Showing posts with label Tatarakyat. Show all posts
Showing posts with label Tatarakyat. Show all posts

Sunday, October 18, 2009

Pagi Cerah Yang Ahad

Macam selalu. Ahad mesti aku keluar beli surat khabar. Hari lain aku jarang beli. Sebab percaya kepada kebebasan bersuara, aku beli akhbar arus perdana. Dan akhbar politik kepartian sekali. Saja hendak baca. Biar banyak pengetahuan. Kononnya. Orang lain hendak boikot biarlah. Itu hak masing-masing.

Pagi cerah yang Ahad. Bilah-bilah sinar matahari memancar terang dengan awan berambal-ambal. Burung murai terkesima di hujung ranting. Mencari ulat. Burung apa? Burung murai. Burung apa? Burung murai. Macam setan.

“Nanti tolong beli tepung beras dengan minyak masak sekali,” emak memesan sewaktu aku menyarung selipar jepun. Beliau hendak buat kuih apa entah. Aku bukan minat hendak tanya. Makan minat pulak.

Selalu macam itu. Mesti mahu kirim barang-barang bila tengok aku mahu keluar rumah.. Apa la sangat. Aku OK saja.

Selalu macam itu. Mesti mahu buat kuih sedap tahap pekan sari bila ada abang dan kakak aku ada balik kampung. Aku hari-hari balik tak pulak dia nak buat kuih sedap tahap pekan sari. Tak apa la. Aku OK saja.

***
Surat khabar semua sama. Politik punya cerita berjela-jela. Macam la depa tahu semua hal. Kalau tak ada ruang sastera, malas aku beli. Aku merungut dalam hati membaca surat khabar.

“La, orang suruh beli tepung beras, bukan tepung pulut!” tiba-tiba emak bersuara. Akhbar kuturunkan dari tatapan.

“Haik, pulut tu bukan beras juga ke?” tanyaku selamba pula.

Haih, keluh emak sambil hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala.

Aku pula hanya mampu tersengih-sengih.

Tuesday, October 21, 2008

Di Sisi Jalan, Di Sisi Lampu Trafik, Dua Calon Pemimpin Masa Depan Meloncat-loncat Kegirangan...

Cuaca sekarang memang pelik-pelik. Sekejap hujan sekejap panas keras-keras. Kalau zaman aku bermotor; bila hujan kebasahan, bila panas kerentungan. Tapi petang semalam panas memang keras lain macam ludahannya. Naik kereta kadang-kadang panas juga. Sebab pendingin hawa tak digunakan. Alergik.

Otak pula sibuk. Fikir macam-macam. Nak sudahkan projek la. Nak tulis novel la. Nak update blog la. Nak cipta minyak petrol dari air longkang la. Yang terakhir tu bobok (kelentong) yang amat la nak buat. Tolong jangan turut fikir.

Tiba di suatu cabang empat SK Pulau Tawar tiba-tiba lampu trafik untuk zebra cross budak-budak sekolah melintas jadi merah. Otomatis dua buah kereta depan aku berhenti. Belakang aku ada la juga kereta lain bersusun-susun. Maklumlah, waktu orang balik kerja. Di sebelah kanan pun kereta berhenti juga. Berderet-deret juga. Termasuk sebuah kereta peronda polis.

Di sisi tiang lampu trafik untuk zebra cross tu ada dua orang kanak-kanak berwajah kudus. Bukan main la kudusnya. Budak sekolah rendah yang dosanya masih ditanggung ibubapa. Macam t-shirt putih yang belum di cetak tulisan ‘punk not dead’. Lepas tu ada gambar kepala lelaki berambut balung ayam.

Tapi anehnya mereka tak melintas pula. Mereka tersengih-sengih. Yang seorang tu siap meloncat-loncat tepuk-tepuk tangan kegirangan. Apa kejadah? Suka hati tengok kereta berhenti berderet-deret? Aku mula nak meruap kepala otak. Dalam akal dah mula rancang nak keluar kereta. Nak cabut tiang lampu tu, hempok kepala seekor-seekor biar dia orang taubat nasuha sambil bersimpuh tahiyat akhir. Dajal punya budak.

