Thursday, March 22, 2012

Buruk macam Iblis!

Assalamualaikum. Apa khabar? Mesti baik. Kalau tak baik, jahat laa.

Mula-mula memang cadang hendak update blog ni. Tapi tengok rupa buruk pepalih. Macam Iblis. Ingat blog Iblis tadi.

Okey, tunggu aku cari template yang cantik-cantik sikit, bikin kasi cun, barulah naik rajin nak update selalu.

Adios!

Tuesday, May 10, 2011

Marzuki dan Kadir The Muvie

"Sungguh lama saya tidak menjumpai engkaulah Marzuki. Saya ingat engkau sudah meninggalkan dunia yang fana ini. Engkau pergi ke mana?" tanya Kadir kepada Marzuki dengan menggunakan Bahasa Melayu yang disangkanya sungguh standart itu.

"Saya sungguh sibuklah, Kadir." Marzuki menjawa ringkas sebelum menghirup kopi Janda Anak 8 yang semakin menyejuk. "Ada bisnes bagus."

"Wah, hebat itu. Kencangkah bisnes engkau itu?" Kadir menyoal lagi sambil mengorder kuih ketayap warna hijau 4 ketul.

"Bisnes ais. Memang kencang. Sekarang pun memang hot." ujar Marzuki dengan tona suara merendah seakan berbisik seraya matanya melilau memerhati sekeliling.

"Astaghfirullahalazim, Marzuki. Kenapa engkau melakukan kerja terkutuk ini? Kenapa? Kalau engaku diberkas, hukuman gantung sampai mati akibatnya. Kau bukan tidak tahu, insaflah.." kata mengggeleng-geleng kepala penuh kesal sambil menunggu kuih ketayap dengan wajah rakus ala-ala biawak mahu menggera anak ayam.

"Aku bisnes ice tube la. Sekarang musim panas. Kalau musim kenduri lagi kencang." Marzuki berkata sambil membelek-belek cawan kopi tahun 1967 yang kelihatan sungguh rare itu.

Kuih ketayap orderan Kadir sudah sampai. Kadir menjamahnya sambil membetulkan ketayap di atas kepala tuan restoran yang kelihatan sangat usang itu.

Wednesday, November 10, 2010

Terima Kasih Daun Keladi Taro

Orang muda menuntut ilmu memasak gulai daging kawah...

Syukur Alhamdulillah. Saya dengan penuh rasa terharu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu, adik beradik, kakak ipar dan keluarganya, jiran-jiran, kawan-kawan dan sesiapa juga yang membantu menjayakan walimahtularus saya. Walau pun hujan renyai-renyai, semua berjalan lancar dan selesai dengan selamat. Hujan rahmat dan langit redup dari Tuhan.

Terima kasih juga kepada kawan blogger/penulis yang hadir meraikan majlis saya itu. Anda memang rare. Ramai, memang ramai dan mesra semuanya walau pun kebanyakannya tidak pernah bersua. (Brader Relevan Sokmo dan isterinya paling riuh, kata mak aku). Malah ada kawan yang tidak sempat bertemu kerana pulang awal. Ada juga yang tidak sempat berkenalan. Terima kasih saya ucapkan. Hendak sebut semuanya, takut ada yang tertinggal. You know who you are.


Kepada semua, jika ada kekurangan saya pohon ampun dan maaf. Semoga pertemuan kita pada 7hb November 2010 yang lalu tidak akan jadi pertemuan yang terakhir. Semoga kita ketemu lagi di majlis Pakcik Kordi yang sempat membisikkan ke telinga saya sebelum tergesa-gesa pulang ke Temerloh untuk memandikan cicak tokeknya, “Jangan lupa kenduri nikoh koi pada 01 Ramadan 1424. Koi buat de pasar Ramadan Temerloh te je!”


Terima kasih juga untuk ucapan-ucapan dan yang mendoakan kebaikan walau pun dari kejauhan. Amin..

Friday, November 5, 2010

Urusan Seri Paduka Baginda

Kepada kawan-kawan blogger/kawan lama/penulis/siapa-siapa terbaca pengumuman ini, yang ada kelapangan, terutama yang tinggal berdekatan, dengan segala hormatnya dijemput hadir untuk menjamu selera di majlis sempena perkahwinan saya pada 7hb November 2010 (Ahad).

Tempat: No.333, Jengka 12, 26420, Bandar Jengka, Pahang.

Masa: 12 pm - 4pm.

Monday, October 11, 2010

Pengembaraan Jaka Sambora #2

“Itulah masalah besar di sini, tskkk…” kata si penjual lempeng sambil mengangguk-anggukkan kepala. Kemudian asap rokok nipis-nipis berhembus dari mulut dan hidungnya.

Jaka diam dan tidak menerbitkan sebarang reaksi di wajah. Kunyahan demi kunyahan kepada lempeng diteruskan oleh Jaka dengan tenang.

