Monday, November 16, 2009

Acara Meracun Secara Olimpik

“Mie, ladang mak hang ni dah nak semak dah ni. Hang kena racun sikit dah ni.” Begitu kata Din kawan aku yang ambil upah potong dan angkut buah sawit sambil meneguk air oren yang aku hantar ketika berehat.

Budak Din ni, elok-elok aku hantar air oren, dia suruh aku meracun pulak. Mujurlah aku pernah kerja potong, angkut dan lambung tandan sawit atas lori. Jadi aku fahamlah peri siksanya bekerja sebagai buruh ladang untuk sesuap nasi. Sebab itulah marah sangat bila aku naik motor, ada polis pow aku suka-suka hati sebab aku serabai dan berambut panjang. Bukan aku tuduh semua polis. Tapi banyak kali aku kena. Padahal bukan aku yang menaikkan harga gula dan ayam bila nak raya. Bukan aku dapat komisen kapal selam.

“Entah, popalih teruk kawan kutip biji relai. Habis jari kawan,” Belut yang jadi tukang tolak tandan sawit pun nak menyampuk juga.

PANG!

Aku lempang seekor nyamuk. Biasalah, memang ada nyamuk dalam ladang sawit ni. Ikutkan hati aku nak tenyeh saja nyamuk tu atas dahi Belut. Menyibuk. Tapi tak jadi sebab dia cepat-cepat start kerja semula sambil hisap rokok Nusantara hijau.

Mengenangkan keluhan kawan-kawan itulah, aku dan adik aku terpaksa jadi kombat menempur segala rumput rampai. Nak harapkan lembu-lembu orang yang selalu buat taik tu? Lembu sekarang ni pun dah jadi mengalahkan graduan menganggur pulak. Pandai memilih sangat. Rumput lembut-lembut cantik-cantik muda-muda saja dia nak hentam. Senduduk berbulu, kapal terbang dan kelambu rimau yang degil macam iblis tu tak mahu pulak dialembu (gantinama lembu yang setaraf dengan diorang) rentap sampai ke akar umbi. Kalau boleh nak suruh letak aircond dekat ladang agaknya lembu-lembu tu. Kalau dialembu makan tak memilih, senanglah sikit kerja aku. Itulah yang amat kukesali sehingga tiada terhingga.

Maka selama empat hari pada minggu lepas aku terpaksalah mendukung pam 3 galon yang beratnya macam beg budak sekolah rendah yang bawak buku tak ikut jadual itu. Aku kalau bab meracun ni memang handal sangatlah. Kalaulah meracun ni masuk dalam acara sukan Olimpik, mesti aku punyalah yang dapat RM1juta Olimpik 2012 tu nanti. Ye la, pingat emas aku punya. Adik aku pingat peraklah. Itu belum lagi dia buat acara meracun secara bergu ke, acara meracun berganti-ganti ke, atau terjun papan anjal sambil meracun diikuti main mercun sekali ke. Berjuta-jutalah aku dengan adik aku dapat duit. Menangis punyalah menteri sukan yang mukanya memang macam nak menangis tu terpaksa hantar duit ke ladang. Nak harap acara bolasepak yang ada sekarang? Menghabiskan duit rakyat saja la. Masing-masing berlagak dengan jersi bola England palat tu saja la rakyat Malaysia ni. Lepas semua team bola nak ada perkataan ‘red’ kononnya macam ‘red devil’. Orang politik pulak menyibuk nak jadi presiden la, exco la bila persatuan tengah maju. Penyokong bakar lemang. Biarlah lantak.

Aku pulak bila meracun di ladang ni memanglah kusyuk habis. Laju bukan main-main. Sebab panas semua kulit tubuh rasanya. Duduk dalam topeng. Pakai overall. Sebijik macam SWAT. Jadi kalau boleh tak mahu berhenti langsung menyembur racun tu. Satu jam aku buat 3 pam. Satu hari aku cuma mahu kerja 3 jam. Buat laju-laju dan balik mandi. Pantang ditegur. Kalau orang bunian yang kuat pakai baju putih-putih macam dalam TV3 petang-petang hari tu tegur sekalipun, aku racun semacam muka dia. Siap rodok-rodok lagi mulut dia dengan penyembur racun tu. Biar dia insaf. Jangan asyik pakai putih macam iklan sabun saja taunya. Entah mana produser tu mengaji ada orang bunian macam tu.

Tapi macam biasalah. Masyarakat tempat aku ni memang peramahlah. Orang kampong. Kalau orang Beverly Hills tu lain la. KL? Miskin bandar punya orang ramai la beb. Bergaya saja lebih. Tak peduli jiran. Tengah sedap-sedap meracun ada saja kutu-kutu atau pak cik jiran yang berhenti nak bertemuramah. Selalunya memang aku menyorok belakang pokok sawit. Tapi sekali tu tak sempat betul sebab keadaan amat genting. Laluan untuk menyorok sebiji macam grand canyon tebingnya. Sudahlah dukung pam berat. Beria-ria sangat nanti berguling bawah tebing, mandi racun aku. Kena gelak dengan orang bunian original la pulak nanti. Demam keteguran aku.

