Kalau mahu ke masjid solat jumaat sila datang awal. Kalau boleh ambil saf depan. Dekat-dekat Tok Imam pun boleh. Cuma jangan la sampai beriba dengan imam pula. Silambam dek Tok Imam tu pula nanti. Sakit dapat malu pun dapat. Jangan bimbang. Kita bukan budak-budak asrama. Selalu tolak menolak untuk laung azan atau jadi imam. Baca khutbah pun tak usah. Kalau kita minta beria-ria pun tak dapat juga. Baca sajak cinta pun tak ada lagi orang buat. Jadi jangan pandai-pandai. Buat saja macam biasa.
Semalam aku tak juga lewat ke masjid. Cuma entah apa cerdik saja-saja nak solat di bahagian serambi masjid pula. Udara hari dingin. Tak tahan. Aku mahu jauh dari tamparan angin-angin kipas. Udara luar natural. Betul-betul di hadapanku seorang bapa bawa dua orang anak. Dari tebakanku barangkali umur sekitar lima atau enam tahun. Aktif pula tu. Aku buat tak tahu saja. Lagi pun muka mereka tak ada iras Olmert dan Bush. Kalau ada aku hantuk juga dua-dua kepala budak tu. Jangan marah lagi. Baca dulu kisah masuk akal ni.
Khutbah dari mimbar mengenai siksa kubur akibat tuang atau cuai solat. Aku terheret ke garis depan. Kembali ingat. Mungkin esok aku bernama mayat. Atau sekejap lagi. Tak berblog-blog lagi. Tamat sia-sia. Bertimbun dosa. Lebih hina dari anjing kurap jalanan. Barangkali. Aku sangat cuai. Pernah tak solat bertahun-tahun. Kutuklah. Siksa Tuhan untuk aku nanti lebih dahsyat dari kutukan kalian. Minta jauh semua tu. Moga ampun jua dari Tuhan Maha Pengampun. Tak ada niat langsung nak bangga dengan dosa-dosa. Dan tak ada niat pula aku nak heboh satu dunia aku dah solat. Tapi semua maklum. Itu kewajiban kita sebagai muslim.
Laungan azan untuk solat menerjah udara sekeliling. Tok imam dah mula. Semua yang ada bersolat. Seperti manusia lain, aku juga cuba untuk kusyuk. Maklumlah, khutbah tadi macam wake up call pula. Siksa sungguh nak rasa nikmat kusyuk solat ni sebenarnya. Macamana nak buat aku pun tak tau la. Aku perlu usaha juga sebelum mati. Semua muslim mesti.
Rakaat pertama boleh tahan lagi. Walaupun ada lintasan-lintasan yang menggangu aku cuba juga tahan. Tapi masuk rakaat kedua entah la. Dah punah solat aku agaknya. Aku tak tahu la nak salahkan siapa. Dan aku juga bukan mahu salahkan sesiapa. Diri sendiri barangkali. Pernah ada kisah orang yang kusyuk solat, dinding runtuh hempap pun dia tak sedar. Tapi aku ni jauh lagi. Memang jauh.
“Abang, abang nak tengok semayang orang cacat tak?”
“Macamana?”
Budak berdua tu betul-betul depan aku. Aku ternampak dan masuk telinga la. Setan pula dah tarik cuping telinga dan mata aku luas-luas. Aku pejam mata dan cuba buat tak tahu. Berdialog satu hal. Deras pula suara. Aku terbuka mata. Tiba-tiba budak yang nak buat demo sembahyang orang cacat tu letak tangan di belakang pinggang dan sujud. Kaki terjongket dua-dua macam kala jengking nak cucuk mangsa. Kemudian guling-guling. Sampai tempat aku nak sujud pula tu. Abang dia boleh gelak dan tiru pula tu.
Habis la. Aku nak cakap apa lagi. Aku tahan juga sampai salam. Rasa nak marah dan nak terketawa sama banyak saja. Lain kali aku tak mahu lagi solat hampir dengan kanak-kanak. Iman aku tak seberapa. Kalau kalian jadi aku macamana?