“Atan Blanka itu samseng. Ketua samseng di sini. Itu mungkin perbuatan anak buah yang mengikut arahannya sahaja.” Muska menyambung penerangannya sambil meneruskan sedutan rokok daun pandannya yang hampir tiba ke tengah.

Nama Atan Blanka langsung tidak menggetarkan jantung Jaka. Bukan itu gerangan manusia yang ingin dicari Jaka. Apatah lagi jenayah yang dilakukan oleh Blanka hanya setakat merosakkan papan tanda, setakat yang diberitahu oleh Muska ketika itu.

“Terlebih dahulu; siapa nama tuan hamba – wahai usahawan lempeng?” tanya Jaka Sambora, sambil mengorek-ngorek sisa lempeng di dalam mulutnya dengan lidah.

“Oh, ya. Nama hamba Muskabiara. Ingat sampai bila-bila nama ini. Tetapi tuan hamba panggil sajalah hamba Muska.” Sambil tersenyum Muska menghulur tangan.

“Hamba Jaka. Seorang kembara jalanan yang ingin mencari kebenaran.” Jaka dan Muska saling berjabat tangan dan berbalas senyuman dengan penuh mesra kemanusiaan. “Tetapi mengapa aneh benar namu tuan Muska. Bunyinya seperti nama orang Russia.”

“Oh, itu nama samaran hamba. Nama di dalam kad pengenalan hamba sebenarnya: Mustafa Kamal bin Abdul Rahman. Kependekannya: Muskabiara,” beritahu Muska disusuli ketawa kecil. Jaka hanya tersenyum mendengar penerangan kenalan barunya itu.

“Begitu rupanya. Nama sebenar hamba Jaka Sambora. Anak kepada Guntur Sambora.”

“Sambora?!” terkejut bukan kepalang Muska demi terdengar nama penuh Jaka hingga letak duduknya bongkok menjadi tegak. Rokok daun pandan dijarinya hampir terlucut. “Tuan Jaka ini cucu Adi Sambora, keturunan Sambora dari Kuala Rado? Ya Tuhan, keturunan Sambora masih wujud rupanya!”


notamaut: sebenarnya sudah hampir 2 bulan aku tak baca semua akhbar bercetak, berita radio dan tv jarang-jarang layan, tukar tiub tak baca langsung dah, dan makin kurang berpikir. aku dok baca benda merepek dan berangan dengan kehidupan macam dalam harry potter, LOTR atau dalam zaman cerita-cerita ninja, shogun dulu. jadi aku main tulis je cerita pengembaraan Jaka Sambora ni. masalahnya sekarang aku dah tak pening pulak nak kembangkan dan sambung. kalau dapat idea aku sambung, amacam? huahuahua...

Friday, October 8, 2010

Pengembaraan Jaka Sambora #1

Langkah Jaka berakhir di suatu pekan. Entah apa namanya pekan itu, Jaka pun masih belum pasti. Jaka tegak berdiri dengan pedang kemas tersisip di belakang lagak tugu seorang pahlawan. Liar-liar ulas mata Jaka mengitari keadaan sekeliling. Kalau-kalau ada papan tanda. Ketika melewati gerbang di simpang masuk ke Pekan tadi, papan tanda hanya bersisa tunggul tiang bagaikan sepasang nesan.

“Inilah akibatnya kalau vandalisme dibiarkan berleluasa. Tiada disiplin langsung!” getus Jaka di dalam hati sambil menggeleng-geleng kepala.

Kesibukan di pekan itu boleh tahan juga dengan keramaian orang lalu lalang mengikut arah tuju masing-masing. Ada yang berjalan, ada yang tergesa-gesa berlari dan ramai juga yang melepak bersilang panggung. Kepadatan pengunjung di beberapa buah warung menjadi penanda aras perkembangan minda penduduk pekan itu.

Deretan kedai, dan adanya penjaja di kaki lima; menunjukkan aliran ekonomi di pekan itu sedang bergerak menuju negara membangun. Ada yang jual telur itik, ada yang jual pisang sebatu, ada yang jual ubat gegat dan bermacam-macam lagi dengan kelakuan masing-masing. Malah ada yang menjual penyapu lidi sambil membuat gimrama tali riben untuk menarik perhatian pengunjung.

Namun mata Jaka akhirnya terlempar juga arahnya ke sebuah gerai berwarna merah jambu. Di gerai itu kelihatan seorang pemuda tinggi lampai sedang aktif membuat lempeng. Di dinding gerai lempeng tersebut tertulis perkataan ‘Lempeng Hutt’ dengan slogan: ‘Lempeng Dahulu Lempeng Sekarang!’

“Mahu menjamah lempengkah, wahai tuan hamba yang bijak add math?” tanya pemuda si penjual lempeng dengan ramah tahap membodek sebaik sahaj Jaka mampir ke gerai.

