Showing posts with label nostalgia. Show all posts
Showing posts with label nostalgia. Show all posts

Tuesday, January 5, 2010

Isu Penggunaan Nama Allah


“Boleh ke guna nama Allah suka-suka hati macam ni? Berdosa karang. Masuk neraka nanti. Aok nak jadi macam kambing BBQ ke?” kata aku. Bercampur pertanyaan.

“Boleh sangat la weh, terpaksa ni. Kalau tak kita dalam bahaya ni. Darurat tau dok?” Mat CD memberi alasan. Bercampur mengajar aku.

Memang bahaya. Kutu-kutu dekat kampong kami memang tak boleh dipercayai. Ini adalah penemuan terbesar kami. Top secret yang paling terahsia. Kalau kutu-kutu lain jumpa memang jahanam bersepai.

“Kalau demeh panjat pokok pinang ni nanti demeh berdosa. Silap-silap demeh tak perasan pun pasal ni. Tak boleh panjat. Mata demeh tak nampok, ha ha ha,” kata Mat CD dengan yakin.

Entah mana Mat CD selalu dapat ajaran pelik-pelik aku pun tak tahu. Tapi yang ni, nak kata boleh pakai, macam boleh. Tapi macam tak boleh juga.

“Ikut aok la. Keh mana tau. Janji dapat, kita bela, lepas tu asah lidah dia sampai boleh mengucap,” kata aku menurut kata Mat CD. Berangan pulak tu. Diri sendiri pun jarang mengucap.

“Alip, lam, lam, he = Allah, siapa curi dia berdosa!” kata Mat CD sambil menoreh-noreh muka pokok pinang dengan menggunakan jari telunjuk. “Aok pun buat juga la, dabal baru kuat sikit.”

“Alip, lam, lam, he = Allah, siapa curi dia berdosa,” kata aku sambil menoreh-noreh dengan menggunakan telunjuk juga ke muka pokok pinang tempat burung tiung tengah bersarang.

Bukan setakat pokok pinang tu, lepas tu macam-macam benda aku tulis alif, lam, lam, ha dengan jari menggunakan dakwat invisible sebab takut orang curi. Selipar, selalunya -- bila pergi mengaji malam-malam. Sekarang insaf dah. Tak buat macam tu lagi.

Monday, December 28, 2009

Nasional Geografi: Episod Kepercayaan Orang Arab Jahiliah

Masa sekolah dulu aku ada Ustazah nama Shafinah Yaakob. Beliau ajar tamadun Islam sekali dengan yang agama-agama la. OK dia mengajar. Tapi yang aku perasan, budak-budak kelas aku tu bukan hendak bertanya sangat. Tak tahulah sama dah cerdik atau memang tak tahu nak tanya apa. Kadang-kadang kasihan juga cikgu-cikgu aku tertunggu-tunggu soalan.

Pada suatu hari yang gemilang itu, Ustazah ajar mengenai masyarakat Arab Jahiliah. Pepalih la Arab Jahiliah ni. Rujuk la mana-mana kalau nak tahu. Aku pikir semua orang pun tahu. Jahiliah diorang ni bukan dari segi teknologi. Tapi dari aspek agama dan akidah la. Macam masyarakat moden kita hari ni la juga. Dah pandai bunuh anak. Lagi dahsyat sebab tak kira jantina. Masyarakat jahiliah dulu bunuh yang perempuan saja. Apa ke bangang? Bila Islam datang baru wanita terbela. Apa bangkai nak feminisme lagi?

Selain itu, masyarakat Arab jahiliah juga percaya sangat ke tanda-tanda alam ni. Contohnya kalau nak keluar rumah, ada burung terbang menghala ke kiri. Alamatnya ada marabahaya la di tengah jalan, kononnya. Kalau kebetulan nak pergi berak ke sungai, tak jadilah gamaknya. Sama juga masyarakat Melayu jahiliah, dengar ada biawak melintas pun pusing belakang. Tak jadi pergi menyabung ayam atau gig tahun baru.