Tapi ada polis peronda depan tu. Ahhhhh, polis tak polis. Dia pun kena dajal juga. Entah-entah dia pun sokong aku nanti. Aku mencongak dalam hati. Baru nak buka pintu kereta, lampu trafik dah hijau semula. Tak jadi la. Takut nanti kereta belakang hon pula. Aku gerak sambil pandang malaun berdua tu tersengih-sengih. Mereka tak melintas pun. Saja-saja main tekan suis lampu.

Agak-agak kalau aku hempok kepala budak-budak tu, mak bapak dia orang balas dendam tak?


Di cabang empat inilah kejadian yang memilukan itu berlaku. Sampai saat ini pun segalanya masih terbayang-bayang kegirangan wajah kanak-kanak itu. Bahagianya mereka. (Foto sehari selepas kejadian. Tiada darah dan serpihan kaca)

Wednesday, September 10, 2008

Drift, drift juga..tapi cermek la sikit demeh weh!


Akibat terlalu dipengaruhi oleh drama bersiri Impak Maksima, dua orang pemandu ni lupa keselamatan pengguna jalanraya lain. Tengoklah. Macam-macam cita-cita manusia di Malaysia hari ni. Semua nak tunjuk terrer.

“Apa kejadah main drift atas jalan lurus!” entah mana punya kutu tiba-tiba komplen sambil juih-juih bibir. Leher panjang-panjang saja jengah-jengah dari kerumunan orang ramai.


“Woi, kat Istana Budaya pun orang buat drift la!” pemandu bas tu jerkah sambil hunus spanar 21 sambil membetulkan kuda-kudanya yang sumbang. Kutu Kuala Lipis tu pula cepat-cepat lari dan pura-pura pergi beli juadah buka puasa di gerai depan rumah tepi jalan Batu 2 tu walaupun jam baru pukul 12 tengahari. Beria dia paksa makcik yang tengah jemur lampin tu buat cucur udang. Alasannya mak dia suruh cepat balik untuk kupas bawang. Padahal mak cik tu berjiran saja dengan tuan gerai tu.

Pemandu lori ais tiub tu pula dah lesap selepas menewaskan pemandu bas yang tercabut tayar masa buat drift tu. Berhenti seminit untuk menunjukkan tanda ibu jari tanda *bagus* sebab bangga bukan main-main. Katanya nak hantar ais tiub ke rumah orang kenduri cukur jambul. Kenduri cukur jambul mende ke siang-siang Ramadan ni?

Aku sempatlah ambil beberapa keping foto sebab kes ni jadi dekat dengan projek tempat aku kerja – batu dua Kuala Lipis. Kawasan Pipiyapong ni.

“Badigol betul. Tak reti jangan drift la. Keh yang dah lulus PMR ni pun tak reti tau!” tiba-tiba seorang budak sekolah yang tunggu bas di situ marah-marah. Tak kuat sangat suara dia. Takut makan spanar 21.

“Kalau nak mendrift malam-malam la. Pergi Sungai Jelai sana. Bawak jaring ½ inci. Hari tu enam kilo keh dapat ikan bador weh!” Ada pula kawannya yang bermuka naïf tu menyampuk. Nelayan separuh masa Sungai Jelai barangkali.

“Tengok. Aku nak balik pun sudah kena tunggu lain bas! S@$%&!!” budak yang ketiga tu mencarut bahasa Tamil. Macam nak naik cacat muka dia sebut kata-kata tak senonoh tu. Ada satu dua perkataan yang aku faham. Yang lain tu tak tau la dia mencarut ke memuji.

Eh, aku kenal sangat budak yang nombor tiga tu. Anak pemilik restoran di batu 2 tu juga. Rumah kedai dia kalau jalan kaki perlahan-lahan macam kucing, seminit pun dah sampai. Nak tunggu bas apa lagi. Jalan kaki saja dah la bahlol!

Saturday, July 12, 2008

Aku Anak Yang Soleh, Tapi Kalau Dah Ngamuk Habis La...