“Ya, boleh juga. Lempeng apa yang tuan hamba jual ini?” soal Jaka sambil terjenguk-jenguk ke dalam gerai sambil menahan kembang-kempis hidung kerana dipuji ‘bijak add math’.

“Ada tertulis di situ tuan hamba. Tetapi yang paling laris ialah ‘lempeng special inti ikan kelah bersalut keju’,” si penjual lempeng memberitahu.

Jaka segera menelengkan kepalanya memerhati papan tanda kecil yang tertampal di sebelah kanan bahagian atas gerai. Terdapat beberapa jenis lempeng yang dijual digerai Lempeng Hutt rupanya. Ada lempeng kosong, lempeng inti bilis, lempeng inti daging, lempeng inti ayam, lempeng inti kambing, lempeng special inti ikan kelah bersalut keju dan beberapa jenis lempeng lagi siap dengan tanda harga terpampang.

Kemudian Jaka memejamkan mata, dan tangannya menyeluk-nyeluk saku seluar untuk mengira-ngira duit yang ada di dalamnya dengan menggunakan kaedah ‘kamiran berganda’.

“Baiklah, hamba mahu lempeng special inti ikan kelah bersalut keju.” Kata Jaka sambil meneguk air liur setelah pasti duitnya cukup.

“Sebentar untuk hamba siapkan!” kata si penjual lempeng sambil tersenyum dan terus menyediakan lempeng seperti selalu apabila ada pelanggan mahu membeli.

Sambil menunggu ordernya, Jaka terus memerhati keadaan sekeliling, mencari-cari kepastian tentang dimanakah sebenarnya dia sedang berpijak ketika itu. Takut juga Jaka seandainya tersesat hingga ke Mexico, kena tangkap dengan Imigresen sudahnya.

“Apakah gerangannya nama pekan ini?” akhirnya Jaka memuntahkan juga ayat tanya yang sekian lama berlegar-legar di dalam kepalanya setelah gagal mencari sebarang petunjuk.

“Oh, nama pekan ini ialah Santan Berbara,” jawab si penjual lempeng sambil menghulurkan lempeng special inti ikan kelah bersalut keju yang kelihatan berasap seperti asap kemenyan setelah pembuatannya selesai.

“Oh, begitu. Bagus sekali namanya. Kenapa tiada papan tanda di simpang masuk utama pekan ini? Ia amatlah menyulitkan pengembara seperti hamba,” keluh Jaka.

“Tiada papan tanda? Eh, semalam terpacak di situ. Ini tidak lain tidak bukan mesti kerja si Atan Blanka!” kata si penjual lempeng sambil menepuk kuali lempeng dengan penuh kegeraman sebelum menarik sebatang kayu api di bawah kualai untuk mencucuh rokok daun pandan yang sudah tercokeng di mulutnya.

“Atan Blanka? Siapakah gerangannya Atan Blanka?” tanya Jaka sambil mengerutkan dahi sekaligus mengerut-ngerutkan mulut mengunyah lempeng special inti ikan kelah bersalut keju.

Friday, September 17, 2010

Bermunajat di Sepertiga Malam

Suasana dingin. Udara basah. Hujan tumbuh dari langit sejak seawal 3.30 pagi tadi lagi. sudah 4 atau 5 hari begini. Entah apa maknanya. Tapi hujan benar-benar mengejutkan lenaku di awal pagi beberapa hari ini. Aku pun bangkit dari tidur. Bunuh serta merta segala sejuk dan kantuk yang merasuk.


Waktu-waktu dinihari begini memang sesuai untuk bermunajat dan mengadu kepada maha pencipta, yang memerintah alam dan menurunkan hujan lebat ini, detik hatiku macam peserta imam muda. Bukan senang nak bangkit beribadah di sepertiga malam setelah tidur lena ni.


Kemudian dalam keadaan terpisat-pisat aku menuju ke dapur. Nyalakan lampu luar. Dan buka tingkap. Tengok longkang. Bulan puasa dulu dapur rumah mak aku masuk air sebab longkang tersumbat. Mak aku beli selori tanah baja hampas kelapa sawit, longgok tepi rumah. Kalau hujan lebat sangat tanah tu mengalir dan menimbun longkang. Jenuh menimba air yang lari mencilok ke dalam rumah. Kebetulan lantai bahagian dapur rumah mak aku belum dirender. Levelnya lebih rendahlah.


Sejuk pun sejuklah. Yang penting waspada. Selagi tanah baja hampas kelapa sawit itu tak dialih, selagi itulah kena berjaga-jaga. Setelah pasti semuanya selamat, aku masuk selimut dan tidur semula. Begitulah aku beberapa hari ini. Perenggan ke-2 tu tak ada kena mengena pun. Saja aku nak tulis.