Showing posts with label Puasa. Show all posts
Showing posts with label Puasa. Show all posts

Wednesday, August 26, 2009

Menetang bidaah Mat Yie di bulan Ramadan

Aku tak ingat bila masa aku kena paksa puasa betul-betul. Tapi masa darjah satu memang aku dah puasa betul-betul macam professional. Aku tak sekolah tadika. Jadi tak ada kenangan puasa masa tadika baju kotak-kotak kecik dan topi ada gambar beruang bangang itu. Itu pun antara sebab aku takut sekolah tadika dulu

Aku dulu dua sekolah masa darjah satu. Pagi sekolah agama rakyat. Petang sekolah tak agama kebangsaan. Sekolah tak cukup kelas. Pelajar zaman tu sikit punya ramai macam penghuni pusat serenti zaman sekarang. Kerajaan pulak tengah sibuk buat Proton Saga dengan jambatan Pulau Pinang.

Dua tiga hari memanglah arwah ayah aku hantar. Dua tingga minggu lepas itu jalan kakilah. Selalunya aku dengan Syed Norizlan. Sikit punya jauh jalan. Kena lalu ikut jalan tanah merah, kena lalu ikut paya, kena melompat parit dan lalu belakang rumah orang. Sempat jugalah jeling-jeling buih ikan karing dan joran orang.

Jauh tak jauh pun kena henjut juga. Puasa pun puasa la. Apa ada hal. Mak ayah aku dah cakap, kalau puasa penuh dapat baju askar celoreng-celoreng macam komando. Siap topi dan kasut ‘johnson’ atas paras buku lali lagi. Siapa tak nak? Masa tu memang tengah top. Tak sabar-sabar lagi aku nak beraya dengan pakaian askar dari satu ladang ke satu ladang getah main mercun. Sambil-sambil jalan tu sempat juga la aku buat gaya-gaya askar baling bom tangan, buat bunyi bom melayang dan meletus. Bila Syed Norizlan tanya, apahal? Aku cakap, Vic Morrow!

Sampai sekolah macam biasa panjat pagar dengan sopan untuk masuk. Sekolah bukan main kecoh macam hari penamaan calon YB. Orang toreh getah pun tak riuh macam itu. Ada yang melukis di papan hitam. Ada yang berludah tak tentu arah. Ada yang angkat-angkat tayar depan basikal BMX. Ada yang melukis gambar hantu di pokok cempedak guna pisau seposen. Yang paling dahsyat ada yang pura-pura beratib berkumpulan sambil sebut ‘Guru Yahya! Guru Yahya! Guru Yahya!” mengejek Anuar rakan sekelasku yang ayahnya bernama ‘Yahya’ itu. Situasi waktu itu langsung tak menggambarkan Ramadan al Mubarak.

“Mu puasa dok hari ni, mie?” tiba-tiba satu suara menerjah dari belakang. Pada mulanya aku sangka suara ustaz Jabatan Agama Islam Pahang. Tapi tak kan dengan budak-budak pun nak buat soal siasat pasal puasa?

“Hoh, mestilah!” jawab aku ganas. Rupanya Mat Yie yang soal. Aku dengan Mat Yie memang tak berapa ngam sebab aku lagi cerdik dari dia, tapi dia lagi banyak duit belanja sekolah dari aku.

“Mu baca niat dok?” Mat Yie tanya lagi.

“Eh, mesti la baca!” aku jawab.

“Mu tau macamana baca niat puasa?” Mat Yie tanya sambil buat muka paling eksyen.

“Mesti la tau!”

“Kalu tau cuba mu baca!” Mat Yie mencabar.

Aku pun apa lagi. Tepuk meja serentak terus buat silang panggung gaya Ibrahim Din dalam filem Do Re Mi. Siap goyang-goyang kaki sambil baca niat puasa cakap arab dan melayu sekali.

“Ha ha ha, puasa mu doh batal! Sebab mu baca niat puasa. Kira mu puasa semula!” Mat Yie ketawa berdekah-dekah.

Darah aku mula menaik kerana baru tersedar bahawa Mat Yie sekadar mahu memerangkap. Namun aku berasa sikit pun tidak bersalah. Sebab dia yang menyuruh aku baca. Namun kesayuan tetap wujud bila mengenangkan seragam kadet tentera.

Tapi aku tidak berpuas hati. Saat itu juga aku mencabar Mat Yie berjumpa ustaz. Cemas dah Mat Yie nak kena lempang, mujur dia menurut perintah.