Jam baru merangkak ke lapan suku malam. Semua TV tengah sedap sangat jaja kisah Pak Lah nak serah pistol kepada Pak Jib pada Jun 2010. Tak ada cerita lain ke? Macam la tau sangat apa jadi Jun 2010 nanti. Tu semua cerita atas langit lagi la. Entah-entah Sukri kawan aku budak Kampung Berchang tu yang jadi PM nanti.
Tiba-tiba telinga bionik aku dah tangkap satu bunyi yang mencurigakan. Jantung aku dah mula lari dari tempo Balada ke Hardcore. Macam ada benda nak jadi saja. Bunyi macam ada gerakerja di luar rumah. Dari arah garaj kereta adik. Hati memang dah tujuh lapan macam. Aku pun perlahan-lahan bangun dan ke pintu macam seorang Detektif Conan.
Aku buka pintu laju-laju dan terjah ke garaj ala-ala Nas Ahmad Melodi. Huarghhh! Macam vokalis Metallica nak test mikrofon aku jerkah. Ada satu mamat tengah bagus bukan main gulung wayar letrik ampaian Mak aku di tepi garaj tu. Terkejut babi muka dia. Darah aku dah panas lagi cair. Laju macam air paip bocor saja dalam urat-urat. Cheh, aku kenal sangat mamat ni. Memang suka sangat buat honar. Tak serik-serik kena pijak perut dengan orang kampung agaknya.
Mamat tu terkejut besar kena jerkahan aku. Dia baling gulungan wayar tu ke muka aku. Cheh, aku tepis. Kurang ajar! Mamat tu pusing dan dan cuba nak lari. Tertinggal satu guni wayar entah mana dia rembat. Jangan mimpi la. Memang aku tak kasi peluang punya orang macam ni. Aku pecut dan bagi satu buah tendang terbang sisi gaya Naruto. Tepat ke belakang dan rebah. Harap-harap jantung dia runtuh. Tapi dia bangun lagi. Nak melawan. Celaka ada hati. Liat betul mamat jahat ni. Aku terkam dan paut tengkuk dia dengan dua-dua tangan. Nah, hadiahkan lutut kanan ke rusuk tiga kali. Padu gila bunyi. Tukar lutut kiri. Berselang-seli biar adil sikit. Dah lembik Mamat tu tak minta ampun lagi tu. Memang jenis gampang betul. Aku tertunggu-tunggu rayuan dia. Tapi dia buat muka toye juga lagi. Ini kali meter sabar aku memang dah habis rapat la. Ada satu batu-bata tepi garaj tu. Aku sambar. Memang ada yang retak tengkorak la malam ni. Aku angkat batu-bata tu tinggi-tinggi. Memang nak hentak dah. Baru aku nak hentak…
“Mie, esok pagi-pagi sebelum pergi kerja aok tolong cari wayar letrik lama-lama tu ye? Tolong tambat kat tiang ampai. Banyok kain baju mok nok jemor tu.” Lembut suara keibuan Mak yang meminta khidmat aku tiba-tiba mematikan imaginasi ganasku.
“Ye la Mok. Esok Mie buat la. Kejap je tu.” Aku jawab dengan suara sesopan anak soleh abad ini.
Memang babi gampang betul budak yang curi wayar letrik ampaian Mak aku tu. Kalau aku dapat, memang lunyai macam dalam imaginasi aku tadi tu la aku kerjakan. Tau la tembaga mahal sekarang ni. Jangan la curi ampaian. Pergi la melombong ke Lombong Emas Empang Jalih ke, Lombong Emas Penjom ke. Lagi kaya kalau jual. Tapi bukan rumah aku saja. Semua rumah jiran-jiran di blok aku lesap ampaian yang guna wayar letrik malam tu. Riuh bukan main-main la sesi sembang petang makcik-makcik menuduh entah anak siapa la punya angkara.
Memang aku dapat tangkap pun bunyi yang mencurigakan tu sebenarnya. Aku pergi buka pintu tapi tak ada apa-apa nampak pun. Cekap betul penyamun babi gampang tu melesap. Aku fikirkan kelawar makan buah manggis yang ranum depan rumah tu. Lantak la kalau kelawar. Bila makcik-makcik keliling rumah aku meraung masa nak jemur kain baju baru mak aku tau wayar letrik ampaian kami pun dah lesap juga. Celaka punya penyamun. Sial!

Tuesday, July 1, 2008

IKLAN LAGI (18SGG)

Budak Banyak Cakap: Betul Abah... ada talian 3+1, MMS percuma, Video Percuma, apam balik percuma...

Abah Budak Banyak Cakap: Betul?

Budak Banyak Cakap: Betulll...