Berhentilah sebiji motosikal dekat ladang mak aku. Brader Man rupanya. Tak ada kerja lain orang Melayu ni. Nampak orang kerja pun dia nak ajak berborak. Kadang-kadang tu dengan polis jaga roadblock pun ada yang ajak berborak juga. Panjang saja antrian jadinya. Kalau orang tengah makan jambu air colek kicap tu boleh la juga nak ajak berborak, pak cik weh. Tapi sebab aku ni memang budiman dan pengikut sunnah wal jamaah, layanlah juga walaupun dia bukan bekas mufti.

“Haih, meracun ke weh?” tanya Brader Man tu sambil tersengih-sengih seraya menongkat motor. Macam nak menyinggah lama saja pesennya. Otak aku pun mulai ligat. Keadaan hening seketika. Burung-burung membelai awan. Mentari merenjis sinar pagi ke daun sawit seolah-olah memercikkan titik-titik harapan kepada manusia buruh sepertiku. Damailah dunia, ujarku jujur. Sayup-sayup kedengaran lori hantu lalu lalang menghantar tandan sawit ke kilang. Aku pecat topeng. Tarik nafas panjang-panjang. Lepaskan segala penat di dada yang amat sangat.

“Tak adalah, Brader Man. Tengah memancing ni ha. Dapat ikan besarrrrrr...” jawab aku sambil membuat aksi hardcore angler melayan Mersuji seberat 35kg yang tersangkut di joran Daiwa berkekili Shimano TLD30 yang bertali Maxima 30 paun. Penyembur racun aku hayun-hayun dan karau ke kiri dan ke kanan sambil mengayakan aksi mengepam tali pancing macam di atas kapal layar Moonson Cup.

Tak sampai seminit, Brader Man cepat-cepat beredar. Hendak cari lembu dia yang merayau entah ke mana, katanya. Elok sangatlah tu. Raya Haji dah dekat. Aku meneruskan perjuanganku menentang rumput rampai. Nak cepat-cepat untuk balik mandi dan minum air kelapa.

14 comments:

♣ haNie ♣ said...

nk cari lembu ke...atau takut dia pn kena racun sekali??

hahahaha!

Redz da Tsar said...

Haha... terbaik la artikel ko min... Penuh dengan perlian dan kesinisan yang hebat di samping santai... hua-hua-hua... Takde projek ke?

relevan said...

Ko jangan racun itu lembu sudahlah wehh..

A.C POpCorn PIMP said...

kerja brader2 je hahahaha...respek..

Webmaster@Echam said...

keh..keh..keh... dah lama koi tak meracun rumput dan lembu2 yang makan pucuk sawit bapok koi...

Mimie.Candy Cane said...

ari tu aku kol ayah aku kan..dia ade merungut kebun getah dia dah naik semak..ko boleh pegi ganu jap min? tolong racun semak kat kebun ayah aku...

Don Balon said...

Koi pun nok balik meracun doh ni..
kebun koi upoh org tebas hari tu..
sajer nok membazir skek.. kuikui

Fadh said...

koi cuti sekoloh nie jadi buruh paksa rela dek mok koi nebas semak dan merajun serta membaja...he he he ingat coti sekoloh boleh laa bercoti...upernyer kena kerja jugok!

eiza in the house.. said...

racun jgn tak racun yeop..hehe

dzul said...

mmg btul..kt ladang masa org tengah kerja la yg kerap benar menyinggah ajak bersembang..haha

jo said...

hahahahhaha.....
entah ke brader man nampak bunian original kat belakang ko masa tu min...

Rajuna said...

aku ni nama je duduk kampung. tapi tak pernah tolong bapak aku menyawit. ahaha

mazru said...

kah kah kah..memang kena dengan hempedu koi la artikel ni min..bravo.

org tu dah tau aok meracun tp gatai nak tanye jugek tu kenapa..kekekke

rahimin idris said...

Hanie,
Macam tu je nak ajar orang tak paham bahasa ni kan?

Redz,
Ko kena dekat red devil tu kan.

Projek ada. ni projek sendiri. Dan ada beberapa projek jangka panjang la. projek bom jangka pun ada.

Relevan,
Menda tak ada depan mata. Kalau ada racun je sekali.

AC,
Ala, meracun bukan kira brader. Tempat aku, makcik2 pun selamba je meracun.

Echam,
Balik nanti meracun la. ambik upoh pun boleh. Kuikuikui

Mimie,
Itu senang. Tebang je getah tu. jual kayu. Lepas tu jual tanah tu. tak payah meracun dah.

Don,
Tak payah upah menebas. Sewa budozer je. Sodok. Baru banyak sikit membazir.

Fadh,
Aok silap. Patut aok pergi melancong ke Ghana nu cuti2 ni. selamat sikit. Silap2 boleh mintak kerja kat sana. jadi cikgu matematik.

Ieza,
Ni lagu ke kempen meracun?

Dzul,
Bukan kat ladang je, dekat bawah rumah pun orang singgah ajak borak. Kadang2 dekat masjid.

Jo,
Masa tu pagi. Pagi2 ni orang bunia masuk opis. Tempat aku orang bunian kerja pejabat.

Rajuna,
Itu namanya lupa diri. Bukan punk. Punk tu maksud dia anak yang soleh dalam bahasa Yunani.

Mazru,
Itu la. kalau kena ke dia orang tanya macam te, apa perasaan dia? Kan?