Showing posts with label Tak Ada Faedah. Show all posts
Showing posts with label Tak Ada Faedah. Show all posts

Monday, April 19, 2010

Metamorfodol #2

Dengan hanya berseluar pendek tanpa baju Dolah segera berlari mahu menuju ke tingkat bawah. Hampir saja dia mahu merempuh pintu biliknya ketika membukanya. Anak tangga yang dipijaknya macam tidak dipijak. Seakan-akan atlet Olimpik acara lompat kijang aksi Dolah ketika itu.

Sampai ke tingkat bawah Dolah tidak segera mahu keluar. Dia menujuk ke dapur dahulu. Waktu-waktu tengahari begitu dia pasti sangat; tentulah ibunya ada di dapur. Puan Norma Dorel, ibu kepada Dolah itu memang gemar memasak. Kadang-kadang balik dari makan kenduri kahwin pun beliau memasak. Beliau tidak makan pun tidak mengapa, asalkan lepas gian memasaknya.

“Mak cepat mak!” kuat benar jeritan Dolah sebaik lariannya tehenti di dapur – di hadapan ibunya.

“Kau hendak kena lempangkah? Bukankah emak sedang mengayak tepung ini? Sudah laju emak mengayak. Mahu selaju mana lagi?” soal emaknya bertalu-talu.

“Eh, emak mengayak tepung ditengahari butakah? Hendak buat apa?” giliran Dolah pula menyoal emaknya bertalu-talu.

“Emak hendak buat kek buah sebenarnya.” jawab Makcik Norma Dorel dengan begitu tenang sekali sambil meneruskan pengayakannya dengan teliti.

“Apa semua ini mak? Apa yang cuba emak lakukan ini? Bukankah kita tidak pernah makan kek buah untuk sebagai menu makan tengahari sebelum ini?” seperti seorang peguam Dolah menyerang emaknya dengan soalan-soalan remeh.

“Suka hati emaklah hendak buat kek buah ke, kek sayur ke, atau kek cekodok ke?!!” tiba-tiba Makcik Norma Dorel marah dan menengking Dolah dengan suara bak ekzos keretapi. Serentak dengan itu tepung yang diayak juga dihempas ke lantai dengan kuat. Tepung bertaburan bak dadah terhempas dari kapal terbang.

Terkejut Dolah dengan kelakuan emaknya itu. Dia terlupa; emaknya memang pantang sungguh kalau dihalang ketika mahu memasak. Encik Dhani Osmond, suaminya yang juga ayah kepada Dolah hampir mahu berpindah ke Sri Langka demi mengenangkan sikap memasak tengahari melulu Puan Norma Dorel itu.

“Kalau iya pun marah janganlah hempas tepung itu mak. Bukankah membazir begitu. Membazir itu kawan syaitan. Tidak sesuai langsung sikap amarah dan membazir itu dengan emak yang nampak sentiasa muda dan beriman ini,” kata Dolah mententeramkan ibunya.

Demi mendengar sahaja pujian anaknya itu; Puan Norma Dorel automatik tersenyum. Beliau segera mencangkung dan meraup tepung-tepung yang berserakan dilantai dan memasukkan semula ke dalam talam. Habis dengan semut dan bendasing dikautnya sekali.

Geli geleman pula Dolah melihat tepung yang dikaut Puan Norma Dorel itu. Ada juga terdetik niat dihatinya untuk menelungkup sahaja tepung tersebut di atas kepala ibunya yang bertabiat memasak pelik itu. Tetapi apabila mengenangkan dahsyatnya balasan derhaka kepada ibu sendiri yang menimpa Malim Kundang dalam drama sinetron Idonesia itu dulu, Dolah memadamkan niat busuk tahap loji najisnya itu.

“Hah, kenapa dengan kau tadi? Suruh mak ayak tepung cepat cepat?” tanya Puan Norma Dorel setelah keadaan kembali tenang seperti biasa.

“Hah, cepat mak dekat luar sana!” jerit Dolah tiba-tiba apabila dia kembali teringat apa yang di lihatnya dari tingkat atas sebelum itu. Dadanya kembali berombak cemas.
Updated 9:46: Bersambung lagi sebenarnya...

Friday, April 16, 2010

Metamorfodol #1

Sudah berhari-hari Dolah sukar benar mahu tidur. Semenjak Encik Diman membela anjing yang suka menyalak tidak tentu arah itu tidur Dolah mulai tidak lena. Malam menyalak lagi. Entah selang berapa minit akan terdengar salakan dari tekak anjing yang digelar Rambo itu. Pagi menyalak. Petang menyalak.Salakan Rambo cukup kuat meski tubuhnya hanya sebesar anjing mainan.

