Showing posts with label Cerpen Mini. Show all posts
Showing posts with label Cerpen Mini. Show all posts

Thursday, August 26, 2010

Cerita-ceriti: Pakcik Leman Lambreta Hilang Selera Makan

Pagi masih dingin. Embun menitis panas simpati. Pertemuan tiada awal akhir. Rumput-rumput menghijau kelihatan segar dan ngam untuk dimakan lembu dan kambing. Mergasatwa menyanyi bukan main blues lagi. Demikialah dijadikan Tuhan. Alam ini indah dan menyimpan perlbagai rahsia pemilik-Nya yang tidak terjangkau oleh pemikiran agen-agen CIA.


Di suatu sudut bumi bertuah, kelihatan seorang lelaki tua sedang memulas ariel TV. Orang itu ialah Pakcik Leman Lambreta. Mencari siaran terbaik untuk menonton Malaysia Hari Esok. Kerana pengacara wanitanya cun walaupun banyak yang gagap dan lebih banyak buat bunyi er, er, er sahaja.


“Abu Kassim, balik kerja petang nanti tolong beli Pizza Hottest sebijik!” kata Pakcik Leman Lambreta yang menghentikan pemusingan ariel TV pesen lamanya, yang teralih akibat ditiup angin monsun tenggara.


“Laa, makan nasik dah lah aboh. Kita kan orang Asia, nasik adalah lambang budaya kita.” Jawab Abu Kassim yang baru hendak pergi kerja ke JBA dengan rambut sikat belah tepi.


“Aku bukan apa Abu Kassim,” ujar Pakcik Leman Lambreta jujur sekali. “Hari-hari makan nasik, nak juga buka puasa dengan pizza. Dah tak ‘laju’ rasanya aku ni makan nasik.”


“Aboh ni, cakap laa awal-awal. Tak payah beli pizza Hottest laa. Kalau nak laju apa kata Maghrib ni kita buka puasa atas RXZ catalyzer saya. Saya bawak, aboh makan nasik dekat belakang. Berapa kilometer sejam laju pun aboh cakap je, saya boleh bikin,” ujar Abu Kassim pula. Jujur sekali juga.


Tidak sempat membuka mulut untuk ayat seterusnya, Abu Kassim sudah berada di atas ariel TV, tersangkut tidak bermaya dengan rambut sikat tepinya kelihatan kusut masai ditibai Pakcik Leman Lambreta. Semua mergasatwa bercempera melihat Pakcik Leman Lambreta membuat lompat bintang tak henti-henti kerana menahan kemarahan hati emasnya.

Thursday, November 19, 2009

Aku dan Sang Lalat

Aku cuba melelapkan mata. Memang aku perlukan tidur setelah seharian bekerja meneroka tanah haram di hujung negeriku. Pergi mampus, haram atau halal. Aku cuma mahu hidup. Bukankah dunia ini lebih banyak yang lebih jahat berbanding itu? Aku cuma tak mahu bayar cukai. Ya. Aku juga mahu mewah macam penjilat kelas atasan. Hidup mewah. Mati peduli apa.

PAP!

Celaka punya lalat. Aku berjaya menangkap seekor lalat yang hinggap di hujung hidung di saat-saat aku sangat hampir ke garis lena. Kemarahanku tiba-tiba mencanak demi melihat rupa lalat yang amat menyakitkan hati itu. Tidak tahukah ia, aku sangat kepenatan?

“Mampus kau kali ini, lalat haram jadah!” kata aku dalam hati.

“Nanti dulu, nanti dulu manusia yang baik budi,” tiba-tiba lalat berkata. Ah, lalat apakah ini? Bermanis kata di depan aku, sedang tadi entah najis mana yang telah dihinggapinya.

“Ah. Aku peduli apa. Aku beci kau. Benci, tapi rasa nak bunuh!”

“Baiklah kalau itu keinginanmu. Kau boleh bunuh aku, tapi dengan satu syarat,” kata lalat yang boleh berkata-kata itu dengan muka kesedihan.

“Apa syarat? Apa syarat?” tanyaku pula dua kali.

“Kau lepaskanlah aku dulu. Aku ingin rasakan nikmat kebebasan sebelum mati."

Ah, macam-macam pula lalat ini. Kau yang mengganggu aku, kau pula yang bikin syarat macam-macam. Kau pikir aku bodoh? “Baiklah, aku setuju,” ujarku sambil tersengih.

Setelah mencabut kedua-dua kepak lalat itu, aku letakkan ia di lantai.

“Bebaslah kau wahai lalat yang nakal. Aku nak berehat pun tak senang. Aku pun tak berminat lagi hendak membunuhmu yang sudah tak berguna itu!” herdikku dengan sinis sekali.

Kulihat sang lalat terkesot-kesot melarikan diri dari beberapa ekor semut yang mula terhidu bau habuannya.

Lalu aku tertidur dengan aman sekali. Mimpi menjadi manusia yang sungguh manusia.