Friday, July 16, 2010

Cerita-ceriti: Minyak Lipas Kudung Penjimat Petrol.

Pak Sudarmaju mengetap-ngetapkan giginya tanda geram yang tidak terperi. Penumbuk kanannya dikepal-kepal dan digosok-gosok dengan tangan kiri bagaikan kanak-kanak tadika mengasah pensel warna.

“Tak guna!” bentak Pak Sudarmaju dengan kuat sambil mengetuk meja menggunakan dagunya yang panjang itu. Pak Sudarmaju memang mempunyai kelebihan di situ.

Semua mata yang ada di warung Mak Cik Rosmah Pulau Mansuk tertumpu kepada Pak Sudarmaju kini. Namun seorang pun tiada yang berani menegur kerana tahu keganasan Pak Sudarmaju bukan calang-calang. Ini kerana beberapa ekor kerbau yang merosakkan bunga pagar di hadapan rumah beliau pernah lumpuh akibat didagu oleh Pak Sudarmaju bertubi-tubi. Kalau tidak kerana azan Maghrib pastilah Pak Sudarmaju tidak berhenti mendagu kerbau-kerbau yang malang itu.

“Kenapa begini pakcik?” demikian tiba-tiba kedengaran tanya oleh seseorang dari arah belakang Pak Sudarmaju.

Tentulah orang itu bukan suara penduduk kampong Pulau Mansuk. Jika tidak pastilah empunya suara itu tidak akan berani bertanya kerana bimbang tersilap cakap, Pak Sudarmaju mengamuk pula.

“Ini hah, aok tak nampak ni?!!” kata Pak Sudarmaju dengan tidak berapa garang sangat.

“Oh, pengumuman pelarasan harga bahan bakar dan barang keperluan tu ya? Jangan bimbang. Nama saya Mahmud Esplenet. Saya salesman yang punya bahan yang boleh mengatasi situasi ini. Saya orang kampong Lebak Seberang. Eh, salam dulu Pak cik, err,” kata Mahmud Esplenet sambil menghulur tangan kanan. Tangan kiri diletak ke pusat dan menundukkan badan tanda hormat melampau. Salam fesyen apa tak tau.

“Nama aku Pak Sudarmaju,” kata Pak Sudarmaju sambil menyambut salam. Hidungnya masih terkemut-kemut seperti dubur ayam tanda kemarahannya masih dilevel yang meragukan.

“Memang jahanam diorang tu. Nak menyusahkan rakyat marhaen saja. Sikit-sikit ugut kata negara mahu muflis. Apa daa..” kata Mahmud Esplenet mula meracun.

Pak Sudarmaju angguk-angguk tanpa sebarang reaksi diwajahnya.

“Ini ada minyak boleh menjimatkan petrol. Saya jual RM10 untuk 3 botol. Minyak ajaib ni,” Mahmud Esplenet memulakan sesi penerangan barang jualannya.

“Maksud kau minyak ni boleh tuang ke dalam tangki dan menjimatkan penggunaan minyak aku?” tanya Pak Sudarmaju mula menunjukkan minat sedikit-sedikit.

“Bukan begitu. Minyak ini perlu di sapu ke kaki,” jawab Mahmud Esplenet pula.

“Ke kaki?” tanya Pak Sudarmaju sambil mengerutkan dahinya. Apa kena mengena jimat petrol dengan kaki?

“Tak apa, mari saya gosok dulu,”kata Mahmud Esplenet sambil terus menerpa dan meniarap di kaki Pak Sudarmaju.

Mahmud Esplenet dengan sepantas kilat mengeluarkan sebotol minyak dan melumur ke tapak tangannya. Kain pelekat hapak Pak Sudarmaju diselak dengan rakus-serakus-rakusnya. Kemudian minyak itu digosok-gosok ke sepasang betis Pak Sudarmaju yang keras macam tiang gol itu. Semua pengunjung warung Mak Cik Rosmah Pulau Mansuk hanya memerhati sandiwara yang hina dina itu tanpa sepatah kata. Semuanya bermuka bimbang seolah-olah membayangkan petaka akan menimpa kampong mereka.