Hari itu Ahad. Dolah membuka matanya perlahan-lahan. Kemudian Dolah menggeliat seperti kucing berusaha untuk bangkit. Beberapa saat kemudian Dolah telah pun duduk di birai katil. Kepala Dolah terasa kosong macam bola – tiada apa-apa kecuali udara. Dolah tunduk dan menggaru-garu bahagian belakang kepalanya yang kosong itu. Fikirannya tidak mencapai apa-apa. Hanya kelemumur yang berguguran macam salji musim krimas. Baru Dolah teringat sudah tiga bulan dia tidak bersyampu. Sebab lupa beli setiap kali ke kedai. Ketika mandi baru dia ingat.

Akhirnya Dolah bangun dan berjalan menuju jendela sopan santun macam orang baru lepas berkhatan. Tangannya yang berurat-urat itu dengan perlahan-lahan menyelak langsir yang beropol-ropol menabir cahaya kesiangan dunia luar. Sebaik langsir lusuh bercorak keladi birah yang diambil di sebuah rumah tinggal itu terkuak, mata Dolah segera mengecil kerana diterkam sinar mentari tengahari yang keras. Batin Dolah terasa siksa.

Dolah berasa hairan kenapa pagi itu anjing jirannya tidak membising seperti selalu – menyalak setiap apa sahaja yang lalu lalang di hadapan rumah mereka. Pagi itu sunyi sepi benar-benar. Ada juga Dolah terpikir yang beliau barangkali tertidur di tanah perkuburan gara-gara di alih oleh jin tanah. Dadanya berdebar saat itu. Tetapi sebentar sahaja.

Dolah menonyoh-nonyoh matanya yang masih kabur dengan rakus sekali bak menonyoh puntung rokok ke astray. Sebaik penglihatan jadi jelas; jantung Dolah tiba-tiba berdebar-debar kerana tidak percaya dengan apa yang kini tervisual di hadapan kedua-dua ulas matanya. Aku bermimpikah? Hah, aku mimpikah?!! Pertanyaan yang bergema di hati Dolah itu hampir sahaja meledak di mulutnya.

Apa sudah jadi ni?! Aku mimpikah?! Pertanyaan itu bergema lagi. Tiadalah dia percaya dengan apa yang di lihatnya. Segala-gala yang pernah difikirkan Dolah kini menjadi kenyataan. Tetapi ia juga sangat menakutkan Dolah. Benar-benar mengerikan suasananya yang dilihat dari tingkat atas itu.
Bersambung.....kalau rajin....

Thursday, February 25, 2010

Fragmen Novel Kanak-kanak: Mazru Belajar Bahasa Haiwan #2

Suatu tengahari yang bagai pucuk dicitan ulam mendatang. Kerana kebosanan akibat melukis gambar Rusmah Mansur tak jadi-jadi, maka Mazru pun pergi ke tepi kolam kecil di halaman rumah ibu bapanya. Mazru pun duduk di situ menongkat dagu menggunakan kepala lutut. Gambar Rusmah Mansur yang lebih mirip kepada Nyonya Mansur itu dilipat-lipat jadi tongkang.

Sambil duduk itu Mazru menyanyikan lagu ‘Dalam Air Ku Terbayang Wajah.” Lagu itu dipelajarinya dari seorang tukang kebun di sekolah-pranya pada minggu lepas. Sekejap Mazru buat suara P Ramlee, sekejap suara Saloma. Sekejap suara Yusof Kalla. Tongkang Nyonya Mansur pun tiba-tiba karam. Mazru buat tak tahu saja. Terus menyanyi. Petik-petik jari.

Tiba-tiba. Muncul seekor ikan keli remaja. Mazru memerhati.

“Eh, ikan keli..kenapa kau ada misai?” tanya Mazru kepada ikan keli remaja itu.

Tetapi ikan keli remaja diam sahaja seribu bahasa jiwa bangsa.

“Jawablah ikan keli. Janganlah sombong sangat. Nanti kena goreng berlada. Kenapa kau ada misai melintang? Kau kan remaja lagi, tak Bangface laaa..Kenapa?” tanya Mazru lagi.

“Misai tu slow sikit sebut ekkk!” tiba-tiba satu suara kedengaran lunak-lunak mesra sesegar bau pencuci tandas asrama.

Mazru tersenyum. Dia tahu kebolehannya itu. Boleh bercakap dengan haiwan. Dia semakin yakin dengan 6th Sense Khatimah Cinta yang dia miliki itu.

“Apa kata kau cukur je misai kau tu. Dah macam rupa misai bapak aku je. Bajet garang la tu. Suara pun macam suara bapak aku je. Jangan jangan bapak aku keturunan ikan keli tak?” Mazru bertanya dengan yakin diikuti dengan ketawa hikhikhik.