Selain itu kata Ustazah aku tu, ada juga pantang larang yang boleh dijelaskan dengan kaedah saintifik. Contohnya; setiap kali mahu berjalan jauh, orang Arab Jahiliah akan menghembus hidungnya. Kalau sebelah kiri tersumbat, mereka akan membatalkan perjalanan. Kalau sebelah kanan, kira OK lagi la. Kalau dua-dua OK lagi bagus. Kalau dua-dua tersumbat, nak mampus la agaknya. Sebenarnya kata Ustazah aku, sistem pernafasan tu, kalau sebelah kiri ia melibatkan jantung. Kurang elok berjalan jauh-jauh dan lebih bagus berehat saja. Katanyalah. Aku pun bukan tahu sangat.

“Ada soalan?” tanya Ustazah di hujung waktu kelas. Semua diam. “Kamu semua ni kalau mintak menyoal, semua diam, dah pandai sangat ke?” ustazah memperli dengan nada kecewa.

“Saya ustazah!” aku memberanikan diri sambil mengangkat tangan. Semoga mej para rockers pada hari itu menaik di mata pihak sekolah. Dengan soalan itu juga aku harap Ustazah aku tu tak terasa macam budak-budak kelas aku nak suruh dia blah sangat dah.

“Ye, Rahimin, apa soalannya?”

“Macamana kalau masa orang Arab jahiliah tu nak keluar rumah, dia nampak punya la banyak burung kelam kabut depan rumah dia. Ada ke kanan, ada ke kiri, ada ke atas, ada ke bawah. Bersimpang siur la burung tu terbang. Macamana ustazah?” tanya aku dengan penuh intelek.

Entah kenapa, Ustazah Shafinah tak jawab pun soalan aku tu. Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil macam nak senyum, tapi tak senyum. Dan terus kemas-kemas mahu keluar kelas.
Notakepalalutut: Lepas aku jumpa ular sawa ni dekat kebun sawit yang baru aku tanam tu tadi, aku terus blah. Bukan sebab aku ada kepercayaan macam orang Arab Jahiliah atau takut, cuma tiba-tiba saja aku rasa macam nak minum air Sunquick!

Monday, December 14, 2009

Kenang-kenangan dengan Institusi Bomoh

Antara kisah bomoh yang paling rare pernah menggemparkan Malaysia ialah kisah arwah Mona Fandey. Aku kira semua orang tahu dan aku tak mahu membukanya kembali.

Semalam aku menonton sebuah dokumentari di TV1. Bomoh cari hantu. Pelik juga aku tentang bomoh cari hantu pulak yang di highlight kan. Aku tengok saja la.

Dukun, pawang dan bomoh perkataannya seakan membawa maksud yang hampir sama. Tetapi bomolah yangs sering disebut-sebut. Memang aneh cara bomoh mengubat. Main baca-baca saja. Peralatan yang digunakannya juga simple ila. Telur, kunyit, sirih, air sejuk, limau nipis dan benda-benda biasa yang ada di keliling rumah di kampung-kampung.

Entah kebetulan entah apa. Aku lebih banyak mendapatkan khidmat bomoh apabila sakit berbanding perubatan moden. Mungkin disebabkan aku dibesarkan di dalam keluarga miskin dan cara hidup kampong agaknya. Waktu itu jangan kata ada kereta, motor pun tak ada. Arwah ayah cuma ada basikal saja. Bas tak silap aku ada pagi, tengahari dan petang saja.

Tetapi kebanyakan bomoh yang menolong aku tu bukanlah bomoh pun. Tak ada siapa pun panggil mereka bomoh. Malah tak ada pun masuk dalam suratkhabar atau majalah mastika pun. Masuk astro pun tak ada. Mereka jiran-jiran yang aku biasa temui saja.

