Balik ke rumah petang semalam hujan. Lebat betul. Aku tak tau nak buat apa.
Kebosanan. Aku selongkar rak buku. Jumpa sebuah buku yang aku suka. Puisi dan Prosa Pilihan Alexander Pushkin. Ia terjemahan Zalila Sharif. Pernah dengar nama Zalila Sharif? Alexander Pushkin?
Pushkin penyair Lagenda Rusia yang mendambakan 'kemerdekaan' serta membenci 'penindasan' itu memang seorang yang hebat. Di Rusia orang menganggap penyair hampir setaraf dengan nabi!
Aku renung kembali beberapa puisinya yang aku suka. Banyak juga yang aku tak faham. Tapi aku suka juga. Minat.
Masa aku mula-mula ghairah tulis sajak dulu aku terasa nak tulis puisi macam yang Pushkin tulis. Tapi mana mungkin. Puisi bukan boleh terhasil secara paksa. Puisi bukan dicipta. Ia terhasil.
Kebanyakan puisi Pushkin bangun dari bawah penindasan. Beliau dipijak seketika oleh manusia-manusia mabuk kuasa tapi dipuja selama-lamanya oleh manusia-manusia yang rindu pada dendang lagu-lagu kebebasan sejati.
Selepas membaca kembali Pushkin setelah beberapa tahun melupakan, aku terasa ingin menulis sajak semula. Terasa rindu nak menatap sajak-sajakku tersiar di akhbar atau majalah.
Tapi aku malu dengan sajak-sajak yang kutulis. Rasa segan. Sampai sekarang aku memang segan nak mengaku samada aku ini 'Penulis', 'Penyajak' apa lagi 'Penyair'.
Tapi Pushkin sebagai penyair sejati telah menyeru seluruh penyair sejati dunia dengan penuh semangat sekali!
SERUAN KEPADA SEMUA PENYAIR
Kawanku, jangan mengindahkan kepopularan!
Kebisingan pujian yang ghairah akan berlalu sekelip mata,
Biarpun kau mendengar kritik orang bodoh dan gelak orang ramai acuh tak acuh
Kau mesti tetap teguh, tenang dan tafakur.
Kau harus berdaulat dan tidak bergantung pada sesiapa. Pilihlah jalan sendiri
Berpandukan akal budimu yang bebas,
Sambil menyempurnkan buah fikiranmu yang paling bernilai,
Dengan tidak menuntut penghargaan terhadap kejayaanmu yang luhur.
Penghargaan itu tersimpan di dalam dirimu.
Kau adalah penilai dirimu yang muktamad.
Kaulah yang paling kritis tentang ciptaanmu.
Apakah kau berpuas hati dengan hasil tulisanmu yang kau periksa?
Kalau begitu biarlah orang banyak mengeji hasil karyamu,
Meludahi api yang bernyala ditempat pujaanmu
Sambil tersasul menggongcangkan tripod dengan persembahanmu yang suci.
Alexander Puskin
No comments:
Post a Comment