Tetapi ikan keli remaja itu tak menjawab pula kali ini.

KUK! Bunyi lukuan yang teramat keras bergema.

“Kamu samakan bapak dengan ikan keli?!! Kamu tu anak ikan keli ke?!!”

Mazru terduduk. Rupa-rupanya Pak Lae Ibrahim, bapak kepada Mazru yang meluku. Mazru hingga terduduk. Mazru silap faham. Rupa-rupanya bukan ikan keli remaja bermisai yang menjawab tadi. Pak Lae Ibrahim dengan misai melintang bergulung sedang bercekak pinggang sikit punya bengang itu yang menjawab. Sikit pun Mazru tidak perasan akan arah datang suara itu tadi.

Akibat dari itu; Mazru dihukum oleh Pak Lae Ibrahim kerana didapati bersalah menyamakan keturunan sendiri dengan ikan keli. Mazru dihukum supaya menoreh getah dikebun getah 10 ekar itu selama 3 bulan dengan beruniform PLKN. Mazru akur kerana tidak mahu menjadi anak derhaka dan tak dapat makan nasik lauk ayam kormak.

Manakala Pak Lae Ibrahim pula mengambil alih tempat Mazru. Pergi ke kelas Pra Sekolah setiap Isnin hingga jumaat kecuali hari cuti. Ketika hari cuti barulah Pak Lae Ibrahim membantu Mazru di kebun. Malam Mazru juga harus mengajar Pak Lae Ibrahim membuat kerja sekolah dan menyeterika uniform.

Sambil-sambil ke sekolah dengan seluar pendek biru tua punya la kecik milik Mazru, dengan bulu betis tercokeng, sempat juga Pak Lae Ibrahim mengurat cikgu Hanie Saad yang tak lulus PMR itu. Cikgu Hanie Saad dapat jadi cikgu sebab telah memukau menteri pelajaran setiap hari sehingga mendapat Ijazah Perhutanan Akredetasi Negara.

Saturday, December 19, 2009

Ubat Sejuk

oHari ni hujan mula dari jam 4 pagi lagi. Sampai saat tesis ini ditulis pun hujan masih turun dan hanya berhenti sekejap-sekejap saja. Macam semalam juga. Gaya rupa macam nak pejor. Tengok status member member dj Fesbuk semua kabor hujan. Seluruh Pahang hujan gamaknya. Seluruh pantai timor pun boleh jadi. Entah-entah sampai ke Hollywood hujan juga dok?

Aku nak menanam sawit pun malas hujan-hujan ni. Udara macam udara dalam peti aiskrim dekat supermarket rasa. Lepak melayan Fesbuk, tonton kartun dan man gitar lagu Semalam di Malaysia. Ada juga dengar bunyi deejay rumah kenduri orang kahwin sayup-sayup. Berkelincor la jadi paya laman rumah orang kenduri tu. Silap-silap lepas kenduri tu boleh semai benih padi. Tak payah beli beras dah. Aku tak kena jemput sebab blok lain.

Jadinya tak tau la nak buat apa lagi. Tak kan la tiba-tiba nak pergi buat latihan matematik pulak. Karang adik aku ingat aku nak mengulang SPM pulak. Masa sekolah dulu pun malas. Sampai la pukul satu tadi aku berpakaian macam rappers 4U2C. Cuma tak ada DVD tergantung di leher. Mula-mula pakai baju T. Tak cukup hangat. Nak bertenggek atas tungku dapur gas, mak aku tengak buat gulai masam ikan tenggiri. Kang disuruhnya aku yang membuat gulai tempoyok, tak pasal-pasal jadi gulai masin pulak.

Tiba-tiba masjid azan. Nasib baik pakai speaker. Kalau tak bukan dengar buat dek hujan lebat. Ah, apa-apa hal makan dulu la. Cuaca sejuk. Makan nasik panas dengan gulai masam tempoyak. Ada ulam pusuk serai kayu. Entah siapa la bagi nama. Lain langsung dengan serai yang macam lalang tu. Siap makan minum air. Lepak dulu.
Lepak lagi. Dengan pakaian rappers.

Hati merasa berat tiba-tiba. Tapi boleh jadi. Akhirnya aku bukak pakaian rappers 4U2C. Pakai tuala. Bulatkan tekad, teguhkan hati. Kuatkan azam, wajakan perjuangan.

Pergi bilik air. Dia punya sejuk, ferrrrrrrrr…

Berjaya juga aku mandi tengahari ni. Lepas mandi terus steady pakai baju pagoda. Baru aku tahu. Rupanya dengan mandi boleh menghilangkan sejuk!