“Tak batal pun. Niat tu dalam hati. Baca tu kat mulut tu lain. Puasa je la sampai habis,” kata Ustaz Sulaiman dengan lembut sambil tersenyum. Aku menjeling Mat Yie yang sudah bermuka konyo.

Hidung aku pun kembali bersinar kembang-kembang. Terasa masa depan semakin cerah. Hari itu berjaya juga aku berpuasa sekerat hari tanpa pengetahuan Mat Yie. Tengahari itu sebelum ke sekolah, aku makan tengahari dulu. Barulah gagah sikit melangkah nak ke sekolah petang untuk menimba ilmu!

p/s: kepada komen2 tak berjawab, mintak maaf la banyak2. tak dan masa. ni pun nak offline la kejap lagi ni!

Monday, September 22, 2008

Jalan Raya Bukan Tempat Berlawak Lebih-lebih Lagi Di Musim Perayaan Semakin Hampir Ni...

Dulu-dulu bila nak sambut raya budak-budak Felda aku kalau tak Jerantut, Temerloh la kami jejak. Kalau kutu sebelah Felda Don Balon dan Dzul selalunya Jerantut kot. Kalau sebelah Poyotitos Temerloh kot. Mana-mana pun boleh. Kalau nak megah sikit pergi Mentakab. Tapi kadang-kadang jejak Tong Kiat saja pun dah manis (HA. HA).

Sebelum ada motorsikal kami layan bas. Bas Sri Jengka namanya. Tak tau la pulak bas ni keturunan Bas Sri Jaya yang dah tak ada tu ke bukan. Sekampung pekena bas. Kadang-kadang sampai dekat 15 orang pergi. Macam nak pergi menjajah negara orang pula. Tapi masa tu memanglah. Kami budak lagi. Persatuan kena la mantap. Takut kena pow.

Tapi bila dah ada motor kami tak layan dah bas. Pak Cik bas kalau selisih pun kami buat-buat jalan mengiring pandang ke lain saja. Ye la, siapa suruh marah-marah kami yang suka tekan loceng banyak kali ni. Suka la nak tekan berapa kali kan. Ada sekali tu Pak Cik bas jerit garang, woi ingat aku ni pekak ke? Pada hal kami tak ingat dia pekak pun. Cuma kami suka dengar bunyi loceng bas tu saja. Rasa mendamaikan jiwa pula.

Ada sekali raya tahun 1995 rasanya. Tak ingat sangat dah. Aku satu baju seluar pun tak siap siaga lagi. Esok lusa dah nak Raya. Kasut pun tak ada. Aku tak berduit betul masa tu. Tolong arwah ayah menoreh getah saja. Kerja aku sebagai kutu petang dan malam memang tak menjanjikan apa-apa hasil pun selain umpat keji masyarakat.

Suatu pagi. Telefon berdering. Aku jawab. Rupanya Syed Norazlan. Dia ajak aku teman cari pakaian baru ke Jerantut. Dia pun kutu juga masa tu. Dengan perasaan tak berapa riang aku sanggupkan juga. Bukan apa. Poket aku demam. Tak kan nak pergi saja-saja kan. Kena la sambar sehelai dua. Aku kira bajet. Rasanya dapat la baju dan seluar GA Blue sepasang. Hui, masa tu kalau pakai GA Blue kira dah handal dah beb.

Dan memanglah betul. Aku beli seluar GA Blue saja. Cukup la. Aku sengkek. Syed pun sama. Tapi kami tak berapa nak puas hati juga la dengan prestasi Jerantut masa tu. Syed bagi cadangan ajak ke Temerloh pula untuk cari baju. Sebab hari masih belum tengahari aku ikutkan saja. Ye la, puasa kan. Nanti terjelir lidah sampai ke pusat tak kan nak masuk KFC. Lagi pun tak kan aku nak balik sendirian naik bas bawa helmet pula.

Dengan menggunakan motorsikal Yamaha SS ayah Syed, kami menuju ke Temerloh pula semata-mata demi sehelai baju. Masa tu Yamaha SS ‘Awas’ memang tengah top. Rasa macam KRU pun ada. Syed pula baru dapat lesen memandu. Kira ok la. Cuaca pula suam-suam suhu perut ayam mengeram saja. Syed pula pandu sedang-sedang sedap. Aku di belakang berangan macam-macam la sementara nak sampai tu. Ye la, gila apa nak berborak atas motor. Nak lawan suara dengan ekzos bukan daya sangat aku.

