Semalam adalah pagi yang gelap buat peminat sastera yang membeli Berita Minggu (BM) semata-mata untuk baca cerpen dan puisi-puisi dalam ruang sastera dan budaya macam aku. Ruang tu dah tak ada lagi sekarang (sehingga entri ini terbit). Tinggal Mingguan Malaysia (MM) sahaja akhbar arus perdana yang masih bertahan memberi ruang kepada karya-karya sastera Bahasa Melayu. Akhbar Bahasa Inggeris sudah tentu tak siar. Tetapi tahniah kepada Utusan Karya kerana majalah-majalah terbitannya masih menyiarkan cerpen-cerpen dan puisi yang bermutu. Entah apalah nasib sastera Bahasa Melayu suatu masa nanti. Sasterawan, penyair dan pemikir Kassim Ahmad pernah berkata:
“Sastera bukan seorang dewi yang ditugaskan Brahma untuk menghibur manusia terkutuk di dunia ini, tetapi sebuah kandil yang menerangi fikiran, hati, dan jiwa makhluk yang berbahagia.” (Baha Zain: 2000, 62).
Merujuk kata-kata Pak Kasim itu, ini bermakna sebutir lagi cahaya yang hidupnya segan mati tak mau di celah-celah akhbar terbitan NST tu padam dihembus angin kebahlulan materialistik. Sekarang ruang itu boleh saja digasak dengan iklan. Lumayan tentu. Atau gosip tentang artis. Panas selalu. Mesti akhbar laris macam DVD porno. Atau cerita politik dalam kain yang busuk lagi membusukkan macam bau kandang babi. Laris juga. Barangkali sastera tak menguntungkan. Buat semak.
Sebenarnya aku boleh saja baca BM dan MM secara atas talian. Tapi cerpen dan puisi aku lebih senang baca di atas kertas bercetak (buku, majalah atau akhbar). Perasaan rasa lebih puas. Itulah juga satu-satu sebab aku masih beri sokongan kepada akhbar-akhbar Bahasa Melayu yang tak berapa nak mendukung suara orang Melayu sangat dah sekarang ni. Tak ada lagi yang menarik dalam BM melainkan artikel bodek-bodek, wawancara ampu-ampu, kolum-kolum agama yang membosankan dan dikawal habis-habisan sentuhannya selepas laporan aktiviti menteri rasmi sana rasmi sini. Ah, aku pun malas nak ambil tau lagi. Ingat aku hairan sangat dengan format kompak dia tu. Gampang betul. Rugi duit aku semalam. Tak apa. Minggu depan aku jimat RM2!
No comments:
Post a Comment