Showing posts with label obituari. Show all posts
Showing posts with label obituari. Show all posts

Monday, February 23, 2009

Tribute To Joko

Pagi itu seperti biasa. Joko turun bekerja. Mahu menukar masin keringatnya kepada manisnya upah. Dan upah itu akan berubah kepada rupiah buat orang rumah di Jawa Tengah.

Di tapak bina sudah tiga hari mesin pembancuh simen rosak. Sudah beberapa orang pekerja juga cuba baikpulih namun masih belum boleh bergerak. Tiada tanda-tanda mahu pulih.

Joko pun mahu mencuba juga. Pagi itu. Pagi yang tidak disangka-sangka itu. Pagi yang keras panasnya belum merata. Dan Tuhan belum menurunkan sepenuhnya cerita kepada penghuni bumi.

Dengan tekun Joko berusaha. Digodek-godeknya mesin pembancuh simen itu. Setelah puas hati, Joko memutar engkol. Dan hiduplah mesin pembancuh simen itu. Berputarlah seperti sediakala.

Joko gembira tidak terkata. Joko menjulang-julang tinju ke udara sambil melonjak-lonjak tubuh ke udara. Joko kegirangan. Kejayaan. Kejayaan. Kejayaan.

Tidak sampai seminit. Joko rebah. Mesin pembancuh simen masih berputar. Joko tidak berkutik lagi. Mesin pembancuh simen berdaung dalam putaran.

Setelah diselidiki. Rupanya Joko sudah kaku. Mesin pembancuh simen masih berputar. Malaikat maut tentulah belum jauh benar. Masih berlegar-legar mengibas-ngibaskan sayapnya mahu membawa roh Joko ke suatu tempat yang tidak mampu sesiapa juga imagin.

Jasad Joko telah pun selamat dititip di dalam sampul bernama keranda beberapa hari lalu. Mungkin sudah bersemadi di perut bumi Jawa Tengah.

Joko mati selepas mesin pembancuh simen berjaya dihidupkan. Joko mati dalam kegirangan.

Apa lagi yang kau cari, Joko?
Al-Fatihah.