Sampai satu kampung selepas Jenderak, di hadapan ada satu awek yang layak di panggil akak la. Solo saja berdiri diam-diam. Boleh tahan. Tiba-tiba akak tu lambai-lambaikan tangan. Syed pula memperlahankan pemanduannya. Aku terasa pelik juga. Apahal laju-laju tiba-tiba perlahan? Akak tu awek Syed ke? Atau saudara Syed? Rasa aku kampung Syed dah lepas dekat Temin tadi. Syed, kau jangan macam-macam.

Akhirnya dengan perlahan kami sampi betul-betul depan awek tu. Tapi tak berhenti. Akak tu pun dah tak melambai-lambaikan tangan lagi. Dia Cuma memandang kami kebingungan. “Maaf la kak. Dah tak muat la. Tapi kalau akak nak tumpang sangat duduk atas mudguard boleh la.” Begitu Syed bersuara dengan nada biasa saja sambil meneruskan perjalanan dan menambah kelajuan kembali.

Aku pula toleh tengok belakang pandang akak tu. Mak aih, sikit punya panjang lidah dia jelir ke arah kami. Dan di belakang tu juga menuju ke arah akak tu ialah sebuah teksi. Akak tu bukan tahan kami. Dia tahan teksi. Sampai hati Syed buat lawak macam tu di bulan-bulan puasa. Dah la lapar dahaga. Bertambah la lapar dahaga jadinya. Dah Syed buat lawak. Aku spontan la gelak.

Hari tu balik dari Temerloh aku melepek di rumah tunggu berbuka. Dari Jengka ke Jerantut 60km. Dari Jerantut ke Temerloh makan 60km juga. Untuk balik ke Jengka semula pusing ikut kampung Poyotitos tambah lagi 60km. Mengembara seharian semata-mata nak beli sehelai baju dan seluar. Berbaloi kan?

Monday, September 8, 2008

Ramadan, Jambul dan Sebuah Erti Kemanusiaan Yang Rabak (Episod 1)

Suatu waktu dulu aku suka tengok gelagat Jambul. Bukan sebab dia badut sangat. Tapi dia pandai buat macam-macam mimik muka. Memang kalah la Jim Carey tu. Pelik-pelik mimik dia buat. Boleh jadi pelakon sampai tahap Hollywood kalau betul gaya asuhan.

Bila ke ladang tolong mak ayah toreh getah atau kutip sekerap aku lalu depan rumah Pak Anjang. Satu jam sampai la. Selalu juga arwah ayah punggah bila sampai sekerat jalan. Bas memang tak lalu dalam ladang kami.

Maka setiap kali lalu, aku memandang Jambul yang tak macam kita itu. Tak pandai cakap. Akal pun sifar. Pak Anjang rantai Jambul di pohon rambutan di depan rumahnya. Aku lalu jauh-jauh saja. Sipi-sipi pun tak langsung. Aku takut Jambul terkam. Buatnya Jambul rampas seluar baju aku macamana?

Tapi kalau musim buah sambil lalu situ, di tangan ada rambutan, langsat, duku, manggis, koko atau lain-lain aku baling juga ke arah Jambul. Bukan nak buat dajal. Saja nak kongsi rezeki sikit-sikit. Jambul memang cekap sungguh. Jambul tackle dan tangkap sebiji macam Canavaro. Kalau jadi goli pasukan bolasepak Malaysia jangankan piala Tiger, piala Dunia pun boleh juara. Malaysia tak akan bolos dan jadi juara secara penalti. Rasuah Jambul tak main la.

Jambul ni pun beradab sopan juga. Dapat saja rezeki dari aku dia buat muka dan bunyi-bunyian aneh. Agaknya Jambul bermaksud; “terima kasih!” Aku pula tak reti la nak jawab “sama-sama”. Tak kan nak tiru mimik muka Jambul. Buatnya ada yang tangkap gambar dan hantar dalam majalah Bujal ke, Bambino ke, Kuntum ke, mana aku nak letak muka? Tak kan nak letak dalam botol bedak Cuticura?

Bersambung…

(Sedutan episode akan datang)
Petang tu seperti Ramadan tahun-tahun sebelumnya. Asal puasa saja…


(perenggan ni perlu dibaca ala-ala alih suara Dragon Ball yang buat hasutan bila siri tu bersambung esok hari atau minggu depannya)
Apakah yang akan terjadi? Adakah Jambul akan membuat hura dan merampas kuasa serta perintahan Negara? Dapatkah aku menyelamatkan dunia ini? Sama-sama kita saksikana di dalam episode seterusnya pada hari Raya Haji nanti!)
P/S: Kisah ni panjang sangat. kena buat dua episod. yoshz, jangan cakap aku tak ada idea!