Tuesday, July 28, 2009

Persengketaan Dengan Seekor Katak Puru

Sudah beberapa hari yang lepas lagi saya mahu kemaskini ini blog. Tapi sesuatu telah menimpa saya. Sesuatu yang aneh dan tidak terduga telah terjadi. Bukan sahaja aneh sekali. Barangkali aneh dua tiga kali juga.

Petang kelmarin. Sedang sedap-sedap saya menonton iklan, tiba-tiba seekor katak melompat-lompat di ruang tamu rumah saya dari pintu hadapan yang tidak berkatup. Saya tidak perasan entah dari mana datangnya. Saya biarkan sahaja kerana saya sangka ia mahu mengambil jalan ‘short cut’ untuk ke belakang rumah dari pintu hadapan ke pintu belakang.

Tetapi sangkaan saya benar-benar meleset seperti ekonomi negara. Katak puru yang mengerutu itu tidak bergerak lurus, sebaliknya melencong ke rak kasut saya. Ia ingin melompat masuk ke dalam kasut saya. Saya tergamam seketika melihatnya. Sebelum sempat ia menjadikan kasut saya yang memang sudah buruk itu sebagai rumah, saya harus bertindak segera!

Saya bingkas bangun dan menghampiri katak itu. Sebab tangan kanan saya guna untuk menyuap nasi, dengan tangan kiri, saya cekup belakangnya. Ia meronta-ronta. Saya tersengih melihat ia seolah-olah sedang berenang di awangan. Tidak kuasa saya mahu menciumnya walaupun mukanya tak ada iras-iras Megawati.

Saya pun ke luar rumah. Dan melemparkan katak itu ke atas atap ‘metal deck’ yang sedang berbahang siang. Moga dia insaf dan tidak bercita-cita mahu membuat penempatan ala-ala Yahudi di dalam kasut saya lagi. Kalau ia mati kepanasan dia atas atap, harap sempat ucap kata taubat.

Saya kembali sambung tonton TV. Menunggu iklan.

“Dak Mi, nanti tolong buang sampah ke dalam lubang sampah iye?” tiba-tiba terdengar suara mak saya.

“Saya mak!” suara anak yang soleh menjawab. Mujur mak sebut buang dalam lubang sampah. Kalau tidak saya lempar atas pokok jiran saya sahaja.

Kerana tidak ada iklan yang menarik lagi, saya pergi membuang sampah. Tidak jauh. Dekat sahaja belakang rumah.

Tetapi entah macamana tiba-tiba kaki saya tergelincir. Lubang sampah sangat dalam. Empat kaki lebih. Tubuh saya rasa semacam melayang-layang dan ringan sekali. Dekat sepuluh minit juga saya melayang-layang. Orang terjun KLCC pun tidak jatuh lama seperti saya jatuhnya.

BEDEBUK!

Akhirnya sampai juga saya ke dasar.

“Macam nangka daaaaa..” tiba-tiba saya terdengar suatu suara.

“Siapa?” tanya saya dengan nada terkejut.

“O, pura-pura tidak kenal ya? Nanti sekejap aku pasang pelita!” ujar suara itu di dalam kegelapan suasana.

Ceh! [bunyi mancis daaa…]

Tiba-tiba cahaya pun menerangi. Alangkah terkejutnya saya bila terlihat di hadapan saya ada seekor katak yang sangat besar! Lebih besar dari Malek Nor!

Tubuh saya menggigil ketakutan melihat katak puru itu tercokoh sambil memegang pelita macam budak-budak zaman dahulu mahu pergi mengaji kala malam hari. Kalau ia pakai songkok dan bawa rehal memang saya langsung tak jadi takut.

“Macamana kau boleh jadi besar macam Malek Nor ni? Kau suntik botox ke?” saya tanya.

HA HA HA [ia boleh gelak pula itu]

“Kenapa kau ketawa? Apa kau mahu?” saya tanya lagi. Menyampah tengok ia gelak sambil pegang pelita.

“Aku mahu bakar kau! Sebab tadi kau lempar aku atas atap ‘metal deck’ yang panas! Ha ha ha!” herdik katak itu dengan suara sumbang bak gegak gempita.

Mendengar hasrat katak itu saya segera meniup pelitanya. Dan di dalam suasana gelap saya segera merungkas dinding lubang. Saya berjaya keluar dari lubang dan memecut pulang ke rumah.

Semenjak itu saya akan lebih berhati-hati ketika membuang sampah.

Sebab itulah saya tidak sempat berblog kebelakangan ini. Saya sangat penat akibat keterkejutan. Gara-gara seekor katak puru gergasi.
(Sekadar Foto hiasan penyedap mata)
UPDATED 29.07.2009, 10.18 am: Cerita di atas tak ada kena mengena dengan Aku. Ia cuma fiksyen yang aku reka selepas penat mengira dan mengisi harga tender tengah malam semalam. Harap Mak Long.

18 comments:

bayan said...

MUahahhaa....sendiri jatuh. Patutlah senyap je. Bekal lempeng pisang setiap pagi juga tak terusik. Erkk...jangan-jangan katak pisang buat angkara.

Hati-hati encik. Novel harus disiapkan memandangkan tempahan sudah menggunung.

Selamat berehat.

cik fatihah said...

huh,ingatkan terpijak katak tadi.

Facet said...

masuk spital?
katak memang pembalas dendam melalui cerita lu. saya tumpang sedih.

Fadh said...

huh...pandai nyalahkan katak...he hehe

k.e.r.i. said...

gua nak copy pastu print pastu kasi anak saudara baca mengisi masa lapang boleh?
haha

mrblind said...

banyak sangat baca komik kanak-kanak ni..

Dzulkarnain Mohamad said...

haha, ingatkan yoshz dah td..

Redz da Tsar said...

heheh... Serius kreatif

rahimin idris said...

Bayan,
Aku ok je. Pening dan sibuk hal dunia je. Hehe

Fatihah,
Tak nye.

Facet,
Ah. Imaginasi je ni. hehe

Keri,
Bagussss. Hahaha

Fadh,
Inilah cerpen hahaha

Blind,
Kehkehkeh seni ni apa.

Dzul,
Aik. Kenapa yoshz?

Redz,
Hehehe.

Hidemichi said...

serius masa aku kecik-kecik pun aku ingatkan maklong!

ckin said...

haha...terkena sumpahan katak

Don Balon said...

nasib baik ini sastera..
jika tidak ia digelar skizofrenia, dementia ataupun mania kecil-kecilan.. kuikui

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Lihat catatan tentang Bukan Deja Vu di laman CelikHuruf. Kalau ko tak suka ulasan aku... aku tak kesaahh.. hahahahaa

bayan said...

bAru perasan, entri ini guna kata gantinama diri SAYA untuk yang bercerita. Muahahhaa..nampak macam budak baru habis SPM. Apapun, manis.

Hashim Zabidi said...

Bakal cerita untuk Bukan Deja Vu part 2 ke ?

Apa-apa hal pun, macam mana saya nak langsaikan Bukan Deja Vu yang itu. Harap beri penjelasan seikhlasnya...

terrarosa said...

keh dengan katak dah macam air dicincang tak akan putus,
10 kali kita buang dari rumah , 11 kali kali deme buleh cari jalan pulang .

adola...

man_helang said...

aku tau dah..memang rekaan semata...cam cite seram melayu time mula2 nak start...mesti mimpi nya...

FarhanaLicious said...

erk. ko pegang katak puru?