Kuk!!! (kesan bunyi kepala kena lekuk)

Abah Budak Banyak Cakap: Pergi masuk tidur nu. Esok kita nak bangun pagi-pagi. Nak gotong-royong cari besi buruk. Ingat Abah ni kerja cop duit ke? Cakap banyak. Handphone pun kita tak ada!!!

Waaaa!!!! (budak banyak cakap tu lari tidur atas atap!)

P/S: Kerja aku banyak nak mampus. Tak sempat nak tulis panjang-panjang. Tayang iklan dululah yea! hahaha

Saturday, June 14, 2008

Kenderaan...suatu analogi cuma...

Entri aku di bawah pasal kenderaan sebelum di cuma satu perumpaan sahaja. Aku teringat lagu lagendaris penyanyi lagu-lagu folk Indon Iwan Fals. Judulnya 'Besar dan Kecil'.

Memang manusia yang dianugerah sedikit kuasa ada kemungkinan akan menindas orang-orang yang lebih lemah darinya. Kerana begitu hukum alam.

Aku penah lihat sekumpulan polis trafik menyaman seorang penjual roti hanya kerana cermin sisi kanan motorsikalnya pecah. Apalah sangat kesalahan begitu. Nasihat sudah memadai. Dia bukan nak pergi merempit dengan tong roti dan jajaan yang bergayut-gayut tu.

Kalaulah penjual roti tu jaja rotinya dengan menggunakan Merc Kompresser bercermin gelap berplat nombor CCY 2, aku jamin dia selamat (tapi kalau pakai Merc tentu dia dah jadi tokey kilang roti!). Untung dia jual roti tak seberapa terpaksa bayar saman dan tukar cermin sisinya. Betul-betul tak bertimbangrasa undang-undang sebegini.

Benarlah, undang-undang manusia macam sarang labah-labah. Kecil semua kena. Besar rempuh rabak terus!

Friday, June 13, 2008

Dasar Apartheid Terhadap Bangsa Motosikal



(Ada lipan merayap di tayar keretaku!)


Sampai sekarang kalau aku tunggang kapchai aku, depan ada sekatan – samada polis biru, polis putih, jpj, kastam, geng test urine dan entah apa-apa lagi sumpah aku tak rempuh. Tak sanggup. Perlahan-lahan aku beri laluan pada kenderaan belakang. Lepas tu cepat-cepat patah balik. Cari jalan lain atau balik rumah. Tidur.

Aku cukup semua. Lessen ada. Cukai jalan ada. Motor tak cacat. Standard keluar kilang. Ada sticker bendera Malaysia je. Patriotik. Tapi aku tak berani rempuh.

Sebabnya aku benci. Banyak sangat soal jawab bila aku berhenti dengan hormatnya. Paling teruk kalau dengan polis baju biru. Ada-ada je. Kadang-kadang polis yang sama juga. Sedang tunggang motor ditahannya. Paling aku meluat bila tak dapat cari kesalahan, dia suruh aku gunting rambut yang ikal mayang ni. “Pukimak kau la!” aku jerit. Tapi dalam hati je.

Tapi dah lama aku tak tunggang motor. Aku pandu wagon saja. Senang dan selamat walaupun poket aku lunyai. Polis pun dah tak sekat aku lagi. JPJ kalau tahan pun, pusing-pusing keliling. Macam bengang je tengok Pajero aku tinggi gila. Tayar pun siap ada gambar lipan. Betapa megah dan bangga bila aku di dalamnya. Nak ‘off road’ bro! Hahaha!

Polis budak-budak yang suka tahan-tahan aku dulu tu pakai kapchai lagi. Bila nampak aku tengah pandu dengan gaya seorang revolusioner je, dia palingkan muka. Apa la nak malu. Aku orang baik-baik la. Sampai sekarang aku jauh hati dengan polis-polis di tempat aku. Tempat lain aku tak tau la.

Kadang-kadang aku rindu nak tunggang motorsikal semula untuk pergi kerja. Tapi jarak jauh sangat. Jerantut ke Kuala Lipis. Lagi pun bahaya. Kereta dan lori besar-besar selalu himpit. Takut juga kena sagat.

Tunggu habis projek nanti, gaji dah tak ada, aku bermotorsikal la semula. Tapi kalau ada projek baru aku ingat nak beli Skyline la!

P/S: Aku tak benci semua polis. Aku hormat kepada polis yang jujur dan amanah.