(Macam setan entri yang ke 222 ni, dok? Nak buat macamana, idea dah tak ada. Ha Ha.)

Saturday, July 11, 2009

Kemalangan Paling Cantik Di Kampung Saya

Kami cadang nak main konda kondi petang itu. Musim permainan lain semua dah tamat masa itu. Main konda kondi senang saja. Modal pun tak banyak.Tak payah pinjam ah long. Bank Negara lagi la kami tak pandang. Ada kayu sehasta sebatang, dan sejengkal sebatang sudah boleh main walaupun tak ada karan.

Tiba-tiba..

“Woi, ada lori terbalik jatuh dalam paya dekat korner depan tu. Jom cepat kita tengok. Baru lagi!” tiba-tiba kawan aku jerit macam ribut.

Apa lagu, kami pun pecut laju-laju. Mana tahu kalau-kalau bantuan kami diperlukan. Apa guna kami jadi pengakap dan dapat lencana keris emas.

Di tempat kejadian sudah ramai kerumun mangsa. Lori ubat gigi rumahnya. Mujur tak ada kemalangan jiwa. Pemandunya luka di kepala agak teruk. Kelindannya patah tangan.

Ramai yang memberi pertolongan. Orang kampong memang suka tolong menolong. Kami pun tolong kutip barang-barang yang bertaburan. Buat baik di balas baik, buat jahat dibalas jahat.

Selepas menolong seba sedikit kami berasa puas yang amat sangat. Setahun lebih juga kami tak membeli ubat gigi.

Thursday, June 4, 2009

'Money For Nothing'

Anda kenal Dire Straits? Tak kenal? Tak mengapa. Mereka bukan rasul-rasul kita. Jadi tak penting sangat. Tapi aku suka Dire Straits. Terutama bunyi-bunyi bising tapi bersih yang mereka luahkan.

Tapi Dire Straits memang satu macam bukti juga. Bahawa banyak benda yang kita capai juga kadang-kadang bukanlah sengaja sangat. Hidup kadang-kadang macam satu ‘joke’ yang akhirnya buat bikin kita fikir, “Aik, boleh jadi ini macam ka?!!!”

Niat lirik Dire Straits untuk memperli pemuzik termasuklah yang menghasilkan muzik dengan menggunakan ‘guitar distortion’. Tapi mereka juga juga masukkan bunyi ‘guitar distortion’ itu ke dalam lagu ‘Money For Nothing’. Dan ia jadi sangat hit. Macam kejayaan yang memakan diri pula.

Mungkin begitulah sesetengah dari apa yang kita buat.

Ah, entah apa jadah aku tulis ni?

Lantaklah!


Wednesday, December 17, 2008

Kedai Serbaneka Kepala Busut Aok!!!

Malam itu aku keluar dari hutan Kuala Tembeling melewati kehujanan. Hampir jam 12 sampai rumah. Mandi dulu. Takut ada ‘benda’ menumpang. Kemudian masuk tidur.

“Woi, ubat nyamuk ada Chong?”

“Mei yo maaa.”

Tiu nia ma ka cibet. Baru lagi aku beli. Aku pakai tak sampai dua lingkar. Tinggal rumah tak sampai seminggu. Kutu lain jangan harap nak membeli. Memakai saja tahu. Pesen berjimat yang menyakitkan hati.

Nyamuk pula punya la banyak. Nak pecut kipas laju-laju sejuk sangat. Keluar Bandar Jerantut nak beli ubat nyamuk. Semua kedai tutup. Tak macam negara maju langsung.

Budak-budak melepak depan 7E ramai. Macam bagus sangat melepak situ. Aku pun ke situ juga. Sekor-sekor pandang. Aku nak lempang tak ada motif langsung pun nak buat macam itu. Kalau dia orang lempang balik mampus aku. Biarlah dia orang.

Aku masuk 7E.

“Cik, ubat nyamuk ada?”

“Ubat nyamuk? Tak ada.” budak perempuan 7E jawab.

“Er, lingkaran nyamuk. Lingkaran nyamuk ada?” aku tanya lagi. Mana la tahu dia bengap dan ingat ubat nyamuk itu macam 'ubat cap kaki tiga' ka. Memang bengap sangat la kalau fikir begitu.

“Tak ada bang. Memang kami tak jual benda-benda gitu.”

“O…” berlalu kecewa bersama angin malam. Macam lagu Broery itu.

Bodoh punya 7E. Kata kedai serbaneka. Ubat nyamuk pun tak ada? Lemang jangan mimpi la. Tanda-tanda kiamat kecil agaknya kalau 7E jual.

Malam itu aku siat kertas bekas telur, bakar dalam bilik. Macam kamar perbomohan pun ada dia punya atmosfera!!!