Aku tak ingatlah masa kecik-kecik. Tapi yang aku ingat mula-mula tentang berjampi ni masa aku mula-mula masuk sekolah rendah. Aku sakit gigi. Tak boleh makan dan tidur. Dan malam itu arwah ayah membawa seorang kawannya yang bernama Pak Cik Yusof. Aku pun kenal beliau. Pak Cik Yusof minta dari ayah tukul dan sebatang paku. Masa tu aku dah takut. Aku ingat gigi aku yang akan dipaku. Rupanya dipaku ke tiang. Dan pengerasnya cuma syiling 1sen tiga keping. Mana nak cari syiling 1sen sekarang?

Kemudian masa masih sekolah rendah juga. Aku balik berkemah pengakap. Aku tengok mak baring saja. Tiga hari aku tak jumpa mak. Balik-balik mak jatuh sakit. Aku pun tak faham mak sakit apa. Tapi setelah sebelah petang tu didatangi arwah Wan Mahaya, baru aku tahu. Mak rupanya kena kanser perut. Masa tu aku tak tahu apa tu kanser. Yang aku tahu kanser tu boleh membawa maut macam dalam filem ‘Esok Untuk Siapa’ buatan Jins Samsudin tu. Bila Wan Mahaya tu cakap mata kanser tu masih baru dan masih boleh dimusnahkan, kami pun legalah sikit. Tapi arwah Wan Mahaya cakap, beliau tak boleh ubatkan. Jadi kami risau semula. Emak dah terlantar. Badan mak panas. Kami nak makan pun susah.

Tapi selang beberapa hari, suatu petang arwah bawak bapak kawan aku si Bogo, iaitu arwah Pak Itam Omar. Barulah aku tahu arwah Pak Itam Omar boleh menjampi. Selama tiga petang arwah Pak Itam Omar akan datang menjampi dengan hanya menggunakan telur. Aku dapat lihat sendiri ketulan darah tu dalam telur kuning. Pada hari ke tiga ketul darah tu makin kecil. Pada hari ke tujuh arwah Pak Itam Omar datang lagi. Proses sama diulang. Aku tengok darah di dalam telur itu dah tak ada. Tapi mak belum sembuh. Mak kena pantang 40 tak boleh makan makanan dalam tin, daging dan telur. Hari ke 40 arwah Pak Itam Omar datang. Telur masih digunakan dan kuningnya keihatan betul-betul bersih. Tapi yang peliknya arwah Pak Itam Omar tak nak duit satu sen pun. Tapi ayah bagi juga setelah puas dipujuk. Berapa entah aku tak tahu. Lepas tu arwah ayah buat kenduri doa selamat. Panjang umur mak aku.

Sebenarnya aku memang menghormati arwah Pak Itam Omar ni. Sekitar tahun 1997 aku selepas seminggu aku blah dari UiTM, aku dilanda demam panas yang memang luar biasa. Aku tak boleh makan dan muntah. Aku ke hospital dan kata doktor demam biasa. Aku pun mana tau. Biar saja la. Tapi tak kebah-kebah demam aku. Macam nak mati. Aku pulak kalau demam tak boleh baring. Jenis kena duduk kecuali masa tidur. Masuk hari ke 7 aku dah tak boleh baring. Tulang belakang terasa bengkok. Aku cuma duduk. Tak boleh makan langsung. Tak boleh tidur. Muka cengkung. Minum air pun muntah. Hampir dua hari aku duduk termasuk dalam tidur. Akhirnya aku bagi tahu arwah ayah dan mak, aku rasa nak mati saja. Masa itu mak dan arwah memang tak boleh cakap apa dah memandangkan aku sama seperti sepupu aku arwah Seman. Kami degil dan jarang sakit teruk. Arwah Seman meninggal dalam keadaan duduk kerana menahan sakit gara-gara barah usus. Cuma arwah Seman jenis kuat sebab boleh rahsiakan penyakit dia sampai dah nak tinggal 2 minggu hidup baru tahu. Itu pun sebab arwah tu dah tak daya sangat.

