya ekperimental dan absurd. Ah, tak larat la nak cerita banyak. Nanti kalian cakap aku promosi dan nak bodek dia pula. Untuk kisah lanjut klik saja sini.
*********************************************************************************

Itulah aktiviti aku kelmarin dan semalam sebelum keluar cari ubat dan beli buah-buahan. Aku tak ke pejabat dan rumah aku belum ada streamyx. Maka aku tak dapat nak balas komen-komen kalian dengan kadar segera. Bukan sebab aku tiba-tiba jadi hensem dan rasa sombong pula. Bukan. Aku betul-betul kurang sihat. Aku tak larat.

Kepada kawan-kawan yang selalu bertandang ke blog aku dan tinggalkan komen; terima kasih. Kalau kalian terhibur dengan celoteh aku baguslah. Aku tumpang gembira. Kalau rasa kurang senang maaflah. Aku tak berniat untuk berlaku kurang asam boi.

Hari ni aku dah beransur OK sikit la. Doakan kesihatan aku supaya kembali sihat seperti sedia kala. Kerja pun berlambak-lambak lagi ni. Bila sihat dan lapang, nanti boleh aku menulis dengan idea yang kaw kaw lagi.
Kalau nak doakan jadi hensem melampau-lampau pun boleh juga. Nak ceria lagi doakan aku dapat kuasa macam Naruto tu sekali tau. Mana tau doa kalian makbul. Boleh la aku pergi ke Washington. Aku dah lama teringin nak tempeleng George Bush anak beranak tu. Lebih-lebih lagi dekat-dekat 11 september ni!

Akhir kata untuk kawan-kawan blogger semua; kenang daku dalam doa kalian.

p/s: siapa yang dah paut blog aku tapi aku belum paut blog dia jangan kecil hati. Nanti aku paut juga. Aku sibuk sikit sekarang.

Wednesday, August 20, 2008

Dari Lipatan Album Lama

“Nah helmet ni. Aku nak kau bawa motor ni, pergi kirim salam kat akak yang tu. Jangan silap pula. Akak yang cute tu.” Aku ambil topi keledar merah tu dan pakai sambil angguk-angguk saja. Masa tu otomatis aku pun dah lupa macamana nak senyum. Mata aku dah paku tepat-tepat ke awek yang kena tunjuk tadi. Kalau hilang nahas la.

“Sampai tiang tu, kau wili satu kali. Lepas kirim salam cepat-cepat datang sini balik pulangkan helmet dan motor ni. Wili satu kali lagi di tiang tu. Faham?” Diberinya aku arahan lagi dengan muka komando. Kalau aku Fushi Kamitake, memang aku sepak juga kerandut zakar dia di tengah-tengah orang ramai tu biar senak satu jam.

“Faham bang.” Tak guna. Dapat kerja posmen pula. Kalau ada upah tak apa juga.

Aku pun buat la. Ikut semua arahan. Minyak aku pam habis padat. Bunyi ekzos kasi kaw-kaw punya. Ambil lap paling tajam. Rapat tahap telinga cecah track. Wili pun tak lupa. Sampai terus kirim salam daripada abang yang tak guna tu kepada akak yang manis bukan main tu. Nak saja cakap salam tu aku yang punya. Pusing belakang dan kembali ke abang yang tak guna tu. Misi tamat dengan jayanya..

“Dah? Akak tu cakap apa?” abang tu tanya sambil sengih-sengih sebaik saja aku kembali.

“Dah bang . Dia jawab la salam abang.” Dah orang tu tanya aku jawab la dengan serius.

“Bagus. Pergi masuk dalam group kau balik.”

Bangang punya senior tingkatan lima. Orientasi, orientasi juga. Dalam dewan makan mana boleh main-main motor. Manusia dah la ramai. Sempo betul muka aku masa pulangkan topi keledar merah dan handle motor dari kayu batang penyapu tu!

Glosari:
Sempo (cakap pahang) – malu tak terhingga tahap dewa.

Monday, August 11, 2008

Nak cari penyakit sangat mudah, nak cari idea pepalih susah!

Aku nak cari idea untuk post baru. Tapi tak tau nak tulis apa. Dah dua hari asyik tulis sajak saja. Dzulkarnain Mohamad ada SMS suruh siar keratan akhbar Sinar Harian yang petik sebahagian dari blog aku dalam kolum dari blog ke blog. Dia tak beli. Sebab dia cakap kampung dia tak ada jual Sinar Harian. Ah, kampung Dzul kan Kota Gelanggi. Kampung mak dia Bukit Dinding dan arwah ayah dia orang Pulau Tawar. Kampung Dzul bukan Jamaica tempat asal Bob Marley yang rambut pintal-pintal macam mop lantai tu. Tak kan tak ada jual Sinar Harian? Apa la Dzul ni.

Aku pun tak tau entri tajuk “Drama Sebabak: Lagi Lagi Inflasi…” tu dipetik perenggan pertamanya oleh Sinar Harian. Aku terbaca di Tagborak; Ojie, Man Helang dan S.Yanaz tengah bergosip pasal blog aku. Aku ingat mereka berlatih nak buat April Fool. Aku cari-cari Sinar Harian di ofis sabtu lalu. Tapi entah mana-mana perginya. Selalu anak bos ada beli. Tapi tak ada pula.