“Ok, sudah siap,” kata Mahmud Esplenet seraya bangun secara summersault diikuti dengan senyuman kepuasan.

“Minyak apa ini? Bau macam lubang pembetung saja ..” tanya Pak Sudarmaju sambil menggesek-gesekkan hidungnya.

“Inilah minyak lipas kudung. Dengan menyapu minyak ini, betis pakcik akan jadi kuat dan jalan akan jadi pantas macam lipas kudung. Jadi tidak perlulah pakcik bawak motor lagi. Jimat duit. Jalan kaki saja. Kalau nak berlari pun boleh. Kalau tak urgent sangat, mengesot pun boleh. Malah kalau nak untung lagi jual saja motor buruk pakcik yang dah iras-iras rupa jerumun babi tu. Saya tengok pun malu. Satu Malaysia juga malu. Satuuuuu, Malaysia, satuuuu, Malaysia, satuuuuu Malaysia. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan!” Mahmud Esplenet memberi penerangan tentang kaedah penjimatan petrol kepada Pak Sudarmaji dengan penuh rasa patriotik sambil jari telunjuknya diangkat ke udara.

“O, begitu? Minyak lipas kudung ni ramuannya apa pula?” Tanya Pak Sudarmaju tanpa menunjukkan sebarang riak wajah meski motor buruknya dihina di khalayak ramai sebelum itu. Namun sinar mata Pak Sudarmaju mula bertukar ke warna pink. Tanda bahaya tahap satu.

“Ah, pakcik ni. Mestilah dari lipas kudung. Saya tangkap lipas bila tiba malam lailatulqadar. Saya campur sikit dengan akar daun kesimbuk dan minyak kelapa mawar. Ini rahsia turun temurun. Saya baca selawat seban..” kata-kata Mahmud Esplenet tidak sempat dihabiskan.

Warung Makcik Rosmah Pulau Mansuk gegak gempita petang itu ekoran amukan Pak Sudarmaju yang mendagu Mahmud Esplenet salesman yang berasal dari kampong Lebak Seberang itu kerana melumur minyak lipas ke betisnya. Tidak ada sesiapa berani campur tangan.

Pak Sudarmaju hanya berhenti mendagu Mahmud Esplenet setelah teringat buah anggur tak ada biji yang dipesan isterinya belum dibeli. Bergegas Pak Sudarmaju ke pasaraya TF Value Mart Jerantut. Mahmud Esplenet yang terkujat-kujat dengan tubuhnya berlumuran minyak lipas kudung tetap tidak ada yang sudi menyentuh.

14 comments:

meor-name-depan-ku said...

Pak sudarmaju kini maju?

hanie said...

hahaha...minyak lipas kudung... buleh bisnes ni.

Nerzhul said...

time minyak naik gini ramai la orang jual bahan pelik-pelik nak jimat minyak. hehehe

Hanisham Ab Halim said...

kah.. kah.. kah... lawak2...

AmenoWorld said...

Bro best la artikel neh camne nk import artikel neh utk di letakkan di blog saya? enh boleh share ke artikel neh masuk ke dalam blog saya thru import blog?

http://amenotipusitusanasini.blogspot.com/

Guru said...

minyak lipas kudung ni pun, satu hari nanti akan naik harganya jika dipasarkan

terbaru dari saya : lalang

Redz da Tsar said...

Hehe...

Berapa liter sebotol tue? Kalau tak kene gaye memang lagi mahal nampoknye...

Salesmen nie banyok ngat hok pedoohnye

Shalehudin said...

salam ziarah...

mazru said...

hahaha..pandir,siap niarap te!

Naim said...

haha...
5*

saya suka satira ini.

@naimisa

Hashim Zabidi said...

Temberang vs Panas Baran melahirkan Sasterawan yg prolifik.

maza said...

good job bro.. suka sangat dgn satira ini.. sambil2 mengasah buku lima, terhibur juga dan mengurangkan stess yg membuku.. heheheh

jo said...

hahahaha...esplenet la pulak...

saidi said...

wah..min,sejak bile engko tulis cerpen ni min..
Ingat dak Surat Kabar Lama..masa form six SMJP