Maka akhirnya arwah ayat menjemput kembali arwah Pak Itam Omar tadi. Proses mengubat masih menggunakan kaedah yang sama. Guna telur. Tapi rupanya aku bukan kena kanser. Aku terkena kayap di bahagian dalam badan. Biasanya kayap di bahagian luar. Doctor tak dapat teka apa penyakit aku. Hampeh betul. Kata mak, kalau kayap yang melingkar dalam badan aku bercantum boleh maut. Tapi liat lagi nyawa aku.

Tapi itu antara segelintir peristiwanyalah. Di sekeliling rumah aku ni, ramai pakcik dan makcik yang boleh mengubat. Ada yang boleh ubatkan sawan, patah tulang, migraine, demam, sakit mata, sakit telinga malah kanak-kanak kena cacing sekalipun. Paling hebat mengubat orang latah pun ada (ha ha). Jampi guna pisang. Dan yang lebih penting, semuanya tak payah bayar. Bagi je la berapa nak bagi. Kalau ada pengeras pun tak sampai 10 ringgit. Sirih, kunyit, kelapa muda, limau nipis kadang-kadang percuma pulak tu. Tak adanya modal duit ribu-ribu macam dalam tv tu. Diorang ni sama je macam orang-orang kampong yang lain. Kerja guna tulang empat kerat cari makan. Bukannya buat kerja menipu.

Tapi aku sebenarnya nak kata percaya sangat tu tak juga. Aku cuma nak berjampi dengan jiran-jiran yang aku kenal saja. Kalau suruh aku pergi jumpa bomoh sampai ke Perak, Kedah atau pun Siam nun, jangan haraplah. Kena pulak yang jenis pelik-pelik dengan bertih jagung, dan segala macam lilin semua. Tak mahu aku.

Bila ada peristiwa bomoh kenakan cas ribu-ribu, tipu pulak tu, rogol orang la, bunuh la, aku terkilan juga. Dalam perubatan tradisional Cina dan India tak ada pulak aku dengar kes ni. Tak tau la kalau diorang sorok. Malah tahap perubatan tradisional/alternative orang Melayu ni jadi bahan ketawa dan lelucon pula. Apa nak buat. Bukan salah aku.

Jadi bila sesekali berjumpa dan bertegur sapa dengan jiran-jiran yang juga sahabat-sahabat arwah ayah aku ni, mendengar mereka bercerita tentang susah payah meneroka hutan Felda ni, baru aku faham. Orang lelaki kalau mahu merantau, mesti ada ilmu di dada. Bukan calang-calang hutannya dulu tempat yang sekarang jadi tanah rancangan Felda yang aku tinggal ni. Dahsyat dulu katanya. Nak makan nasik pun bukan main susah, apa lagi nak pikir pasal ubat-ubat yang hospital pulak jauh letaknya. Patutlah mereka saling tolong menolong dan tak berkira. Malah kata mereka dulu ada seorang penasihat Felda yang berasal dari Jerman dan pernah tinggal di tanah rancangan tempat aku ni pun, rasa aneh dan takjub tengok cara perubatan Melayu ni.

Bagaimanapun aku bukanlah tak cari perubatan moden langsung. Bagi aku yang berpendidikan dan terdedah luas kepada macam-macam hal dunia ini, perubatan secara moden lebih meyakinkan sebab dah ada macam-macam teknologi yang kita boleh nampak dan secara fizikal lagi. Canggih dan menakjubkan. Sepupu sepapat aku pun ada beberapa orang yang jadi doctor. Aku pun sekolah sains juga. Sebab tu masa kena kayap tu aku ke klinik dulu. Cuma aku saja nak suka pada perubatan tradisional ni. Macam aku kena migraine tak baik-baik hari tu. Puas makan ubat. Akhir sekali aku pergi jumpa Pak Azizi belakang rumah tu saja. Sampai sekarang alhamdulillah, tak sakit kepala dah bila waktu tengahari. Upah dia sebilah pisau dan seekor anak ayam saja. Jimat kan? Hehehe.