Aku turun kedai Uncle Perumal. Mintak Sinar semalam. Mula-mula Uncle Perumal buat tak tahu saja. Dia terus baca berita Samy Vellu dalam Tamil Nesan sambil beritahu aku itu Samy Velu tak ada guna punya orang. Aku peduli apa. Aku ugut nak gunting bahagian tepi doti Uncle Perumal biar jadi seksi. Menggelabah dan cepat-cepat dia cari di stor. Dapat saja aku bayar dan terus bawa naik ofis.

Semua budak-budak ofis macam bengang saja bila aku tunjuk. Dia orang bukan suka sangat blog aku. Mereka tuduh aku perasan glamour. Tapi Masniyatun dan Suzana diam-diam baca juga sambil gelak-gelak. Terkekeh-kekeh pula tu. Bila aku intai cepat-cepat dia buat kerja akaun guna UBS semula. Suzana pula buat-buat sibuk baca pelan. Terbalik pula tu pelannya.

Tapi esok macamana ? Ah, sakit betul nak cari idea ni. Aku belek majalah-majalah lama. Terjumpa Dewan Budaya Januari 2004. Editor dia masa tu Abd. Razak Abu Bakar. Penolong Editor dia Adnan Abd. Jamil. Bro Denanz ka? Cheh, patut aku macam familiar nama dia ni. Ingatkan jurusolek artis ke, ex-drummer spoon ke atau penjenayah kecil-kecilan mula-mula dulu. Isu utamanya “Minda Melayu Dalam Politik”. Tak kan nak tulis pasal politik? Politik kena tulis pasal babi dan liwat pula. Tak minat aku. Aku belek-belek pula majalah Tunas Cipta lama-lama. Editor masa tu Zaharudin Abd. Rahman. Kemudian Norizan Muslim. Penolong Editornya Ritah Yahaya. Ya, Puan Ritah Yahaya pemblog ‘Cetera Bahasa’ yang terkenal dengan siri ‘Alam Terbentang Jadikan Guru’ tu.

Ya, aku pun memang sukakan alam. Alam banyak membuat aku tenang. Sebelum berblog dulu pun aku sudah rajin menulis. Selain nasi, air sirap limau, apam balik dan rokok, alamlah tempat aku mencari ketenangan dan ilham. Selalu tulisan-tulisan aku bergariswarnakan alam. Aku sayangkan alam nan indah ini. Aku semakin kurang senang dengan keriuhan kosmopolitan dan perlumbaan kebendaan. Alam terlalu banyak memberi sebenarnya. Tapi bagaimana suatu hari nanti bila semua kehijauan alam yang asli tiada lagi? Aku harap waktu itu aku telah pun menjadi sebahagian dari tanah!




DI KOTA PEDALAMAN

Ini kota pedalaman
kopi malamnya ku hirup
dengan mahal harga
di khemah waktu mendamaikan.

Ini kota pedalaman
paling sibuk dengan lalu lintas sunyi
jam lapan malam
sudah terlalu tua di sini
tanpa radio, telivisyen, dan telefon tangan
langkah hidup di tepi sungai.

Ini kota pedalaman
terlalu riuh dek pergeseran
angin di celah dedaunan
suara serangga berpesta
dan sekali-sekala
sampuk jampuk
sayup-sayup.

Ini kota pedalaman
keriuhan sunyinya padat dan likat
malamnya mengalir sibuk
meriah menerjah batu-batu di jeram
tapi di muaranya ada anak-anak muda
lemas dihimpit hutan konkrit.

RAHIMIN IDRIS
Taman Negara, Pahang
Majalah Tunas Cipta Julai 2005

DI TENGAH-TENGAH PERJALANAN

Di hamparan pasir putih
di tebing sungai mengalir jernih
yang entah dari mana puncanya
dan entah ke mana pula berakhir
kami tangguhkan perjalanan.

Matahari yang tadi menerangi
beralih hidup ke dunia barat
di langit luas mula menjelma
bintang-bintang tak terhitung
mengelilingi bulan nan satu.
pohon-pohon purba berseragam hijau
berbaris taat mengawal tebing
kini legam dihempap malam.
nyanyi unggas dan serangga
kaki angin yang meloncat di daunan
serta gemuruh air melanggar batuan
terperangkap dijala telinga.

Di bawah langit agung
dalam pelukan damai alam
jauh dari perang dan cemar ini
kami dirikan khemah
dan bentangkan sejadah
untuk sujud menyatakan syukur.

Wahai Tuhan,
yang menciptakan setiap kejadian
terasa betapa sepasang tangan kami
terlalu kecil dan tak upaya
selain menadah meminta,
meminta dan meminta hanya kepada-Mu;
semoga Kau sempurnakanlah
perjalanan hidup kami
sesempurna Kau mentadbir
alam yang indah ini.

RAHIMIN IDRIS
Taman Negara, Pahang
19.12.05
Mingguan Malaysia 15 Januari 2006