Namun hari ni semua benda ni macam dah nak pupus la. Pengamalnya pun dah tua-tua. Yang muda-muda tak minat pun nak belajar. Kalau ada pun yang jenis ilmu tangkap-tangkap hantu, nombor ekor, buat santau atau mensenyonong anak dara orang. Tu je la yang nak belajarnya. Apa nak buat. Nasib la. Zaman dah berubah.

Tapi sekarang perubatan moden pun dah jadi lebih kurang saja dengan perubatan tradisional. Dah ada doktor yang mula menipu. Jual ubat saja. Jual ubat batuk pun ada macam dekat tempat aku baru ni. Apa nak pelik. Bukankah penipu ada di mana-mana? Sedangkan nabi palsu pun ramai. Inikan pulak bomoh dan doctor palsu. Entah-entah, Perdana Menteri palsu pun ada tak? Kah Kah Kah!

Sunday, November 8, 2009

Nasional Geografi: Episod Burung Helang

Waktu itu. Aku sedang bermain-main dengan basikal jaguar milik aki di bawah rumah. Aku pun belumlah reti bawak basikal lagi. Cuma kayuh laju-laju dalam keadaan bertongkat. Pakai tangan. Lepas itu tabur debu tanah atas tayar belakang yang sedang ligat berputar. Debu berguguran macam salji. Sungguh indah. Kemudian kaut debu letak dalam tempurung comel penuh-penuh. Buat-buat macam orang siram air gula warna warni. Konon-konon sedang untuk buat ais kepal.

Tiba-tiba geng ayam wan dan aki riuh bubar serta bercempera di halaman. Mana yang ada anak-anak kecil, mengembang macam tengkuk sumpah-sumpah kena ganggu. Ada juga yang jadi pelarian ke bawah rumah mencari perlindungan. Aku pula segera tinggalkan pembuatan ais kepalku. Berlari ke laman.

O, rupa-rupanya ada helang berlegar-legar. Aku tau itu burung helang. Sebab memang kenal. Kalau burung kasawari lain sangat bentuknya. Serta-merta seleraku berubah. Aku lari-lari kecil naik ke rumah.

“Aki, burung helang boleh makan tak?” tanyaku dengan gaya budak memang masih belum sekolah.

“Eh, mestilah boleh,” jawab aki tersenyum sambil menghisap rokok ‘Signal’, sambil baca akhbar Utusan Zaman yang sekarang sudah hendak pupus sebab orang Melayu moden malas baca jawi.

“Haik, betul ke aki?” aku tak puas hati. Kalau betul aku hendak tangkap. Mahu makan. Kalau dapat banyak, boleh ternak. Komersial untuk ECER. Boleh masuk TV.

“Betul, boleh makan,” jawab aki lagi sambil memberi keyakinan seteguh tayar stemroll..

Aku segera berlari ke dapur. Cari wan pula. Wan sedang gobek sireh rupanya. Wan ada gigi. Tapi saja wan gobek. Sebab lenguh hendak kunyah lama-lama, kata wan.

“Wan, burung helang boleh makan tak?” soalku lagi sekali dengan soalan sama yang kutanyakan kepada aki.

“Eh, mestilah boleh,” jawab wan sama seperti jawaban aki. Selamba sahaja wan menjawab. Hendak kata jawaban berpakat, jauh duduknya. Tak nampak pakatan rakyat pulak.

“Aik, kenapa wan dengan mak tak pernah masak lauk burung helang pun? Betul ke burung helang boleh makan?” aku betanya lagi dengan perasaan yang amat aneh.

“La, kalau burung helang tu tak boleh makan, matilah dia, sebab tak makan!” kata wan sambil ketawa ha ha ha.

Ooo, aki dan wan buat lucu yek?







Nota Kaki:
Ditulis pada 31 Ogos 2009 yang lalu. Ingat malas nak pos dah sebab nak buat skrip filem doku pendek. Tapi sebab tak ada masa, tak buat. Amacam?